Isu Terkini

Oktober 2024

Bintang / 23 Disember 2022

Yamaha YZF-R25 'Garang' Dari Melaka

"Saya minat motor jenis sportbike kerana posisi tunggangannya nampak garang sikit berbanding motosikal lain. Nak pakai superbike tapi belum mampu, lebih-lebih lagi harganya yang agak mahal dan kos penyelenggaraan yang agak tinggi. Oleh sebab itu, saya beli Yamaha YZF R25 yang sudah pasti boleh diubahsuai kepada sebuah jentera perlumbaan replika,” kata Bintang Bulan Ini, Saudara Mohd Yazid Bin Md Salleh.

Yazid atau lebih mesra di kalangan rakan-rakan dengan panggilan Ajid merupakan seorang Jurutera Awam di Bahagian Projek Khas, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia. Berumur 38 tahun, sudah berkahwin dengan lima orang cahaya mata (4 lelaki, seorang perempuan) dan menetap di Bukit Katil, Melaka.

Ajid memang minat betul dengan dunia dua roda. Selain bermotosikal, dia juga pengumpul diecast motosikal berkuasa tinggi dan juga MotoGP yang berskala kecil. Memang banyak koleksi motosikal itu dan disusun dengan cukup rapi dalam ruang almari kaca di rumahnya.

“Minat terhadap motosikal memang 'terpupuk' sejak dari sekolah rendah lagi. Ketika berumur 10 tahun atau darjah empat, saya dah mula naik motor. Saya belajar daripada ayah dan pada setiap hari Jumaat, saya akan pinjam motornya untuk ke sekolah. Pada hari-hari lain, saya naik basikal je. Saya suka betul tengok motosikal berkuasa tinggi bila berada di atas jalan raya. Memang berangan nak miliki 'big bike' bila dah besar nanti.”

“Apabila berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara, Cawangan Perlis pada tahun 2002, saya mula kumpul majalah motosikal RODARODA dan juga mula membeli model motosikal kecil yang murah. Maklumlah student lagi masa tu, duit pun tak berapa nak ada. Saya perlu pandai berjimat untuk membeli makanan dan keperluan sebagai pelajar. Sekarang, bila dah kerja barulah mula kumpul model skala kecil jentera MotoGP yang harganya agak tinggi sedikit seperti keluaran dari MiniChamps.”

Menurut Ajid, motosikal pertama miliknya ialah Yamaha TZM 150 yang digunakan pada tahun 2002 hingga 2005 iaitu ketika belajar peringkat Diploma Kejuruteraan Awam di Universiti Teknologi Mara, UITM Cawangan Perlis.

“Saya ada duit simpanan sedikit masa itu kerana berpeluang menyertai Palapes (Pasukan Latihan Pegawai Simpanan). Saya kumpul duit elaun 'training' Palapes. Bila tiba waktu cuti, semua pelajar sibuk nak balik kampung tapi saya kena ikuti latihan masuk/keluar hutan. Saya dapat berlatih menembak, macam askar juga! Jadi, daripada duit elaun yang saya kumpul itu, dapatlah saya beli motor Yamaha TZM. Saya tak beritahu mak dan ayah kerana risau mereka tak benarkan. Akhirnya saya tetap kena bebel juga sebab berani beli senyap-senyap tapi akhirnya mereka redha dengan minat saya.”

Ajid meneruskan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, Kejuruteraan Awam dari 2005 – 2008. Ketika inilah dia tekad untuk menjual TZM dan bertukar 'selera' kepada sebuah model moped, Honda Wave 125. Minatnya 'dikorbankan' demi memudahkannya membawa buku ke kuliah (ada bakul). Motor itu masih Ajid simpan sampai sekarang untuk tujuan beriadah, 'pusing-pusing' taman waktu petang dengan keluarga, ke kedai dan surau.

“Motor pertama yang saya naiki ialah Yamaha SS Two milik ayah. Ada lagi motor itu hingga sekarang, ayah gunakan untuk ke kebun. Keadaan pun masih elok, cuma calar-calar sikit saja. Hingga ke hari ini, saya telah pun memiliki empat buah motosikal iaitu Yamaha TZM 150, Honda Wave 125, Yamaha R15 dan Yamaha R25.
Kenangan pahit buat Ajid ialah ketika dia jatuh motor masa balik dari sekolah rendah. Ketika itu, Ajid siap bawa ayah lagi sebab baru nak belajar. Dia tertekan brek depan secara mengejut di atas laluan lecak di kawasan rumah.

Motor pun menggelungsur jatuh sekali dengan Ajid dan ayahnya. Memang ada luka sikit di bahagian badan. Motor pun ada pecah dan calar tapi memang tak serik pun untuk bawa motor lagi lepas tu.

Pengubahsuaian:

Motor Yamaha R25 milik Ajid merupakan model gabungan di antara Yamaha R6 dan KTM RC8. Hasilnya ia mirip kepada replika motor YZR M1 milik jaguh MotoGP, Fabio Quartararo dari pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) yang juga popular dengan gelaran El Diablo. Beliau merupakan Juara Dunia MotoGP 2021.

“Motor ni saya beli dari pemilik asal yang memang sudah lakukan pengubahsuaian. Bila berada di tangan saya, proses berikutnya ialah untuk jadikannya lebih special, lebih mantap dan menarik.”

Antara pengubahsuaian yang telah dilakukan ialah penukaran enjin kepada model R3 (300cc). Ekor belakang ditukar kepada model mirip Ducati Panigale manakala untuk set fork hadapan jenis USD, fork asal telah ditukarkan dengan fork Yamaha R6 tahun 2010. Bahagian lengan ayun dan set rim menggunakan model KTM RC8 tahun 2010.

