Isu Terkini

Februari 2024

Sudut RR / 20 Jun 2020

Tangani Wabak COVID-19 Bersama-sama

Ketika ruangan ini ditulis, warga Malaysia sedang diuji dengan musibah pandemik Virus COVID-19 yang amat merisaukan. Jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di negara kita telah mencapai 6,383 mangsa dengan 106 kes kematian manakala jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dari virus ini adalah sebanyak 4,567 kes. Sehingga 5hb Mei 2020, seramai 24 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, 8 kes memerlukan bantuan pernafasan. (Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia)

Keadaan ini telah menyebabkan pihak kerajaan terpaksa membuat keputusan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk Fasa Keempat yang bermula pada 29 April hingga 12 Mei 2020. Fasa pertama perlaksanaan PKP ialah pada 18 Mac hingga 31 Mac 2020 diikuti Fasa 2 dan Fasa 3 selepas itu.

Perlanjutan tempoh PKP terpaksa dibuat susulan kes jangkitan virus ini semakin meningkat. Tindakan tegas terhadap masyarakat yang ingkar diambil kerana wujudnya kluster-kluster baru. Jika sebelum ini golongan ingkar dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 tetapi ia seolah-olah tidak dihiraukan oleh sesetengah individu.

Sehingga 2hb Mei lalu, lebih daripada 20,000 orang telah ditahan oleh pihak PDRM di bawah PKP, namun begitu masih ramai yang ingkar dan jumlah ini meningkat dengan mendadak dalam perlaksanaan PKP Fasa 4 yang berkuat kuasa pada 29 April 2020. Menerusi kenyataan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sesi sidang media pada 14 April lalu, pihak PDRM kini tidak lagi menjadikan denda kompaun RM1,000 sebagai pilihan utama buat golongan ingkar. Tindakan lebih tegas diambil semasa PKP Fasa 3 sebelum ini iaitu mereka yang ditahan direman dan seterusnya dihadapkan ke mahkamah. Turut dinyatakan ialah kerajaan akan mewartakan 13 akademi penjara sebagai pusat tahanan mereka yang ingkar ini.

Pihak kerajaan turut bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi agar segala peraturan dan mesej penting sampai kepada rakyat. Kita kini menerima pengumuman penting menerusi perkhidmatan khidmat pesanan ringkas, SMS di telefon masing-masing.

Para pegawai PDRM & tentera yang sentiasa berkhidmat.
Para pegawai PDRM & tentera yang sentiasa berkhidmat.

Dalam perutusannya, YAB Perdana Menteri Malaysia menyatakan bahawa pola kes positif dijangka akan berterusan untuk beberapa ketika sebelum kes-kes baru mula menurun. Justeru, tempoh PKP dilanjutkan lebih lama. Bermula perlaksanaan PKP Fasa 3 tempohari, penguatkuasaan terbukti dilakukan dengan lebih efisien dan lebih ketat. Pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut membantu PDRM dan RELA demi memastikan rakyat patuh kepada perintah yang dikeluarkan dalam usaha untuk mengurangkan penularan wabak COVID-19 ini.

Barisan hadapan seperti para doktor, jururawat, PDRM, ATM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam, media, penghantar makanan dan banyak lagi berhempas pulas menyekat penularan wabak ini. Kementerian Kesihatan Malaysia berusaha tanpa mengira masa dan penat lelah demi masa depan Malaysia tercinta. Kesanggupan beberapa NGO untuk turun padang memberi pelbagai jenis bantuan seperti bekalan makanan untuk para petugas dan masyarakat awam membuktikan semangat perpaduan yang amat diperlukan di waktu sebegini.

Dengan adanya PKP ini, kebanyakan syarikat akur untuk tidak beroperasi dan sudah tentu hal ini merisaukan pihak majikan dan para pekerja tentang masa depan yang bakal dihadapi kelak. Untuk itu, kerajaan Malaysia tampil dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) berjumlah 250 bilion yang bertujuan untuk memberi manfaat buat rakyat Malaysia.

