Isu Terkini

Oktober 2024

Warta Roda / 17 April 2021

Sirih Pulang Ke Gagang : ZX-10 Kembali Ke RodaRoda

Ianya bermula pada bulan April, 2020. Wak Misran meletakkan gambar-gambar ZX-10 dengan nombor pendaftaran WBT4134 di dalam group WhatsApp ahli-ahli Kelab Roda. Itulah motosikal yang digunakan selama lebih satu dekad oleh pengasas Majalah RodaRoda ini, arwah Md Yusoff Bakar (MYB) yang digelar “Boss” oleh ahli-ahli kelab.

Motosikal jenama Kawasaki, model ZX-10 B2 yang dibuat pada tahun 1989 dan dibeli secara terus daripada Kawasaki Malaysia Sdn Bhd (dulunya Kawasaki Sunrock Sdn Bhd) merupakan jentera ikonik dan, sama ada dirancang olehnya atau tidak, telah menjadi sebahagian daripada identiti MYB sendiri.

Arwah MYB menunggang uji Kawasaki Z-1000 -2003- berwarna hijau.
Arwah MYB menunggang uji Kawasaki Z-1000 -2003- berwarna hijau.

Saya pula, sebagai anak kepadanya, mempunyai memori tersendiri akan ZX-10 ini, tetapi mungkin tidak sedalam atau berjalin-jalin seperti kakitangan RodaRoda, ahli-ahli kelab dan pembaca-pembaca majalah ini di masa lalu. Saya tidak pernah menyertai ekspedisi-ekspedisi bersamanya dan ZX-10 ini, ataupun mengembara sepelusuk tanahair untuk berjumpa dengan pembaca-pembaca dan ahli-ahli kelab. Mengapa tidak merupakan persoalan yang mempunyai jawapan yang kompleks dan lebih senang jika tidak ditelitikan.

Oleh kerana itu, saya melihat gambar-gambar itu, tersenyum bersendirian dan tidak memikirkan tentangnya lagi.

Sering dikerumuni peminat ke mana sahaja beliau pergi.
Sering dikerumuni peminat ke mana sahaja beliau pergi.

Tetapi kemudiannya datang pula mesej peribadi daripada seorang lagi ahli kelab, Kapten Azland. Beliau menggesa saya untuk bertanya pemilik semasa ZX-10 itu jika dia ingin menjualnya dan supaya saya membelinya.

Gesaannya membuat saya diam memikirkan kembali dan membaca kembali perbicaraan di dalam grup WhatsApp kelab dengan lebih mendalam. Kenangan demi kenangan yang mencuitkan hati diluahkan oleh ahli-ahli kelab yang masih mengingatkan, malah merindukan, zaman ekspedisi dan pengembaraan bersama-sama arwah dan ZX-10nya.

“Ini lebih dari hanya sebuah motosikal,” fikir saya.

Maka saya bertanya kepada Wak Misran jika dia mempunyai nombor hubungan pemilik semasa ZX-10 itu. Ya, jawab Wak dan memberikannya kepada saya.

Arwah MYB menunggang Kawasaki ZX-10 B2 dengan penuh bergaya.
Arwah MYB menunggang Kawasaki ZX-10 B2 dengan penuh bergaya.

Saya pun terus berhubung dengan pemilik itu, Faizal. Saya bertanya, “Adakah tuan ingin menjual ZX-10 ini?” Dan untuk memperkuatkan lagi pertanyaan saya, saya menambah, “Motosikal ini dulunya kepunyaan arwah bapak saya.”

Manalah tahu, mungkin pemiliknya juga akan tercuit dengan rasa nostalgia seorang anak yang menginginkan kembali sesuatu yang dulunya milik ayahnya.

“Tidak,” jawab Faizal. Dia tidak mahu menjual kenderaan ini. Katanya, masih dalam proses membaik-pulih, dan dia hanya akan memikirkan sama ada ingin menjualnya setelah proses itu selesai.

Jentera diletakkan dalam van dengan kemas untuk dibawa dari Marang, Terengganu ke Cheras, Selangor.
Jentera diletakkan dalam van dengan kemas untuk dibawa dari Marang, Terengganu ke Cheras, Selangor.

Saya tidak mempunyai apa-apa latarbelakang sejarah ZX-10 ini setelah ianya dijual oleh arwah MYB pada tahun 2003, maka tidak boleh membayangkan apa yang perlu dibaikpulih. Hanya yang nyata dari gambar-gambar yang dihantar kepada saya oleh Faizal, ianya telah bertukar warna.

