Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 10 Oktober 2017

Benelli 302R : Jimat Dan Menyeronokkan

Ketika ia dilancarkan oleh Mforce Bike Holdings April lalu, model Benelli 302R ini memang mendapat riaksi yang cukup positif di kalangan para pengedar dan pengguna motosikal di seluruh negara. Rekabentuknya yang cukup cantik serta spesifikasi enjinnya yang mantap antara ciri-ciri yang menarik perhatian.


Benarlah apa yang diungkapkan oleh Benelli dalam bahasa Itali iaitu Elegante E Bella yang bermaksud Elegan dan Cantik. Seperti yang dikongsikan tadi, model ini mendapat pujian oleh semua orang termasuklah mereka yang bukan peminat atau pengguna motosikal. Mengapa? Ia kerana model ini dicipta berasaskan model sport Tornado 1130 yang terbukti cukup bergaya sekali. Lampu hadapan dan belakang 302R ini jenis LED yang cantik dan terang memudahkan kita untuk dilihat oleh kenderaan lain. Tangki Benelli ini sebesar 14 liter yang direka bertujuan untuk mendapatkan lebih kilometer tanpa perlu banyak berhenti untuk mengisi minyak. Rekabentuk tangki ini juga menyebabkan bahagian hadapan 302R ini agak panjang dan ke hadapan sedikit.

Bahagian sisi jentera ini dikemaskan dengan rekabentuk fairing yang aerodinamik, tempat pemegang pembonceng dan sistem ekzosnya berwarna krom yang cantik. Posisi menunggang sedikit ke hadapan tetapi tidak mengganggu. Panel meter 302R ini memang ringkas dan kemas. Satu meter analog bulat menunjuk tahap rpm manakala meter digital memaparkan tahap kelajuan, posisi gear, suhu enjin, tahap bahan api, masa, jarak perjalanan dan trip.

Dari segi kualiti pembinaannya, jentera-jentera keluaran Benelli tidak pernah mengecewakan. Bahagian penyambung kemas manakala skima warna juga cantik dan moden. Pemantauan tahap kualiti dan ketelitian ketika mengeluarkan sebuah jentera itu merupakan faktor yang sangat penting agar produk tersebut mendapat kepercayaan daripada mereka yang bakal mengeluarkan wang untuk membuat pesanan.

Untuk menghidupkan jentera ini, kita perlu menarik tuas klac terlebih dahulu. Walaupun spesifikasi enjinnya sama seperti model TNT300, bunyi sistem ekzos model ini tidak begitu garang dan sesedap TNT yang dirasakan lebih bergema dan ini mungkin disebabkan perbezaan yang dilakukan pada sistem ekzosnya. Tidak lupa juga, model ini mematuhi piawaian Euro 4. Hebat!

Pelana Benelli ini setinggi 785mm manakala pelana untuk pembonceng pula berukuran 1,115mm. Tidak sukarlah bagi penunggang tinggi atau rendah untuk menunggang jentera ini. Enjin 300cc, DOHC dengan sistem penyejuk cecair menawarkan kuasa maksimum 37hp pada 10,000rpm dan tork 27.4Nm pada 9,000rpm. Walaupun begitu, kuasa hantaran di gear-gear pertengahan seperti 3, 4 dan 5 tidak begitu mantap. Benelli ini mula garang apabila kita menggunakan gear keenam untuk melarikannya ke tahap maksimum.

Benelli ini dapat meluncur di atas lebuhraya tanpa bergoyang dan melayang-layang pada kelajuan maksimum 185km/j. Cermin pengadang angin yang dilengkapkan pada model ini memang sangat membantu untuk kita berlindung dan mendapatkan kedudukan terbaik ketika memecut. Ketegaran casis 302R membuatkan kita berada di laluan dengan kemas sekali cuma penunggang perlu menggunakan sedikit bebanan badan untuk masuk/keluar selekoh dengan lebih stabil kerana tapak rodanya yang agak panjang (1,405mm).

Kami tukar cara penggunaan gear kerana yakin 302R ini mampu memecut lebih garang jadi kami percepatkan penukaran gear dengan tanpa menarik tuas gear dengan sehabisnya. Ya… teknik ini menampakkan hasil yang sangat mengujakan. Nisbah gear model ini telah diubah untuk disesuaikan dengan corak tunggangan jentera ini – lebih agresif. Sebaik sahaja kita menggunakan kaedah tersebut, 302R mula garang manakala brek enjinnya yang tidak terlalu kuat membolehkan kita dapat memilih kedudukan gear terbaik untuk berada di dalam selekoh. Ruang kaki yang luas dan lekukan bahagian tangki yang sempurna membolehkan kita meletakkan lutut dan peha dengan kemas sewaktu mengambil selekoh. Bila dah serasi dengannya, barulah sedap!

Kestabilan 302R di jalanan berselekoh bukan sahaja disebabkan casisnya tetapi juga kerana sistem saspensinya yang tidak mengecewakan. Fork teleskopik 41mm di depan menyerap hentakkan dengan baik sekali ketika kita menggunakan brek-brek hadapannya bersaiz 260mm. Tidak terasa membuang atau seperti terhumban ke hadapan setiap kali kita membrek dengan keras. Lengan ayun keluli berspring yang dipasang di belakang Benelli ini juga bertindak dengan cemerlang sekali.

