Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 18 November 2020

YAMAHA TRACER 900GT Resepi Terbaru Jentera Pengembaraan

Ketika menghadiri majlis pelancarannya Januari lalu, jujurnya kami amat terpesona dengan apa yang dimiliki oleh model ini. Tidaklah keterlaluan jika kami katakan ia adalah sebuah jentera pengembaraan yang sempurna dan ditawarkan pada harga cukup berpatutan. Dengan RM58,888, Yamaha Tracer 900GT disempurnakan dengan pelbagai ciri-ciri hebat yang meliputi kebijaksaan kejuruteraan dan teknologi serba moden. Jom kita rasai nikmat menunggang Yamaha Tracer 900GT. GT adalah singkatan untuk Gran Turismo yang menjelaskan bahawa model Tracer baru ini memang direka cukup sesuai untuk semua jenis tunggangan  - pengembaraan jauh mahupun yang dekat. Lampu utama jenis LED yang dikemaskan pada model ini sememangnya cantik dan cukup terang manakala bahagian hadapan telah disempurnakan pula dengan adanya cermin pengadang udara yang boleh laras (secara manual).

Panel meter TFT yang dilengkapkan pada Tracer GT ini memang cantik dan kemas – rasa macam naik R1 pula. Ia benar-benar moden! Menerusi paparan ini, kita bukan sahaja dapat melihat segala info-info biasa seperti tahap kelajuan, putaran rpm, kedudukan gear, masa, purata kelajuan, purata bahan api, jarak perjalanan dan lain-lain tetapi menerusinya, penunggang dapat memilih untuk melihat beberapa lagi paparan berbeza.

Contohnya, menerusi paparan MENU, kita dapat melihat beberapa modul seperti Maintenance, Unit, Wallpaper, Shift Indicator, Display Setting dan Brightness. Kami dapati segala talaan dapat dilakukan serta dibaca dengan mudah. Suis-suis talaan ini terdapat di bar hendal sebelah kanan dan kiri. Bila sudah mahir, memang mudah benar ia digunakan.

Antara ciri-ciri cukup menarik yang dipadatkan pada model ini ialah Traction Control, Ride by Wire dengan tiga mod tunggangan, Quick Shifter, Cruise Control, ABS, Assist & Slipper Clutch dan pemanas pendikit. Rekabentuk luaran direka dengan halus dan berkualiti. Tracer yang kami uji berwarna kelabu dimantapkan lagi dengan fairing sisi warna merah gelap – kombinasi sangat bijak yang menyerlahkan lagi rupanya. Sistem ekzos Tracer yang hadir dengan tiga paip berwarna krom memang menjadikan Tracer ini tampak garang.

Tracer 900GT 2020 (Midnight Silver)

Pelana model ini memiliki dua tahap ketinggian  yang boleh dipilih dan diubah mengikut kehendak para penunggangnya. Jika anda penunggang biasa, pelana 850mm sudah memadai dan jika belum cukup, ia boleh dinaikkan kepada 865mm. Memang selesa betul berada di atas Yamaha ini, posisi menunggang cukup 'sedap' manakala ruangnya luas membolehkan kita mengendali jentera ini dengan mudah. Pelana Tracer 900GT telah direka semula,  memberikan ruang kaki yang lebih luas buat penunggang dan pembonceng. Posisi bar pemegang (pembonceng) juga diubah untuk memberi lebih keselesaan.

Mod Standard dipilih buat permulaan! Enjin tiga silinder crossplane (CP3) amat seronok digunakan. Enjin ini menawarkan kuasa setinggi 113hp pada 10,000rpm dan tork 87.5Nm pada 8,500rpm. Kuasanya yang mutlak dapat dirasakan dalam setiap gear dan setiap rpm, ia hadir dengan tepat di setiap rentapan.

Tracer dilengkapkan dengan lampu penukaran gear yang terletak di sebelah kanan panel meter. Ketika mengambil jentera ini di ibu pejabat Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM), ia telah ditala untuk berkelip-kelip apabila putaran enjin mencecah 5,000rpm. Apa yang mengujakan... talaan tersebut boleh ditukar pada bila-bila masa.

