Isu Terkini

Februari 2024

Warta Roda / 10 Februari 2015

Konvoi Cikgu Ke Koh Samui

Koh Samui menjadi destinasi jelajah kelab pegawai dan staf Kolej Vokasional Nibong Tebal baru-baru ini. Ianya merupakan destinasi yang tidak asing kepada ramai bikers dari Malaysia. Selain daripada aktiviti tahunan kelab, ianya juga bertujuan mempromosikan Kolej Vokasional Nibong Tebal. Kali pertama saya ke sana ialah pada tahun 1998, kali kedua dan ketiga pula saya menunggang motosikal berkuasa tinggi. Kali ini saya menunggang Suzuki Shogun 125 bersama lapan lagi rakan setugas yang mempunyai minat yang sama.

Gajah merupakan kebanggaan negara ini.
Gajah merupakan kebanggaan negara ini.

15hb November (Sabtu)

Jam 8.30 pagi semua rakan-rakan sudah sedia menunggu di gerai berhampiran kolej. Pada awal perjalanan saya agak berkeberatan untuk memulakan perjalanan kerana hari ini merupakan ulang tahun kelahiran yang ke 44, mungkin rakan-rakan tidak perasaan. Tapi bagi seorang bikers, bila berada di atas motosikal semangat kembali kental dan masalah dapat dilupakan. Jelajah kali ini melibatkan sembilan buah motosikal iaitu dua buah Yamaha 135LC, dua buah SYM 200, dua buah Dealim 250 (baru 2 minggu dibeli), sebuah D-Tracker, sebuah Yamaha FZ150i dan sebuah Suzuki Shogun 125.

Menunggu rakan-rakan selesai urusan di sempadan.
Menunggu rakan-rakan selesai urusan di sempadan.

Kami berhenti di RnR Gurun untuk mengisi minyak dan menunggu Cikgu Saari yang bergerak dari Kulim. Urusan insuran di Changlun berjalan lancar kerana kebanyakan cikgu-cikgu yang menyertai jelajah kali ini telah melalui dua jelajah sebelum ini iaitu ke Betong dan ke Krabi, Phuket, Thailand.

Sagu kukus yang dicampur udang kering & cili padi jarang ditemui di Malaysia.
Sagu kukus yang dicampur udang kering & cili padi jarang ditemui di Malaysia.


Setelah melepasi sempadan kami singgah untuk makan tengahari dan solat di Danok. Ada di kalangan cikgu mula nak merokok tetapi hajat tidak kesampaian apabila terlihat papan tanda larangan merokok adalah HARAM. Mungkin selepas ini pihak kolej boleh meletakkan papan tanda tersebut di kawasan kolej pula. Dari Danok perjalanan menggunakan laluan 4 diteruskan dan jam 3.15 petang kami sampai di Hat Yai. Kami menginap di Hotel Florida. Seperti yang sedia maklum penginapan di Thailand tidaklah mahal jika hendak dibandingkan dengan keselesaan, layanan dan kemudahan yang disediakan.

‘Floating market’ berwarna warni dan menarik di Khlong Hae.
‘Floating market’ berwarna warni dan menarik di Khlong Hae.

Setelah berehat selama dua jam, kami bergerak ke pasar terapung (floating market) di Khlong Hae. Pasar ini terkenal dikalangan pelancong Malaysia kerana banyak bas-bas persiaran yang singgah di sini. Jangan lupa untuk mencuba beberapa makanan yang jarang kita jumpa di Malaysia. Saya dan Cikgu Saari hanya mampu mengunyah tapi tidak mampu menelan sagu kukus yang dicampur udang kering, cili padi dan dihiasi dengan sekuntum bunga okid. Dengan membayar 20 bath, air kelapa atau air perasa lain dihidangkan di dalam bekas tembikar yang boleh dibawa pulang sebagai cenderamata. Seolah-olah tiga perniagaan dalam satu jualan. Iaitu pembuat gelas tembikar, pengusaha bunga okid dan penjual air dapat berkongsi dalam satu perniagaan. Seterusnya kami singgah di Restoran Kelantan untuk makan malam dan menjamu mata di Greenways Night Market.