Ketika berada di dalam selekoh panjang, kami menggunakan sedikit brek belakang (240mm) untuk mengekalkan posisi dengan stabil. Benelli ternyata menawarkan sistem brek yang cukup efisien untuk mengimbangi sifat sporty yang dimiliki oleh 302R ini. Cermin sisinya agak kecil dan memerlukan sedikit usaha dari penunggang untuk melihat keadaan trafik di belakang.

Dengan hanya seberat 190kg, Benelli 302R ini bukan hanya dapat mengubah posisi dengan pantas ketika mengambil selekoh tetapi juga dari segi pengendalian sewaktu tunggangan di dalam kesesakan lalu lintas. Memang seronok mengendalikan mesin selincah ini, dengan pantas kita berjaya mengharungi kesesakan lalu lintas di tengah kota tanpa kita sedari. Untuk parkir juga tidak menyusahkan kerana ia ringan!

Kami diuji dengan hujan yang agak lebat! Selagi tidak ada kawasan selamat untuk berlindung, kami pasti meneruskan perjalanan. Benelli ini didatangkan dengan tayar-tayar Metzeler Sportec M5 bersaiz 110/70-ZR (depan) dan 150/60-ZR17 di bahagian belakang yang menggigit permukaan jalan dengan cemerlang sekali.

Keupayaan tayar ini di jalanan basah sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi dan kami ternyata lebih yakin untuk memacunya. Menurut pihak South East Asia Auto Parts Sdn Bhd (SEA) selaku pengedar rasmi jenama Metzeler di Malaysia, pihaknya kini menawarkan tayar Metzeler Sportec M7 pada saiz yang sama dengan spesifikasi lebih baik.

Dengan penggunaan sistem suntikan bahan api elektronik yang efisien, Benelli ini dapat ditunggang dengan pelbagai gaya, penggunaan gear dan lokasi yang sejauh 320 kilometer dengan satu isian penuh bahan api. Memang jimat sekali! Secara keseluruhannya memang sebuah jentera yang sesuai untuk semua jenis penunggang tidak kira sama ada yang telah berpengalaman atau pun buat mereka yang baru ingin mengenali dunia jentera sport. Jentera bersesaran 300cc ini memang mudah dikendalikan dan sangat-sangat menjimatkan.

Model 302R ditawarkan pada harga RM21,888 (tidak termasuk GST) dengan tiga pilihan warna iaitu Putih Merah, Hitam Merah dan Hijau Perang. Nak rasa kemantapannya? Ayuh kita ke pusat pengedar Mforce Bike Holdings Sdn Bhd yang berdekatan. RR

Isu Pada

Oktober 2017

Spesifikasi

Enjinsilinder kembar, sistem penyejuk cecair DOHC
Isipadu300cc
Gerek x Lejang65 x 45.2mm
Nisbah mampatan12.0:1
Kuasa maksimum37hp pada 10,000rpm
Tork maksimum27.4Nm pada 9,000rpm
Kotak gear6 kelajuan
Tinggi pelana790mm
Isi tangki14 liter
Pengedar RasmiMforce Bike Holding Sdn. Bhd.

Popular

  • Dari Litar

    Akid Aziz Kembali! Perkuatkan Pasukan VOGE AS25 RACING TEAM

  • Dari Litar

    4 Mata Berharga Kekalkan Hakim Danish di Kedudukan ke-8 Keseluruhan

  • Dari Litar

    Helmi Juara CP150 di Terengganu

  • Dari Litar

    Bezzecchi Terpantas di Aragon

  • Warta Roda

    MODENAS Lanjut Program Z15GT Care Hingga 31 Oktober 2026

Artikel berkaitan

Honda CRF1100L Africa Twin 2026: Pengembaraan Baru Bermula

Honda CBR650R E-Clutch - Sebuah Supersport Mesra Pengguna?

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Yamaha NVX 155 SP - Skuter Premium Dengan Teknologi Terkini

Hampir 1000 kilometer Dengan Aveta NOVA 250 - Apa Rasanya?

Media Test Ride Kawasaki Z900: Glenmarie ke Sekinchan - Bukan Sekadar Kuasa

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Helmi Juara CP150 di Terengganu

Tahniah buat pelumba TAB SPORTS SCK HONDA RACING iaitu Md Helmi Azman menjuarai siangan CP150 Pusingan 5.

Model Baru

Cyclone RT2S Kini Rasmi Di Pasaran Malaysia - RM13,888

Selepas diperkenalkan di Malaysia Bike Show pada 29hb Mei yang lalu, Cyclone RT2S akhirnya rasmi di pusat pengedar Mfroce seluruh negara .

Warta Roda

KARNIVAL GENBLU YAMAHA 2026

Model Baru

Yamaha Y16ZR-R Masuk Pasaran Negara - RM10,888