Isu Terkini

Oktober 2024

Warta Roda / 19 Disember 2022

Bonanza Motosikal Broadford 2022

Bermula tahun 2009, setiap hujung minggu Perayaan Easter di Broadford, Victoria akan diadakan acara tahunan Broadford Bike Bonanza yang ditaja oleh Shannons Insurance. Acara ini mendapat sokongan Badan Persekutuan Motosikal Australia (MA) dengan tujuan untuk mempersembahkan nostalgia dan aksi-aksi hebat di litar tanpa ada sebarang persaingan serta mendekatkan para pengunjung dengan pelbagai jenis motosikal.

Melihat kepada perkembangan kes Covid yang semakin baik, acara yang telah tertangguh selama tempoh tiga tahun telah berjaya dianjurkan semula pada 15-17 April yang lalu.

“Selepas gagal beberapa kali, Bonanza perlu diadakan tahun ini lebih-lebih lagi apabila sekatan Covid akhirnya telah ditarik balik. Jika tidak, acara ini mungkin tidak akan ada lagi sampai bila-bila,” kata David White, bekas Ketua Pegawai Eksekutif MA.

Walaupun telah bersara, beliau kekal sebagai individu yang sangat penting dalam acara ini. David adalah pencetus idea untuk acara ini pada tahun 2009 dulu dengan tujuan bagi mengumpul dana untuk Muzium dan Jawatankuasa Warisan MA. Dana yang diperolehi adalah untuk mengekalkan kewujudan motosikal yang sangat penting dalam sejarah dua roda di Australia.

Antara model tersebut ialah Moreparts Ducati 750SS yang digunakan oleh Mike Hailwood dan Jim Scaysbrook dalam perlumbaan di Amaroo Park tahun 1977, Avon Yamaha XS1100 – pemenang perlumbaan Castrol Six-Hour 1978, model Eldee DOHC Velocette 250 milik Les Diener dan HCS 125 yang dibina oleh Harold dan John Carter.

Tidak lupa juga pada jentera lumba Jesser Triumph yang ditunggang oleh Kenny Blake dan satu lagi motosikal miliknya Yamaha TZ350 tajaan Coca Cola. Triumph Metisse milik Geoff Taylor, Velocette Scrambler milik Harry Payne dan beberapa lagi jentera lasak dengan konfigurasi yang berbeza.

“Ini semua telah diperoleh dan kemudian dibina semula, atau dipulihkan menjadi kondisi yang baik. Terima kasih kepada dana yang dikumpul melalui Broadford Bike Bonanza. Tidak dilupakan juga dengan kelulusan dari MA dan sokongan padu Shannons Insurance yang kembali menjadi penaja rasmi serta rakan kongsi lain seperti K-Tech Suspension, HRD Apparel dan Kawasaki. Dengan kerjasama semua, kami berjaya menghidupkan kembali acara ini dalam masa yang singkat,” kata White.

“Saya benar-benar berharap mereka yang hadir dapat menikmati keseronokan sepanjang masa berada di sana. Terdapat banyak jentera yang menarik dan bersejarah pada acara tersebut dan sememangnya jumlah penyertaan tidaklah seramai tahun-tahun sebelum ini kerana kesukaran dari segi pemberitahuan. Namun begitu, kami telah menerima lebih banyak penyertaan untuk acara akan datang. Oleh itu, simpan tarikh 7-9 April 2023 dalam diari ya!”

Terima kasih juga diucapkan kepada Penyelaras Acara iaitu Rachelle Pettifer, David White dan komiti termasuklah sukarelawan tanpa bayaran yang bekerja keras bagi memastikan acara ini berjalan dengan lancar.

Keunikan kompleks Litar Negeri Victoria milik Motorcycling Victoria sudah tentunya dari segi kepelbagaian kawasan untuk pelbagai aktiviti motosikal. Kompleks ini dibina pada tahun 1975 dan terletak sekitar 70 kilometer dari Melbourne. Ia menawarkan ruangan yang cukup besar untuk perlumbaan Road Racing, Motocross, Speedway, Enduro, Trials dan Dirt Track. Ruangan-ruangan ini pula terletak bersebelahan di antara satu sama lain.

Perlu diingatkan juga, tidak ada satu pun daripada litar-litar ini menganjurkan perlumbaan. Turut disediakan ialah perkhidmatan 'shuttle bus' yang beroperasi sepanjang hari. Ini membolehkan para pengunjung menikmati pelbagai jenis perlumbaan dengan cepat dan selesa.