16hb November( Ahad)

Selepas bersarapan di gerai berhampiran hotel, rombongan bertolak ke Songkla menggunakan laluan 407 dan 408. Ini merupakan kali pertama cikgu-cikgu yang menyertai jelajah kali ini melalui Tinsilanonda Bridge yang merentasi Tasik Songkla. Jambatan yang sinonim dengan filem Bikers Kental ini mengingatkan saya pada Cikgu Adnan yang baru sahaja diadakan majlis persaraan beliau pada hari Jumaat lalu. Ini merupakan jelajah ketiga beliau bersama kami dan sudah tiga kali juga beliau menukar motosikal.

Penuh dengan stiker-stiker kelab motosikal dari Malaysia.
Penuh dengan stiker-stiker kelab motosikal dari Malaysia.

Setiba di Ranot dan persimpangan Thale Noi saya teringat rencana saudara Zulkifli, Kembara Thale Noi RodaRoda keluaran September 2014 yang lalu. Teringin juga hendak melalui jalan tersebut tapi memandangkan perjalanan kami masih jauh dan terpaksa mengejar masa jadi hasrat terpaksa dilupakan buat ketika ini. Kelajuan purata 100-110km/j memberi peluang kepada jelajah untuk menikmati suasana perkampungan nelayan dan pemandangan indah sehingga ke By Pass Nakhon Si Thammarat.

Meninggalkan kenangan di salah sebuah restoran.
Meninggalkan kenangan di salah sebuah restoran.

Minyak untuk Shogun dan LC hanya dapat bertahan sehingga 130-138km sahaja maka tong minyak tambahan dibawa sebagai bantuan kecemasan. Setiba di Jejambat ke Tha Sala, Roh Phibun dan Nakhon SiThammarat, Cikgu Rahmat memaklumkan pada saya bahawa Cikgu Jaapar tiada di belakang. Kami berhenti di tempat yang selamat sementara menunggu Cikgu Jaapar. Kebetulan cuaca hujan lebat di hadapan. Sebaik selesai memakai baju hujan Cikgu Jaapar selamat sampai dan kami disambut hujan yang sangat lebat.

Cukup sibuk pada sebelah petang sehingga malam di Greenways Night Market.
Cukup sibuk pada sebelah petang sehingga malam di Greenways Night Market.


Walau bagaimanapun perjalanan diteruskan ke Tha Sala, merupakan salah satu pekan penduduk Islam. Kami singgah untuk makan tengahari di kedai nasi ayam di persimpangan jalan. Selepas perjalanan merentasi Sichon hujan semakin lebat, kali ini Cikgu Jaapar selaku sweeper memaklumkan kepada saya Cikgu Khodiar tidak dapat meneruskan perjalanan kerana sakit pada bahagian perut. Jelajah berpatah balik untuk mendapatkan Cikgu Khodiar yang terlantar di sebuah pondok di tepi jalan.

Tidak banyak perubahan di pelabuhan Don Sak.
Tidak banyak perubahan di pelabuhan Don Sak.

Selepas makan dan cuaca sejuk merupakan salah satu faktor yang perlu diberi perhatian bila ride. Kali ini kami telah bersedia dengan bekalan kecemasan seperti ubat dan minyak angin. Cikgu Adnan dengan kepakaran mengurut semasa di jelajah Betong dahulu turut membantu Cikgu Khodiar. Hampir 30 minit akhirnya Cikgu Khodiar dapat meneruskan perjalanan. Akhirnya kami sampai di Don Sak yang merupakan salah satu pelabuhan feri untuk ke Koh Samui. Kami sampai di Bill Resort, Lamai Beach, Koh Samui pada jam 7.00 malam. Lamai Beach menjadi pilihan kerana ianya berdekatan dengan satu-satunya perkampungan melayu di Koh Samui.

Port Samui tidak banyak berubah sejak 15 tahun lalu.
Port Samui tidak banyak berubah sejak 15 tahun lalu.

17hb November (Isnin)

Pada sebelah pagi kami sempat menikmati matahari terbit di pantai. Ombak agak kuat menghempas pantai memandangkan sekarang musim tengkujuh. Selepas bersarapan kami memulakan perjalanan untuk menjelajah sekitar pulau Samui ini dengan destinasi pertama di Hinta dan Hinyai iaitu batu yang mengingatkan kita pada kebesaran yang Maha Esa. Seterusnya ke muzium dan zoo di Samui.

Pengalaman menaiki gajah bersama rakan-rakan di Ko Samui.
Pengalaman menaiki gajah bersama rakan-rakan di Ko Samui.

