Isu Terkini

Februari 2024

Warta Roda / 26 Disember 2020

Muzium Morbidelli Berakhirnya Satu Era

Giancarlo Morbidelli bersama jentera Benelli 50cc telah meninggal dunia pada tanggal 10 Februari 2020.
Giancarlo Morbidelli bersama jentera Benelli 50cc telah meninggal dunia pada tanggal 10 Februari 2020.

Suatu ketika dulu, Morbidelli merupakan satu jenama motosikal yang telah menempa kejayaan. Ia adalah hasil kerja keras seorang lelaki yang cukup merendah diri, Giancarlo Morbidelli tetapi mempunyai hati yang cukup besar. Kisah hidupnya yang hebat patut diberi perhatian pencinta seni Hollywood kerana segala kekayaannya adalah hasil penat lelah dan titik peluhnya sendiri.

Morbidelli dilahirkan di Marche, Itali pada tahun 1934 dalam keluarga yang serba kekurangan. Mula bekerja ketika berusia 16 tahun sebagai pembantu dalam industri penghasilan perabot. Ia adalah satu daripada kepakaran kejuruteraan yang menaikkan nama bandarnya, Pesaro yang terletak di pantai Adriatic. Satu lagi ialah penciptaan motosikal yang bernama Benelli. Hebat!

1964 Ducati 125 GP Racer.
1964 Ducati 125 GP Racer.

Ya... dunia motosikal, lebih-lebih lagi dalam perlumbaan dan itulah yang menjadi kesukaan dan keghairahan Giancarlo Morbidelli sejak di usia remaja lagi. Beliau memulakan perniagaan peralatan mesin pada tahun 1950an dengan hanya bermodalkan $40/£15. Dengan menggunakan kebijaksaan dan skill teknikal, Morbidelli berjaya membuat talaan unik pada jentera Benelli dan MotoBi yang akhirnya memberi kejayaan dalam perlumbaan selepas itu.

Kemenangan itu bagaikan 'hadiah' untuk mencari kepuasan dan keseronokan selepas menguruskan kilangnya iaitu Morbidelli Woodworking Machines. Kilang ini berkembang cukup pesat sehingga mempunyai 300 orang kakitangan dan mampu mengeluarkan peralatan untuk mesin CNC berteknologi tinggi yang dieksportkan ke lebih 60 buah negara di seluruh dunia.

Pada tahun 1977, Morbidelli menjual syarikat tersebut kepada pencabar terdekatnya dari Rimini (secara kebetulan pemilik Bimota). Pemilik baru telah mendirikan kilang baru yang beroperasi di luar Pesaro. Giancarlo telah mengubah tapak kilangnya menjadi sebuah muzium dan dibuka pada tahun 1999. Terdapat 350 buah motosikal di muzium ini, antaranya dari tahun 1904 termasuklah jentera perlumbaan GP milik Morbidelli.

Jentera Morbidelli 125GP (depan) yang pernah ditunggang oleh Angel Nieto.

Seperti mana-mana peminat dunia perlumbaan, impian Giancarlo adalah untuk meletakkan namanya pada jentera lumba. Selepas menaja pasukan MotoBi pada pertengahan tahun 1960an, Morbidelli telah membina sebuah motosikal lumba dua lejang pada tahun 1967 dengan menggunakan aci engkol dan kotak gear sebuah jentera Benelli 50cc namun begitu dia menggunakan silinder sendiri.

Dua tahun kemudian dia berjaya mencipta dan mengeluarkan sebuah jentera perlumbaan, Morbidelli 50cc GP - ya, lengkap dengan namanya. Sebagai seorang jurutera yang belajar sendiri, Giancarlo hanya menyentuh bab rekacipta apabila ada lebih masa. Untuk itu dia mengambil perekacipta freelance iaitu Franco Ringhini dan Jorg Muller untuk mengendalikan segala projeknya khusus dalam sudut rekabentuk.

Ketua pasukan Kawasaki turut datang ke pit Morbidelli untuk berjumpa dan mengucapkan tahniah selepas pasukannya berjaya menewaskan jentera hijau yang cukup gagah dalam perlumbaan World 250GP pada tahun 1977. “En. Morbidelli, berapa ramai jurutera kamu ada di dalam jabatan perlumbaan?” Tanya eksekutif dari Jepun itu.

