Isu Terkini

Februari 2024

Personaliti / 4 Oktober 2020

Zainal Baharudin: Sikap Terpuji Menjamin Kejayaan

Dia telah mengembara lebih daripada 60 buah negara. Telah melihat dan berdepan dengan pelbagai ragam manusia dan baginya sikap terpuji adalah di antara perkara pokok yang wajib dibentuk dan dipelihara oleh seseorang untuk dihormati selalu. Itulah pendirian yang dimiliki oleh En. Zainal, seorang pencinta dunia pengembaraan yang tidak asing lagi di Malaysia.

“Saya berasal dari keluarga yang agak miskin. Saya anak kedua daripada 10 orang adik-beradik dan dari kecil lagi dididik untuk berkorban serta menjadi manusia yang bertanggung jawab. Ayah saya seorang pemandu manakala mak menjual nasi lemak. Untuk membantu keluarga, saya juga ada menolong emak menjual nasi lemak di sekolah. Di sebelah malam pula, saya akan menemani ayah menghantar tempe dan tapai ke Kampung Pandan dengan menaiki Vespa milik ayah.”

“Ayah sentiasa memberi keyakinan buat kami sekeluarga untuk mencapai kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi. Walaupun berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan dan menerima tawaran ke universiti, saya terpaksa berkorban demi adik-adik memandangkan ketika itu kakak saya juga sedang menuntut di maktab pendidikan,” kata Zainal. Dengan keputusan yang cemerlang itu, Zainal pernah memohon untuk jawatan inspektor polis, pilot jet pejuang tetapi akhirnya bertugas sebagai pegawai tentera.

Selepas menamatkan perkhidmatannya di ATM, Zainal berkhidmat di beberapa syarikat terkemuka negara dalam bahagian kejuruteraan dan sumber manusia. Tugas harian yang penting ada kalanya memerlukan dia ke beberapa negara luar dan pada tahun 1989, Zainal bertemu dengan Celeste, seorang tenaga pengajar kesenian dari Afrika Selatan yang akhirnya menjadi isteri tercinta.

Antara pengalaman yang paling tidak dapat dilupakannya ialah ketika berdepan dengan tsunami besar yang mengejutkan dunia pada tahun 2004. Ketika itu Zainal sekeluarga sedang bercuti di Pantai Patong, Thailand.

“Ketika sedang berbual bersama beberapa pelancong lain di tepi pantai, kami melihat kucing dan anjing mula berlari dengan pantas manakala air laut mula berbuih-buih. Saya tidak endahkan sangat tetapi Celeste pula macam ada 10 deria dan tarik anak saya (Aritz) ke jalan raya. Tidak sampai 10 langkah, saya mendengar orang menjerit dan sebaik sahaja menoleh, kami dipukul dengan sangat kuat oleh ombak besar dan dibawa arus naik ke arah hotel.”

“Pokok, kereta, manusia dan bermacam-macam benda lain dibawa arus dan dalam kekalutan itu, kami amat bernasib baik kerana termasuk ke satu ruang di kawasan hotel. Kami dapat melihat arus air bersama kemusnahan lalu di kiri dan kanan manakala ruang itu juga sedang dinaiki air. Kami perlu keluar atau akan lemas dan ketika itulah saya ternampak beberapa buah mesin basuh yang hanyut menghala ke arah kami.”

Zainal sekeluarga cuba untuk menggunakan mesin basuh itu sebagai pelampung tetapi sebelum sempat keluar daripada ruang itu, ada seorang pelancong lain menghulurkan batang kayu panjang sambil berteriak “Grab the pole...grab the pole!” Zainal menolak anaknya ke atas tetapi dia dan Celeste dibawa arus.

“Tiba-tiba ada sebuah Mitsubishi Storm hanyut di sebelah yang membolehkan kami berpaut untuk seketika sebab takut juga nanti bila berpusing-pusing di dalam air, kami pula dihimpit. Nasib bertambah baik apabila kami ditarik keluar oleh orang ramai yang sedang membantu. Selepas 15 minit, air mula surut dan peluang itu saya ambil untuk mencari anak saya. Kami bertemu semula dan berlari ke tempat yang lebih tinggi.”