Kunjungan saya ke Bonanza 2022 telah mendedahkan pelbagai jenis motosikal yang biasa digunakan dalam semua perlumbaan di pesta ini. Walaupun skalanya lebih kecil berbanding dulu tetapi ia tetap meriah dan mempunyai nilai yang sangat tinggi.

Saya dapat bertemu dengan ramai kenalan selepas bertahun-tahun tidak berjumpa. Terdapat dua elemen untuk pesta Bonanza: Pertama, ini adalah peluang untuk orang ramai melihat pelbagai bentuk sukan motosikal yang mungkin tidak pernah dipaparkan di televisyen, apatah lagi secara dekat di depan mata.

Kedua, peluang untuk bertemu dengan mereka yang cukup dedikasi dalam dunia perlumbaan. Seperti dahulu, para pengunjung dapat bertemu, berborak dan bersantai dengan para peserta serta pada masa yang sama mengambil peluang mendapatkan kenalan baru yang berkongsikan minat yang sama. Sebelum Bonanza anda mungkin tidak ramai kenalan tetapi pastinya bila acara dah tamat, anda akan dapat banyak kawan baru!

Para pengunjung berpeluang melihat pelumba-pelumba lagenda dulu dan zaman baru termasuklah Juara ASBK dua kali iaitu Wayne Maxwell dan juara beberapa gelaran bersama Suzuki sejak 20 tahun dulu iaitu Shawn Giles. Pelumba dari Adelaide, Mal Pitman turut berkongsikan pengalamannya menunggang uji bersama-sama para jurutera jentera Yamaha sejak lima dekad yang lalu. Beliau juga merupakan pelumba pasukan Pitsman Yamaha yang beraksi dalam di perlumbaan lasak Castrol Six-Hours.

Apa pun, acara paling utama pada petang itu ialah kisah pelumba terkenal iaitu Michael Dowson, seorang budak kampung dari Australia Barat yang akhirnya berjaya mengubah hidupnya menjadi salah seorang pelumba yang disegani. Dowson merupakan orang penting selain Kevin Magee dan Mick Doohan dalam pasukan Marlboro Yamaha yang dikendalikan oleh Warren Willing pada akhir 1980-an. Beliau menceritakan kisahnya dengan penuh emosi dan cukup mengharukan. Peralihan dari Yamaha kepada Kawasaki telah menjatuhkan prestasinya tetapi akhirnya Dowson dapat kembali berlumba untuk Pitmans Yamaha, dan bersara pada tahun 1993.

Selepas agak terlalu lama tidak mengunjungi acara motosikal klasik seperti ini, ia memberikan perasaan yang istimewa untuk mendengar Mike mengimbas semula kariernya yang penuh suka dan duka. Para pengunjung juga dapat melihat aksi beliau yang kembali menunggang Pitmans Yamaha TZ750 yang telah dipinjamkan oleh David Harding beserta kru Mal Pitman. Lebih mengujakan apabila Dowson menunggang motornya semula - unit yang telah mengharumkan namanya.

Selain Mike Dowson, turut hadir memeriahkan lagi Bonanza ialah Shawn Giles yang menunggang jentera Suzuki Katana 1982 milik Dale Gilbert, Cameron Donald yang 'mengegarkan' suasana bersama jentera Irving Vincent seperti mana di Island Classic. Cameron turut menunggang Irving Vincent Sidecar bersama isterinya Kaz yang juga merupakan pembonceng berpengalaman.

Pengurus pasukan Ducati-Australia dan bekas pelumba, Ben Henry sanggup cuti daripada perlumbaan ASBK semata-mata untuk hadir memberi sokongan dan menunggang jentera istimewa ciptaan 'guru' Ducati iaitu Bob Brown. Model tersebut adalah sebuah Ducati Panigale 1098 yang diubah menjadi jentera Bimota DB1 berusia 30 tahun. Sayang juga apabila melihat tidak begitu banyak jentera yang sertai perarakan. Salah satu daripadanya ialah jentera Harley KR7 50 1958 milik Stephen Majemik. Kumpulan perarakan

Kawasaki yang hadir sempena ulang tahun ke-50 cukup mengagumkan. Kita dapat melihat model Z1 yang dilancarkan pada tahun 1972 dan saya sempat mengira ada sebanyak 67 unit Kawasaki Z1 hinggalah Z900/Z1000 yang hadirkan diri.

