Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 17 Ogos 2026

Honda CRF1100L Africa Twin 2026: Pengembaraan Baru Bermula

Pagi masih muda ketika enjin Honda Africa Twin 2026 dihidupkan. Bunyi enjin dua silinder selari 1,084 cc itu berdegup perlahan tapi cukup bertenaga, seolah-olah mengajak kita untuk segera memulakan perjalanan. Tapi, sebelum kita borak lebih lanjut, jom kita terjah sikit al-kisah sejarah model ni.

Honda 'Africa Twin' memperoleh reputasinya bermula pada tahun 1980-an apabila syarikat pengeluar motosikal dari Jepun ini membuat keputusan untuk sertai perlumbaan lasak, Rally Paris-Dakar. Siapa yang tak kenal dengan perlumbaan ini? Kejayaan model awal iaitu NXR800V dalam perlumbaan ini menjadi asas kepada konsep pengeluaran Honda Africa Twin untuk kegunaan di jalanan biasa.

Dari XR50 Africa Twin, kapasiti enjin ditingkatkan kepada 750cc yang merupakan antara model 'fenomena' kerana ia sangat popular. Bayangkan ia terus mendapat sambutan dari awal tahun 19990an hingga tahun 2003 apabila pengeluarannya berakhir. Lebih sedekad kemudian, Honda Africa Twin kembali dengan penjenamaan semula menerusi CRF1000L yang menawarkan enjin lebih padu iaitu 998cc, parallel-twin dan tidak lama kemudian hadir dengan sistem transmisi DCT (Dual Clutch Transmision).

Okay...cukuplah sekadar itu kita mengimbau kembali kenangan lama!

Jentera yang berada di depan mata kali ini ialah Honda CRF1100L Africa Twin 2026 dan ia adalah sebuah mesin yang Besar, Tegap Dan Penuh Keyakinan! Tidak dapat dinafikan, Africa Twin bukan motosikal yang kecil. Dengan badan yang tinggi, tangki besar dan postur yang tegap, ia bukan sebuah jentera yang untuk main-main.

Tetapi jangan salah faham. Di sebalik rupa yang kelihatan garang itu, Africa Twin sebenarnya sangat mesra apabila ia mula bergerak. Duduk di atas pelana memberikan rasa seperti berada di posisi seorang pengembara. Pandangan ke hadapan luas, tangan berada pada kedudukan semula jadi dan badan terasa santai. Secara peribadi, terus terang saya katakan ia mengajak kita untuk 'berjalan jauh'1 Dekat-dekat tak main lah!

Pada kelajuan rendah, perkara pertama yang menarik perhatian ialah bagaimana mudahnya Africa Twin dikawal terutama sekali keseimbangannya sangat mengagumkan. Putaran pendikit terasa tepat. Kuasa datang dengan cara yang terkawal, bukan mengejutkan walaupun enjin baru ini lebih besar berbanding sebelum ini.

Motosikal adventure bukan hanya bergerak di jalan sempurna. Kadangkala kita perlu berdepan permukaan tidak rata, batu kecil, pasir atau jalan kampung yang sempit. Di situlah kita akan merasakan casisnya yang tegar dan tegap memberikan keyakinan. Pelananya yang hanya setinggi 840mm memudahkan kita (tidak kira penunggang tinggi atau rendah) membaca keadaan jalan lebih awal untuk pengendalian yang lebih selamat. Kalau anda seroang 'season rider', pastinya dapat mengendalikan Honda ini tanpa sebarang masalah.

Ketika mengembara, kita akan menikmati pelbagai jenis laluan dan paling syiok, apabila tiba masa untuk menikmati laluan berselekoh. Africa Twin yang tadi kelihatan besar mula terasa lebih ringan apabila bergerak. Masuk ke selekoh dengan yakin, buka pendikit ketika keluar, rasailah Africa Twin ini bergerak dengan cukup lancar.