Pengalaman menaiki gajah bersama rakan-rakan guru tidak dapat dilupakan kerana masing-masing dengan telatah tersendiri. Di setiap persinggahan kedai makan dan tempat yang sering dikunjungi oleh pelancong Malaysia kami akan menampal stiker promosi KVNT sebagai usaha memperkenalkan Kolej Vokasional di sini. Sasaran bukan penduduk Koh Samui tetapi pelancong Malaysia yang datang dari serata tempat. Pada sebelah petang bagi menzahirkan brotherhood acara mandi kolam diadakan di resort. Pada sebelah malam kami ke Pantai Chaweng dan sekitarnya untuk melihat suasana sebelah malam di sini.

Jual beli yang mudah & murah 20 Baht untuk segelas air kelapa dan gelas tembikar boleh dibawa pulang.
Jual beli yang mudah & murah 20 Baht untuk segelas air kelapa dan gelas tembikar boleh dibawa pulang.

Saya lihat Cikgu Burn, Cikgu Yaakob, Cikgu Helmi dan Cikgu Rildwan tidak menampakkan riak wajah keletihan langsung sejak hari mula jelajah lagi. Mungkin kegembiraan dan semangat bikers yang membuatkan mereka sentiasa gagah. Begitu juga Cikgu Nasir yang baru pulih dari kecederaan patah kaki kemalangan tiga bulan lalu juga nampak begitu kental. Tetap bersemangat dan ceria. Cuma Cikgu Rahman dan Cikgu Shukri yang tidak keluar bilik kerana kepenatan dan sakit kepala.

Selamat bersara cikgu Adnan.
Selamat bersara cikgu Adnan.

18hb November (Selasa)

Check Out pada jam 9.00 pagi, kami bersarapan, bergambar dan mengisi minyak untuk ke Samui Port seterusnya menaiki feri ke Don Sak. Perjalanan feri hampir dua jam digunakan sepenuhnya oleh cikgu-cikgu untuk berehat dan tidur sebentar. Sebaik sahaja memulakan perjalanan dari Don Sak kami terpaksa menempuhi perjalanan dalam hujan lebat. Saya dan Cikgu Saari kehabisan minyak semasa perjalanan ke Tha Sala. Nasib baik tong minyak dalam raga sentiasa penuh. Selepas makan tengahari kami meneruskan perjalanan dalam cuaca hujan.

Cafe Amazon di setiap stesen minyak Ptt cukup menarik.
Cafe Amazon di setiap stesen minyak Ptt cukup menarik.

Jam 5.00 petang kami sampai di Ranot dan mengisi minyak sambil menikmati kopi di Café Amazon yang ada di setiap stesen minyak mereka. Yang menariknya, harga minum tidak mahal, layanan sangat ramah walau tidak pandai berbahasa, tempat yang selesa untuk berehat dan yang pasti tandas mereka sangat bersih. Saya rasa ramai yang setuju bila saya katakan tandas di sepanjang perjalanan ini bersih walaupun stesen minyak mereka buruk dan kecil. Hujan semakin lebat di Songkla dan kami meneruskan perjalanan dalam jalan yang agak gelap.

Salah satu aktiviti yang terdapat di pulau.
Salah satu aktiviti yang terdapat di pulau.

Sekitar jam 8.00 malam kami melepasi Hat Yai dan tiba di Danok untuk makan malam pada jam 9.00pm. Sudah 12 jam kami dalam perjalanan. Jam 10.15 malam kami telah berada di Bukit Kayu Hitam melepasi pemeriksaan di sempadan. Fokus dan perhatian yang lebih perlu diberikan semasa mengetuai perjalanan sepanjang lebuhraya di waktu malam dan hujan. Lampu isyarat, baju pemantul cahaya dapat membantu rakan-rakan dan pengguna lebuhraya yang lain. Jam 12.00 malam stesen minyak di RnR gurun ditutup kerana sistem komputer tergendala akibat penurunan minyak Ron97. Sekali lagi tong minyak kecemasan membantu.

Suasana meriah di ‘floating market’.
Suasana meriah di ‘floating market’.

Akhirnya kami mengisi minyak di Shell Sg. Dua dan jam ketika itu sudah menunjukkan 1.05 pagi. Jarak perjalanan menunjukkan hampir 600km. Keadaan ini mengingatkan saya pada sekitar tahun 2002 sewaktu menyertai ekspedisi Kelab Roda ke Sg, Semuji, di mana kami kumpulan utara seperti Tok Wan, Giants, Latif, Fauzi dan beberapa rakan utara lain bertolak dari Genting Sempah selepas maghrib dan sampai di Nibong Tebal pada jam 1.00 pagi.