Terdapat juga dua lagi model Kawasaki yang benar-benar bersejarah dan sangat 'rare'. Model yang pertama merupakan pencipta Juara Dunia sulung buat Kawasaki. Sebuah jentera 125cc tunggangan Dave Simmonds pada tahun 1969 lalu. Jentera ini telah meraih 8 kemenangan daripada 11 perlumbaan dan ia kini dimiliki oleh Ron Angel, seorang pencinta motosikal yang juga di antara individu penting meletakkan nama Kawasaki dalam 'peta' perlumbaan jalanan di Australia.

Jentera kedua ialah sebuah model prototaip 250cc, kembar-parallel 1962 yang dimiliki oleh Chris Roce dari Canberra yang membaik pulih jentera ini sehingga dapat digerakkan dengan sempurna. Sayangnya kedua-dua model ini tidak ditunggang di litar tetapi tak mengapalah, mungkin tahun hadapan.

Jesser Triumph turut kelihatan di bonanza ini. Beliau menunggang jentera yang pernah menaikkan nama Kenny Blake ke persada dunia. Motosikal yang dimaksudkan ini mungkin tidak ramai yang mengenalinya sedangkan ia adalah unit yang bersejarah. Jentera ciptaan Kenny Blake, Bonneville model tahun 1964 asalnya merupakan alat tunggangan biasa untuk ke tempat kerja yang kemudiannya menjadi jentera lumba yang benar-benar hebat.

Jentera ikonik ini telah dibeli oleh MA menggunakan keuntungan daripada beberapa penganjuran sebelum ini. Apabila mendapati enjin model ini tidak berfungsi, ia telah direka semula (bukan sekadar baik pulih) dan hasilnya memang membanggakan.

Sewaktu kita berjalan di Bonanza, kita akan melihat pelbagai jentera di paddock yang memaparkan keunikan serta kebijaksanaan dalam pembuatan motosikal. Walaupun umurnya sudah jauh tetapi ia masih kuat bekerja dan adalah satu penghormatan melihat suasana seperti ini. Memang berbaloi kita beli tiket ini. Saya rasa saya bukan satu-satunya pencinta motosikal yang sudah pun mempunyai perancangan untuk ke sini lagi tahun hadapan. RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Russ Murray

Isu Pada

Ogos 2022

Popular

  • Warta Roda

    Buka Pintu Kenderaan Secara Tiba-Tiba Punca Seorang Wanita Maut

  • Dari Litar

    CP150: Afif Tewaskan Azroy Di Litar LYL

  • Warta Roda

    GLOBAL: Haojue GSX500 - Kemas dan Cantik

  • Warta Roda

    Dua Gadis Meninggal Dunia Dirempuh Lelaki Disyaki Pengedar Dadah

  • Pandu Uji

    Clutchless....Stressless.. Honda CBR650R & CB650R E-Clutch Memang Best!

Artikel berkaitan

Buka Pintu Kenderaan Secara Tiba-Tiba Punca Seorang Wanita Maut

GLOBAL: Haojue GSX500 - Kemas dan Cantik

Dua Gadis Meninggal Dunia Dirempuh Lelaki Disyaki Pengedar Dadah

Kemalangan Dengan Sebuah Kereta, Penungang Motosikal Jatuh Gaung

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengesahkan seramai 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) maut dalam nahas kemalangan bas awal pagi tadi

15 Disahkan Maut, Bas Bawa Pelajar UPSI Kemalangan

Dua Pelajar Maut, Nahas Motosikal dan Kereta

Empat motosikal bergesel sesama sendiri, seorang maut

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Harley-Davidson Pan America 1250 Special 2025

H-D Pan America 1250 ini adalah antara pilihan terbaik buat para penunggang yang inginkan sebuah jentera pengembaraan dengan gabungan prestasi enjin yang cukup mengagumkan.

Pandu Uji

Aveta Vanguard 250 SE: Prestasi Di Luar Jangkaan

Aveta telah menawarkan pelbagai model menarik khusus buat mereka yang inginkan kelainan.

Warta Roda

Boon Siew Honda Komited Terhadap Tanggungjawab Kebersihan Alam Sekitar

Boon Siew Honda telah menganjurkan program Honda Ride to Reach yang berlangsung di R&R Bagan Ajam

Warta Roda

Kemalangan Maut Selepas Larikan Kenderaan Majikan

Pemandu lori telah cuba mengelak ke kanan namun oleh kerana jarak terlalu dekat, kenderaan itu telah melanggar tepat bahagian hadapan motosikal sebelum diseret lebih kurang 20 meter ke hadapan. "Akibat kemalangan, lelaki terbabit mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya. Mayat telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani bagi proses bedah siasat. Kes disiasat di bawah Sekskk