Benelli 250cc DOHC yang ditunggang oleh Dario Ambrosini dalam perlumbaan 1950 World Championship.
Benelli 250cc DOHC yang ditunggang oleh Dario Ambrosini dalam perlumbaan 1950 World Championship.

“Biasanya ada tiga tetapi jika saya turut berada di pit maka jumlah bertambah lagi seorang,” jawab Morbidelli yang menyebabkan wakil Kawasaki itu cukup kagum.

Di antara tahun 1969 hingga 1982, jentera dua lejang, injap-rotari milik Morbidelli telah menyertai hampir semua GP dalam kelas 50cc hingga 500cc. Pasukan hebat ini menggunakan komponen terbaik seperti aci engkol Hoeckle, omboh Mahle dan silinder krom Nikasil. Kesemua komponen tersebut dihasilkan di Jerman.

Selepas kematian Gilberto Parlotti yang menunggang jentera Morbidelli berenjin kembar di perlumbaan Isle of Man TT ketika jalan basah pada tahun 1972, pasukannya menguatkan semangat untuk meneruskan cabaran dan berjaya meraih enam kemenangan di bawah nama Morbidelli atau MBA (Morbidelli Benelli Armi).

1964 Benelli 250cc.
1964 Benelli 250cc.

Prestasi pasukan persendirian dengan jentera Morbidelli telah mendominasi persaingan 125GP lebih daripada sedekad dengan kemampuan untuk merebut tujuh daripada 10 posisi terbaik dalam perlumbaan 125GP World Championship 1978. Antara kejayaan yang dicipta menerusi Paolo Pileri (1975), Pierpaolo Bianchi (1976-77 & 1980), Mario Lega (1977 250GP) dan Eugenio Lazzarini pada tahun 1978 yang juga merupakan seorang pengedar motosikal di Pesaro.

Morbidelli gemar bekerjasama dengan penduduk tempatan termasuklah Lega yang merupakan seorang pelumba sangat berbakat dan juga seorang jurutera telefon. Dia telah berjaya dalam perlumbaan 250 kembar dan kemudiannya menerusi jentera 500cc empat silinder yang dibuat sendiri oleh Giancarlo Morbidelli pada tahun 1979 dan 1981.

Seorang guru sekolah bernama Graziano Rossi yang juga pencinta perlumbaan motosikal turut berjaya mencipta kemenangan di tiga pusingan bersama jentera Morbidelli seterusnya menamatkan persaingan di tangga ketiga keseluruhan dalam kejuaraan 250cc World Championship pada tahun 1979. Kalau nak kenal, orang itu adalah ayah kepada pelumba lagenda, Valentino Rossi.

Morbidelli 250GP.
Morbidelli 250GP.

Demi menyahut cabaran untuk menewaskan jentera-jentera pantas dari Jepun, G.Rossi bersama 500GP diperkenalkan pada tahun 1979 dan ia adalah sebuah mesin lumba yang paling moden ketika itu. 500GP disempurnakan dengan enjin berinjap-rotari segi empat sama yang cukup tangkas. Pada tahun 1981, jentera ini diperkemaskan lagi dengan penggunaan casis monocoque yang diperbuat daripada aluminium. Lebih membanggakan, mesin penuh bertenaga ini direka dan dikeluarkan sendiri oleh pasukan Morbidelli di Pesaro.

Walaupun mereka hanya bersaing untuk dua musim, kemantapan jentera dari Itali ini terbukti dengan kejayaan menduduki podium sebanyak dua kali. Pada tahun itu juga Morbidelli membuat keputusan untuk keluar daripada dunia perlumbaan dua roda kerana inginkan anaknya, Gianni menceburi bidang perlumbaan kereta dan untuk itu dia sanggup tinggalkan dunia dua roda.

Daripada motosikal, ciptaan terbarunya ialah sebuah kereta (go-kart) yang menggunakan enjin 125cc, silinder tunggal yang digunakan oleh Gianni di perlumbaan Italian National Kart pada tahun 1986. Prestasi kereta ini terus cemerlang dengan dinobatkan sebagai naib juara di World Championship yang berlangsung di Caesar Palace, Las Vegas. Dengan adanya bapa kesayangan sebagai pengurus dan penasihat, Morbidelli Junior telah beralih ke perlumbaan kereta yang lebih terjamin. Tahniah buat Gianni yang berjaya merangkul kejuaraan European F3 pada tahun 1989.