Pihak KWSP turut melancarkan Pengeluaran i-Lestari yang membantu meringankan beban kewangan ahli untuk memenuhi keperluan asas bernilai RM500 untuk jangkamasa 12 bulan. Turut menyambut saranan pihak kerajaan ialah Bank Negara Malaysia yang memberi penangguhan bayaran (moratorium) untuk beberapa kategori pinjaman bank secara automatik selama enam bulan. Pihak Perkeso, Lembaga Hasil Dalam Negeri, PTPTN, MARA, TNB, Pusat Zakat dan rangkaian pinjaman wang turut memberi kelonggaran dari segi pembayaran kewangan. Pihak kerajaan juga telah menghadkan operasi mesin juruwang (ATM) dari 8.00 pagi hingga 8.00 malam.

Walaupun begitu, tempoh perlaksanaan PKP yang telah dilaksanakan sejak pertengahan Mac lalu ternyata memberi impak besar buat ekonomi negara dan untuk terus mengimbangi keperluan serta pemulihan ekonomi, kerajaan telah membuat keputusan untuk membuka semula sektor ekonomi di seluruh negara dengan menguatkuasakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat pada PKP Fasa 4.

Sesetengah laluan utama ditutup sepanjang perlaksanaan PKP.
Sesetengah laluan utama ditutup sepanjang perlaksanaan PKP.

Pengumuman yang disampaikan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin itu telah menerima pelbagai reaksi daripada seluruh rakyat Malaysia. Ada yang setuju dan ada yang disebaliknya. Akibatnya, jalan raya, pengangkutan awam dan pusat perniagaan kembali sibuk dan kembali sesak. Had masa dan jarak pergerakan kenderaan persendirian juga telah dibatalkan. Ini bermakna, tiada lagi sekatan untuk had masa sehingga 10 malam atau had merentasi daerah ke daerah. Secara jujurnya, ini adalah satu perkara yang amat merisaukan banyak pihak kerana ia boleh menyebabkan kes positif baru COVID-19 tercetus.

Terdapat beberapa buah negeri yang membuat keputusan untuk tidak seiring dengan keputusan kerajaan pusat sebaliknya memberi kata putus untuk mengekalkan PKP seperti fasa-fasa sebelum ini. Tidak dinafikan kita kini sedang berdepan dengan dua jenis peperangan iaitu penularan virus COVID-19 dan kemelesetan ekonomi. Apa yang diperlukan ialah teruskan bersikap positif dan bersabar. Dalam kekalutan ini, terlihat juga perkara positif yang boleh memberi semangat.

Antaranya kesan positif yang sudah jelas ialah kerjasama pakar-pakar dan para ilmuan di seluruh dunia dalam usaha menghasilkan vaksin COVID-19, keprihatinan dan kesepakatan sesama rakyat lebih padu, pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan mengadakan tabung bantuan khas, inisiatif muzium terkenal dunia memperkenalkan ‘lawatan’ secara virtual, kualiti alam persekitaran dan lapisan ozon bertambah baik, merapatkan hubungan kekeluargaan dan kita kini lebih berat menjaga tahap kebersihan serta kesihatan diri.

Duduk Di Rumah atau ‘Stay Home’ sangat penting agar dapat memutuskan rantaian penyebaran wabak ini daripada terus merebak. Sebagai rakyat yang bertanggung jawab, kita wajib menurut segala perintah kerajaan dan ini sangat membantu pasukan barisan hadapan (frontliners) yang berjuang menghadapi ‘musuh’ tanpa kenal erti penat, mengalah dan putus asa. Walaupun telah banyak kelonggaran diberikan dalam perlaksanaan PKP Fasa 4 ini, kita tetap perlu menjaga diri.

Kehidupan harian ternyata telah berubah sama sekali. Pelbagai aktiviti terpaksa dilakukan di dalam rumah. Laman media sosial penuh dengan perkongsian daripada pelbagai lapisan masyarakat yang kini ‘terpenjara’ di rumah sendiri. Setiap hari kita dapat lihat sahabat handai berkongsi gambar tentang cara-cara menjaga kebersihan, kaedah penjimatan wang perbelanjaan, jenis masakan, permainan ‘indoor’, cara-cara senaman ringkas, gurauan tentang penambahan berat badan, rambut yang semakin panjang, tahap pemulihan alam dan kerisauan kita tentang masa hadapan.