Honda melengkapkan model baru ini dengan enjin 1,084cc, kembar-parallel, sistem sejukan cecair yang menhasilkan hantaran kuasa 100.6hp (75kW) pada 7,500rpm dan tork 1Nm pada 5,500rpm yang sememangnya menyerlahkan karaktor sebenar Africa Twin ini ketika meluncur di atas lebuhraya. Mungkin....diulang, mungkin dulu kita aggak kurang arif dengan sistem transmisi DCT. "Macam mana proses tukar gear?" Tetapi sekarang, kita sudah biasa dengan sistem dan sememangnya mempunyai banyak kelebihannya.

Dalam trafik bandar, sistem ini mengurangkan keletihan. Setiap posisi gear dinaikkan/diturunkan secara automatik mengikut tahap putaran enjin. Namun begitu, jika kita ingin menurunkan gear secara manual (khususnya sebelum masuk selekoh atau ketika mendaki), tekan sahaja suis dan turunlah berapa gear yang anda mahu. Mudah kan? RIngkasnya, teknologi ini menjadi sebahagian daripada pengalaman menarik buat para peminat Honda.

Antara sistem paling penting pada Africa Twin ialah Honda Selectable Torque Control (HSTC) yang mengawal tahap cengkaman. Dengan bantuan sensor kelajuan roda dan unit pengukuran inersia (IMU), sistem ini sentiasa memantau keadaan motosikal. Apabila tayar belakang mula kehilangan cengkaman, sistem akan melaraskan penghantaran kuasa supaya pergerakan kembali normal dan selamat.

Tak sah kalau kami tak kongsikan betapa bestnya menunggang model ini yang dilengkapkan dengan beberapa Mod Tunggangan. Antara pilihan yang ditawarkan ialah Tour: Sesuai untuk perjalanan jauh di atas jalan raya. Hantaran kuasa lebih bertenaga, respon lebih pantas dan memang 'padu' apabila mengembara jarak jauh secara solo atau berdua.

Mod Urban pula lebih bagus jika dipilih untuk kegunaan harian dan keadaan trafik. Respons enjin lebih mudah dikawal manakala mo Gravel pula sudah tentu direka untuk permukaan kurang sempurna seperti di laluan tanah merah dan batu kecil. Pilih mod Off-Road buat mereka yang lebih handal di laluan lasak kerana pergerakan tayar belakang lebih bebas. Akhirnya sekali ialah Mod User yang dikhususnya buat penunggang yang tidak mahu terikat dengan talaan tetapan kilang. Dalam mod ini, anda boleh set mengikut citarasa sendiri! Berdiri atas footpeg, pegang bar hendal dengan kemas dan bawa Africa Twin ke mana saja, nak rentas ribuan kilometer pun tak ada masalah.

Antara pembaharuan yang cukup kami sukakan ialah pada sistem saspensi baru iaitu EERA (Electrically Equipped Ride Adjustment) yang membolehkan kita mengawal atau melaras tahap redaman secara automatik hanya dengan menekan suis. Kalau berada di laluan 'oprod', sistem ini akan menyerap segala hentakan dengan lembut tetapi apabila melalui kawasan berbonggol tinggi, sistem saspensi akan akan ditala menjadi lebih keras. Ini menjanjikan kepuasan terutamanya buat kawan-kawan 'offroader'.

Africa Twin baru ini juga didatangkan dengan paparan TFT berwarna yang memberikan semua maklumat penting dalam satu pandangan. Daripada mod tunggangan, tahap pilihah sistem TC, tetapan sistem saspensi, hingga sistem navigasi.... semuanya boleh dipantau dan ditala dengan mudah. Skrin ini direka supaya mudah dibaca walaupun ketika cahaya matahari nun terpacak di atas kepala dan jujurnya, ia adalah ciri penting apabila motosikal ini digunakan untuk perjalanan jauh.

