Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 17 Mei 2026

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Pertamanya, jutaan terima kasih diucapkan buat Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) di atas kesudian menjemput kami (RR) untuk turut serta dalam pengembaraan kali ini. Kepercayaan anda semua amat kami hargai!

Kembara yang aku maksudkan ialah 'YAMAHA JEJAK TIMUR - The Touring Experience' yang bertujuan untuk menguji kemampuan jentera terbaru Yamaha Tenere 700 (T7) mengembara dan bukan hanya fokus untuk tunggangan lasak semata-mata. Turut sama bersama 'team' kembara kali ini ialah Durrani @ Mat Durr (paultan.org), Eirwan Ahmad (Youtuber), Nasir Haris (Youtuber) dan pengembara solo tegar, Bing Moto yang telah menyempurnakan perjalanan dari Malaysia ke London dengan menunggang Yamaha T7.

Konvoi kami diketuai oleh Abu Zahrim Ismail atau lebih dikenali sebagai Pak Aboo dan aku pasti semua peminat komuniti 'offroad' kenal dengan Pak Aboo ni. Kalau bab kembara hutan, lebih-lebih lagi pengalaman menunggang di laluan luar bandar dan mendekati alam semua jadi, memang dia 'championlah!. HLYM memang pandai pilih orang.

Lima buah T7 disediakan dan aku....naik Yamaha Tracer 9 GT 2025. Model terbaru yang dilancarkan kira-kira tiga purnama yang lalu.

"Wan...kau naik Tracer ke?" Itu soalan pertama yang aku kena jawab masa hari perlepasan di ibu pejabat HLYM. Dengan yakin aku jawab, "Yes...of course!"

Keliling aku semua Yamaha T70. Tinggi-tinggi, tayar bunga besar, penuh box dan crash bar. Aku pula segak di sebelah dengan Tracer yang nampak lebih sesuai pergi makan angin dekat Genting daripada ikut masuk hutan. Tak apa lah..nanti kita boleh tukar-tukar masa kembara nanti.

Lepas settle majlis 'Meet & Greet With Bing", kami siap sedia di jentera masing-masing. Petang tu panas dia memang tak boleh bincang. Berdiri tepi motor pun boleh rasa haba jalan naik sampai muka. Tapi bila konvoi mula gerak keluar Sungai Buloh, badan terus sejuk 'ditampar' angin bila semuanya mula memecut.

Yamaha Tracer 9 GT kebanggaan aku!
Yamaha Tracer 9 GT kebanggaan aku!

Kami isi minyak sebelum masuk ke Tol Gombak - Karak. Tracer 9 GT hadir dengan saiz tangki 19 liter, besar sikitlah daripada T7 (16 liter). Masuk highway, terus rasa lega. Banding dengan motor-motor tinggi lain tu, Tracer aku lebih 'best' la bila atas lebuhraya lebih-lebih lagi dengan adanya pelbagai sistem elektronik seperti Auto Cruise, Mod Tunggangan, Pemanas Pendikit, Windsheild Automatik dan sistem sambungan Y-Connect.

Semunya aku on! Menerusi sistem Y-Connect, sekurang-kurangnya aku boleh dengan muzik, check navigasi (konon takut Pak Aboo sesat) dan tengok bacaan cuaca. Mudah dan cukup praktikal untuk perjalanan jauh. Dengan enjin 890cc, tiga silinder berkuasa 119hp...aku pulas je throttle, terus sampai sebelah Leadar kat depan tapi tak boleh potong. Pak Aboo dan pesan dari awal. Aduhai!

Throttle sedap, pickup ringan, cruising pun selesa. Aku perlahankan kelajuan dan follow 'geng T7' tanpa masalah. Bila bosan, aku cucuk beberapa T7 masa jalan clear termasukan Bing Moto yang memang steady dan santai. Happy dibuatnya, aku dah senyum sorang-sorang.

