Morbidelli T802 2027 Tampil Dalam 3 Varian
Morbidelli memperkenalkan siri motosikal adventure terbaharunya iaitu T802 di pameran EICMA 2026 di Milan, Itali. Menariknya, model berkapasiti 799cc ini ditawarkan dalam tiga varian adalah T802X, T802XR dan T802XR Rally yang masing-masing dibangunkan mengikut keperluan serta gaya tunggangan berbeza. T802X lebih sesuai untuk perjalanan jauh di jalan raya, T802XR menawarkan keupayaan tunggangan off-road manakala T802XR RALLY merupakan varian paling lasak untuk pengembaraan di laluan mencabar.


Ketiga-tiga varian menggunakan enjin dua silinder sebaris 799cc, DOHC denga sistemn penyejukan cecair yang menghasilkan kuasa 94.5hp pada 9,000rpm dan tork 80Nm pada 7,500rpm. Sistem transmisi enam kelajuan turut didatangkan bersama slipper clutch serta quickshifter dua hala.
Perbezaan utama antara ketiga-tiga varian terletak pada sistem roda, tayar, suspensi dan dimensi. T802X menggunakan rim jejari tubeless 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang bersama tayar Metzeler Tourance. Ia dilengkapi dua cakera brek hadapan 298mm, jarak travel suspensi 210mm dan kelegaan bumi 206mm. Ketinggian pelananya pula ialah 830mm. T802XR pula menggunakan rim 21 inci dan 18 inci bersama tayar Pirelli Scorpion Rally STR, cakera brek hadapan 320mm, kelegaan bumi 245mm dan pelana setinggi 850mm. Sementara itu, T802XR Rally menerima suspensi lebih panjang dengan jarak travel 233mm di hadapan dan 230mm di belakang, kelegaan bumi 270mm serta ketinggian pelana 875mm.


Ketiga-tiga model menggunakan kerangka jenis diamond, lengan ayun aluminium dua sisi serta suspensi hadapan KYB jenis terbalik berdiameter 48mm yang boleh dilaraskan. Bahagian belakang menggunakan penyerap hentak tunggal Pro-Link dengan pelarasan preload dan redaman. T802X dan T802XR dilengkapi pelana berasingan manakala T802XR Rally menggunakan pelana rata jenis rally bagi memberikan kebebasan pergerakan ketika menunggang dalam posisi berdiri. Kapasiti tangki bahan api ialah 20.5 liter.


Dari segi elektronik, keluarga T802 dilengkapi sistem Bosch dengan unit pengukuran inersia IMU yang menyokong Cornering ABS, Traction Control dan Anti-Wheelie. Penunggang boleh memilih tiga mod tunggangan iaitu Road, Sport dan Off-Road mengikut keadaan permukaan serta gaya tunggangan. Antara kelengkapan lain termasuk sistem blind spot menggunakan radar belakang, kamera hadapan yang turut berfungsi sebagai DashCam dengan rakaman 1080p, lampu LED sepenuhnya, lampu selekoh dan TPMS.
Modelmini dipadankan meter TFT berwarna bersaiz 7-inci dengan paparan navigasi, muzik dan maklumat tekanan tayar. Ciri-ciri lain adalah cruise control, pemanas pendikit dan pelana dengan tiga tahap pelarasan, pelindung tangan, soket USB dan cermin penghadang angin boleh laras. Motosikal ini turut dilengkapi modul sambungan M-Link 4 dengan kad SIM 4G, GPS dan bateri sokongan yang dihubungkan kepada aplikasi Morbidelli. Melalui aplikasi tersebut, pengguna boleh mendapatkan navigasi Google pada panel meter, menjejak lokasi motosikal, mengaktifkan sistem anti-kecurian, merekod perjalanan serta menggunakan butang SOS untuk menghantar lokasi kepada kenalan pilihan.


Ketiga-tiga varian Morbidelli T802 dibangunkan sebagai model tahun 2027 dan kini berada pada peringkat akhir pembangunan. Model ini dijangkakan akan berada di pasaran global pada suku pertama 2027 (bergantung pada negara). Walaubagaimanapun harga jualan dan bila akan masuk ke pasaran Malaysia masih belum diumumkan. RR

Popular