Gianni Morbidelli.
Gianni Morbidelli.

Gianni kemudiannya beraksi dalam persaingan F1 pada tahun 1990 bersama pasukan Minardi dan selepas itu dipinjam ke il Cavallino untuk menggantikan Alain Prost. Gianni berjaya meraih mata penting dengan jentera Ferrari di Austria pada kemunculan pertamanya bersama pasukan baru pada tahun 1991.

Sepanjang lapan tahun dalam kariernya sebagai pelumba F1, dia telah meraih kejayaan bersama pasukan Minardi, Footwork Arrow, Sauber dan Ferrari. Pencapaian terbaiknya ialah berada di tempat ketiga dalam perlumbaan Australia GP. Kini Gianni berlumba bersama pasukan VW dalam persaingan Touring Car selepas menempa nama dengan jentera Volvo dalam British Touring Car Series.

Hubungan di antara Ferrari-Morbidelli cukup kuat untuk dua dekad, ini diceritakan sendiri oleh Giancarlo sendiri pada saya di salah satu pertemuan kami. Apabila ditanya mengapa aci engkol Morbidelli mempunyai logo kuda Cavallino? “Enzo Ferrari dan saya adalah rakan.”

1923 Moto Guzzi 500 Sport.
1923 Moto Guzzi 500 Sport.

“Enzo mempunyai minat mendalam tentang dunia perlumbaan motosikal. Ini disebabkan Scuderia Ferrari pernah bersaing menggunakan mesin Rudge buatan British dalam kejuaraan motosikal dan kereta. Dari situlah Enzo percaya pemandu kereta lumba perlu mahir dalam menunggang motosikal untuk lebih maju ke hadapan. Tiga pelumba berbakat Scuderia iaitu Tazio Nuvolari, Achille Varzi dan Piero Taruffi adalah pelumba motosikal sebelum beralih arah kepada dunia empat roda.”

Apabila karier Gianni semakin berkembang, 'Papa' Morbidelli kembali melakukan segala apa yang diminatinya iaitu 'bermain logam' untuk dipelbagaikan bagi rekaan motosikal dan kereta khususnya. Antara yang menarik ialah enjin jenis clip-on 22cc, dua lejang yang diboleh dipasang pada basikal. Dia sendiri menggunakan enjin ini kerana mudah – tak perlu banyak kayuh. Model ini kemudiannya menerima permintaan cukup tinggi oleh syarikat dari India bernama Mosquito yang akhirnya membeli rekaan Giancarlo itu.

Giancarlo menyambung minatnya dalam pengubahsuaian dengan merekasemula Fiat Panda milik isterinya. Kereta itu terasa amat berat setiap kali mendaki ke rumah mereka yang terletak di sebuah kawasan cukup hebat di Pesaro. Dari situ dia mula fokus dalam peningkatan prestasi enjin dan Morbidelli memperkenalkan kereta lumba pertamanya pada tahun 1983. Ia adalah sebuah mesin 2 liter, V6 reed-valve, dua lejang yang digunakan dalam kejuaraan F2. Sayang sekali pembangunan jentera ini dibekukan kerana siri F2 telah ditamatkan sepenuhnya.

Honda 50 CR 110 Corsa 1962.
Honda 50 CR 110 Corsa 1962.

Antara karyanya yang mendapat pengiktirafan dunia ialah enjin 30cc, injap-rotari, empat lejang dengan gear injap jenis bersilang yang telah dicipta untuk jentera moped. Giancarlo turut mencipta kotak gear dengan paddle-shift untuk pasukan Minardi pada tahun 1991. Dia juga telah membuat talaan pada enjin Jaguar 12 injap yang telah menaikkan kuasanya setinggi 20% dan 10% untuk tork.

Terdapat juga replika jentera Benelli 350/500cc GP Racer yang merupakan antara projek penting Morbidelli bersama pencinta motosikal dari British, George Beale. Mereka berdua turut memulihkan sebuah motosikal berlejang sangat pendek iaitu Matchless G50 untuk mencuba nasib dalam perlumbaan klasik. Selepas itu, Giancarlo terus mencari jentera-jentera lama dan klasik untuk menambah koleksi di muziumnya. Pada tahun 1994, Giancarlo Morbidelli merekacipta pula sebuah jentera 850cc enjin V8 yang telah mendapat kelulusan untuk dikeluarkan.