Perjalanan menuju Gua Musang memang syok. Langit petang cantik, jalan panjang dan pemandangan kawasan pergunungan juga cukup mengagumkan. Dipendekkan kisah, kami berehat dan bermalam di bandar ini.

Untuk satu tangki Tracer bersaiz 19 liter, aku dapat ride sekitar 317 kilometer....dari segi jarak, tak jauh beza pun dengan T7. Kuat makan minyak juga ye...tapi jujurnya, aku banyak buka throttle atas highway siang tadi sebab nak cari top speed.

Hari Kedua (Gua Musang - Tanah Merah - Kuala Terengganu)

Awal-awal kami dah ready. Tempat sarapan pula di sebelah stesen keretapi Gua Musang. Perjalanan hari ini ada jalan biasa dan ada 'offroad' tapi tak susah! - itu kata Pak Aboo. Aku borak dengan Bing, dengar kisah dia...tanya dia macam-macam. Semuanya dia jawab dengan bersemangat...lebih-lebih lagi bila dia cerita tempat dia bermalam (semasa kembara solo). Kalau korang nak tahu dia suka tidur di mana? Kena follow page dia lah ye...memang berani mat!

Keretapi dari Kuala Lumpur menuju ke Dabong.
Keretapi dari Kuala Lumpur menuju ke Dabong.

Kami menyusuri jalan luar bandar, tepian jalan keretapi menuju ke Dabong. Jalan ini memang best! Sejuk dan nyaman...kalau ada rezeki, korang pun kena datang ride sini. Lepas bergambar di Gunung Setong, Pak Aboo bagi signal ke kanan...masuk jalan 'offroad' menuju ke Sungai Kenarong. Dalam hati aku, kalau jalan macam ni, Tracer 9 GT aku memang tak ada masalahlah nak tembus! Sejam kami berehat di situ dan peluang 'keemasan' buat Mat Durr untuk beredam dan Bing pula, terus tutup mata!

Dari situ, kami ke Hutan Simpan Sokor Taku . Ya...now, baru aku faham kenapa semua orang tersengih dengan T7. Mula-mula jalan masih okay lagi. Gravel biasa, tanah keras. Tapi makin dalam masuk hutan, makin teruk trail dia. Pasir longgar, batu tajam, akar kayu, jalan sempit...aku tepuk dahi (tapi kena helmet).  T7 depan semua makin laju, makin selesa... steady macam jalan di Sokor tu 'playground' diorang.

Aku dekat belakang mula rasa nak menyesal. Handlebar Tracer aku bergerak kiri kanan macam hidup sendiri. Tayar depan asyik hanyut...tayar belakang pula dah start berdansa. Walaupun sistem saspensi Tracer 9 GT ini boleh kita set secara automatik, semuanya dah macam tak berguna bila di atas jalan-jalan sukar. Bahu dengan tangan dah keras dan kebas sebab terlalu tegang pegang handle.

Beberapa kali motor hampir tumbang. Tapi berbekalkan semangat...cewah! Aku cuba untuk tak jatuh, nasib baik pelana Tracer ni rendah, senang nak control dengan kaki. Sampai satu laluan naik berbatu, tayar belakang spin cari grip, motor dah senget...lampu amaran 'TC' berkelip-kelip macam 'trafik light' rosak. Aku throttle perlahan-lahan, kaki kayuh tanah macam orang tolak sampan, dan akhirnya lepas juga.

Kredit foto: Durrani.
Kredit foto: Durrani.

Ingatkan dekat...rupanya 42 kilometer untuk aku terus berjuang dalam hutan yang simpan semua kenangan aku. Lepas tu, aku minta Eirwan pula bawa Tracer. Barulah adil, test dua model!

Atas T7, rasa gayat...rasa risau...semuanya hilang belaka. Memang tak nafikan, jentera ini cukup padu untuk melayan laluan-laluan sebegini. Matikan ABS, pilih mod sesuai dan pulas pendikit. 'Trust your bike'...dan memang pace aku jauh lebih laju berbanding Tracer 9 GT tadi. Ya....kalau ada member yang travel sama ni baca karangan ni, KORANG LAGI LAJU LA!

