Isu Terkini

Februari 2024

Personaliti / 27 Jun 2020

Omar Jumiran Kibarkan Jalur Gemilang di Jerman!

Tiada saat yang lebih membanggakan apabila mengibarkan Jalur Gemilang di luar negara dan mendapat pengiktirafan dunia. Itulah yang dirasai oleh seorang pencinta dan pencipta motosikal kustom dari Kajang, Omar Jumiran selepas dinobatkan sebagai naib juara AMD World Championship of Custom Bike Building yang diadakan di Pameran Motosikal Antarabangsa Intermot, Jerman 2018. Lebih manis apabila karyanya, Bone-X berjaya menewaskan pereka-pereka lain yang hadir dari seluruh dunia.

Bone-X dihasilkan menerusi ideanya yang ingin mencipta lain daripada yang lain. Bermula dengan lakaran, Omar mengambil masa lebih daripada setahun untuk menyempurnakan rekaannya itu. Bone-X  berasal daripada model AJS 350cc yang dikeluarkan pada tahun 1961 dan untuk mengubah sebuah motosikal asal menjadi seperti Bone-X sememangnya bukan perkara mudah. Ia memerlukan kemahiran yang digilap sejak bertahun-tahun lamanya.

Jom kita imbau kembali pengalaman dan kesungguhan beliau sehingga berjaya ke peringkat antarabangsa dan satu-satu rakyat Malaysia yang menerima pengiktirafan dunia. Ketika di usia masih muda, Omar yang berasal dari Klang dan kini berumur 48 tahun sudah mula menolong keluarga dengan menoreh getah dan berkecimpung dalam sukan lumba basikal ketika mencecah belasan tahun. Oleh kerana ketika itu ramai pelumba basikal berpusat di Kajang, beliau mengambil langkah untuk berpindah ke Kajang demi menjalani latihan dengan lebih sistematik.

“Ketika mula berpindah ke Kajang, saya bekerja di sebuah kilang tetapi untuk jangka masa yang cukup singkat sebelum beralih kerja ke Serdang dalam bidang kimpalan. Walaupun begitu, jiwa untuk mencipta motosikal kustom sememangnya telah ada dalam diri saya sejak dari kecil lagi. Saya masih ingat lagi. Ketika itu sudah mula melukis bermacam-macam jenis motosikal kustom fork panjang dengan menggunakan arang. Idea mungkin diperolehi menerusi filem-filem lama di televisyen,” kata Omar.

Oleh kerana Omar sememangnya berjiwa halus dan kreatif, beliau cepat belajar dan mula memiliki bengkel kimpalannya sendiri pada tahun 1994 yang terletak di Sungai Kantan. “Bila masuk ke bidang ini (kimpalan), saya dapati dunia besi ini besar. Bukan hanya membuat grill tetapi boleh dikembangkan seperti membuat pengubahsuaian motosikal, arca dan macam-macam lagi. Ia amat berbeza dengan pertukangan kayu kerana jika kayu patah atau rosak, ia sukar disambung menjadi sempurna tetapi besi tetap dapat dibentukkan.”

Bermula dengan membuat pengubahsuaian pada motosikal sendiri, pada tahun 2009 Omar mula menumpukan perhatian dalam dunia kustom untuk para pelanggan yang ingin sesuatu rekaan baru pada jentera mereka. Maka lahirlah Eastern Bobber, nama yang sudah sinonim dengan dunia motosikal kustom hingga ke saat ini.

“Pertama kali mengenengahkan hasil karya saya ialah di PD Bikeweek pada tahun 2009 dengan membawa lima buah motosikal yang telah siap diubahsuai dan dua daripadanya menjadi juara. Itulah pemangkin semangat dan minat saya kerana ia mendapat maklum balas yang cukup positif dan ramai yang minat dengan rekaan saya kerana ia dicipta memang lain daripada yang lain.”

Di awal pembabitan, Omar mempamerkan jentera-jentera ciptaannya hampir setiap penganjuran yang berkaitan dengan motosikal dengan hasrat dunia kustom mendapat perhatian ramai. Sejak dari tahun 2009, Omar telah menghasilkan sebanyak 180 buah motosikal kustom unik yang cukup berlainan berbanding rekaan orang lain. Antara ciptaan paling istimewa buat Omar ialah motosikal Batman atau Batpod yang mendapat tontonan di Youtube mencecah 2.4 juta orang penonton. (taip: Malaysian Batpod by Eastern Bobber).

