Honda CBR650R E-Clutch - Sebuah Supersport Mesra Pengguna?
Tidak banyak motosikal yang mampu membuatkan seseorang tersenyum apabila buat pertama kali ditunggannya. Namun itulah yang kami rasai sebaik sahaja menunggang Honda CBR650R E-Clutch meninggalkan kesibukan ibu kota menuju ke Bukit Tinggi, Pahang. Destinasi kali ini bukan sekadar perjalanan santai, sebaliknya untuk mengenali karakter sebenar sportbike empat silinder ini. Laluan lebuh raya, selekoh berbukit di Bukit Tinggi dan Janda Baik sebelum kembali ke Putrajaya memberikan pelbagai situasi tunggangan yang cukup mencabar.
Perkara pertama yang mencuri perhatian sudah tentu enjin empat silinder sebaris 649cc DOHC yang menghasilkan 94hp pada 12,000rpm dan tork 63Nm pada 9,500 rpm. Karakter enjinpada jentera ini cukup halus, responsif dan bertenaga. Kuasanya mudah dikawal ketika menyelit dalam kesesakan lalu lintas Kuala Lumpur walaupun ia sebuah model supersport. Namun apabila putaran rpm mula mencecah 7,000rpm, bunyi garang pada enjin empat silinder mula memenuhi ruang helmet sambil menolak motosikal dengan pecutan yang semakin agresif.


Tetapi keistimewaan sebenar model ini bukan hanya terletak pada enjinnya. Honda memperkenalkan teknologi E-Clutch yang merupakan satu sistem agak kedengaran asing bagi sesetengah penunggang terutama untuk jentera supersport. Sistem E-Clutch membolehkan penunggang memulakan perjalanan tanpa perlu melepaskan tuil klac. Kami dapat rasakan seperti ada tangan ghaib yang melepaskan tuil klac apabila kami mahu mula bergerak.
Bila ada teknologi Honda E-Clutch, jentera ini tidak mudah mati apabila putaran RPM berada pada tahap yang sangat rendah. Sepanjang mengharungi kesesakan trafik di sekitar Kuala Lumpur, kami sengaja membiarkan motosikal bergerak perlahan ketika menyelit di celah-celah kenderaan tanpa terlalu bergantung kepada tuil klac. Hasilnya, enjin kekal hidup dengan lancar walaupun kelajuan menurun dan RPM jatuh hampir ke tahap melahu.


Situasi seperti ini pastinya memberikan keyakinan yang lebih tinggi kepada penunggang yang masih baru berjinak-jinak dengan motosikal berkapasiti sederhana atau mereka yang sering berdepan trafik sesak setiap hari. Sistem E-Clutch menguruskan operasi klac secara automatik dengan begitu halus untuk mengurangkan risiko enjin mati akibat pelepasan klac yang kurang tepat.
Selepas tinggalkan kawasan bandar, kami mula menuju ke Bukit Tinggi, Pahang untuk menikmati laluan berselekoh. Kawasan sini memang cukup terkenal buat para biker untuk melayan corner dengan jentera masing-masing. Masuk sahaja lebuhraya karak, pendikit semakin galak dipulas. Rekabentuk badan yang aerodinamik pada CBR650R ini memudahkan laluan angin dengan mudah. Kami tidak rasa seperti terhuyung hayang apabila memecut. Tahap kelajuan yang mampu dicapai lebih dari 200km/j. Walaupun pada hari bekerja, keadaad trafik di lebuhraya ini juga tidak lengang tidak begitu sesak.


Sebaik memasuki laluan berbukit di Bukit Tinggi, perhatian dapat diberikan sepenuhnya kepada garisan selekoh dan kawalan pendikit kerana pertukaran gear menjadi lebih pantas serta lancar. Proses penukaran gear dapat dilakukan dengan sempurna oleh sebab adanya teknologi quicshifter dua hala. Sistem Slipper Clutch juga turut membantu kami untuk menurunkan kedudukan gear dengan pantas supaya enjin tidak mudah menjerit.
Keselesaan ketika menunggang bukan hanya terletak pada posisi menunggang sahaja tetapi turut bergantung kepada betapa mantapnya sistem saspensi sesebuah jentera itu. Jentera ini menggunakan fork hadapan Showa Separate Function Big Piston (SFF-BP) USD 41mm bekerja cemerlang menyerap hentakan dengan baik sebelum mengambil selekoh. Suspensi belakang jenis monoshock pula memastikan jentera tidak mudah berbuai apabila kami memiringkan badan motosikal ini.


