☰
Isu Terkini

Oktober 2024

Berita Kelab / 30 Mac 2018

Kelab SRM Menikmati Nasi Buloh & Berendam Di Lata Kinjang

Waktu cuti umum merupakan peluang terbaik buat ahli Kelab SRM (Santai Rider Malaya) untuk menganjurkan konvoi pada penghujung Disember lepas. Destinasi ialah Sungkai dan juga Lata Kinjang.

Tujuan menganjurkan konvoi ini adalah untuk merapatkan lagi hubungan silaturahim dan juga meluangkan masa bersama. Sukar untuk berkumpul beramai-ramai seperti ini pada hari biasa disebabkan masing-masing sibuk dengan urusan kerja. Jadi pada waktu cuti sebeginilah paling sesuai untuk berkumpul semula.

Tepat jam 7.00 pagi, ahli Kelab SRM berkumpul di rumah seorang rakan di Kampung Bukit Cherakah. Wajah rakan-rakan mencerminkan keterujaan untuk memulakan perjalanan yang sejauh 168 kilometer. Seramai lapan orang menunggang model Yamaha dan Modenas bersesaran 115-135cc yang menyertai konvoi ini. Sebaik sahaja memulakan perjalanan, cuaca bertukar dari cerah menjadi mendung dan kemudian bertukar lebih gelap seakan-akan ingin hujan. Syukur, sebaik sahaja tayar bergolek, cuaca semakin cerah dan ini amat mengembirakan para peserta.

Berhenti rehat sebentar di Tol Sungkai.
Berhenti rehat sebentar di Tol Sungkai.
Ramai sungguh orang singgah makan di sini terutamanya pada hujung minggu atau pada cuti umum!
Ramai sungguh orang singgah makan di sini terutamanya pada hujung minggu atau pada cuti umum!

Konvoi melalui lebuhraya LATAR sambil mengekalkan kelajuan dari 80kmj - 100kmj. Sebaik sahaja memasuki lebuhraya PLUS menghala ke utara, mereka mula memulas lebih lagi pendikit jentera masing-masing. Jarum meter motor menunjukkan 130kmj - 150kmj. Seperti biasa, orang muda kalau nampak sahaja highway mesti ingin membawa laju. Sungguhpun begitu, keselamatan itu penting dan kesemuanya tetap berwaspada dan menunggang dengan berhati-hati.

Selepas melakukan perjalanan sejauh 80 kilometer, bahan api pada jentera sudah berkurangan, ada yang setengah dan ada juga yang berada di paras merah. Konvoi singgah di perhentian sebelah Tanjung Malim North Bound untuk mengisi petrol dan juga berehat.

Setelah kembali segar dan bertenaga, perjalanan diteruskan. Pada waktu itu secara tiba-tiba motosikal salah seorang ahli mengalami kerosakan. Ada yang mengeluh dan seperti kecewa.

Mujurlah ada di antara peserta yang membawa peralatan untuk membaiki dan motosikal dapat dihidupkan semula…. menunjukkan pentingnya semangat setiakawan. Amat baik sekali mengekalkan semangat berpasukan seperti ini tidak kira apa yang terjadi. Bak kata pepatah, Berat Sama Dipikul, Ringan Sama Dijinjing...

Setelah 35 minit perjalanan dari perhentian Tanjung Malim barulah konvoi sampai ke destinasi pertama iaitu di restoran Nasi Bamboo, terkenal untuk nasinya yang dibungkus dengan daun lirik dan dikukus dalam buluh. Ramai pengunjung yang singgah ke sini untuk menikmati makan tengah hari. Ada juga yang sanggup datang dari jauh termasuk pelancong! Pelbagai jenis lauk, sayur dan macam-macam lagi yang tersedia. Memang puas hati makan di sini dan harga pun berpatutan.

Kepada pengunjung yang ingin merasa masakan tradisional kampung bolehlah singgah di Nasi Bamboo Sg Klah yang terletak di Kampung Buloh Telor Sungkai Perak. Waktu operasi dibuka pada jam 10.30 pagi sehingga 6.00 petang setiap hari kecuali Jumaat.

