SUZUKI SV-7S: Pengganti SV650 Yang Dinanti-nantikan?
Suzuki sekali lagi menggegarkan pentas bumi Milan! Selepas peminat tegar jentera street bike 'berduka' seketika dengan berita 'persaraan' model legenda SV650, gergasi Hamamatsu tidak menunggu lama untuk mempeerkenalkan pengganti terbarunya. Ya... dengan rasminya, Suzuki memilih EICMA untuk diperkenalkan kepada dunia model retro terbaru iaitu Suzuki SV-7S.

Ketika pengeluar lain semakin malas dan beralih kepada enjin parallel-twin yang lebih murah untuk dihasilkan, Suzuki mengambil langkah berani dengan mengekalkan konfigurasi enjin 90-darjah V-Twin 645cc DOHC yang cukup ikonik yang menghasilkan hantaran kuasa Maksimum setinggi 73hp pada 8,500 rpm dan tork 64 Nm pada 6,800 rpm.


Namun begitu, enjin diberi sentuhan baru bagi melepasi piawaian emisi Euro 5+ yang semakin ketat, Suzuki menyuntik sistem pendikit elektronik Ride-by-Wire serta sistem ekzos baharu dengan dwi-sensor oksigen. Hambatan tork bawah yang menjadi identiti SV650 kini terasa jauh lebih responsif, lancar, dan 'sedap' dilayan tanpa kehilangan watak asal enjinnya.

Dari segi rupabentuk, SV-7S ini mengekalkan identiti pure naked dengan mengekalkan rangka jenis trellis keluli terdedah yang kelihatan sangat teguh dan estetik. Lampu utama berbentuk bulat klasik kini menggunakan unit LED rekaan baharu yang sangat terang, begitu juga dengan lampu isyarat digital.


Posisi menunggang cukup relaks dengan pelananya yang hanya 785 mm, kaki penunggang Asia dijamin boleh menapak dengan yakin tanpa perlu berjengket. Berat basah sekitar 200 kg dengan tangki bahan api bersaiz 14 liter, sesuai untuk kegunaan harian dan seronok untuk layan corner di Karak atau di mana-mana laluan berselekoh pada hujung-hujung minggu.
Kelebaran bar hendal dan posisi tempat pemijak yang tepat membolehkan setiap pemilik Suzuki ini kelak menikmati perjalanan tanpa rasa letih.

Jika SV650 lama sering dikritik kerana agak "kosong" tanpa bantuan elektronik, SV-7S kali ini datang dengan pakej penuh seperti Suzuki Intelligent Ride System (S.I.R.S.) yang menyajikan Suzuki Drive Mode Selector (SDMS): 3 pilihan mod tunggangan (Active, Basic, Comfort), sistem Traction Control, sistem Quickshifter 2-hala, Panel meter TFT 4.2 Inci, lengkap dengan sambungan Suzuki Ride Connect.


Kemantapan pengenalian disumbangkan oleh fork hadapan jenis teleskopik 41 mm yang dipadankan denan penyerap hentak tunggal di belakang dengan pra-beban boleh laras. Tayar hadapan bersaiz 120/70 ZR17 manakala di belakang 160/60 ZR17 yang dikawal oleh pakej brek dwi-cakera depan 290mm serta brek cakera belakang 240mm yan lenkap dengan sistem ABS dua saluran.

Kini, kita tunggu bilakan model 'lejen' ini akan dilancarkan di Malaysia dan sudah pasti harganya menjadi topik utama perbualan. Namun begitu, Suzuki sentiasa menawarkan prestasi dan ketahanan enjin yang sukar dicabar. RR
Popular




