☰
Isu Terkini

Oktober 2024

Personaliti / 10 Januari 2014

Affendi Rosli - Usaha Gigih Menjamin Masa Depan

Siapa tidak kenal akan dia? Pelumba berbakat dari Sungai Buloh iaitu Mohd Affendi Rosli, seorang pelumba yang cukup berpengalaman. Berumur 28 tahun, sudah berkahwin dan bekerja sebagai Pembantu Kesihatan. Affendi merupakan anak kedua di dalam keluarganya dan minatnya terhadap dunia motosikal tumbuh sejak masih kecil lagi.

“Saya mula menunggang motosikal seawal umur sembilan tahun dan ketika itu cukup minat dengan perlumbaan cub prix. Idola saya ketika itu ialah Wazi Abdul Hamid kerana dia selalu menjadi juara.”

Ketika remaja, Affendi dan rakan-rakan sering mengadakan konvoi ke merata tempat seperti ke Genting Highlands. Tanpa disedari, bakatnya mula terserlah tetapi Affendi sekadar memendam perasaan dan impiannya untuk bergelar pelumba setiap kali dia mengunjungi litar perlumbaan cub prix.

Oleh kerana dia bersahabat karib dengan Mohd Suhadi dan Norizman, peluangnya untuk menunjukkan bakat lebih cerah. Affendi mula berlumba dengan tiket pelumba persendirian pada tahun 2004. Tidak lama selepas itu dia telah dilamar untuk menyertai pasukan MN Possum dengan menunggang sebuah Yamaha SS. Walaupun Affendi tidak berupaya mendapatkan keputusan yang cemerlang tetapi dia yakin dengan keupayaannya. Pada tahun berikutnya dibuktikan dengan keputusan yang lebih baik, memperolehi kedudukan di tangga kelapan keseluruhan dalam kelas Wira.

“Sebaik sahaja saya diterima untuk menyertai perlumbaan ini, saya terus cuba memajukan diri. Saya diajar cara menunggang dengan betul, diberi teguran dan paling utama ialah pendedahan mengenai dunia perlumbaan itu sendiri.”

Tahun 2006, dia berpindah ke dua buah pasukan baru. Pertama ialah ketika bersama pasukan Naza hanya untuk dua pusingan sahaja. Kemudian berpindah ke pasukan Momos dengan prestasi yang lebih baik. Affendi telah diserap masuk ke pasukan negara dalam perlumbaan Asia Road Racing. Dia menamatkan cabarannya pada tahun 2006 dengan menduduki tangga keenam untuk kedua-dua perlumbaan iaitu di perlumbaan cub prix kebangsaan dan di Kejohanan Asia Road Racing (ARRC). Hasil kerja kerasnya, dia berjaya mengharumkan nama Malaysia di beberapa negara seperti Qatar, Singapura, Thailand, Jepun, Indonesia, India dan China.

Affendi dipilih untuk bersama pasukan SCK Racing pada tahun 2007 dan berjaya membalas segala kepercayaan pasukannya dengan memberikan kemenangan demi kemenangan. Ini juga merupakan tahun yang mengembirakannya kerana impian untuk bergelar juara keseluruhan CP 130 dengan menaiki Honda Wave Dash selama ini tercapai dan Affendi juga turut meraih tempat ketiga di ARRC. Tahun 2013 ini dia menamatkan perlumbaan kelas prima CP130 di tangga keempat keseluruhan dan tempat ketiga di ARRC.

“Untuk berjaya, setiap pelumba itu perlu ada kesungguhan dan disiplin yang tinggi atau kesemuanya mustahil untuk dikecapi. Saya bertuah kerana dilatih sejak kecil oleh arwah ayah dan pengurus pasukan, En. Soong Chee Kieong untuk menjadi orang yang berdisiplin tinggi. Mungkin kerana ayah saya seorang askar, maka disiplin dan jati diri sudah menjadi darah daging kami sekeluarga sejak dahulu lagi.”

Selain dari itu, kerjasama dengan para mekanik juga penting agar enjin dan jentera dapat ditala dengan kemas mengikut kesesuaian seseorang pelumba itu. Aksesori ditaja daripada syarikat Y-TEQ Auto Parts seperti sistem ekzos, saspensi, rim dan banyak lagi produk yang berkualiti tinggi. Dengan mesin-mesin yang dilengkapi dengan aksesori Y-TEQ, Affendi dan rakan-rakannya seperti Norizman, Fitri, Elly dan sebelum ini Azlan Shah kesemuanya pernah berada di podium.

