Isu Terkini

Oktober 2024

Warta Roda / 27 Disember 2023

Muzium Laverda

Berbanding dengan beberapa jenama motosikal dari Itali yang kebanyakannya sudah ‘beku’ tersimpan di dalam bengkel atau garaj di banyak tempat, Laverda merupakan jenama yang paling popular dengan para peminat setianya yang berada di seluruh dunia. Ini termasuklah dari USA hingga ke Itali, dari Australia ke Belanda dan UK hinggalah ke Afrika Selatan.

Kesemua para peminat berharap, jenama ini tidak ‘mati’ tetapi hanya sekadar berehat selepas mengeluarkan model terakhir pada tahun 1999. Sejak kelahirannya pada tahun 1949 dulu, pelbagai model-model menarik telah dikeluarkan oleh syarikat ini yang mendapat kepercayaan dan menarik minat para pencinta motosikal. Ini dibuktikan dengan begitu banyak jumlah jentera Gilera yang akan datang ke Litar Varano, Barat Daya Parma setiap kali musim bunga.

Dari kiri: Werner Ricciolini, Giovanni Laverda & Piero Laverda.
Dari kiri: Werner Ricciolini, Giovanni Laverda & Piero Laverda.

Ketika itulah bekas Prinsipal Laverda, Piero Laverda dan anaknya Giovanni bersama-sama meraikan memori jentera dari Itali ini menerusi perlumbaan terkenal mereka iaitu Endurance.

Kini, di bawah pemilik terbaru syarikat ini iaitu Piaggio sedang berusaha gigih untuk mendapatkan semula sebanyak mungkin jentera-jentera tersebut dan melancarkannya semula.

Jika anda semua ingin tahu, warna jingga telah pun digunakan oleh Laverda atau lebih tepat, 25 tahun sebelum KTM. Dari mana datangnya idea untuk memilih warna ini? Sebenarnya, berasal dari abang Piaggio iaitu Massimo.

Sejak Julai tahun lalu, Laverda kembali menempatkan namanya semula dengan perasmian Museo Laverda (Muzium Laverda) yang beroperasi di sebuah bandar kecil bernama Veneto, tidak jauh dari kilang asal mereka. Di dalam muzium ini dipamerkan penuh bangga dan gah sejarah Laverda sejak dari tahun 1949 hingga 1999. Terdapat pelbagai model motosikal, gambar-gambar, dokumen dan barangan yang mendekatkan kita dengan memori jenama ini.

Muzium ini asalnya adalah sebuah kilang tekstil 1960an dulu yang telah direka dan diperbaiki semula. Terdapat dua ruang pameran besar dengan saiz keseluruhan seluas 500 meter persegi. Ruang pameran pertama dikhaskan untuk sejarah jenama ini di antara tahun 1940an hingga 1960an manakala ruang kedua pula mendekatkan kita dengan memori era 1970an hingga 1990an. Terdapat juga ruang kerja seluas 180 meter persegi - seperti bengkel yang lengkap dengan peralatan di bahagian bawah muzium ini.

Muzium ini adalah milik ahli perniagaan tempatan, Werner Ricciolini dan isterinya, Irina. Mereka juga memiliki beberapa buah model Laverda yang kemudiannya ditambah sebanyak 4 lagi model (secara pinjaman) daripada keluarga Laverda dan model-model yang dipamerkan ini juga telah dibaikpulih dengan sempurna.

Walaupun begitu, kebanyakan model-model Laverda yang berada di muzium ini diperolehi daripada penyimpan koleksi dari Belanda iaitu Cor Dees tidak lama sebelum beliau meninggal dunia akibat kanser pada tahun 2019 yang lalu. Koleksi jentera milik Dees ini terletak tidak jauh dari Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam dan sememangnya cukup popular di kalangan para pencinta Laverda atau Laverdisti di Belanda. Lebih istimewa, kesemua Laverda milik Dees itu telah pun diperbaiki.