Antara ciptaan terulungnya ialah sebuah jentera 847cc, sistem penyejuk cecair, 32-injap, 4 buah cam, V8 yang cukup anggun untuk masuk pasaran motosikal pengembaraan. Atas beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan, projek ini terpaksa dihentikan. Giancarlo kemudiannya bertemu Bimota untuk menyerahkan projeknya – dia berjaya. Sekali lagi perancangan untuk melihat jentera itu di jalanan tidak akan berlaku kerana ia hanya sekadar digunakan untuk model prototaip.

Koleksi Morbidelli.
Koleksi Morbidelli.

Selepas bersara, Giancarlo memutuskan untuk mengubah tapak kilangnya menjadi muzium yang diberi nama Museo Morbidelli. Ia dibuka pada tahun 1999 yang telah menerima kunjungan serta pujian daripada para pencinta motosikal yang melangkah masuk ke muzium tersebut. Giancarlo diserang penyakit Alzheimer apabila semakin dimamah usia dan ia adalah satu punca mengapa akhirnya Museo Morbidelli terpaksa ditutup.

Segala simpanan dan khazanah yang selama ini dapat dikongsikan adalah hasil jagaan Giancarlo sendiri, secara peribadi. Apabila dia tidak lagi mampu untuk berada di muzium itu lagi, tidak ada mana-mana pihak yang mahu menyelenggara termasuklah pihak kerajaan. Ahli keluarga Morbidelli termasuk anak-anaknya Gianni dan Letizia merasakan tidak ada pilihan lain selain menutup terus muzium itu. Ia adalah satu keputusan yang amat menyedihkan pencinta motosikal khususnya.

Selepas mendapat cadangan daripada beberapa pusat lelongan, keluarga Morbidelli memilih Bonhams, sebuah syarikat dari UK yang akan membuat penjualan pada dua tarikh berbeza. Ini disebabkan lesen export diperlukan untuk jentera-jentera dari tahun 1945 atau yang lebih lama. Apa juga motosikal yang berusia lebih daripada 75 tahun wajib mempunyai lesen jika ingin dikeluarkan dari negara asalnya, termasuk negara-negara EU.

Yamaha TZ 750 1976.
Yamaha TZ 750 1976.

Buat masa ini telah disahkan oleh pihak Bonhams bahawa jentera-jentera ini akan dilelong di Stafford Classic Bike Show pada 25-26 April 2020 dengan jumlah 313 lot yang terdiri daripada unit yang masih dalam pemulihan, prototaip dan yang lengkap semuanya. Ia adalah koleksi Morbidelli untuk jangka masa 40 tahun. Boleh layari: www.bonhams.com/auctions/26111/.

Keluarga Morbidelli membuat keputusan untuk menyimpan kebanyakan jentera perlumbaan yang majoritinya hasil ciptaan dan rekaan Giancarlo dan pasukan kecilnya sendiri. Ia adalah suatu khazanah yang sangat berharga. Apa pun terdapat dua model GP yang mempunyai sejarah kemenangan hebat di zaman kegemilangannya iaitu 1974 Morbidelli 125GP yang pernah ditunggang ole Angel Nieto (Anggaran harga: £80,000-£120,000) dan Morbidelli 250GP – pernah ditunggang oleh Giacomo Agostini pada tahun 1976 di Misano dan mendapat tempat kedua. (Anggaran harga £60,000-£100,000).

Koleksi lain yang cukup unik dan rare ialah jentera Benelli yang pernah dikeluarkan di Pesaro. Antaranya ialah mesin 250cc DOHC yang ditunggang oleh Dario Ambrosini dalam perlumbaan 1950 World Championship (£120,000–£180,000) dan 1964 Benelli 250cc yang ditandatangani oleh juara dunia dua kali, Tarquinio Provini (£80,000-£120,000).

Model yang paling ditunggu-tunggu tentulah jentera unik 1964 Ducati 125 GP Racer, empat silinder yang direka oleh Ketua Jurutera Ducati, Ing. Fabio Taglioni (£400,000-£600,000) dan ramai yang menjangka harga ini akan meningkat sehingga mencecah satu juta pound. Motosikal ini 'hilang' untuk beberapa dekad sehinggalah enjinnya dipamerkan di sebuah muzium teknikal di Latvia, bekas republik Rusia.