Tengah-tengah sedap melayan kekuatan enjin 689cc + 73hp tu, hujan mula turun...Time tu juga Eirwan minta balik motor dia. Aduh! Dengan keadaan jalan yang makin basah....Tracer 9 GT teras makin 'berat' dan sekali lagi aku minta nak tukar motor, kali ini dengan 'superdurr'. "Memang susah bang...jalan berbatu..bahaya!"

Itulah kata-kata akhir Mat Durr bila kami bertukar motor, lepas tu dia pulas Tracer macam lipas kudung, berdesup! Aku sempat tengok dia dan Tracer tu menari-nari dalam hujan. Habis semua T7 kat depan dia potong - lain macam mamat ni! Pada Mat Durr, aku pasti dia boleh masuk offroad naik motor apa pun tak kisah. Apa pun, thanks brader!

Hutan SImpan Sokor Taku memang cantik dan terkenal kerana mempunyai mineral emas yang cukup berharga. Apa pun, disebabkan terlalu fokus dengan jalan, aku tak nampak apa-apa selain batu, pokok, sungai dan tak lama lepas tu bayangan Jus Tembikai!

Sungai Kenarong.
Sungai Kenarong.

Akhirnya selepas beberapa jam, aku nampak jalan keluar. Jam dah pukul 4.00 petang, perut dah berbunyi...belum makan tengahari. Nasib baik ada gerai berhampiran. Lepas kena hujan...hirup mee segera panas memang terbaik lah! Bing pun kata...'Good Food' lepas tu dia minta Pak Aboo masuk jalan 'offroad' lagi. Nasib tak tersembur makanan aku.

Aku ingat dah dekat nak berehat. Rupanya ada lagi empat jam lebih untuk kami sambung perjalanan ke Kuala Terengganu. Pak Aboo betul-betul nak uji motor dan rider sekali!

Hujan dah berhenti, udara sejuk membantu 'rehatkan' badan. Kami singgah di Besut seketika untuk berehat dan bergambar kenangan. Lepas dua hari bersama, Bing pun macam tak berapa segan dengan kami semua cuma bila kami berborak dalam bahasa melayu, risau juga dia rasa keseorangan.

Menjelang tiba di Kuala Terengganu, kiri kanan jalan mula penuh dengan restoran. Ada offer Mee Udang... Nasi Goreng Seefood... Nasi Minyak... Keropok Lekor. Bila dah seharian menunggang offorad dan onroad, kudrat pun dah hampir habis....papan tanda gambar seafood pun aku dah nampak sedap! Tapi Pak Aboo buat rilek je teruskan perjalanan sampai lah ke Payang Hotel.

Nasir Haris 'kiri' dengan T7 baru dan Bing Moto di sebelah kanan.
Nasir Haris 'kiri' dengan T7 baru dan Bing Moto di sebelah kanan.

Sampai je, aku terus duduk tepi motor sambil tengok Tracer aku penuh lumpur dan debu merah. Penat memang penat tapi dalam penat tu ada rasa puas yang susah nak explain. Setidak-tidaknya aku dapat rasa perbezaan ketara antara Tracer dan T7.

Hari Ketiga (Kuala Terengganu - Machang - Setiu - Kuala Tahan)

Esok pagi bila bangun dekat Kuala Terengganu, badan rasa macam baru lepas bergaduh. Tapi bila route hari tu banyak highway menuju Kuala Tahan, aku selaku penunggang rasmi Tracer terus rasa dah hidup semula. Yezzzzzaaa! Hari ni memang hari Tracer, jerit aku dalam hati!

Atas highway panjang, Tracer 9 GT kembali beraksi. Smooth, stabil, dan selesa. Aku dah tak perlu fikir pasal pasir atau batu dah. Aku tekan 'Auto Cruise', potong seorang demi seorang sambil gelak macam ketua gangster. Nak tambah speed pun tak perlu pulas, tekan suis je. 'Syorrrga!'