Koleksi milik Werner lebih banyak dan dalam keadaan yang sangat baik – beliau berjaya menyiapkan motosikal-motosikal ini dengan bantuan beberapa bekas kakitangan Laverda. Ya… semuanya masih boleh ditunggang.

Motosikal yang dipamerkan ini termasuklah setiap produksi yang dikeluarkan dari tahun 1949 seperti model berenjin OHV yang pernah mendominasi kategori 75cc dan 100cc dalam perlumbaan Milano-Taranto dan marathon Motogiro di antara tahun 1952 dan 1957. Terdapat juga model pertama 200cc OHV kembar-parallel yang dikeluarkan pada tahun 1961 dan model silinder-kembar pertama yang dilancarkan sebelum Massimo Laverda berkunjung ke USA pada tahun 1964.

Di sana, beliau merupakan ahli perniagaan motosikal pertama yang berjaya mengeluarkan jentera baru bersesaran besar, 654cc SOHC kembar-parallel yang kemudiannya dilancarkan di Earls Court Show, London pada tahun 1966. Para pengunjung turut berpeluang melihat dengan lebih dekat model lagenda 750SFC yang digunakan dalam perlumbaan Endurance pada tahun 1971 lalu. Satu daripada lima unit model ini pernah ditunggang oleh Antonio Archilletti, pengedar motosikal Roman yang meraih kemenangan dalam perlumbaan Vallelunga 500km.
Giovanni

Sebanyak 12,550 buah Laverda pelbagai model dan versi dikeluarkan dari tahun 1972 hingga 1988 dan ada di antaranya sedang ‘berdiri’ penuh kemahsyuran dalam ruang pameran muzium ini. Nikmati pelbagai model berkonfigurasi berbeza termasuklah versi high-performance, Jota. Dua lagi versi perlumbaan seperti model 3C 1000 1975 Space Frame yang terletak bersebelahan dengan jentera prototaip V6 Endurance 140bhp dengan pacuan akhir jenis shaft. Model V6 ini telah digunakan dalam saingan Bol d’Or di Paul Ricard pada tahun 1978. Ya, model ini milik keluarga Laverda.

“Kami mempunyai lebih daripada 100 unit motosikal Laverda di muzium ini. Saya sendiri telah membeli sekitar 20 unit untuk sempurnakan setiap ruang pameran. Keluarga Laverda merupakan penyokong tegar muzium ini, lebih-lebih lagi Giovanni yang sememangnya cukup bijak dan sangat teliti dalam penyimpanan model-model bersejarah yang siap dengan segala dokumen dan gambar-gambar,” kata Werner Ricciolini, pemilik muzium ini.

Para pengunjung pastinya akan terpesona apabila melihat empat buah Laverda berenjin 500cc DOHC, lapan-injap, kembar-parallel yang dikeluarkan pada tahun 1978-1983, sebuah model perlumbaan Formula 500 dan model jalanan – Montjuic yang tidak melepasi piawaian EU disebabkan kekuatan bunyi ekzosnya. Selain itu, model Alpino 500 dan barisan model jalanan ber’cc’ kecil (125cc) buatan tahun 70an dan 80an yang ketika itu berjaya menarik minat para penunggang muda untuk lebih mengenali jenama ini. Enjin-enjin versi ini dibuat oleh Zundapp dan Husqvarna. Jika anda peminat jentera lasak, di muzium ini juga menempatkan pelbagai model jentera offroad yang diminati secara peribadi oleh Massimo Laverda.

Banyak juga model-model prototaip di ruang pameran muzium ini – semuanya tidak dapat diteruskan hingga ke peringkat produksi. Sebahagian daripadanya adalah model awal skuter yang cuba dikeluarkan dalam tahun 1960an, model moped Laverdino 2T 1966 dan model dua lejang 350 Lesmo V3 tahun 1984. Format enjin model ini diambil dari Honda NS500 GP 1981 yang pernah memenangi perlumbaan dalam kategori jentera dua lejang. Satu lagi model prototaip iaitu Laverda 125 1989 yang dilengkapkan dengan enjin dua lejang, injap rotari dan kerangka aluminium spar-kembar.