Tracer 900GT 2020 (Reddish Copper)

Caranya juga semudah A, B dan C. Kita hanya perlu menggunakan suis beroda (Wheel Switch) yang terdapat pada bar hendal sebelah kanan. Ia bertindak untuk membuat pilihan pada setiap talaan yang kita inginkan menerusi paparan di panel meter. Dari 5,000rpm, kami tingkatkan kepada 7,000rpm dan kemudiannya kepada 9,000rpm. Bila sudah berpuas hati dengan pilihan kita, tekan lama sedikit dan selesai.

Selepas membuat sedikit talaan, enjin CP3 ini lebih rancak...lebih mantap dan lebih garang. Sistem Quick Shifter (QS) membuatkan proses menambah gear dapat dilakukan dengan sangat lancar, tanpa perlu menggunakan tuas klac. Tetapi untuk model ini, sistem tersebut hanya berfungsi ketika proses menambah gear, penggunaan klac tetap diperlukan jika ingin turunkan gear.

Menunggang sebuah jentera yang tinggi lampai ternyata banyak kelebihannya! Kita dapat melihat keadaan trafik di hadapan lebih jelas manakala bar hendal yang tinggi melepasi cermin sisi kereta memudahkan pergerakan kita di dalam kesesakan bandar.

Sebaik sahaja berada di lebuhraya, cermin pengadang udara dinaikkan dan Mod A dengan TC1 menjadi pilihan. Aduhai... hantaran kuasa sangat tepat dan bertenaga. Jika model terdahulu dikatakan kuasanya liar... model GT ini jauh lebih stabil. Benar… ia sangat bertenaga tetapi cukup mudah untuk dikawal. Dengan ketegapan kerangka jenis Diamond dan kawalan sistem saspensinya, Tracer 900GT terus stabil dan tegap walaupun kelajuan mencecah 230km/j. Superb! Orang putih kata.

Sesuai sebagai jentera pengembaraan, kita dapat menunggang tanpa penat dengan menggunakan sistem Cruise Control yang boleh ditala dengan sangat mudah. Walaupun setelah disetkan pada 100km/j, kelajuan dapat ditingkatkan dengan menekan butang '+' atau '-' untuk memperlahankannya. Tekan RES (resume) untuk kembalikan pada kelajuan yang diset awal tadi. Sistem Cruise Control ini dinyahaktifkan apabila pendikit ditutup atau kita menggunakan brek. Tracer baru ini juga lengkap dengan penunjuk ECO yang akan menyala apabila kita sedang menunggang pada kelajuan yang cekap bahan api dan mesra alam.

Lampu LED yang dimilikinya cukup terang sekali dan ini ditambah pula apabila kita menggunakan lampu tinggi. Sinaran warna lampu putih bersih membolehkan kenderaan hadapan sedar akan kehadiran kita seterusnya memberi laluan untuk kita memintas. 'TQ' Yamaha! Sudut suluhan lampu-lampu berkembar pada Tracer ini juga boleh ditala menerusi tuasnya yang terletak di bahagian hadapan. Ini untuk disesuaikan dengan ketinggian seseorang penunggang itu atau mendapatkan suluhan tepat di kawasan-kawasan mencabar.

Hampir tiada laluan yang menyukarkan Tracer ini. Ia didatangkan dengan fork hadapan boleh laras sepenuhnya manakala penyerap hentak pra beban di belakang juga boleh dilaras mengikut keselesaan. Untuk melakukannya juga amat mudah... tidak perlu ke kedai atau berjumpa dengan pakar. Praktikaliti jentera ini wajar diberi pujian.

Perumpamaan 'Ku Sangka Panas Hingga Ke Petang Tapi Hujan Di Tengahari' memang sesuai digunakan ketika kami menguji model ini. Gerimis bertukar lebat dan dengan kadar permukaan jalan yang kian licin, kami tidak membuang masa dan terus menggunakan Mod B dan TC2. Dalam mod ini, hantaran kuasa memang cukup rendah tidak kiralah segalak mana anda memulas pendikit. Sistem ini amat dialu-alukan agar perjalanan lebih selamat. Jika terlalu sejuk, penunggang Tracer dapat menikmati haba panas yang diperolehi daripada sistem pemanas pendikit yang suhunya boleh dikawal dalam empat tahap.