“Keadaan di jalan raya juga kucar kacir, macam berada dalam zon perang. Orang langgar orang, tut-tut langgar orang, tut-tut langgar kereta dan paling sedih melihat banyak nyawa terkorban. Tidak lama kemudian, helikopter tiba sambil memberi arahan untuk ke tempat tinggi dan kami bersama ribuan mangsa lain yang masih dalam kekeliruan dapat mengikuti segala arahan yang diberikan. Bantuan datang tanpa henti, kami diberi makanan, diberi minuman dan tempat tidur. Dua hari kemudian, saya mendapat semula passport kami sekeluarga dan berjaya pulang ke Malaysia dengan selamat.”

Ketika bertugas di Thailand pada tahun 2010, Zainal mula mempertimbangkan untuk menunggang dari Malaysia kerana sudah mula bosan menaiki kapal terbang. Dari saat itulah dia mula berminat untuk mengembara dan sebelum melakukan langkah lebih jauh ke seluruh dunia, Zainal terlebih dahulu mengemaskan tunggangan dan memahirkan diri dengan bermotosikal ke seluruh semenanjung Malaysia dan ke negara-negara jiran iaitu pada tahun 2010 dan 2011. Jentera yang digunakannya pada ketika itu ialah Kawasaki Versys 650 CBU dan BMW R 1200 GS.

“Falsafah hidup saya begini. Saya membahagikan hidup saya kepada tiga bahagian, 25 tahun untuk proses belajar (mencari ilmu), 25 tahun untuk membina kehidupan dan 25 untuk berehat serta mencapai segala impian. Sepatutnya saya memulakan pengembaraan dunia pada tahun 2012 iaitu ketika berumur 50 tahun tetapi pihak syarikat meminta saya untuk terus berkhidmat lagi dua tahun.”

Genap berumur 52 tahun, Zainal memulakan pengembaraannya bersama isteri tercinta. “Pada tahun 2012, saya menunggang di Vietnam selama tiga minggu dan memikirkan bahawa ingin mengembara ke destinasi yang lebih mencabar. Pengembaraan dunia akhirnya bermula dari India, Eropah, Morocco dan Afrika. Pasangan ini kemudiannya pulang seketika ke Malaysia sebelum menyambung pengembaraan ke Amerika Tengah, Amerika Syarikat hinggalah ke Alaska. Dengan merentasi perjalanan sejauh 120,000 kilometer, mereka telah berjaya mengunjungi lebih daripada 60 buah negara dalam masa 3 tahun, 3 bulan dan 13 hari.

“Tujuan utama pengembaraan saya ialah untuk melihat dunia, melihat budaya lain, bahasa, cara mereka berfikir, alam semulajadi dan motosikal lebih sesuai untuk tujuan tersebut. Menerusi pengembaraan ini, saya juga dapat berkongsi setiap saat dan pemandangan bersama orang tersayang.”

“Afrika adalah negara paling unik kerana kita tidak dapat melihat kehidupan atau masyarakat di sini di benua lain. Contohnya, jika budaya masyarakat Asia, kita masih dapat melihatnya di Amerika, Argentina atau di Eropah tetapi untuk melihat Afrika, kita hanya dapat melihatnya di sana sahaja. Kena pergi tengok sendiri. Pakistan pula negara yang paling disukai walaupun pada mulanya kami hanya memperuntukkan empat hari kerana agak risau dengan soal keselamatan selepas melihat komen-komen di internet, suratkhabar dan televisyen tetapi akhirnya menetap di sana selama sebulan.”

“Hari pertama sahaja persepsi kami pada negara ini telah berubah. Segala apa yang dilaporkan di media massa adalah tidak benar dan bertentangan sama sekali, umpama hitam dan putih. Pakistan sangat selamat, orangnya baik-baik belaka, memiliki sifat menolong yang benar-benar tulen, budaya unik, pemandangannya cantik dan murah. Kami sedar bahawa, tidak boleh nilai nilaikan seseorang berdasarkan warna kulit, kehidupan setempat dan agama.”

Lembah Hunza adalah destinasi paling cantik ketika berada di Pakistan dan untuk ke sana, Zainal perlu menunggang di lebuhraya tertinggi dunia, Karakoram Highway yang sejauh 1,000 kilometer. Apa pun, masyarakat di Hunza Valley lebih terbuka dan ramai di antara mereka di sini berpendidikan tinggi serta mampu berbahasa inggeris dan ini adalah hasil usaha Aga Khan Foundation yang mahukan perubahan pada anak-anak muda di sana. Perempuan di sana juga digalakkan menjadi peguam, doktor atau keluar mendapatkan pendidikan.