Saya biarkan sahaja selepas itu. Tuan punya buat masa itu telah berkata tidak mahu menjual, maka tiada apa lagi yang boleh dibincangkan.

Kemudian, pada bulan Oktober saya menerima mesej daripada Wak Misran sekali lagi. Katanya Faizal kini ingin menjual ZX-10 itu.

Saya pun menghubungi Faizal kembali. “Dengar dari Wak, ZX-10 nak dijual?” tanya saya kepadanya.

Antara warna yang dicat pada ZX-10 B2 ketika pindah milik ke tuan baru.
Antara warna yang dicat pada ZX-10 B2 ketika pindah milik ke tuan baru.

“Masih 50-50 lagi bang,” jawab Faizal. Kerana dia ingin menyiapkan rumahnya dan tidak pasti jika memerlukan perbelanjaan yang lebih daripada apa yang telah disediakan olehnya.

Maka saya biarkan semula.

Dua minggu selepas itu, Faizal menghubungi saya dan menyatakan bahawa dia kini berhasrat untuk menjual ZX-10 itu, dan bertanya jika masih lagi berminat -- walaupun dia belum lagi membaiki pulih motosikal itu. Menurutnya, sangat berat hatinya untuk menjualnya, tetapi dia mempunyai keperluan lain yang lebih utama dan dia tidak dapat meluangkan masa dan wang ringgit kepada ZX-10.

Saya bertanyakan pendapat Haji Jamil dari MotoMoto, seorang lagi ahli Kelab Roda. Katanya, “Kita pergi tengok dulu keadaan motosikal itu, bagaimana rupanya, sebelum bersetuju dengan harga.”

Antara bahagian yang telah diasingkan daripada badan motosikal.
Antara bahagian yang telah diasingkan daripada badan motosikal.

Saya bertanyakan juga kepada Kapten Azland. Katanya, “Pada firasat saya, ambil saja. Peluang datang tergolek kadang-kadang sekali sahaja seumur hidup.” Tambahnya lagi, “Jom ke sana ambil balik ke KL!”

Elok cadangan Haji Jamil itu, dan menarik juga saranan Kapten Azland. Cuma, ada satu masalah. Kita masih lagi dalam suasana PKP-B di mana kita tidak dibenarkan merentas negeri dan ZX-10 ketika itu berada di Marang, Terengganu.

Maka terbantutlah perancangan itu.

Akan tetapi, saya masih berhubung dengan Faizal, dan setelah bertukar-tukar mesej, kita telah bersetuju dengan harga jualan motosikal itu kepada saya.

Kerangka dicat baru.
Kerangka dicat baru.

Menurut Faizal, selain daripada penutup enjin bawah di sebelah kanan, fairing adalah lengkap, dan enjin masih berjalan dengan lancar. Jadi pada hematnya, selain daripada harga pembelian, saya hanya memerlukan penambahan mungkin RM2,000 sahaja lagi untuk mendapatkan jentera ini kembali di jalan raya. Tetapi jumlah perbelanjaan sebenarnya untuk membaik-pulih motosikal ini lebih jauh daripada anggaran kami.

Oleh kerana keadaan PKP-B tersebut, saya menerima penegasannya dengan terbuka dan terus menghantar duit pembelian kepadanya.

Beberapa hari selepas itu, motosikal itu (dan serba serbi yang suatu ketika dulu bercantum dengannya, kini tidak lagi) diletakkan ke dalam sebuah van dan telah dihantar ke kedai Ah Seng Motorbike di Cheras, Kuala Lumpur.

Van yang membawa ZX-10 B2 ke kedai Ah Seng Motorbike di Cheras.
Van yang membawa ZX-10 B2 ke kedai Ah Seng Motorbike di Cheras.

Saya tidak berada di sana ketika motosikal itu diturunkan daripada van dan ditolak ke dalam bengkel, tetapi saya bergegas secepat mungkin untuk ke sana.

Setibanya di sana, dapatlah akhirnya saya melihat semula motosikal arwah MYB ini setelah hampir 2 dekad berlalu. Tidak seperti yang di dalam memori. Berbeza.

Yang paling ketara ialah warnanya. Dulunya merah dan putih. Kini hitam dan putih. Dulunya, dalam ingatan saya, besar, megah, garang. Kini … usang, letih dan lapuk dimakan masa.

Beberapa bahagian jentera yang dibalut dengan plastik.
Beberapa bahagian jentera yang dibalut dengan plastik.

Walaupun begitu, tidak ada sebarang keraguan di hati saya yang jentera ini akan dibaikpulih semula, dan akan kembali di jalanraya, kerana bukanlah satu sahaja ZX-10 siri B yang masih wujud di dalam dunia ini.