Untuk mengawal setiap pergerakan, tayartayar yang dilengkapkan pada jentera ini dikawal oleh sepasang brek cakera hidraulik bersaiz 298mm (depan) dan brek cakera hidraulik 245mm di belakang. Dengan geometri rekabentuknya yang sempurna, jentera ini mudak dikendalikan walaupun ia seberat 215kg dan panjang 2,160mm.

Ketika perjalanan mencecah 315 kilometer, barulah lampu bahan api berkelip-kelip meminta tangkinya bersaiz 18 liter untuk diisi. Memang cukup jimatlah motor ini walaupun kami tungganginya dengan pelbagai gaya di berbagai-bagai jenis jalan. Kalau kami menunggang dengan kelajuan yang lebih sekata, pasti jarak perjalanan dapat dicatat lebih jauh.

Sememangnya perjalanan dengan Tracer 900GT cukup istimewa. Ia tangkas tetapi mudah... Ia laju tetapi selesa.. Ia garang tetapi lancar. Ia adalah satu kombinasi yang sempurna untuk membawa dunia motosikal pengembaraan di era baru. Kami benar-benar rasa banyak perbezaan dari segi emosi, corak tunggangan dan keterujaan ketika bersama Yamaha Tracer 900GT ini. Anda rasailah sendiri nanti! RR

Isu Pada

Jun 2019

Spesifikasi

Enjin4 lejang, 3 silinder, DOHC, 12 injap, sistem penyejuk cecair
Isipadu847 cc
Gerek x Lejang78 x 59.1 mm
Nisbah mampatan11.5:1
Kuasa maksimum86kW pada 10,000 rpm
Tork maksimum85.7Nm pada 8,500 rpm
Tinggi pelana860 mm
Isi Tangki18 liter
Berat210 kg
PengedarHong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd

Popular

  • Warta Roda

    WMOTO Griffin 205 Sudah Berada di Pusat Pengedar Mforce Smartshop

  • Warta Roda

    Art of Speed 2026: 15 Tahun Menyatukan Jiwa Kustom

  • Warta Roda

    Honda ADV160 Edisi Terhad Versi Spider-Man Dilancarkan - Bermula RM14,149

  • Berita Kelab

    Kembara Road Rider Crew Taiping 3.0 Sempena Ulang Tahun Kelab ke-4

  • Dari Litar

    Hakim Danish Kutip Mata Berharga Walaupun Berdepan Cabaran di Sachsenring

Artikel berkaitan

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Yamaha NVX 155 SP - Skuter Premium Dengan Teknologi Terkini

Hampir 1000 kilometer Dengan Aveta NOVA 250 - Apa Rasanya?

Media Test Ride Kawasaki Z900: Glenmarie ke Sekinchan - Bukan Sekadar Kuasa

SYM ADXTG 400: Skuter Adventure Santai Tapi Padu

BMW F900 GSA: Jelajah Tanpa Batasan

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Empat Penunggang Maut Dalam Kemalangan Membabitkan Motosikal Dan Kereta

Empat penunggang maut manakala yang lain cedera dalan kemalangan antara beberapa motosikal dan sebuah kereta di LPT.

Model Baru

KTM 790 Duke 2027: Lebih Agresif....Kawalan Lebih Cekap

Bagi penunggang yang mahukan sebuah naked bike berprestasi tinggi dengan elektronik lengkap dan pengendalian yang menyeronokkan, KTM 790 Duke baru ini mungkin antara pilihan terbaik. Tepuk dada tanya selera!

Dari Litar

Yamaha Jadi Pembekal Tunggal Moto3 Bermula 2028

Yamaha Motor Co., Ltd. jadi pembekal tunggal motosikal bagi Kejuaraan Dunia FIM Moto3 bermula musim 2028 hingga 2033.

Dari Litar

Penantian 10 tahun Malaysia, Hakim Danish Cipta Sejarah Baru

Hakim Danish Ramli melakar sejarah apabila meraih kemenangan sulungnya dalam Kejuaraan Dunia Moto3 selepas muncul juara di GP  Republik Czech.