☰
Isu Terkini

Oktober 2024

Dari Litar / 14 Mei 2017

Davies Bagi Amaran!

Tidak mengenal putus asa, tunggangan penuh bertenaga yang dipertontonkan oleh pelumba pasukan Aruba.it Racing Ducati, Chaz Davies di pusingan Pirelli Aragon pada awal April lalu telah menghadiahkannya kemenangan cukup bermakna selepas berjaya mengenepikan juara bertahan, Jonathan Rea dalam satu pertarungan yang cukup sengit.

Davies kecewa Perlumbaan 1 selepas terbabas di penghujung saingan ketika mencabar pelumba 'hijau' di hadapannya. Ketiadaan Davies telah membantu 'ayam tambatan' pasukan Kawasaki, Rea untuk mendominasi perlumbaan 1 seterusnya menyapu bersih lima kemenangan berturut-turut. Saingan pertama turut memberikan senyuman manis buat Marco Melandri dan Tom Sykes selepas kedua-duanya menamatkan 18 lap penuh cabaran di tempat kedua dan ketiga.

Chaz Davies (tengah) berdiri megah selepas meraih kemenangan pertamanya.

Perlumbaan 2 berlangsung dalam litar cuaca yang cukup sempurna. Pelumba pasukan Pata Yamaha Official WorldSBK, Alex Lowes terlebih dahulu membuka jarak selepas melakukan 'holeshot' sambil diekori oleh Van der Mark, Laverty, Sykes dan Rea manakala Davies telah tercicir di tempat kesembilan.

Davies 'bangkit' untuk menebus kekecewaannya dengan kawalan jentera yang lebih mengagumkan. Dia mula memintas para pelumba di hadapannya manakala Lowes yang pada mulanya di depan melakukan kesilapan seterusnya ketinggalan jauh ke belakang.

Ketika perlumbaan berbaki lapan lap sebelum tamat, Davies yang berada di tempat ketiga berjaya memintas rakan sepasukannya, Melandri sebelum memerah tenaga Ducatinya untuk mengejar Rea di hadapan. Lap berikutnya, Rea pula menjadi mangsanya. Para krew Davies pastinya menarik nafas lega apabila dia berjaya mengawal jentera yang melebar tinggal beberapa selekoh sebelum tamat. Walaupun hampir-hampir dipintas Rea, Davies masih mampu menutup ruang seterusnya berjaya mengekalkan kedudukan sehinggalah tamat perlumbaan.

Musim ini Rea (1) ternyata cukup sukar untuk ditewaskan oleh mana-mana pelumba.

“Hari sebelum ini memang teruk dan saya rasa ianya akan berterusan hingga pada lap terakhir tadi. Inilah kegembiraan sebenar apabila berjaya membawa pulang satu kemenangan. Kami tahu jentera cukup bagus di litar ini tetapi kami perlu terus mempertingkatkan keupayaannya di beberapa tempat. Pertarungan hari ini sangat hebat dan kami menyukainya,” komen Chaz Davies.

“Saya amat gembira dengan kejayaan minggu ini kerana saya tidak kuat dan bertenaga di litar ini. Untuk beradu tenaga dengan Chaz di litar kegemarannya memang hebat dan hari ini dia memang cukup sukar untuk ditewaskan. Saya tetap gembira kerana berjaya menduduki podium pada hari ini,” kata Rea yang kini berada di tangga teratas dengan 145 mata.

Dalam saingan WSSP, Lucas Mahias dari pasukan GRT Yamaha Official WorldSSP telah mempamerkan tunggangan bertenaga untuk menewaskan Sheridan Morais dan PJ Jacobsen yang menunggang MV Agusta F3 675. Zulfahmi Khairuddin turut menunjukkan semangat juang yang semakin tinggi dalam saingan musim ini. Fahmi berjaya memacu jentera Kawasaki ZX-6R dengan kemas untuk menamatkan perlumbaan di tempat ke-14.

Zulfahmi Khairuddin cukup bertenaga memerah jenteranya untuk memberi saingan dalam WSSP.
Zulfahmi Khairuddin cukup bertenaga memerah jenteranya untuk memberi saingan dalam WSSP.

Litar Aragon juga menjadi tempat lakarnya sejarah perlumbaan pertama jentera 300cc iaitu WorldSSP300. Perlumbaan sulung ini disertai oleh 34 orang pelumba yang menggunakan jentera Kawasaki Ninja 300, Yamaha YZF-R3 dan Honda CBR500R.

Pelumba muda, Scott Deroue dari pasukan MTM HS Kawasaki telah muncul juara dalam siri baru ini diikuti dua pelumba dari Sepanyol iaitu Daniel Valle yang menunggang Yamaha YZF-R3 dan Mika Perez di tempat ketiga bersama jentera Honda CBR500Rnya. RR

Isu Pada

Mei 2017

Popular

  • Model Baru

    Ducati Panigale V4S 2027: Lebih Moden & Lebih Berkuasa

  • Pandu Uji

    Kawasaki KLE500 - Dari Lebuhraya ke Laluan lasak

  • Warta Roda

    Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 Lebih Meriah... Lebih Mencabar

  • Warta Roda

    Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

  • Model Baru

    Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

Artikel berkaitan

SIC Sasar 200,000 Pengujung Tahun Ini, Hakim Danish Bakal Menjadi Tumpuan di GP Malaysia

Marco Bezzechhi Cemerlang di Mandalika

Marc Marquez Menang Berganda di Motegi

Hakim Danish Raih 7 Mata Untuk Naik Kedudukan Ketujuh Moto3

Marc Marquez Kembali di Pucak Selepas Menang di Misano!

Hakim Danish Bangkit Dari Petak Ke-25

Hakim Danish Sasar Keputusan Lebih Baik di Misano

Nicolo Bulega Sah ke MotoGP 2027

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

Wow...katanya para peminat dua roda tanahair bakal mempunyai satu lagi pilihan menarik apabila sebuah jenama motosikal dijangka akan hadir ke pasaran negara dengan mengenengahkan skuter berkonsepkan retro.

Warta Roda

Voge DS800X Rally Sudah Berada di Pengedar Mforce Seluruh Negara

Voge DS800X Rally akhirnya tiba ke pasaran negara.

Warta Roda

Tiga Jurutera ZXMOTO China Hadir Ke Malaysia, Kongsi Kepakaran Pemasangan Model

Tiga orang jurutera teknikal diterbangkan khas dari ZXMOTO China ke Malaysia bagi menjalankan sesi latihan dan bimbingan berkaitan kaedah pemasangan model-model motosikal keluaran syarikat berkenaan.

Warta Roda

Sah... Yamaha XMAX 300 TECH MAX Diserahkan Kepada 200 Pemilik Pertama

Tahniah buat 200 pemilik pertama Yamaha XMAX 300 Tech MAX di Malaysia yang telah menerima motosikal masing-masing menerusi program penyerahan khas yang diadakan serentak di seluruh negara oleh pengedar sah Yamaha Big Bike.