Isu Terkini

Oktober 2024

Warta Roda / 10 Mac 2019

GIVI Ride & Camp Sungguh Menarik! 2019

Ride & Camp merupakan trend yang semakin popular di kalangan para pengguna motosikal di Malaysia dan ia tidak hanya terhad untuk jentera pengembaraan berkuasa tinggi malah kini lebih ramai pemilik motosikal moped yang meluangkan masa untuk tujuan tersebut. Antara lokasi popular untuk tujuan perkhemahan ialah Pos Yum, Pos Kuala Mu, Air Terjun Pertak, Sungai Batangsi, Janda Baik, Lata Hammer, Sungai Dua, Pos Senderut, Pos Titom dan banyak lagi.

Tahniah buat GIVI dengan kerjasama Moped Adventure Touring Malaysia atas penganjuran Ride & Camp 2019 ke Air Terjun Gunung Ledang, Tangkak pada 19 hingga 20 Januari lalu. Aktiviti yang cukup ditunggu-tunggu ini dikhaskan untuk pengguna topi keledar dan kotak barang GIVI. Penganjuran ini telah mendapat sambutan yang cukup hangat dengan kehadiran 50 buah jentera moped seperti Yamaha Y15ZR, Yamaha 135LC, Yamaha NVX, Yamaha Lagenda, Honda RS150R dan Kawasaki Versys 650.

“Sememangnya Ride & Camp ini adalah satu aktiviti bermotor yang lain daripada yang lain. Selain dapat bersantai sambil menikmati keindahan alam sekitar, ini juga masanya buat para peserta berjumpa dengan sahabat handai baru dan lama yang menyintai dunia pengembaraan motosikal. Bagi GIVI, inilah masa yang cukup sesuai untuk berkenalan dengan para peminat/pengguna GIVI khususnya yang berada di dalam Givista Komuniti,” kata Pengurus Pembangunan Perniagaan GIVI, En. Sam Sharman yang hadir bersama Vespa LX150 dilengkapi dengan kotak GIVI B32.

Acara bermula seawal 7.45 pagi, para peserta berkumpul di stesen PETRONAS di R&R Seremban dan paling seronok apabila para peserta disambut sendiri oleh En. Sharman dan krew daripada GIVI. Memang cukup mengagumkan melihat para peserta hadir bersama jentera-jentera moped yang lengkap dengan aksesori pengembaraan. Bila ditanya kos pembikinan... semua ribu-ribu!!

Masing-masing membawa peralatan perkhemahan yang cukup lengkap seperti khemah, meja kecil, kerusi lipat, dapur masak, pinggan, kuali, cerek, lampu, projektor dan paling hebat... syisya! Memang betul seperti yang tertera pada slogan mereka, Ride With Style.

Salah seorang daripadanya ialah Khairul Nizam yang menunggang Honda RS150R. Jenteranya antara yang paling cantik dan paling lengkap dengan kotak GIVI (top box, side box & centre box), pendikit GIVI, kit lampu brek GIVI, crash bar, throttle grip rest, tube tool box, LED spotlight, pengecas 12V, voltmeter, pemegang telefon pintar, pelindung radiator, braket Jerry Can, tongkat tengah kustom, pemegang botol air, pemegang GoPro, peredam pelana, pengadang udara kustom dan banyak lagi. Menurut Nizam, kos untuk pengubahsuaian tersebut di dalam anggaran RM4,000.

Seorang lagi peserta iaitu Don Danial pula menunggang mungkin model pertama Yamaha Y15ZR Adventure yang diubahsuai juga hampir mencecah RM4,000. Antaranya aksesori menarik pada jenteranya ialah kotak barang GIVI (top box, side box & centre box), cermin pengadang udara touring, pelana kustom, tangki 8 liter, pelindung tangan, crash bar, slider, spotlight dan fork kustom yang sesuai untuk perjalanan jauh.

