Isu Terkini

Februari 2024

Dari Litar / 11 April 2016

Zulfahmi Khairuddin Kini Berlumba Dalam MOTUL FIM Superbike World Championship 2016 (Supersport)

Bagi pencinta dunia motosikal, namanya tidak perlu diperkenalkan lagi selepas menunjukkan kejayaan dan kecemerlangan dalam sukan yang diceburinya. Dia ialah Muhammad Zulfahmi bin Khairuddin, pelumba negara yang sentiasa berusaha keras, jatuh bangun demi mengibarkan Jalur Gemilang di persada antarabangsa.

Pelumba 24 tahun dari Banting ini lebih dekat dengan panggilan Fahmi dan sememangnya jiwa pada dunia perlumbaan mulai mekar ketika mula bersaing dalam Aprilia Junior GP Dream pada tahun 2006. Bakatnya dikesan oleh bekas pelumba negara, Shahrol Yuzy seterusnya diserap ke dalam pasukan Modenas Yuzy Pachie Racing dari tahun 2007 hingga 2009. Fahmi disifatkan sebagai seorang pelumba yang berdisiplin dan mempunyai semangat yang tinggi dalam mencapai kemenangan.

Ciri-ciri inilah merupakan faktor penting mengapa dia dipilih menjadi pelumba wildcard negara bersama seorang lagi pelumba kelahiran cubprix iaitu Elly Idzlianizar dalam kelas 125cc pada tahun 2009. Perlumbaan yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang itu telah menaikkan namanya apabila Fahmi berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ke-20.

Detik pertamanya dalam persaingan sebenar 125cc ialah pada tahun 2010 iaitu di Litar Qatar bersama pasukan AirAsia-SIC Racing dan sekali memberikan tunggangan yang mantap apabila berjaya melintasi garisan penamat di tempat ke-21. Walaupun hampir kesemua litar perlumbaan masih cukup asing baginya, Fahmi tetap mampu mengharungi musim itu di tangga ke 24 keseluruhan. Dari jentera Aprilia, Fahmi diberi tanggungjawab untuk mencapai kedudukan yang lebih baik dengan memacu jentera Derbi. Fahmi menyahut cabaran pasukannya dan seluruh rakyat Malaysia untuk terus memberikan persembahan terbaik dan akhirnya menamatkan saingannya pada tahun 2011 di tempat ke-18 keseluruhan. Enam tangga lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Tahun 2012 adalah kemuncak bagi pelumba ini. Fahmi, ketika itu bersama pasukan AirAsia-SIC-Ajo dan menunggang jentera KTM dalam Moto3 buat pertama kali berjaya meraih posisi antara 10 pelumba terpantas di setiap pusingan. Penat lelahnya berbaloi apabila mencipta sejarah besar permotoran negara apabila menduduki tempat keempat di perlumbaan yang berlangsung di Litar Estoril, Portugal. Tunggangan cukup konsisten yang dipamerkannya memberi mata demi mata dan sekali lagi membuat kejutan pada perlumbaan pusingan 14 di Jepun dengan menamatkan persaingan di tempat kelima.

Litar SIC menjadi saksi betapa hebatnya anak muda dari Selangor ini menunjukkan kesungguhannya. Dia berjaya mencatatkan masa terpantas untuk men-dapatkan petak pertama di hari kelahirannya yang ke-21. Litar SIC bergegar dengan sorakan para penyokong Fahmi apabila dia muncul untuk memulakan perlumbaan. Pertarungan antara Fahmi dan Sandro Cortese ternyata antara babak perlumbaan paling menarik yang pernah berlaku di litar Sepang.

Fahmi akhirnya meraih podium pertama pada tahun itu selepas muncul naib juara tetapi lebih membanggakan apabila dia berjaya mencipta empat jenis rekod iaitu pole lap, fastest lap, circuit lap dan best lap. Fahmi turut menerima anugerah khas daripada Dorna iaitu '2012 Most Improved Rider' selepas berjaya menamatkan musim penuh gemilang di tangga ketujuh keseluruhan dengan 128 mata.

Pada tahun 2013, Fahmi meneruskan cabarannya bersama pasukan baru, Red Bull KTM Ajo Racing dan merupakan antara detik bersejarah bagi diri dan keluarganya apabila menerima anugerah 1Malaysia Ambassador yang telah disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Fahmi menamatkan saingan pada musim itu di tangga ke-12.