Pasukan barisan hadapan dengan berpakaian Personal Protective Equipment (PPE).

Dengan adanya teknologi maklumat yang berkembang pesat, pekerjaan dan pembelajaran tetap diteruskan. Dengan menggunakan pelbagai platform dan aplikasi, mesyuarat di antara kakitangan dan perbualan ahli keluarga kini dilakukan di rumah masing-masing. Tiada lagi alasan untuk berdiam diri dan bersikap malas. Setiap rakyat perlu optimis, produktif dan cekal menghadapi situasi ini bersama-sama.

Kerajaan turut mengambil berat tentang keselamatan, kebimbangan dan prestasi sebenar para pelajar di seluruh negara. Justeru, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengadakan perbincangan mendalam dengan Kementerian Kesihatan serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) tentang sesi pembukaan sekolah dan langkah-langkah pencegahan. Pada peringkat ini, pembukaan sekolah hanya melibatkan kelas peperiksaan awam seperti SPM, STPM, STAM dan peperiksaan antarabangsa yang setara. KPM turut mengutamakan aspek keselamatan, kebersihan dan amalan penjarakan sosial wajib dipatuhi oleh pengurusan sekolah apabila sesi persekolahan dibuka kelak.

Dari segi peperiksaan pula, SPM, SVM dan STAM akan ditunda kepada suku pertama tahun 2021 manakala tarikh peperiksaan STPM turut akan diubah.

Sesi pembelajaran tetap diteruskan secara online.
Sesi pembelajaran tetap diteruskan secara online.

KPM turut memaklumkan bahawa Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun 2020 telah dibatalkan.

Dunia sukan turut terkesan dengan ancaman wabak ini. Perlumbaan MotoGP, WSBK, ARRC, Cub Prix dan lain-lain tidak dapat dijalankan dan terpaksa ditunda pada tarikh yang lebih sesuai. Para pelumba MotoGP terus beraksi dengan mengadakan perlumbaan ‘virtual’ buat pertama kalinya dalam sejarah. Perlumbaan yang disertai oleh para pelumba MotoGP seperti Marc Marquez, Valentino Rossi, Fabio Quartararo, Maverick Vinales dan ramai lagi telah disiarkan menerusi pelbagai saluran dan mendapat maklum balas sangat positif di kalangan para peminat. Selain daripada itu, pihak Dorna juga bersetuju untuk membantu pasukan-pasukan satelit (MotoGP) termasuk pasukan-pasukan yang bersaing dalam Moto2 dan Moto3 untuk menguruskan pasukan masing-masing.

Bagi kejuaraan WSBK dan cub prix kebangsaan untuk musim 2020 pula akan diteruskan semula pada tarikh-tarikh yang akan diberitahu kelak. Motorsports Association of Malaysia (MAM) telah menganjurkan perlumbaan MAM Lockdown yang telah disertai oleh ramai peserta dari dalam dan luar negara yang cukup aktif dalam sukan e-permotoran.

Perlumbaan Cub Prix musim 2020 ditangguhkan sementara.
Perlumbaan Cub Prix musim 2020 ditangguhkan sementara.

Kita juga harus membiasakan diri dengan Kebiasaan Baru (The New Normal) kehidupan yang pastinya amat berbeza dengan kebiasaannya. Antaranya seperti tiada lagi berjabat tangan, amalan penjarakan sosial akan diteruskan di tempat-tempat awam, mesyuarat atau perbincangan lebih banyak diadakan menerusi telefon pintar atau komputer, keutamaan sudut kebersihan akan lebih ketat, lawatan kerja atau percutian ke luar negara tidak lagi menjadi pilihan utama, ujian COVID-19 di lapangan terbang atau di sempadan negara akan diwajibkan dan banyak lagi.