Laluan menyurusi pantai berikan vibe yang berlainan. Kalau shoot gambar tu, memang sesuai warna semulajadi lautan membiru dengan warna baru Yamaha Tenere 700. Posisi menunggang T7 juga tidak memenatkan dan yang ini jujurnya aku setuju. Tahun lalu, aku pernah ride berdua naik model lama T7. Kuala Lumpur - Cameron Highland - Bukit Merah - Kuala Kangsar. Bila ditanya pada orang belakang (pembonceng), dia kata okay...selesa...tapi bila bercerita dengan kawan, ada juga yang berikan feedback berbeza.

Kami berhenti rehat (agak lama) di Pasir Putih. Matahari terpacak atas kepala...lebih baik tidak di atas jalan, takut mengantuk. Sampai sahaja di tepi pantai, semua matikan enjin kecuali Bing. Rider dari Taiwan itu terus mengemudi jenteranya ke pantai. Tak sempat nak halang, T7 dah tenggelam dalam pasir. Aduhai... nampak dari jauh Bing gigih gerakkan motor tapi memang mustahil.

Terpaksalah hero-hero kita berlari ke pantai untuk membantu. Masa inilah tengok Mat Durr nampak macam Superman, Pak Aboo menjelma jadi Kapten Malaysia, Nasir pula macam Spiderman...Eirwan? Semuanya bekerja keras cuba naikkan semula T7 ke darat. Punyalah payah, kalah penat tolak bot! Jangan kata otot, urat pun auto tersimpul.

Bing....nak ke mana pula tu?

Siapa pernah ke Kuala Tahan? Bestkan ride ke sana! Cuma kena berhati-hati sikitlah di beberapa kawasan kerana adanya kerja-kerja membaik-pulih. Hari makin gelap, aku bertambah seronok sebab lampu Tracer baru ini ada Matrix LED Headlight yang akan melaras lampu-lampu LED untuk memberikan suluhan yang lebih jelas di laluan-laluan berselekoh. Banding dengan lampu T7, aku rasa Tracer lebih cemerlang.

Ingatkan, ride hari tu akan santai sampai ke resort. Jangkaan aku meleset. Pak Aboo buat 'surprise' lagi! Nak masuk resort pun kena lalu jalan hutan, siap naik-turun bukit. Jalan sempit, gelap, berbatu...kiri kanan pokok tinggi. Lampu motor cuma nampak beberapa meter depan. Bila kena turun bukit curam yang cukup gelap, aku sekali lagi minta bantuan untuk tukar motor dengan Mat Durr kerana dia lebih arif dan lebih pakar.

Hari sudah cukup senja bila kami sampai di daerah Kuala Tahan. Kredit foto: Durrani.
Hari sudah cukup senja bila kami sampai di daerah Kuala Tahan. Kredit foto: Durrani.

Nampak je papan tanda Danz Eco Resort, hati kembali ceria. Penat masih ada. Takut pun ada lagi sikit-sikit. Tapi kali ni aku enjoy suasana tu. Gelap hutan, udara sejuk malam, bunyi enjin dalam sunyi. Aku pandang Tracer...aku tengok T7,  dan masa tu aku sedar satu perkara.

Sampai juga akhirnya di Danz Eco Resort.
Sampai juga akhirnya di Danz Eco Resort.
Bilik tidur 'capsule'..tak sangka ia cukup selesa.
Bilik tidur 'capsule'..tak sangka ia cukup selesa.

Trip ni bukan hanya nak cari motor paling sesuai, bukan nak uji motor mana paling laju tapi bagaimana suatu perjalanan boleh buat kau kenal limit diri sendiri. Mungkin kita dah rasa pandai..tapi rupa-rupanya masih banyak yang kena belajar. Mungkin kita rasa dah cukup berani tapi banyak benda kita masih perlukan bantuan. Apa yang pasti, kita kena terus perah pendikit walaupun separuh masa tu kita sendiri tak pasti boleh lepas atau tak.