Dari KTM, Fahmi beralih angin dengan menunggang jentera Honda pada tahun 2014 dan berjaya mendapatkan posisi 15 terbaik di beberapa pusingan seperti di Perancis dan Itali. Tahun 2015 merupakan musim terakhirnya bersama Moto3 dengan pencapaian terbaik di Litar Motegi, Jepun di posisi kelima dan menamatkan saingan di tangga ke-23 keseluruhan.

Tahun 2016 ini, Fahmi cukup yakin dan bersemangat untuk mengharumkan nama Malaysia dalam perlumbaan terbaru yang disertainya iaitu FIM Supersport World Championship (SSP) bersama pasukan barunya, Orelac Racing VerdNatura dengan menunggang jentera Kawasaki ZX-6R di samping mengekalkan nombor kegemarannya '63'. Ketika menamatkan sesi ujian di Litar Jerez pada 26 hingga 28 Januari lalu, Zulfahmi berjaya menunjukkan prestasi yang mengagumkan dan bersedia untuk memberi cabaran baru bersama-sama rakan sepasukannya Nacho Calero yang berasal dari Valencia, Sepanyol.

Pencapaian Fahmi pada pusingan pertama yang berlangsung di Philip Island cukup memberangsangkan iaitu di tempat ke-13 dan di tempat ketujuh dalam perlumbaan pusingan kedua di Litar Antarabangsa Chang, Thailand pada 13 Mac lalu. Ternyata kesungguhan pelumba kebanggaan kita ini semakin hari semakin hebat untuk bersama para pelumba di hadapan.

Terdapat 3 pusingan lagi iaitu di Sepanyol, Netherlands dan Itali sebelum perlumbaan ini berlangsung di Malaysia. Ya... kita yakin Fahmi mampu melakukannya. Ayuh Fahmi!

Para pembaca RR juga berpeluang untuk merasai dan berkongsi kemeriahan perlumbaan WSBK yang bakal diadakan di Malaysia pada 13-15 Mei nanti. Seramai 12 orang pemenang bertuah akan menerima hadiah berupa 2 tiket Main Grandstand, bernilai RM87.88 setiap satu tiket yang ditaja oleh Litar Antarabangsa Sepang. Peraduan Jom Ke WSBK 2016 #supportfahmi63 ini akan dianjurkan selama dua bulan (keluaran April dan Mei) dan terbuka kepada semua pembaca RR. Tarikh tutup peraduan ini ialah pada 4hb Mei 2016. RR

Isu Pada

April 2016

Popular

  • Warta Roda

    Boon Siew Honda (BSH) di Malaysia Autoshow 2024 - Bakal Lancar ADV350, CB750, XL750 dan NX500

  • Penunggang Motosikal Maut, Terlanggar Khinzir di Tengah Jalan

  • Warta Roda

    Ducati Monster Senna Edisi Terhad: Penghormatan Buat Ayrton Senna

  • Warta Roda

    Penunggang Motosikal Dihempap Pokok!

  • Warta Roda

    Blueshark Kembangkan Rangkaian Pengedar ke Seluruh Negara

Artikel berkaitan

GP Perancis: Giliran Jorge Martin Loncat Gembira!

Red Bull MotoGP Rookies Cup (Pusingan 2): Podium Kedua Buat Hakim Danish!

MSBK1000: Azroy Menang Dengan Bergaya

Akid Raih Kemenangan Kedua Musim Ini

Pecco Juara GP Sepanyol...Tapi Marquez Sudah 'Kacau'!

Padu! Hakim Danish Raih Podium di Sepanyol

Pusingan Pembuka Tirai Red Bull MotoGP Rookies Cup, Hakim Danish Sudah Bersedia

Bimota Bakal Kembali Dalam WorldSBK 2025

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Konvoi 'High Speed Hill Journey' Bersama Pengedar Yamaha Taiwan

Seramai 13 wakil pengedar dan pemilik Yamaha dari Taiwan telah menikmati pengalaman menunggang di Malaysia baru-baru selama 4 hari 3 malam dengan jarak perjalanan sejauh 1,050 kilometer.

Warta Roda

'We Ride As One' 2024: Ducati Menggegar Bandar!

Tahun 2024 merupakan penganjuran acara 'We Ride As One' untuk kali ketiga yang dikhususkan untuk para pemilik Ducati.

Dari Litar

Akid Raih Kemenangan Kedua Musim Ini

Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing, Md Akid Aziz meraih tempat pertama di litar Tangkak.

Warta Roda

Cubaan Meragut Gagal, Suspek Telah Ditahan

KUCHING: Dua peragut berputih mata selepas cubaannya meragut seorang wanita di Taman Desa Wira, Batu Kawa digagalkan orang awam.