☰
Isu Terkini

Oktober 2024

Warta Roda / 10 Januari 2018

Kembara All Riders Jelajah Semenanjung Malaysia

Sepasang suami isteri iaitu Samri Bin Zakariah (Akoi) & Roshaheda Binti Roslie (Qaseh), telah memulakan Kembara Jelajah Semenanjung Malaysia dari Senawang, Negeri Sembilan dengan menaiki dua buah jentera Demak DTM 150cc dan Demak DTM 200cc. Tujuan mereka berdua adalah untuk memperkenalkan Kembara All Riders, berkenalan dengan rakan-rakan motosikal sambil berbulan madu.

Penjelajahan mereka melalui 12 negeri dengan jarak sejauh lebih kurang 2,300km mengambil masa selama lapan hari. Perjalanan bermula dari Senawang, Negeri Sembilan – Johor Bahru – Mersing – Endau - Rompin – Kuantan – Kemaman – Kuala Terengganu – Kota Bahru – Jeli – Banjaran Titiwangsa – Tasik Banding - Gerik – Baling – Kulim- Kangar – Alor Star – Penang – Bagan Serai - Taiping  – Teluk Intan – Sungkai – Shah Alam – Putrajaya – Passion Shop Malaysia – Melaka – Senawang.

Hari Pertama (23 Jun)

Kami bertolak dari rumah di Gemencheh pada pukul 10.00 malam, selepas berbuka puasa dan bermalam di rumah keluarga di Johor Bahru untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. Memang seronok kerana berpeluang sambut hari lebaran di seluruh negara... paling best siap dapat duit raya lagi!

Hari Kedua (24 Jun): Johor Bahru

Kami berjumpa dengan pemilik bengkel Yeong Shing di Kota Masai yang menaja minyak enjin, bateri dan minyak rantai. Mereka memeriksa motor kami supaya tiada masalah ketika mengembara nanti. Memang mencabar mengembara ketika musim Hari Raya sebab banyak kedai makan tutup. Kami terpaksa membawa bekal dan mendapat bekalan di restoran segera atau di stesen minyak.

Hari Ketiga (25 Jun ): Kuantan

Kami meneruskan perjalanan ke Kota Tinggi – Mersing – Endau Rompin dan Pekan. Kami tiba di Kuantan dan disambut oleh rakan-rakan motor. Kami gembira bercampur syukur kerana perjalanan selamat dan segala penginapan diuruskan oleh SKC .

Hari Keempat (26 Jun):

Kota Bahru Perjalanan ke Kuala Terengganu diteruskan melalui lebuhraya LPT dan keluar melalui Tol Ajil. Kami amat teruja dengan keindahan pemandangan di sana. Air laut membiru dan hembusan angin yang segar telah menghilangkan kepenatan. Kami bergambar kenangan di Pantai Batu Buruk, Masjid Kristal, Masjid Terapung, Tugu Marang dan Papan Tanda “I Love KT.”

Selesai, kami ke Tok Bali, Kelantan. Agak jauh dan lama juga perjalanan hari itu tapi jentera yang ditunggang ini memang selesa dan lancar sekali. Dalam jam 11.30 malam, kami selamat sampai di destinasi, Crown Garden Hotel, Kota Bahru. Segala urusan penginapan diuruskan oleh group SWC.

Hari Kelima (27 Jun):

Kangar Jam 1.00 petang kami meneruskan perjalanan melalui Jeli - Banjaran Titiwangsa - Tasik Banding – Gerik – Baling – Kulim-Lanas - Exit Tol Alor Setar (S). Walaupun Roshaheda kurang sihat, dia sanggup meneruskan perjalanan selama 14 jam dan itulah pembakar semangat buat saya (Samri) untuk menjayakan hasrat kami berdua.

Perjalanan hari itu sangat menarik buat kami kerana suhu di sesetengah tempat yang dilalui agak sejuk serta pemandangan juga cantik. Ini agak membantu dari segi emosi! Kami juga sesat beberapa kali disebabkan ketiadaan GPS akibat berada di luar kawasan tapi dengan semangat untuk terus menamatkan cabaran. Memang mencabar kerana terpaksa mengharungi hujan lebat hampir di seluruh perjalanan. Jam 1.30 petang kami selamat sampai di Kangar dan check-in di Hotel Seri Malaysia.

Hari Keenam (28 Jun)

Sememangnya perjalanan dari Perlis – Kedah – Pulau Pinang sungguh indah dengan kehijauan. Gunung-gunung dan sawah padi memang cantik, segar dan mendamaikan. Untuk ke Pulau Pinang, kami semestinya akan melalui bandar Sungai Petani dan sempatlah singgah seketika di Jam Besar Sungai Petani.

Jam 7.45 malam, kami teruskan perjalanan ke Seberang Jaya dan disambut oleh group PXM hingga ke jeti untuk menaiki feri. Sampai sahaja di Pulau Pinang, kami disambut pula oleh group IBC dan dibawa untuk berkunjung ke beberapa destinasi menarik di sana. Kami bergambar, berborak dan bertukar-tukar kenangan sehinggakan tidak sedar masa berjalan dengan cepat.

