☰
Isu Terkini

Oktober 2024

Bintang / 1 Februari 2016

MLE XTMR 200 PREDATOR Menjadi Tumpuan Ramai

Edisi 352 bulan Februari kali ini memaparkan sebuah jentera custom, diubahsuai mengikut selera pemiliknya yang begitu minat dengan watak makhluk asing filem Predator yang popular. Malah watak ini jarang dijadikan idea modifikasi motosikal jenis supermotard. Kebanyakan konsep modifikasi predator ini hanya dilakukan kepada motosikal jenis 'big bike' sahaja.

Mari kita berkenalan dengan seorang peminat motosikal jenis motard yang bernama Muhd Nur Aiman, berumur 18 tahun yang berasal dari Sungai Buloh, Selangor. Dia lebih mesra dan dikenali sebagai Aiman Predator di kalangan rakan-rakan motosikalnya. Aiman juga meminati dunia perniagaan. Sejak kecil lagi ayah dan ibu mendidiknya supaya berdikari mencari wang saku sendiri dengan berniaga burger berhampiran kawasan rumahnya yang terletak di Sungai Buloh.

Ketika meningkat remaja, Aiman bekerja sambilan sebagai pencuci kereta apabila tamat waktu sekolah dan ketika tiba waktu cuti. Selepas tamat sekolah menengah, dia melanjutkan pelajarannya dalam bidang kemahiran. Kini Aiman yang begitu bersopan santun pastinya lebih ceria apabila mendapat pekerjaan tetap di Puchong.

Dengan wang yang dikumpul melalui perniagaan itulah Aiman membayar wang pendahuluan untuk membeli motosikal MLE XTMR 200 ini. Bayaran ansuran bulanan dikumpul sendiri dan ditambah dengan bantuan dari ibu dan ayahnya. Baginya, motosikal ini adalah pengangkutan yang penting di dalam hidupnya. Kata Aiman, “Motosikal ini adalah harta pertama yang saya miliki dengan hasil titik peluh sendiri dan ia amat bermakna sekali.”

“Menunggang motosikal adalah suatu hobi yang menenangkan fikiran, dapat menambah kenalan dan meningkatkan ilmu pengetahuan dalam dunia pengubahsuaian motosikal. Selain itu juga ia menjadikan minat kita ini lebih bermakna dengan adanya aktiviti di masa lapang seperti berkonvoi dan bersosial di laman internet,” jelas Aiman lagi.

Antara pengalaman bermotor yang paling tidak dapat dilupakan adalah ketika memenangi pertandingan motosikal tercantik di Kuala Lumpur pada tahun lalu. “Saya tidak menyangka kejayaan itu kerana hanya menyertainya setelah rakan-rakan mendaftarkan jentera masing-masing. Bila sudah menang, itulah saat yang menggembirakan setelah diumumkan sebagai juara tempat pertama,” kata Aiman.

PENGUBAHSUAIAN

Aiman mula menunggang ketika berusia 10 tahun dengan motosikal cub milik ibunya. Dia amat menyukainya kerana ia mudah untuk diselenggara, mudah parkir dan mudah ke mana sahaja kerana tidak terlibat dalam kesesakan jalan raya serta menjimatkan petrol.

Aiman memilih jentera MLE ini kerana motosikal ini sudah cantik rekaannya namun begitu, selepas terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan lampu utama dan bahagian hadapan rosak. Dia terus mencari idea untuk mengubahsuai motosikalnya. Selepas berkongsi idea bersama rakan-rakan dan minatnya terhadap watak makhluk predator itu, bermulalah episod pengubahsuaiannya.

Setelah mendapat idea yang diinginkan, Aiman dengan pantas menempah rekaan kepala Predator yang dibuat khas oleh kenalan di negeri Johor untuk dipadankan pada bahagian hadapan motosikalnya. Ini mengambil masa selama beberapa hari sahaja untuk disiapkan dan dihantar ke rumahnya menggunakan perkhidmatan pos. Lampu utama yang dibayangi dengan dua mata yang garang itu berasal dari Yamaha Lagenda.

Untuk lebih ngam, Aiman turut menempah rekaan topi keledar berbentuk topeng Predator. Dan lengkap dengan rerambut yang kelihatan 'hidup' apabila dilihat. Rerambut ini dibuat daripada hos getah penutup kabel aircon.