Hari Keempat (Kuala Tahan - Kuala Lumpur)

Sebelum teruskan perjalanan haluan masing-masing, kami sempat menikmati keindahan alam di Taman Negara Pahang. Naik bot ke Sungai Tembeling Kecil dan singgah di Bumbun Cegar Anjing. Apa tu? Ia merupakan menara pemerhatian dua tingkat yang dibina khas dalam hutan hujan Taman Negara Pahang untuk aktiviti melihat hidupan liar.

Pak Aboo turut berkongsikan info tentang binatang-binatang terancam, pemburu haram, habitat yang dilindungi dan macam-macam lain. Kami dengar dan angguk setiap kali Pak Aboo habiskan ayat. "Faham cikgu!"

Bumbun ini turut dilengkapi dengan kemudahan asas seperti katil dua tingkat dan tandas yang membolehkan pengunjung menikmati bermalam di dalam hutan. Bagi Bing dan kami sendiri (walaupun warga Malaysia), kunjungan ke Taman Negara sentiasa memberikan pengalaman yang cukup bermakna.

Usai makan tengahari, kami semua bersiap di atas jentera masing-masing di kembali mendaki keluar. Isi minyak di Jerantut, bersalaman dan kembara bersama T7 dan 1 Tracer tamat di situ. Perjalanan selama empat hari kami itu berjarak sekitar 1,200 kilometer, siapa sangka kan? Hingga jumpa lain di lain waktu kawan-kawan, terima kasih. Kalau ada hajat nak kembara lagi, kita tunggu HLYM jemput ya! RR

Popular

  • Warta Roda

    Ibu Pejabat Jualan Boon Siew Honda Kini di Kota Damansara

  • Dari Litar

    MotoGP Malaysia Kekal Di Sepang Hingga 2031

  • Dari Litar

    Hakim Danish Terus Perkukuhkan Kedudukan di Moto3

  • Edisi Terhad, Vespa 946 Horse Tiba di Malaysia

  • Model Baru

    KTM 790 Duke 2027: Lebih Agresif....Kawalan Lebih Cekap

Artikel berkaitan

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha NVX 155 SP - Skuter Premium Dengan Teknologi Terkini

Hampir 1000 kilometer Dengan Aveta NOVA 250 - Apa Rasanya?

Media Test Ride Kawasaki Z900: Glenmarie ke Sekinchan - Bukan Sekadar Kuasa

SYM ADXTG 400: Skuter Adventure Santai Tapi Padu

BMW F900 GSA: Jelajah Tanpa Batasan

Ramai Sangka Ada Turbo, Sebenarnya Inilah Rahsia YAMAHA NVX SP

HONDA CB1000 HORNET SP - Naked Bernadikan Superbike

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Model Viral, ZXMOTO 820RR Bakal Dilancarkan Di Malaysia. Harga bawah RM40,000

Sah! Mforce Bike Holdings Sdn Bhd akan melancarkan model supersport yang telah tular di seluruh dunia iaitu ZXMOTO 820RR.

Dari Litar

Marco Bezzecchi Kekal Digantung Di GP Czech

Hukuman yang dikenakan Marco Bezzecchi kekal.

Dari Litar

Dean Harrison Kuasai Isle of Man TT 2026 Dalam Edisi Penuh Cabaran

Perlumbaan tersohor dunia, Isle of Man TT 2026 kembali mencuri perhatian dunia apabila edisi tahun ini berlangsung dalam keadaan yang paling mencabar. Cuaca yang tidak menentu di pulau penuh bersejarah itu ternyata telah menjejaskan hampir keseluruhan perlumbaan, menyebabkan beberapa sesi terpaksa ditangguhkan dan ada juga terpaksa dibatalkan.

Model Baru

BRIXTON Sedia Mencabar Dengan 2 Model Baru - 625V dan Moucca 250

Brixton Motorcycles menambah koleksi jenteranya ke pasaran negara dengan melancarkan dua model serba baru iaitu Brixton 625V dan Brixton Moucca 250.