Wajah ceria semasa dalam feri.
Wajah ceria semasa dalam feri.

Pengalaman sedemikian rupa telah banyak mengajar saya dalam menunggang dengan berhemah, ianya tidak dapat dibeli tapi perlu dicari. Al-Fatihah kepada arwah MYB yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya sepanjang bersama dengan Kelab Roda. Kenangan dan pengalaman saya bersama Kelab Roda sejak tahun 1990 semasa Lucky Strike Adventure tersebut pasti saya tidak akan lupakan sehinggga kini. Kini sudah 24 tahun berlalu dunia pemotoran semakin mencabar, pesanan buat rakan-rakan bikers, sentiasa berhati-hati semasa menunggang, sentiasa ada kemahuan untuk memahirkan diri dengan tunggangan. Jangan ada rasa riak, jangan hanya memikirkan berapa saat hendak memecut 0-300km/j tapi sekali sekala cuba berfikir berapa saat untuk mencapai 300-0km/j.

Singgah di muzium budaya hidup masyarakat Siam.
Singgah di muzium budaya hidup masyarakat Siam.

Syukur, semua cikgu-cikgu selamat sampai di pangkuan keluarga masing-masing pada jam 1.30 pagi. Ada di kalangan rakan yang perlu mengawasi peperiksaan SPM esok pagi dan ada yang akan ke Kuala Lumpur untuk urusan tugas rasmi, selamat bertugas. Tuan-tuan semua telah menunjukkan semangat dan displin yang tinggi semasa menunggang. Terima kasih kerana memberi kerjasama yang baik dan menunggang dengan selamat. Tahniah buat semua kerana telah menamatkan perjalanan sepanjang 607km tanpa henti. Jika ada rezeki kita akan ride cub lagi bersama-sama ke 1000 corners. Buat Cikgu Adnan dan Cikgu Zainuddin selamat bersara, semoga sentiasa beroleh kerahmatan tetapi ilmu dunia pemotoran tidak pernah bersara dan tamat. RR

- Azizan Bin Abdullah

Isu Pada

Februari 2015

Popular

  • Warta Roda

    Ducati Monster Senna Edisi Terhad: Penghormatan Buat Ayrton Senna

  • Warta Roda

    Penunggang Motosikal Dihempap Pokok!

  • Warta Roda

    Blueshark Kembangkan Rangkaian Pengedar ke Seluruh Negara

  • Warta Roda

    Kemalangan Ngeri Tiga Kereta & Sebuah Motosikal, Tiga Cedera Parah...

  • Warta Roda

    Keselamatan Diendah: Sekumpulan Individu 'Berkelah', Masak & Makan Di Stesen Minyak

Artikel berkaitan

Ducati Monster Senna Edisi Terhad: Penghormatan Buat Ayrton Senna

Penunggang Motosikal Dihempap Pokok!

Blueshark Kembangkan Rangkaian Pengedar ke Seluruh Negara

Kemalangan Ngeri Tiga Kereta & Sebuah Motosikal, Tiga Cedera Parah...

Keselamatan Diendah: Sekumpulan Individu 'Berkelah', Masak & Makan Di Stesen Minyak

Konvoi 'High Speed Hill Journey' Bersama Pengedar Yamaha Taiwan

Kemalangan Motosikal Dengan Pacuan 4 Roda, Penuntut IPT Maut

Warna Baru Untuk Yamaha MT-15

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Tiga Warna Baru Yamaha Y15ZR

Hong Leong Yamaha Motor menampilkan warna terbaru untuk model Y15ZR iaitu Cyan, Biru & Kelabi.

Warta Roda

Yamaha Tenere Off-Road Experience - Beri Pendedahan & Latihan Laluan Lasak

Hong Leong Yamaha Motor anjur acara Yamaha Tenere Off-Road Experience buat pemilik, pengedar dan para media.

Model Baru

Triumph Speed 400 & Scrambler 400 X Masuki Pasaran Negara

Triumph Motorcycles Malaysia telah melancarkan model Speed 400 dan Scrambler 400 X untuk pasaran negara.

Dari Litar

SS600: Azroy Hakeem Bangkit Raih Kemenangan

Pelumba dari pasukan IDEMITSU Boon Siew Honda Racing Team, Azroy Hakeem Anuar meraih kemenangan di tempat pertama.