Dalam pengembaraan ini juga memperlihatkan Zainal dengan sikap yang menjadi ciri-ciri penting dalam membentuk seseorang itu dari menjadi insan yang berjaya atau sebaliknya. Zainal sendiri pernah menjadi ketua syarikat, pembimbing dan kini sering menghadiri jemputan untuk memberi kata semangat dan pembangunan remaja di dalam dan luar negara.

“Sikap anak muda di Afrika seperti di Mali sangat saya hormati kerana sangat rajin bekerja tanpa mengira jenis kerja walaupun terpaksa membancuh simen, potong pokok, tebas rumput dan lain-lain. Kita mudah berjumpa dengan para pemegang gelaran master dan ijazah yang sanggup mengembara demi mencari pengalaman. Saya berharap agar anak muda negara kita juga mempunyai sikap ingin maju seperti mereka walaupun terpaksa keluar negara, jangan terlalu manja... jangan terlalu memilih kerja. Malaysia adalah di antara negara yang mewah tetapi perlu dibimbing dan dijaga oleh generasi akan datang yang terdiri daripada mereka yang hebat atau negara mungkin akan rosak.”

Untuk para remaja khususnya, salah satu cara untuk membangunkan diri ialah dengan melihat dunia luar dan belajar dari mereka kerana selagi tidak mahu belajar... kita bagaikan 'katak di bawah tempurung'. Tinggikan tahap pendidikan, tinggikan maruah dengan ilmu dan sikap terpuji barulah kita dihormati. Sistem pendidikan juga perlu diperkemaskinikan dan dimartabatkan semula agar mampu melahirkan generasi baru yang memiliki sikap lebih matang, berkebolehan dan terpuji.

Kini Zainal dan Celeste sedang merancang untuk menyambung perjalanan semula yang akan bermula di Canada, Eropah, Rusia, Tunisia, Belarus, negara-negara 'Tan', China dengan menaiki Nissan Navara 4X4. Perjalanan dijangkakan mengambil masa kira-kira dua tahun dan kita doakan agar Zainal dan Celeste selamat pergi dan selamat kembali. RR

Isu Pada

Julai 2018

Popular

  • Model Baru

    Vmoto Sudah Berada Di Malaysia. Lancarkan CPx PRO dan TC Max

  • Warta Roda

    Konvoi 'High Speed Hill Journey' Bersama Pengedar Yamaha Taiwan

  • Model Baru

    KTM 990 RC R Versi Jalanan Sah Masuki Pasaran

  • Warta Roda

    Kemalangan Motosikal Dengan Pacuan 4 Roda, Penuntut IPT Maut

  • Warta Roda

    Warna Baru Untuk Yamaha MT-15

Artikel berkaitan

Pelumba Muda, Dharwin Lingam Lebih Semangat Harungi Musim Baru

Rewi Hamid Bugo - Usahawan & Pencinta Motosikal Sejati

Khairulamirin Yahaya - Pelumba Supermoto Negara

Md. Mikail Razlan - Terus Buru Kegemilangan

Bob Eden - Ingin Menabur Bakti Buat Pengguna Motosikal

Gary, Tina & Sam Sharman - Pencinta Motosikal Sejati

Azlan Shah Kamaruzaman: Semangat Juang Tidak Pernah Padam

Kenny Tan Kee Hooi: Cinta Pada Dua Roda Tak Pernah Padam

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Peraturan Baru MotoGP Bermula Musim 2027 - Kapasiti Enjin Dikurangkan Kepada 850cc

MotoGP bakal mengenakan peraturan baru kepada semua pasukan bermula musim 2027.

Warta Roda

Yamaha Tenere Off-Road Experience - Beri Pendedahan & Latihan Laluan Lasak

Hong Leong Yamaha Motor anjur acara Yamaha Tenere Off-Road Experience buat pemilik, pengedar dan para media.

Warta Produk

Arai Europe Persembahkan Topi Keledar Edisi Terhad, RX-7V EVO IOM TT 2024

Arai Helmet mempersembahkan topi keledar edisi terhad RX-7V EVO Isle of Man TT 2024 yang ke-15.

Dari Litar

Danial Syahmi dan Hakim Danish Sedia Memberi Cabaran!

Para pelumba dan setiap krew pasukan kini bersiap sedia untuk memulakan aksi penuh mendebarkan di pusingan pertama Kejuaraan Dunia FIM JuniorGPyang akan membuka tirainya di Litar Antarabangsa Misano Marco Simoncelli dari 18 hingga 21 April ini.