Isu Terkini

Oktober 2024

Warta Produk / 20 Oktober 2023

CHEETAHKING KIN 6170 - Tayar Untuk Pelbagai Cuaca

Menunggang di permukaan yang licin sememangnya membahayakan dan sangat berisiko untuk terlibat dalam kemalangan. Sebagai penunggang motosikal, tumpuan kita perlu dilipat gandakan apabila terpaksa meredah hujan atau di permukaan yang basah. Tahap penglihatan akan menurun menjadi kurang jelas dan kita juga perlu bijak untuk tidak melakukan kesilapan yang membahayakan diri.

Selain mengenakan pakaian hujan yang berkualiti tinggi, cermin topi keledar yang jelas dan prestasi sempurna sistem brek, kita PERLU pastikan tayar berada di dalam kondisi yang sebaik-baiknya. Amat rugi jika kegagalan membuat pemeriksaan menyebabkan berlakunya kegelinciran atau akuasatah (Aquaplaning) yang boleh mengakibatkan kecelakaan.

Kami telah diberikan sepasang tayar baru berjenama Cheetahking untuk diuji kemantapan cengkamannya di permukaan yang basah dan licin. Cheetahking diedarkan oleh Teck Hin Motor Trading Sdn Bhd (THM) dan ditawarkan pada harga yang cukup berpatutan.

Tayar yang diuji ini (KIN 6170) bersaiz 70/90-17M/C (Tubeless) di depan serta 120/70-17M/C (Tubeless) di belakang yang sesuai digunakan di dalam hujan dan digelar 'KIN of the Rain'. Model ini berada dalam kategori 'Performances Tyres' yang turut menawarkan beberapa model lain seperti KIN 72, KIN 100, KIN 123, KIN 900 dan KIN 6240.

KIN 6170 varian Tanpa Tiub hadir ke pasaran dalam pelbagai saiz, antaranya ialah 70/90-14 TL (34P), 80/90-14 TL (40P), 90/90-14 TL (46P) dan banyak lagi. Bukan itu sahaja, model ini juga dikeluarkan dalam varian bertiub dengan saiz 70/90-17 M/C (38P) dan 80/90-17 M/C (44P).

Selepas lebih 3,000 kilometer menunggang uji jentera yang mengambil masa sekitar lebih dua bulan dengan merentasi ke beberapa lokasi dalam dan luar bandar, KIN 6170 ini ternyata tidak mengecewakan. Rekacorak bunganya adalah jenis Diamond yang mempunyai dua longkang di tengah-tengah yang dipadankan dengan bunga berbentuk 'zig-zag' di bahagian sisi untuk pengaliran air dengan lebih efisien. Ini cukup memberikan keyakinan untuk kita meredah permukaan jalan yang licin termasuklah di laluan berselekoh.

Apa pun, tidak disarankan untuk kita menunggang dengan laju di waktu-waktu begini – tungganglah pada kelajuan yang logik akal dan mampu untuk kita mengawal jentera dengan sempurna. Jangan pecut lebih-lebih lagi ketika hujan baru turun, bimbang campuran air dan minyak di jalan raya mudah menyebabkan motosikal hilang kawalan. Elakkan juga daripada melalui jalan-jalan berlopak kerana kemungkinan ia agak dalam dan cukup berbahaya.

Tayar KIN 6170 ini juga bertindak dengan sempurna sewaktu kita cuba memperlahankan kelajuan. Tidak ada tanda-tanda tergelincir baik di bahagian depan mahu pun belakang cuma jangan brek secara tiba-tiba ya! Kena pandai jaga jarak dengan kenderaan lain dalam situasi begini.

Walaupun menggunakan tayar yang baik, sila:

  1. Elakkan melalui/berada Garisan Bercat yang sangat licin apabila basah
  2. Jangan menunggang laju di jalan permukaan konkrit atau simen yang basah seperti di lorong memandu/menunggang dalam kondominium.

Tayar ini juga bersifat 'sporty' yang cukup seronok digunakan di waktu jalan kering. Kami benar-benar nikmatinya sewaktu menyusuri jalan-jalan berliku dari Antara Gapi – Batang Kali – Hulu Rening dan beberapa laluan lagi di selatan Selangor. Memang mantap dan sangat berbaloi dengan harga jualannya.

Ia juga menjadikan jentera tunggangan kita cukup stabil ketika memecut laju di lebuhraya. Setiap gigitan terasa mencengkam dengan baik tidak kira menunggang solo atau berdua. Paling 'syiok', selepas ribuan kilometer berlalu, prestasinya sehingga kini (terutama di permukaan kering) masih cukup mantap.

Dengan adanya lebih 4,000 pengedar tayar ini di seluruh negara, jentera kita mudah untuk disempurnakan dengan tayar-tayar dari Cheetahking. RR

Isu Pada

Ogos 2023

Popular

  • Dari Litar

    Akid Aziz Kembali! Perkuatkan Pasukan VOGE AS25 RACING TEAM

  • Dari Litar

    4 Mata Berharga Kekalkan Hakim Danish di Kedudukan ke-8 Keseluruhan

  • Dari Litar

    Helmi Juara CP150 di Terengganu

  • Dari Litar

    Bezzecchi Terpantas di Aragon

  • Warta Roda

    MODENAS Lanjut Program Z15GT Care Hingga 31 Oktober 2026

Artikel berkaitan

LS2 Perkenalkan Barisan Produk Baharu, Bakal Masuk Pasaran Malaysia Bermula September 2026

ARC Helmet Pertontonkan Topi Keledar XRS Star Wars Special Edition

Helmet Alpinestars Supertech R10 Dilancarkan. Harga bermula dari RM3,999

Continental SportAttack 5: Tayar Supersport Baharu

GIVI Lancar Tiga Topi Keledar Baharu

GIVI XSPACE Dilancarkan - Bermula RM1,600

Continental Tires bakal rancakkan pasaran tayar motosikal negara

PETRONAS Sprinta Lancar Scooter Extreme +Ester 5W-40

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Yamaha YZF-R9 Bakal Masuk Pasaran Negara Tidak Lama lagi?

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dilihat semakin hampir membawa masuk Yamaha YZF-R9 ke dalam pasaran Malaysia.

Warta Roda

Royal Enfield Sambut Ulang Tahun ke-125

Royal EnfieldĀ meraikan ulang tahun ke-125 penubuhannya di peringkat global sambil memperkukuhkan lagiĀ kedudukan dalam segmen motosikal kelas pertengahan.

Warta Roda

KARNIVAL GENBLU YAMAHA 2026

Kembara

TM Bikers Ride ke Sri Lanka 2026

Jelajah TM Bikers Sri Lanka Ride 2026 berjaya dilaksanakan dengan penyertaan ahli-ahli TM Bikers bersama rakan-rakan.