Tidak dinafikan, kita sedang berdepan dengan musuh yang tidak dapat dilihat. Apa yang paling penting, usah kita menyerah kalah dan terus berusaha mengekang penularannya. Walaupun sektor perniagaan dan ekonomi dibuka semula, kita harus kekal untuk sentiasa menjaga diri. Selagi mana tidak ada vaksin untuk 'menewaskan' COVID-19, selagi itulah kita terpaksa meneruskan kehidupan dengan virus ini. Itu hakikat yang tidak dapat dielakkan.

Usahalah sebaik-baiknya untuk lakukan penjarakan sosial tidak kira di mana sahaja kita berada. Sentiasa amalkan 3C iaitu pengelakkan diri daripada Crowded Place (Kawasan Sesak), Confined Space (Kawasan Sempit) dan Close Conversation (Bertutur dalam jarak yang dekat). Didoakan agar Malaysia tidak mudah alpa dengan kelonggaran ini atau kita akan diuji dengan gelombang kedua pandemik yang lebih ganas seperti yang sedang dihadapi oleh beberapa buah negara seperti Kanada dan Jepun. Semoga dijauhkan.

Jagalah Diri, Jagalah Kebersihan dan Selalu Amalkan Kehidupan & Makanan Yang Sihat. RR

Isu Pada

Jun 2020

Popular

  • Model Baru

    Aveta Malaysia Perkenalkan Cub Adventure Mampu Milik - Ranger Cub Cross 115

  • Model Baru

    BMW Motorrad Umum Ketibaan Jentera Elektrik, CE 02

  • Model Baru

    Suzuki Malaysia Lancarkan 3 Model Serba Baru

  • Warta Roda

    Beli Suzuki GSX-8S, GSX-S150 atau Raider R150Fi & Berpeluang Menang GSX-S1000GX

  • Warta Roda

    CFMOTO 800NK Menang 'Product Design' Terbaik di Anugerah Red Dot

Artikel berkaitan

Silau Akibat Lampu LED? Ramai Luahkan Perasaan yang Sama

5 Sebab Kenapa Tayar Slick tidak Sesuai untuk Jalanraya

Kematian Penunggang Jalan Raya Kian Bertambahm Salah Siapa?

Motosikal Kian Moden, Tabiat Menunggang Kekal Tak Berubah

Menghadapi Hari Dengan Penuh Cekal... Selamat Tahun Baru 2023!

Hukuman Lebih Berat Menanti Pelumba Haram

Hasrat Mengurangkan Kadar Kemalangan Motosikal Perlu Kesedaran

Saranan Haramkan Jualan Kapcai Prestasi Tinggi - Ketua Polis Negara

Disyorkan untuk anda

Penunggang Motosikal Maut, Terlanggar Khinzir di Tengah Jalan

Seorang penyelia syarikat penghantaran maut selepas motosikal ditunggangnya terlanggar beberapa ekor babi hutan yang bergelimpangan mati di tengah jalan dalam kejadian di Kilometer 15 Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat Ulu Bendul di sini awal pagi Jumaat.

Warta Roda

Blueshark Kembangkan Rangkaian Pengedar ke Seluruh Negara

Blueshark, anak syarikat perintis Sharkgulf Technologies Group dan pengeluar skuter elektrik pintar di dunia iaitu Blueshark R1, mengumumkan pengembangan rangkaian pengedarnya di seluruh Malaysia.

Warta Roda

Yamaha RXZ Diseludup Masuk dari Thailand?

Model popular, Yamaha RXZ antara kenderaan yang dikesan mula aktif diseludup masuk ke dalam negara melalui Sungai Golok, Kelantan.

Model Baru

Harley-Davidson Road Glide & Street Glide 2024 Di Pasaran Negara. Harga dari RM190,900.

Harley-Davidson Malaysia telah melancarkan dua model terbaru iaitu Road Glide & Street Glide dan turut menampilkan model eksklusif CVO Road Glide ST Edisi Ulang Tahun.