Selepas mendengar taklimat yang disampai oleh En. Sharman dan ketua konvoi, Sdr. Eirwan, konvoi meninggalkan R&R Seremban menuju ke hentian pertama iaitu di Ayer Keroh untuk menambah bahan api, berehat seketika dan bertemu dengan para peserta dari Melaka. Di sinilah para peserta dapat berkenalan dengan seorang lagi pencinta dunia lasak iaitu Sdr Nursulhi atau lebih popular dengan panggilan Along yang menunggang Vespa Sprint.

Konvoi berhenti di Pirate Corner yang terletak di Tangkak untuk makan tengahari. Restoran ini terkenal dengan sup daging berharga seringgit (semangkuk), aneka jenis sup lain, kari kambing dan beberapa menu masakan barat yang lazat-lazat belaka. Terima kasih buat Chef Naza yang bertungkus lumus menyediakan pelbagai jenis masakan buat para peserta.

Selesai makan, pendikit dipulas semula menuju ke Air Terjun Gunung Ledang yang terletak di dalam kawasan Sagil dan tidaklah begitu jauh dari bandar Tangkak. Selain tapak perkhemahan, para pengunjung ke air terjun ini juga boleh memilih untuk bermalam di chalet atau kabin yang disediakan pada harga yang cukup berpatutan.

Kawasan yang disediakan untuk para peserta GIVI Ride & Camp memang yang terbaik. Betul-betul berhadapan dengan sungai. Para peserta kemudiannya mencari ruang terbaik untuk mendirikan khemah masing-masing. Aktiviti di sebelah petang cukup santai. Ada yang memilih untuk mandi sungai, ada yang buat 'jemputjemput', ada yang masak nasi dan ada juga yang berbual-bual.

Acara Ride & Camp kali ini juga cukup istimewa apabila pengembara motosikal iaitu Alfishahrin (Alfie) yang pernah mengembara hampir ke seluruh dunia bersama isterinya, Diana turut ikut serta berkhemah bersama. Waktu lapang di sebelah petang digunakan sebaik-baiknya oleh para peserta yang ingin mendapatkan panduan untuk bermotosikal ke luar negara. Antara sempat dikongsikan ialah mengenai memilih laluan, perlindungan insurans, masa terbaik untuk membeli barang keperluan, cara-cara penjagaan enjin motosikal, bandar-bandar yang selamat dan banyak lagi. Segala persoalan dijawab oleh Alfie dengan tenang dan menarik sekali. Ini membuatkan hampir semuanya teruja untuk mengikuti jejaknya ke luar negara.

Lebih kurang jam 6.00 petang, En. Sharman dan krew dari GIVI mula membakar. 'Pehhh'... bau ayam, sosej dan burger memang membuka selera, lebihlebih lagi buat yang baru lepas berendam. Tengah sejuk-sejuk 'pekena' ayam bakar memang 'terangkat' dibuatnya.

Di sebelah malam, para peserta berkumpul untuk sesi perkongsian bersama tiga orang pencinta motosikal iaitu Alfie, Sony dan seorang lagi 'otai' iaitu abang Aziz PG yang baru tiba ke tapak perkhemahan. Ketiga-tiga mereka berkongsikan pengalaman dan cabaran menunggang di luar negara yang sememangnya memerlukan kecekalan serta semangat yang tinggi. Walaupun kadang kalanya terpaksa mengharungi ujian yang sukar.... sifat baik manusia, keindahan alam semula jadi dan semangat setiakawan sentiasa menjadi pendorong untuk terus menyempurnakan misi tiba ke destinasi yang dituju.

Perkongsian sebegini memang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit dan inilah tujuan penganjuran GIVI Ride & Camp diadakan iaitu untuk menjadi platform persahabatan, perkongsian pengalaman dan penghargaan pada alam semulajadi.