“Ketika sibuk mengejar cita-cita, saya tidak dapat lupakan insiden yang menimpa di Litar Pekan, Pahang pada tahun 2009 lalu. Tulang pada bahagian punggung saya beralih kedudukan kerana impak yang agak kuat.” Nasib Affendi baik kerana kecederaannya tidak begitu serius dan kini sudah pulih sepenuhnya.

Untuk badan yang kekal cergas, Affendi mengamalkan makanan yang sihat dan senaman berjadual. “Masa lapang saya dipenuhi dengan aktiviti berkeluarga atau menunggang motocross bersama rakan-rakan di jalanan luar bandar.”

“Dalam hidup saya, paling penting ialah kesungguhan dan disiplin yang tinggi kerana ia adalah satu syarat penting untuk menempa kejayaan. Jika saya inginkan sesuatu…    saya akan cuba dan terus mencuba sehinggalah berjaya. Kepada mereka yang ingin berlumba sememangnya memerlukan sifat sebegini.”

Selepas beberapa kali mengharumkan nama negara di dalam ARRC, Kementerian Belia dan Sukan telah menghargai usahanya dengan menawarkannya jawatan di sebuah hospital. “Saya cukup bertuah dapat bekerja di sini kerana pihak pengurusan terutamanya Ketua Pengarah Hospital Sungai Buloh iaitu Dr. Khalid bin Hj.Ibrahim yang memberi kelonggaran kepada saya terutamanya apabila tiba hari perlumbaan tidak kira di Malaysia atau pun di luar negara.”

Menurut Affendi, ketika dia mula bekerja di hospital, ramai yang malu dan kekoh apabila berdepan dengannya tetapi hanya seketika dan paling menggembirakan apabila ramai antara pesakit yang mengenalinya. Maklumlah…   Affendi dah seperti selebriti. Wajahnya sering keluar di majalah, surat khabar dan juga di televisyen.

“Saya akan terus berlumba selagi mampu kerana itulah impian dan kesukaan saya dan pastinya akan terus berbakti pada pasukan dan mengharumkan nama negara hingga ke akhir karier.” RR

Isu Pada

Januari 2014

Popular

  • Model Baru

    Ducati Panigale V4S 2027: Lebih Moden & Lebih Berkuasa

  • Pandu Uji

    Kawasaki KLE500 - Dari Lebuhraya ke Laluan lasak

  • Warta Roda

    Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 Lebih Meriah... Lebih Mencabar

  • Warta Roda

    Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

  • Model Baru

    Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

Artikel berkaitan

Cikgu Offroad, Mohd Halim "Yang Kental Pasti Sampai Pos Balar"

Uncle Chin - Gemar Pengembaraan Luar Bandar

Pelumba Muda, Dharwin Lingam Lebih Semangat Harungi Musim Baru

Rewi Hamid Bugo - Usahawan & Pencinta Motosikal Sejati

Khairulamirin Yahaya - Pelumba Supermoto Negara

Md. Mikail Razlan - Terus Buru Kegemilangan

Bob Eden - Ingin Menabur Bakti Buat Pengguna Motosikal

Gary, Tina & Sam Sharman - Pencinta Motosikal Sejati

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

Wow...katanya para peminat dua roda tanahair bakal mempunyai satu lagi pilihan menarik apabila sebuah jenama motosikal dijangka akan hadir ke pasaran negara dengan mengenengahkan skuter berkonsepkan retro.

Model Baru

Honda PCX160 Kembali ke Malaysia Selepas 6 Tahun - RM12,998

Honda PCX160 tiba semula ke pasaran negara pada harga RM12,998.

Warta Roda

Tiga Jurutera ZXMOTO China Hadir Ke Malaysia, Kongsi Kepakaran Pemasangan Model

Tiga orang jurutera teknikal diterbangkan khas dari ZXMOTO China ke Malaysia bagi menjalankan sesi latihan dan bimbingan berkaitan kaedah pemasangan model-model motosikal keluaran syarikat berkenaan.

Dari Litar

Hakim Danish Raih 7 Mata Untuk Naik Kedudukan Ketujuh Moto3

Hakim Danish Ramli mempamerkan kebangkitan menarik untuk menamatkan saingan GP Austria di tempat kesembilan.