“Saya bayangkan dunia kustom di Malaysia sama hebatnya seperti di luar negara sehinggakan ramai perekabentuk seperti Mark Hazan dari Amerika dan Chikara Hagata dari Jepun. Sayangnya selepas 10 tahun bergiat dalam dunia kustom ini, ia masih samar-samar dan tidak menunjukkan peningkatan dari segi penghargaan masyarakat dan pihak kerajaan,” kata Omar.

Pada tahun 2013 dan 2014, Omar membuat keputusan untuk mencari tapak baru di luar negara kerana melihat kepada potensi untuk mempamerkan karyanya tetapi ia bukan mudah. Selepas tiga bulan mencuba nasib, Omar pulang semula seketika selepas perjanjian projek ubahsuai kereta Batman tidak ditepati oleh pelanggan di sana. Tidak lama kemudian, Omar terbang lagi ke California, Amerika sekali lagi untuk mencuba nasib kerana California yang ketika itu terkenal sebagai pusat permotoran tetapi kini telah beralih ke Eropah. Omar juga pernah bekerja di Ohio pada tahun 2016 dalam bidang pengubahsuaian motosikal.

Pada tahun 2015, Omar berhijrah ke Abu Dhabi untuk bekerja di sebuah syarikat motosikal kustom yang menawarkan gaji yang baik. Sayangnya syarikat tersebut gagal menunaikan janji mereka iaitu memberi komisen tambahan pada jentera yang direka oleh Omar.

Jentera Royal Enfield Classic 500 rekaan Omar yang menang tempat kedua di Biker Build Of Abu Dhabi.
Jentera Royal Enfield Classic 500 rekaan Omar yang menang tempat kedua di Biker Build Of Abu Dhabi.

Di dalam kesibukan merekabentuk dan menyiapkan beberapa buah motosikal, Omar sempat juga menyertai pertandingan Biker Build of Abu Dhabi menggunakan jentera Royal Enfield Classic 500 dan meraih tempat kedua.

Ternyata bukan mudah untuk mencapai segala impian walaupun telah berkorban masa, tenaga, wang ringgit dan keluarga. Namun begitu, Omar tetap teguh demi cintanya yang cukup mendalam pada dunia pengubahsuaian motosikal.

Bercerita mengenai Bone-X, inspirasi untuk mencipta motosikal ini timbul ketika Omar bekerja di Abu Dhabi. “Saya banyak habiskan masa terluang di waktu malam dengan melukis dan ketika itulah rekabentuk ini dihasilkan dan sudah terlintas dalam hati, inilah yang akan membawa saya ke peringkat antarabangsa.”

Arca robot yang dibuat begitu kemas dan berkualiti.
Arca robot yang dibuat begitu kemas dan berkualiti.

Apabila Motonation Custom Ride Championship menganjurkan pertandingan motosikal kustom pada tahun 2017, Omar tidak teragak-agak untuk meletakkan Bone-X sebagai pencabar dan antara hakim yang membuat penilaian ialah orang penting AMD sendiri iaitu Neil Blaber dan tanpa diduga, Bone-X diangkat menjadi juara dan bakal membawa nama Malaysia ke pertandingan peringkat antarabangsa di Jerman. Selaku penganjur, Motonation telah menanggung kos perjalanan, penghantaran dan penginapan Omar ke Intermot Motorshow 2018.

“Memang ia adalah satu kejayaan tetapi kos untuk membuat Bone-X adalah memang cukup tinggi sehingga mencecah RM60,000. Selain menggunakan wang sendiri yang banyak sehingga boleh dikatakan ‘bergolok bergadai’ demi Malaysia, saya turut dibantu oleh sahabat permotoran yang percayakan usaha ini termasuklah Kepala Kuasa Motorcycle Group (KKMG) yang menyumbang RM20,000. Saya benar-benar berterima kasih pada semua.”

Omar turut menjual baju-t dengan rekacorak Bone-X pada harga RM60 sehelai (termasuk poster dan keychain) bagi menambah dana. Kepada rakan-rakan yang ingin memiliki baju-baju ini, bolehlah membuat pesanan terus daripada beliau di talian 018-323 5600 atau email: eastern.bobber@gmail.com.

Gambar kenangan ketika bekerja di Amerika Syarikat.
Gambar kenangan ketika bekerja di Amerika Syarikat.

Fokus Omar dalam pembinaan Bone-X ialah keunikan dan belum pernah dihasilkan. Tarikan utamanya ialah rekabentuk dan kekemasan krom. Itulah cabaran paling susah kerana untuk mendapatkan kemasan krom yang berkualiti memerlukan modal dan masa yang banyak.