Setelah memiliki semula enjin tersebut dan membawanya pulang ke Itali pada tahun 1989, casis asal Ducati ini dijumpai di Yugoslavia atau sekarang ini, Croatia! Giancarlo Morbidelli berjaya menyatukan semula casis asal dan enjinnya semula serta menyiapkan keseluruhan Ducati 125 ini pada tahun 2000.

Ducati 60 Monoalbero 1951.
Ducati 60 Monoalbero 1951.

Koleksi artifak Morbidelli termasuklah segala buku dan penulisan memori di perpustakaan, trofi, papan tanda, poster dan lain-lain turut akan diuruskan oleh Bonhams untuk dilelong.

“Kami amat berbangga dapat menjual barangan yang cukup bersejarah ini. Ia disimpan dengan sangat rapi dan baik oleh Giancarlo Morbidelli lebih daripada 40 tahun dan kita semua tahu bagaimana dalamnya cinta beliau pada motosikal. Pastinya proses lelongan ini cukup eksklusif kerana akan didatangi oleh para pencinta motosikal dari seluruh pelusuk dunia. Kami cukup gembira dan tidak sabar-sabar untuk menjual sebahagian besar motosikal penuh bersejarah seperti koleksi milik Giancarlo ini,” kata Pengarah Pengumpul Motosikal International, Ben Walker. RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Arkid Alan Cathcart dan Bonhams.

Isu Pada

Mac 2020

Popular

  • Warta Roda

    Boon Siew Honda (BSH) di Malaysia Autoshow 2024 - Bakal Lancar ADV350, CB750, XL750 dan NX500

  • Penunggang Motosikal Maut, Terlanggar Khinzir di Tengah Jalan

  • Warta Roda

    Ducati Monster Senna Edisi Terhad: Penghormatan Buat Ayrton Senna

  • Warta Roda

    Penunggang Motosikal Dihempap Pokok!

  • Warta Roda

    Blueshark Kembangkan Rangkaian Pengedar ke Seluruh Negara

Artikel berkaitan

Boon Siew Honda (BSH) di Malaysia Autoshow 2024 - Bakal Lancar ADV350, CB750, XL750 dan NX500

Ducati Monster Senna Edisi Terhad: Penghormatan Buat Ayrton Senna

Penunggang Motosikal Dihempap Pokok!

Blueshark Kembangkan Rangkaian Pengedar ke Seluruh Negara

Kemalangan Ngeri Tiga Kereta & Sebuah Motosikal, Tiga Cedera Parah...

Keselamatan Diendah: Sekumpulan Individu 'Berkelah', Masak & Makan Di Stesen Minyak

Konvoi 'High Speed Hill Journey' Bersama Pengedar Yamaha Taiwan

Kemalangan Motosikal Dengan Pacuan 4 Roda, Penuntut IPT Maut

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Kemalangan Ngeri Tiga Kereta & Sebuah Motosikal, Tiga Cedera Parah...

Lima individu cedera termasuk tiga cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga kereta dan sebuah motosikal di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, semalam.

Model Baru

KTM Lancar 4 Model Duke Baru...Harga Bermula RM22,500...

KTM Malaysia baru-baru ini telah melancarkan bukan satu..bukan dua...tetapi empat model terbaru yang terdiri daripada siri Duke iaitu 250 Duke, 390 Duke, 990 dan 1390 Super Duke R.

Warta Produk

GIVI ASIA Lancarkan Kotak Simpanan Baru “THE MATTERHORN"

Bersempena dengan sambutan Ulang Tahun ke-30 penubuhan GIVI Asia, pengeluar aksesori terkemuka itu telah melancarkan kotak simpanan aluminium terbaharu iaitu “THE MATTERHORN MONOLOCK TOP CASE”.

Warta Roda

Tunggang Uji Ringkas Suzuki Avenis 125 dan Burgman Street 125 EX

Suzuki Malaysia telah mengadakan sesi tunggang uji bersama pihak media baru-baru ini dengan menampilkan dua buah skuter terbaru mereka iaitu Suzuki Avenis 125 dan Burgman Street 125 EX.