Ah Seng, tuanpunya bengkel Ah Seng Motorbike adalah seorang yang tidak asing di dalam dunia motosikal retro. Dia berkata kepada saya, “Kita lihat dulu, apa yang masih boleh digunakan, dan apa yang perlu kita ganti.” Sambungnya, “Jika ada yang perlu diganti, kita akan cari. Saya boleh bertanyakan kenalan-kenalan saya, dan juga jika perlu, dibeli terus dari Jepun.”

“Alat-alat ganti baru?” tanya saya.

“Selagi boleh, mungkin tidak perlu,” jawabnya. “Saya yakin kebanyakan alat yang perlu diganti boleh didapati dari pasaran terpakai.”

“Baiklah.”

Ah Seng membuat pemeriksaan pada motosikal.
Ah Seng membuat pemeriksaan pada motosikal.

Kami memunggah kotak yang datang bersama motosikal ini dari Marang. Terdapat perkakasan yang tidak dipasang lagi, seperti tuas klac dan brek, pelana, lampu-lampu dan fairing.

Kami memeriksa fairing dengan lebih rapi dan mendapati bahawa satu bahagian daripadanya tidak ada. Bahagian penutup enjin sebelah kanan tiada di dalam kotak itu, manakala penutup enjin sebelah kiri pula pecah sedikit. Memang perkara ini telah dimaklumkan oleh Faizal, maka saya tidaklah terkejut.

Jentera dibogelkan untuk membuat proses membaik pulih semula.
Jentera dibogelkan untuk membuat proses membaik pulih semula.

Selain daripada itu, daripada pemeriksaan pertama, tidak ada lain yang boleh disimpulkan. Enjinnya tidak boleh dinyalakan kerana karburetor belum lagi dipasangkan, tetapi daripada luaran, tidaklah dirasakan seperti ianya memerlukan proses baik pulih yang mendalam.

“Mulakan,” kata saya kepada Ah Seng. Dan dari detik itu, proses membaik pulih ZX-10 arwah Boss telah bermula. RR

TAMAT BAHAGIAN 1

Oleh: Yusseri

Isu Pada

Mac 2021

Popular

  • Warta Roda

    WMOTO Griffin 205 Sudah Berada di Pusat Pengedar Mforce Smartshop

  • Warta Roda

    Art of Speed 2026: 15 Tahun Menyatukan Jiwa Kustom

  • Warta Roda

    Honda ADV160 Edisi Terhad Versi Spider-Man Dilancarkan - Bermula RM14,149

  • Berita Kelab

    Kembara Road Rider Crew Taiping 3.0 Sempena Ulang Tahun Kelab ke-4

  • Dari Litar

    Hakim Danish Kutip Mata Berharga Walaupun Berdepan Cabaran di Sachsenring

Artikel berkaitan

WMOTO Griffin 205 Sudah Berada di Pusat Pengedar Mforce Smartshop

Art of Speed 2026: 15 Tahun Menyatukan Jiwa Kustom

Honda ADV160 Edisi Terhad Versi Spider-Man Dilancarkan - Bermula RM14,149

Sprinta Ladies Satukan Komuniti Lady Bikers di Malaysia

Empat Penunggang Maut Dalam Kemalangan Membabitkan Motosikal Dan Kereta

MODENAS & GIATMARA Bekerjasama Dengan Melancarkan Pusat Servis Motosikal Elektrik

Advenduro-X Meriahkan Moto Test Fest 2026

Yamaha Y15ZR 2026 Bagi Varian Standard & SE Terima Warna Baharu

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

WMOTO Griffin 205 Sudah Berada di Pusat Pengedar Mforce Smartshop

WMOTO Griffin 205 kini mula memasuki rangkaian pusat pengedar sah MForce di seluruh negara sersempena pembukaan rasmi Mforce Smart Shop kedua di negeri Perak.

Pandu Uji

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Kalau kita bercerita tentang jentera jalanan atau Streetbike kelas pertengahan yang betul-betul seimbang dari segi power, pengendalian dan feel tunggangan, Triumph Street Triple 765 adalah antara yang paling cemerlang.

Dari Litar

Jerez Jadi Medan Kebangkitan Qabil Irfan

Qabil Irfan Azlan mahu meneruskan momentum positif apabila mengharungi Pusingan 3 Moto4 European Cup 2026 yang berlangsung di Litar Jerez.

Dari Litar

Marco Bezzecchi Kekal Digantung Di GP Czech

Hukuman yang dikenakan Marco Bezzecchi kekal.