Pemilihan untuk meletakkan sistem saspensi di atas juga adalah untuk mencari keunikan tetapi ia wajib berfungsi dengan baik. Untuk dapatkan spring yang sesuai, Omar telah menukarnya sebanyak empat kali termasuklah untuk mendapatkan rebound terbaik, ia terpaksa dibetulkan beberapa kali agar motor ini tidak melantun atau melompat-lompat. Tayar istimewa berharga lebih daripada RM700 (sebiji) yang diimport dari luar negara juga ‘penyumbang’ penting dalam keanggunan rekabentuk Bone-X. Tangki model ini sebesar satu liter dan Omar pernah ditanya mengenai tangki sebesar itu, sejauh mana Bone-X boleh pergi? Jawapnya mudah sekali…” Sampai Jerman!”

Antara projek kenangan Omar ketika bekerja di Abu Dhabi.
Antara projek kenangan Omar ketika bekerja di Abu Dhabi.
Antara rekacorak baju-T Bone-X yang dijual.
Antara rekacorak baju-T Bone-X yang dijual.

“Jujurnya scenario dunia motosikal kustom dirasakan terlalu kecil dan sukar untuk menerima pengiktirafan walaupun dengan meraih kejayaan sebagai rekaan kedua terbaik dunia. Sebagai seorang pencinta motosikal, saya tidak minta untuk dijulang tetapi memadailah dengan penghargaan yang setimpal dengan usaha serta promosi yang saya lakukan dengan Bone-X untuk negara. Bila difikirkan, perasaan bercampur baur di antara bangga dan sedih. Saya berharap suatu hari nanti nasib para perekabentuk motosikal kustom akan lebih dibela kerana Malaysia ternyata memiliki jiwa-jiwa seni yang cukup luarbiasa.”

Selepas sedekad berada di dalam dunia pengubahsuaian motosikal, Omar kini melangkah setapak lagi dengan mencipta karya terbaru iaitu seni arca yang lebih luas. Kita doakan agar beliau sentiasa cemerlang dalam apa juga bidang yang diceburinya. Tahniah atas kejayaan! RR

Isu Pada

Februari 2019

Popular

  • Warta Roda

    Konvoi 'High Speed Hill Journey' Bersama Pengedar Yamaha Taiwan

  • Model Baru

    KTM 990 RC R Versi Jalanan Sah Masuki Pasaran

  • Warta Roda

    Kemalangan Motosikal Dengan Pacuan 4 Roda, Penuntut IPT Maut

  • Warta Roda

    Warna Baru Untuk Yamaha MT-15

  • Warta Roda

    Yamaha MT-25 2024 Hadir Dengan Warna Baru

Artikel berkaitan

Pelumba Muda, Dharwin Lingam Lebih Semangat Harungi Musim Baru

Rewi Hamid Bugo - Usahawan & Pencinta Motosikal Sejati

Khairulamirin Yahaya - Pelumba Supermoto Negara

Md. Mikail Razlan - Terus Buru Kegemilangan

Bob Eden - Ingin Menabur Bakti Buat Pengguna Motosikal

Gary, Tina & Sam Sharman - Pencinta Motosikal Sejati

Azlan Shah Kamaruzaman: Semangat Juang Tidak Pernah Padam

Kenny Tan Kee Hooi: Cinta Pada Dua Roda Tak Pernah Padam

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Ducati Riding Experience (DRE) Road Academy: Tingkatkan Kemahiran Penunggang

Ducati Riding Experience (DRE) kembali untuk tahun ini menerusi sesi Road Academy yang diadakan di Gemuda Gardens, Rawang. Penganjuran ini ditawarkan oleh Ducati Malaysia untuk semua penunggang dan peminat dua roda tanpa mengira jenis motosikal.

Dari Litar

WorldSBK 2024: Race Pertama, Tempat Pertama - Pilihan Tayar Terbaik oleh Nicholas Spinelli!

Tindakan berani Nicholas Spinelli (Barni Spark Racing Team) di Litar TT Assen dalam Perlumbaan 1 menggunakan tayar jenis 'Intermediate' telah menyumbang kepada gelaran juara dalam perlumbaan pertamanya di WorldSBK.

Model Baru

Suzuki Malaysia Perkenalkan Skuter Baru, Avenis & Burgman Street EX

Suzuki Malaysia secara rasmi telah memperkenalkan dua model terbaru mereka iaitu Avenis dan Burgman Street EX.

Dari Litar

Danial Syahmi dan Hakim Danish Sedia Memberi Cabaran!

Para pelumba dan setiap krew pasukan kini bersiap sedia untuk memulakan aksi penuh mendebarkan di pusingan pertama Kejuaraan Dunia FIM JuniorGPyang akan membuka tirainya di Litar Antarabangsa Misano Marco Simoncelli dari 18 hingga 21 April ini.