Selepas 'mengenyangkan' perut, konvoi terus ke Lata Kinjang untuk menikmati air terjun di sana melalui jalan dalam. Seronok juga melalui kawasan kampung dan juga pekan dengan meratah selekoh-selekoh yang ada. Lebih sejuk dan redup.

Para pengunjung sedang bermandi manda dan berkelah bersama keluarga.
Para pengunjung sedang bermandi manda dan berkelah bersama keluarga.
Pemandangan yang diambil dari Jambatan Tergantung Lata Kinjang.
Pemandangan yang diambil dari Jambatan Tergantung Lata Kinjang.

Kelihatan ramai juga pengunjung yang singgah di Air Terjun Lata Kinjang. Bayaran dikenakan untuk kemasukan. Bagi golongan dewasa adalah RM2.00, RM1.00 untuk golongan warga emas dan kanak-kanak bawah 18 tahun. Manakala bagi kanak-kanak bawah tiga tahun, ianya percuma. Berendam sahaja dalam airnya yang sejuk dan menyegarkan, terutama waktu cuaca panas. Air terjun ini merupakan yang tertinggi di Asia Tenggara dengan ketinggian lebih daripada 850 meter.

Selepas puas bermandi manda di sini, konvoi mula bersiap untuk pulang. Hari sudah petang dan cuaca kelihatan mendung. Apabila konvoi masuk sahaja lebuhraya, hujan lebat mula turun. Masing-masing berhenti untuk memakai baju hujan. Hujan mula reda setelah membuat perhentian di Behrang. Konvoi berehat seketika dan kemudian meneruskan semula perjalanan untuk terus pulang ke rumah masing-masing dengan selamat. RR

Isu Pada

Mac 2018

Popular

  • Model Baru

    Ducati Panigale V4S 2027: Lebih Moden & Lebih Berkuasa

  • Pandu Uji

    Kawasaki KLE500 - Dari Lebuhraya ke Laluan lasak

  • Warta Roda

    Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 Lebih Meriah... Lebih Mencabar

  • Warta Roda

    Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

  • Model Baru

    Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

Artikel berkaitan

Kembara Road Rider Crew Taiping 3.0 Sempena Ulang Tahun Kelab ke-4

H.O.G. Malaysia Sertai Tiga Ekspedisi Rentas Benua

RRCT/RRCSP & HRSKC Mulakan 2026 Dengan Konvoi Ke Hilir Perak

RSX-RS Crew Taiping Anjur Ride Penutup 2025

RSX-RS Crew Taiping Semarakkan Konvoi Berjiwa Honda ke Batu Kawan

Kembara RSX-RS Crew Taiping 2025 – Menjelajah Keindahan Pahang

Terengganu Gentleman Riders: Ride & Camp ke Lata Ulu Kasar

KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

ETG (Eurotech Group) Memacu Fasa Baru

Eurotech Wheel Distribution Sdn. Bhd. kini ETG memasuki satu fasa baharu dalam industri motosikal Malaysia dengan memperkenalkan identiti baharu sebagai Eurotech Group (ETG).

Pandu Uji

Kawasaki Versys 1100SE: Empat Silinder, 1,099CC… Sesuai Untuk Kembara Jauh!

Kawasaki Versys 1100 SE adalah antara jentera yang berada dalam kategori tersebut dan nama Versys ini bukanlah asing. Sebelum ini kita sudah mengenali Versys 1000 dengan enjin empat silinder 1,043cc. yang jujurnya saya katakan, model tersebut memang padu dan praktikal.

Warta Roda

Sah... Yamaha XMAX 300 TECH MAX Diserahkan Kepada 200 Pemilik Pertama

Tahniah buat 200 pemilik pertama Yamaha XMAX 300 Tech MAX di Malaysia yang telah menerima motosikal masing-masing menerusi program penyerahan khas yang diadakan serentak di seluruh negara oleh pengedar sah Yamaha Big Bike.

Warta Roda

Honda Ride to Reach: 65 Buah Motosikal Honda Turun Padang

Sebanyak 65 buah motosikal Honda membanjiri kawasan Pantai kuala Muda, Pulau Pinang bagi menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR).