Voge SR450X Sudah Berada Di Pengedar Mforce Seluruh Negara
Selepas dipertontonkan pada bulan Mei lalu sempena MBS 2026, Voge SR450X akhirnya boleh didapati di semua pengedar sah Mforce seluruh negara.
VOGE SR450X dikuasakan enjin dua silinder 398 cc, empat lejang dengan sistem penyejuk cecair yang menghasilkan kuasa maksimum 41.6hp pada 8,000rpm dan tork 42Nm pada 5,750rpm. Enjin yang menggunakan sistem suntikan bahan api elektronik (EFI) ini turut dipadankan dengan transmisi jenis CVT serta pacuan akjir jenis tali sawat.


Model ini menggunakan fork USD dari KYB 37mm di hadapan dengan pelarasan preload manakala bahagian belakang dilengkapi penyerap hentak berkembar KYB. Sistem brek terdiri daripada cakera berkembar 300mm di hadapan dan cakera tunggal 240mm di belakang. Kelengkapan keselamatan merangkumi sistem ABS dua saluran, Traction Control dan Blind Spot. Terdapat juga dua mod tunggangan iaitu Normal dan Sport. Saiz tnagki bahan api pula sekitar 18 liter.
Antara kelengkapan teknologi yang ditawarkan ialah meter TFT berwarna 7-inci dengan fungsi navigasi melalui aplikasi Carbit Ride, sambungan Bluetooth, sistem kunci pintar, TPMS, cermin penghadang angin boleh laras secara elektronik, pemanas pendikit tiga tahap, pemanas pelana, lampu-lampu LED, USB Type-A dan Type-C.


Ciri-ciri lain pula termasuk tinggi pelana 795mm, kelegaan bumi 180mm, berat 220kg, pelindung tangan, lampu kabus, pelapik kaki anti gelincir, rim jenis jejari, tayar hadapan 110/70-17 dan belakang
Voge SR450X ditawarkan pada harga asas bermula RM29,888 (tanpa cukai jalan dan insurans). Model ini hadir dalam tiga pilihan warna iaitu Alpine Green, Cosmic Blue dan Onyx Black.


Setiap pembelian VOGE SR450X disertakan waranti dua tahun atau 20,000km (mana yang tiba dahulu). Sekiranya jarak perjalanan melebihi 20,000km dalam tempoh tersebut, komponen enjin masih dilindungi menerusi waranti perbatuan tanpa had bagi baki tempoh waranti. Pelanggan juga boleh mendapatkan alat ganti tulen menerusi perkhidmatan pembelian dalam talian VOGE Malaysia. RR


Popular