Memang sedap melayan laluan berselekoh bersama CBR650R ini. Tayar-tayarnya bersaiz 120/70-ZR17 di depan dan 180/55-ZR17 di belakang mengigit permukaan jalan dengan sempurna sekali. Kami juga dapat memastikan jenetra ini sentiasa berada tepat dilaluannya dengan adanya brek-brek cakera yang telah bekerja dengan sebaiknya.
Selepas puas melayan selekoh-selekoh di Bukit Tinggi, kami singgah di Janda Baik, Pahang untuk menghilangkan dahaga sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Putrajaya. Ketika itu, jarak tunggangan sudah pun hampir 200 kilometer, namun apa yang mengejutkan ialah tangan kiri kami masih terasa segar walaupun CBR650R E-Clutch menawarkan posisi tunggangan yang sporty. Ini kerana tuil klac hampir tidak perlu digunakan sepanjang perjalanan di mana CBR650R ini menguruskan operasi klac secara automatik.


Kelebihan sistem Honda E-Clutch turut benar-benar dirasai apabila kami memasuki kawasan Putrajaya yang mempunyai banyak persimpangan dan lampu isyarat. Dalam situasi yang memerlukan motosikal kerap berhenti dan bergerak semula. E-Clutch menjadikan setiap pelepasan lebih lancar tanpa perlu menarik tuil klac setiap kali lampu bertukar hijau. Kami hanya perlu menumpukan perhatian kepada kawalan pendikit dan pertukaran gear yang sesuai.
Honda CBR650R E-Clutch yang kami tunggang merupakan model tahun 2025 dan masih mengekalkan identiti sebuah supersport yang moden serta agresif. Rekaan bahagian hadapan tampil tajam dengan lampu utama LED berkembar yang memberikan wajah garang seperti abangnya. Lampu belakangnya pula tampil ringkas tetapi cukup sporty. Honda turut mengekalkan identiti tersendiri menerusi lampu isyarat hadapan yang kekal menyala ketika jenetra bergerak dan hanya berkelip apabila isyarat membelok diaktifkan.


Honda turut melengkapkan CBR650R dengan paparan TFT berwarna 5-inci yang moden dan mudah dibaca dalam pelbagai keadaan cahaya. Ia bukan sahaja memaparkan maklumat penting seperti gear, rpm, penggunaan bahan api dan kedudukan gear, malah menyokong sambungan Honda RoadSync untuk fungsi navigasi, panggilan telefon serta muzik melalui telefon pintar. Tangki bahan api berkapasiti 15.4 liter pula cukup besar untuk perjalanan jarak jauh.
Persoalanya siapakah yang sesuai memiliki Honda CBR650R E-Clutch? Jawapannya cukup mudah. Ia bukan motosikal yang dibangunkan khusus untuk pelumba litar, sebaliknya untuk penunggang yang mahukan sebuah model supersport empat silinder premium yang boleh digunakan setiap hari. Mereka yang berulang-alik ke tempat kerja akan menghargai kemudahan E-Clutch ketika menghadapi kesesakan lalu lintas. Manakala bagi mereka yang suka menjelajah pula dapat menikmati keselesaan casis, kuasa enjin serta karakter pengendalian ketika melalui jalan berbukit pada hujung minggu. Malah, bagi mereka yang baru ingin beralih daripada motosikal berkapasiti kecil kepada kelas pertengahan, E-Clutch juga membantu mengurangkan tekanan ketika belajar mengendalikan motosikal berkuasa lebih tinggi.


Dengan harga sekitar RM49,999 (tanpa cukai jalan, insurans dan pendaftaran), Honda CBR650R E-Clutch menawarkan satu pakej yang lengkap termasuklah untuk kegunaan harian, melayan selekoh dan cukup canggih untuk memenuhi kehendak penunggang moden. Ia bukan sekadar sebuah CBR yang lebih baharu, tetapi sebuah model yang benar-benar membawa pengalaman tunggangan ke satu tahap berbeza. RR