Laverda versi istimewa ‘tanpa kerangka’ rekaan seorang jurutera dari Austria, Franz Lainboek turut mencuri tumpuan para pengunjung. Model ini dilengkapi dengan enjin 1,200cc, tiga silinder manakala ciptaan tangki di bawah enjin memang betul-betul ‘rare’. Motor sekarang semuanya tangki di atas enjin.

Setiap unit yang terdapat dalam muzium ini membuktikan kekayaan dan kecemerlangan Laverda dalam dunia dua roda khususnya di Itali yang wajar untuk disimpan dengan rapi. Jentera-jentera yang berada di dalamnya telah dibaik pulih dan dibina semula oleh bekas kakitangan Laverda yang mempunyai semangat dan cinta mendalam pada jenama ini.

“Saya menyempurnakan muzium ini pada bulan Jun 2020, di tengah-tengah era wabak Covid19 dan berjaya merasmikannya dua tahun kemudian. Proses pertama ialah untuk membaik pulih dan ianya dapat kami lakukan dengan bantuan kawan-kawan dan mereka yang memiliki kepakaran khususnya jentera Laverda,” tambah Massimo Laverda.

Muzium Laverda dibuka setiap hari. Sesiapa sahaja yang berhajat, tempahan boleh dilakukan melalui email: [email protected] atau menerusi laman sosial FB: Laverda Motorcycle Museum. Para pengunjung juga boleh layari https://asimusei.it/museo/museo-laverda untuk keterangan lebih lanjut. RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Kel Edge

Isu Pada

September 2023

Popular

  • Warta Roda

    WMOTO Griffin 205 Sudah Berada di Pusat Pengedar Mforce Smartshop

  • Warta Roda

    Art of Speed 2026: 15 Tahun Menyatukan Jiwa Kustom

  • Warta Roda

    Honda ADV160 Edisi Terhad Versi Spider-Man Dilancarkan - Bermula RM14,149

  • Berita Kelab

    Kembara Road Rider Crew Taiping 3.0 Sempena Ulang Tahun Kelab ke-4

  • Dari Litar

    Hakim Danish Kutip Mata Berharga Walaupun Berdepan Cabaran di Sachsenring

Artikel berkaitan

WMOTO Griffin 205 Sudah Berada di Pusat Pengedar Mforce Smartshop

Art of Speed 2026: 15 Tahun Menyatukan Jiwa Kustom

Honda ADV160 Edisi Terhad Versi Spider-Man Dilancarkan - Bermula RM14,149

Sprinta Ladies Satukan Komuniti Lady Bikers di Malaysia

Empat Penunggang Maut Dalam Kemalangan Membabitkan Motosikal Dan Kereta

MODENAS & GIATMARA Bekerjasama Dengan Melancarkan Pusat Servis Motosikal Elektrik

Advenduro-X Meriahkan Moto Test Fest 2026

Yamaha Y15ZR 2026 Bagi Varian Standard & SE Terima Warna Baharu

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Art of Speed 2026: 15 Tahun Menyatukan Jiwa Kustom

Selama 15 tahun, festival ini berkembang daripada sebuah perhimpunan kecil komuniti kustom kepada acara gaya hidup yang menjadi tumpuan peminat automotif bukan sahaja di Malaysia, malah dari seluruh Asia.

Warta Roda

Empat Penunggang Maut Dalam Kemalangan Membabitkan Motosikal Dan Kereta

Empat penunggang maut manakala yang lain cedera dalan kemalangan antara beberapa motosikal dan sebuah kereta di LPT.

Warta Roda

CFMOTO Flagship Store Kuala Selangor Dirasmikan

Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. terus memperkukuhkan rangkaian pengedarnya menerusi perasmian CFMOTO Flagship Store Kuala Selangor.

Warta Roda

Mforce Smartshop Pertama Perak Dirasmikan

Sekalung tahniah buat Sin Lean Huat Trading Sdn Bhd yang kini dengan rasminya merupakan cawangan pengedar rasmi Mforce Smartshop yang pertama di negeri Perak.