Pelindung tayar belakang juga menerima sentuhan ‘predator.’ Setelah bahagian bawah enjin kelihatan kosong, Aiman memadankan belly pan Suzuki Panther 150cc yang menyerlahkan lagi penampilan keseluruhan jentera ini.

Setelah seminggu menunggu semua bahagian yang ditempah sampai ke tangannya, Aiman terus menghantar kepada seorang rakan di Damansara Damai yang mahir dalam mengecat untuk mengikut warna yang sudah dipilih Aiman sendiri. Tempoh selama tiga minggu diperlukan untuk menyiapkan predatornya.

Bar hendal juga ditukarkan kepada jenis 'transformer' kerana inginkan posisi yang lebih radikal. Bar jenis ini juga boleh diubah kedudukannya dengan mudah jika mahu mencuba posisi yang lain. Aiman membeli bar hendal ini dengan harga RM200 dari sebuah kedai aksesori.

Bahagian enjin tidak 'diusik' dan dibiarkannya dalam keadaan asal. Dia tidak mahu merosakkan bahagian itu kerana percaya dengan ketahanan enjin lebih lama jika kita tidak mengubahsuainya kepada spesifikasi yang tidak menepati keluaran kilang. “Motor besar dan canggih pun jika diubahsuai tidak mengikut spesifikasi enjin asal pun boleh rosak bang...” Itulah jawapan yang diperoleh dari Aiman apabila ditanya.

Setakat ini Aiman berpuas hati dengan rekaan terbaru motosikal kesayangannya. Lebih kurang RM1,500 sudah dibelanjakan untuk mendapatkan wajah terbaru motosikal ini. Pengubahsuaian seterusnya yang masih dalam perancangan adalah mereka corak bahagian panel tangki dan ekor mengikut bentuk badan makhluk predator supaya kelihatan lebih realistik. Namun kekangan masa dan modal menghalang Aiman daripada melakukannya.

“Jentera kesayangan kita menjadi lebih cantik malah unik dari segi rekabentuk dan warna. Itulah detik dan saat paling manis apabila menjadi perhatian ramai. Kanak-kanak dan orang dewasa juga turut bergambar kenangan dengan Predator saya ini,” kata Aiman.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada ayah dan ibu yang sentiasa memberi sokongan bukan sahaja di dalam dunia motosikal malah memberikan inspirasi untuk berjaya dalam kehidupan seharian saya yang masih jauh lagi ini,” ujar Aiman mengakhiri perbualan. RR

Isu Pada

Februari 2016

Popular

  • Model Baru

    Ducati Panigale V4S 2027: Lebih Moden & Lebih Berkuasa

  • Pandu Uji

    Kawasaki KLE500 - Dari Lebuhraya ke Laluan lasak

  • Warta Roda

    Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 Lebih Meriah... Lebih Mencabar

  • Warta Roda

    Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

  • Model Baru

    Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

Artikel berkaitan

Yamaha XMAX 250 - Arai Nicky Hayden

Kawasaki H2 Gundam Dari Dungun

Yamaha R25 Jadi MT25 Jadi XSR25

Honda Fame 'Rare' Milik Orang Temerloh

Yamaha YZF-R25 'Garang' Dari Melaka

Yamaha Nmax Doraemon Raih Populariti

Modenas Jaguh Custom 'Ride To Nature'

Yamaha 135LC Custom Moped

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 Lebih Meriah... Lebih Mencabar

Seramai 393 penunggang motosikal dari seluruh negara menyertai Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 yang berlangsung di Gerik, Perak pada pertengahan September yang lalu.

Dari Litar

SIC Sasar 200,000 Pengujung Tahun Ini, Hakim Danish Bakal Menjadi Tumpuan di GP Malaysia

PETRONAS Grand Prix of Malaysia 2026 bakal kembali berlangsung di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (SIC) dari 30 Oktober hingga 1 November ini.

Model Baru

Aveta Nova 250 G Elite Edition Diperkenalkan! Harga asas RM14,888

Aveta Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran motosikal Malaysia menerusi pembukaan rasmi G Elite Motor – Aveta Elite Centre di Shah Alam, Selangor.

Model Baru

Suzuki GSX-8TT 2027 Tampil Dengan Warna Merah Serba Baru!

Jentera 'retro-moden', Suzuki GSX-8TT bakal memasuki tahun model 2027 dengan perubahan yang cukup menarik dengan memperkenalkan warna Candy Daring Red.