Jam 10.45 malam kami ke Jambatan Kedua Pulau Pinang untuk teruskan perjalanan ke Perak. Kami keluar lebuhraya untuk ke Alor Pongsu dan disambut oleh group BMC yang telah menunggang bersamasama ke Changkat Jering, Perak. Malam itu kami tidur dan berehat di Kampung Kuala Trong.

Hari Ketujuh (29 Jun): Changkat Jering – Teluk Intan –Shah Alam – Putrajaya
Jam 10.00 pagi kami sudah kembali ‘melompat’ ke atas motosikal untuk ke Teluk Intan pula! Tapi ketika di R&R Sungai Perak, kami berhenti seketika untuk menukar cable throttle dan mengetatkan rantai. Biasalah...tak lengkap perjalanan kalau kami tidak singgah dan bergambar di Menara Condong.

Jam 4.30 petang, kami menggunakan laluan dalam ke Shah Alam dan keluar ke lebuhraya apabila tiba di Bidor.  Perjalanan atas lebuhraya lebih selesa dan pada jam 8.30 malam kami selamat sampai di Shah Alam. Bersama kawan-kawan, kami bergambar di beberapa lokasi menarik di sekitar Shah Alam sebelum bermalam di Hotel Pullman Putrajaya.

Hari Kelapan (30 Jun):

Putrajaya – Kuala Lumpur – Senawang – Kuala Pilah – Gemencheh Hari ini kami ke Passion Shop Malaysia di Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur. Kami disambut oleh krew Passion Shop, Kembara All Riders, Starex, KL/Selangor Community dan sahabat-sahabat lain. Dataran Merdeka menjadi pilihan kami di waktu malam untuk bergambar bersamasama.
Kami singgah sebentar di rumah untuk tukar beg dan baju sebelum meneruskan perjalanan semula. Masa dalam perjalanan ke Gemencheh dari Senawang kami singgah di Kuala Pilah untuk berjumpa dengan kumpulan SRAC N9 dan layan Teh Tarik Session (TTS). Jam 2.30 pagi kami teruskan perjalanan ke Gemencheh dan tepat jam 3.30 pagi, kami selamat sampai di rumah.

Hari Kesembilan (1 Julai ): Gemencheh – Melaka

Dengan tunggangan yang konsisten dan selamat, kami tiba di Melaka pada jam 1.30 petang. Kami dibawa oleh rakanrakan ke Bandar Hilir untuk bergambar dan ini bererti berakhirlah jelajah kami di Semenanjung Malaysia.

Kami amat bersyukur kerana mendapat bantuan daripada rakan-rakan motor sepanjang pengembaraan. Mereka sanggup menunggu (ada ketikanya sehingga enam jam) dan membawa kami berkunjung ke beberapa tempat menarik di negeri dan daerah masing-masing. RR

Isu Pada

Januari 2018

Popular

  • Model Baru

    Ducati Panigale V4S 2027: Lebih Moden & Lebih Berkuasa

  • Pandu Uji

    Kawasaki KLE500 - Dari Lebuhraya ke Laluan lasak

  • Warta Roda

    Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 Lebih Meriah... Lebih Mencabar

  • Warta Roda

    Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

  • Model Baru

    Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

Artikel berkaitan

Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 Lebih Meriah... Lebih Mencabar

Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

Pusat Servis & Pejabat Urusan Mforce KL Berpindah Ke Lokasi Baru!

Honda ADV160 RoadSync Kini Dengan Warna Perlumbaan Trico

Voge DS800X Rally Sudah Berada di Pengedar Mforce Seluruh Negara

Yamaha XMAX 250 vs XMAX 300: Empat Media Kongsi Pengalaman

ETG (Eurotech Group) Memacu Fasa Baru

Tiga Jurutera ZXMOTO China Hadir Ke Malaysia, Kongsi Kepakaran Pemasangan Model

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

Wow...katanya para peminat dua roda tanahair bakal mempunyai satu lagi pilihan menarik apabila sebuah jenama motosikal dijangka akan hadir ke pasaran negara dengan mengenengahkan skuter berkonsepkan retro.

Model Baru

Aveta Nova 250 G Elite Edition Diperkenalkan! Harga asas RM14,888

Aveta Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran motosikal Malaysia menerusi pembukaan rasmi G Elite Motor – Aveta Elite Centre di Shah Alam, Selangor.

Warta Roda

Tiga Jurutera ZXMOTO China Hadir Ke Malaysia, Kongsi Kepakaran Pemasangan Model

Tiga orang jurutera teknikal diterbangkan khas dari ZXMOTO China ke Malaysia bagi menjalankan sesi latihan dan bimbingan berkaitan kaedah pemasangan model-model motosikal keluaran syarikat berkenaan.

Warta Roda

ZXMOTO 500RR Mula Masuki Pasaran Minggu Ini!

Penantian kini berakhir! ZXMOTO 500RR, yang telah dilancarkan dan mendapat perhatian ramai peminat motosikal di Malaysia sebelum ini, kini telah memulakan proses pengeluaran, dengan batch pertama mula berada di pasaran Malaysia bermula minggu ini.