Antara sistem elektronik lain yang dipadatkan pada model kembara ini ialah sistem Cornering ABS (membantu kawalan brek ketika berada di selekoh), Wheelie Control (mengelakkan tayar hadapan daripada terangkat ketika pecutan), Rear Lift Control (membantu memastikan kestabilan ketika membrek dengan kuat), sistem Honda Roadsync (sambungan dengan telefon pintar untuk sistem navigasi, panggilan telefon dan info motosikal), sistem Traction Control dan sistem ABS.

Tidak lupa juga kepada sistem pencahayaan yang diutawarkan oleh model ini. Selain lampu-lampu jenis LED, Honda telah melengkapkan model ini dengan Honda Cornering Light yang akan menyala/aktif secara automatik berdasarkan sudut condongan motosikal ini ketika berada di jalanan. Lampu tambahan (bawah lampu utama) akan memberi suluhan pada selekoh dalam atau bahagian 'blind-spot' selekoh untuk meningkatkan tahap pandangan kita sebagai penunggang. Kami memang dapat rasa pentingnya lampu ini ketika menunggang lewat malam di lebuhraya utara selatan atau ketika berada di lebuhraya WCE.

Secara keseluruhannya, Honda CRF1100L Africa Twin bukan sekadar sebuah motosikal adventure, tetapi merupakan hasil gabungan kejuruteraan, teknologi elektronik dan casis yang direka cukup mantap untuk memberikan prestasi padu untuk pelbagai jenis tunggangan. Enjin 1,084 cc parallel-twin memberikan karaktor kuasa dan tork yang responsif, manakala sistem saspensi EERA membantu mengoptimumkan kawalan dan kestabilan.

Selain itu, teknologi seperti Cornering Light, Honda Selectable Torque Control (HSTC), Riding Modes dan Cornering ABS memberikan tahap kawalan yang lebih tepat serta meningkatkan keyakinan penunggang ketika melalui selekoh, jalan basah mahupun laluan off-road.  Dengan keseimbangan antara kuasa, pengendalian, teknologi elektronik dan keupayaan 'On' dan 'Off-Road', Honda Africa Twin 1100 membuktikan ia adalah antara calon paling sesuai untuk mereka yang inginkan teman yang serba boleh untuk tunggangan harian dan pengembaraan. RR

Popular

  • Model Baru

    KYMCO XCITING VS 400 Dilancarkan

  • Warta Roda

    Marshal Moto Bakal Masuk Pasaran Negara

  • Warta Roda

    KARNIVAL GENBLU YAMAHA 2026

  • Dari Litar

    Hakim Danish Kekal di Moto3 Bersama MSI RACING TEAM

  • Kembara

    TM Bikers Ride ke Sri Lanka 2026

Artikel berkaitan

Honda CBR650R E-Clutch - Sebuah Supersport Mesra Pengguna?

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Yamaha NVX 155 SP - Skuter Premium Dengan Teknologi Terkini

Hampir 1000 kilometer Dengan Aveta NOVA 250 - Apa Rasanya?

Media Test Ride Kawasaki Z900: Glenmarie ke Sekinchan - Bukan Sekadar Kuasa

SYM ADXTG 400: Skuter Adventure Santai Tapi Padu

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Kawasaki Malaysia Umum Harga KLE500 - RM32,900

Dari Litar

Qabil Kutip Mata Penting di Magny-Cours

Walaupun bermula dari petak di belakang, Qabil berjaya raih mata berharga.

Dari Litar

Qabil Irfan Sasar Keputusan Positif di Magny-Cours

Pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan berazam untuk meneruskan prestasi cemerlangnya dengan memburu podium kedua musim .

Warta Roda

WMOTO Griffin 205 Sudah Berada di Pusat Pengedar Mforce Smartshop

WMOTO Griffin 205 kini mula memasuki rangkaian pusat pengedar sah MForce di seluruh negara sersempena pembukaan rasmi Mforce Smart Shop kedua di negeri Perak.