Untuk prestasi lebih mantap, R25 Ajib dilengkapkan dengan penyerap hentak tunggal Ohlins yang dipadankan dengan sistem brake cakera depan dan belakang dengan angkup jenis Brembo. Bahagian rantai dan spoket juga dari model KTM RC8 yang ditempah khas. Selain itu, madgad depan diperolehi daripada model Yamaha R6.

Yamaha R25 'baru' ini tampak lebih mantap dengan cermin pengadang angin jenis 'smoke', winglet ala Ducati yang kemudiannya dikemaskan dengan lebih detail menerusi tank grip, body slider, klac hidraulik, tempat pemijak RCB, master pump Brembo RCS18, RCS19, pelana tunggal, cermin sisi Rizoma dan ECU dari Tune Boss. Untuk mendapatkan bunyi yang cukup padu, Ajid menggunakan sistem penuh ekzos Yoshimura.

“Kos untuk pengubahsuaian ini anggaran dalam RM20,000. Kalau nak kira tepat, saya kena buat senarailah. Hasilnya memang sangat memuaskan hati. Buat masa sekarang memang belum berhajat untuk menjualnya kerana R25 ini tidak pernah timbulkan masalah. Tapi..... sekiranya Kawasaki ZX-25RR dah masuk ke pasaran Malaysia, tidak mustahil saya membeli motor tu. Mungkin... kita hanya mampu merancang, Tuhan yang tentukan segalanya.”

Dengan R25 ini, saya menunggang dalam area Melaka sahaja atas sebab masalah 'Slip Disc'. Saya tak boleh nak ride lama-lama sebab kaki akan berasa kebas dan sakit sekiranya berada lebih dari setengah jam atas motor. Sebelum diuji dengan masalah ini, saya memang rajin juga bermotosikal tapi kini sudah agak terhad. Niat tu memang ada nak pergi ride jauh-jauh tapi memandangkan kesihatan saya kurang mengizinkan, dapat pusing-pusing dalam Melaka je pun dah cukup, jadilah untuk lepaskan gian.”

Suatu ketika dulu, Ajid dan kawan-kawannya kerap menganjurkan konvoi amal ke rumah anak-anak yatim, rumah kebajikan orang-orang tua, rumah kebajikan orang kurang upaya, dan juga rumah ibu tunggal untuk memberi sumbangan. Walaupun sumbangan yang dikutip itu tidaklah sebanyak mana, tetapi ia sudah memadai untuk membantu mengurangkan beban mereka yang memerlukan. Dapat melihat kegembiraan yang terpancar pada wajah para penghuni rumah-rumah tersebut pun dah cukup bagi Ajid dan kawan-kawannya.

Bila ditanyakan apakah motosikal idamannya. Ajid menyatakan...

“Dapat Yamaha R6 pun dah cukup bagi saya, tapi kalau Tuhan murahkan rezeki saya, Ducati Panigale pun ok! Bagi saya, bentuk Panigale cukup sempurna, seksi dan menarik perhatian sesiapa sahaja yang memandangnya. Semoga doa saya dimakbulkan untuk memiliki jentera idaman itu suatu hari nanti. Amin.” RR

Isu Pada

Disember 2022

Popular

  • Warta Roda

    GLOBAL: Haojue GSX500 - Kemas dan Cantik

  • Warta Roda

    Dua Gadis Meninggal Dunia Dirempuh Lelaki Disyaki Pengedar Dadah

  • Pandu Uji

    Clutchless....Stressless.. Honda CBR650R & CB650R E-Clutch Memang Best!

  • Dari Litar

    Ujian Rasmi Litar Aragon: Hasil Positif Untuk Pasukan Honda HRC Castrol

  • Dari Litar

    SAH! Juara WSBK, Toprak Razgatliolu Tanda Tangan Kontrak Dengan Yamaha

Artikel berkaitan

Yamaha XMAX 250 - Arai Nicky Hayden

Kawasaki H2 Gundam Dari Dungun

Yamaha R25 Jadi MT25 Jadi XSR25

Honda Fame 'Rare' Milik Orang Temerloh

Yamaha Nmax Doraemon Raih Populariti

Modenas Jaguh Custom 'Ride To Nature'

Yamaha 135LC Custom Moped

Motor Y15ZR Tayar Besar Ala SBK

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Dua Pelajar Maut, Nahas Motosikal dan Kereta

Dua pelajar sekolah maut dalam nahas membabitkan sebuah motosikal dan kereta di Jalan Sedili Kecil-Tanjong Balau, pada Sabtu.

Warta Roda

Boon Siew Honda Komited Terhadap Tanggungjawab Kebersihan Alam Sekitar

Boon Siew Honda telah menganjurkan program Honda Ride to Reach yang berlangsung di R&R Bagan Ajam

Warta Roda

Perlumbaan Lasak Rimba Raid X Dilancarkan!

Bagi para peminat dunia motosikal lasak di Malaysia, Rimba Raid tidak perlu lagi diperkenalkan. Bermula dari tahun 2015, saingan Rimba Rais bukan sahaja berjaya menarik minat para pesaing dari dalam negara sahaja malah hampir dari serata dunia di Malaysia ialah Taman Negara Kuala Tahan, Kampung Janda Baik dan yang terkini ialah di Lenggong, Perak Darul Ridzuan.

Model Baru

CFMOTO 250NK Lite - Harga Marhaen RM9,888

Sebuah jentera jalanan 250cc baru daripada CFMOTO iaitu 250NK Lite yang baru sahaja dilancarkan pada harga jualan RM9,888. Ya...streetbike 250cc bawah RM10,000!