Hari kedua 'bermula' awal! Terima kasih buat Zul Olen yang sanggup datang dari Kuala Lumpur (pukul 3.00 pagi dari Kuala Lumpur) semata-mata untuk menyokong acara ini dan bertemu dengan rakanrakan. Zul yang menunggang Kawasaki GTR1400 sampai ke tapak perkhemahan pada jam 5.30 pagi siap 'tapau' nasi lemak dan kuih-muih lagi.

Menjelang tengahari, semuanya bersiap sedia untuk pulang ke destinasi masing-masing tetapi sebelum itu, konvoi akan berhenti seketika di Laman Tiga Budaya yang mempunyai batu sempadan tiga buah negeri yang terletak di pekan Asahan,  dan makan tengahari di Jasin.

Laluan berselekoh melalui ladang kelapa sawit dan ladang-ladang dari Gunung Ledang ke Asahan sejauh 33 kilometer menyajikan pemandangan yang cantik. Selain 'batu tiga sempadan negeri', Laman Tiga Budaya turut disempurnakan taman tema mini yang lengkap dengan kolam renang, taman permainan dan restoran.

Ketika di Jasin, ramai yang membuat keputusan untuk bergerak pulang secara berasingan selepas makan tengahari. Apa pun, keakraban sesama rakan sudah terjalin walaupun ada di antaranya baru saling mengenali dalam jangka masa yang singkat. RR juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih buat krew GIVI iaitu Sdr Edwin dan Ikhlas yang bertungkus lumus memastikan penganjuran ini berjalan dengan lancar. Selamat jalan semua…. hingga jumpa lain. RR

Isu Pada

Mac 2019

Popular

  • Warta Roda

    WMOTO Griffin 205 Sudah Berada di Pusat Pengedar Mforce Smartshop

  • Warta Roda

    Art of Speed 2026: 15 Tahun Menyatukan Jiwa Kustom

  • Warta Roda

    Honda ADV160 Edisi Terhad Versi Spider-Man Dilancarkan - Bermula RM14,149

  • Berita Kelab

    Kembara Road Rider Crew Taiping 3.0 Sempena Ulang Tahun Kelab ke-4

  • Dari Litar

    Hakim Danish Kutip Mata Berharga Walaupun Berdepan Cabaran di Sachsenring

Artikel berkaitan

WMOTO Griffin 205 Sudah Berada di Pusat Pengedar Mforce Smartshop

Art of Speed 2026: 15 Tahun Menyatukan Jiwa Kustom

Honda ADV160 Edisi Terhad Versi Spider-Man Dilancarkan - Bermula RM14,149

Sprinta Ladies Satukan Komuniti Lady Bikers di Malaysia

Empat Penunggang Maut Dalam Kemalangan Membabitkan Motosikal Dan Kereta

MODENAS & GIATMARA Bekerjasama Dengan Melancarkan Pusat Servis Motosikal Elektrik

Advenduro-X Meriahkan Moto Test Fest 2026

Yamaha Y15ZR 2026 Bagi Varian Standard & SE Terima Warna Baharu

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Art of Speed 2026: 15 Tahun Menyatukan Jiwa Kustom

Selama 15 tahun, festival ini berkembang daripada sebuah perhimpunan kecil komuniti kustom kepada acara gaya hidup yang menjadi tumpuan peminat automotif bukan sahaja di Malaysia, malah dari seluruh Asia.

Warta Roda

Sprinta Ladies Satukan Komuniti Lady Bikers di Malaysia

PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia (PLMM) telah melancarkan Sprinta Ladies.

Dari Litar

Motul Jadi Penaja Rasmi Pasukan Honda Racing Malaysia bagi Musim 2026

Motul kini penaja rasmi bagi pasukan Honda Racing Malaysia untuk tahun 2026.

Model Baru

KTM 790 Duke 2027: Lebih Agresif....Kawalan Lebih Cekap

Bagi penunggang yang mahukan sebuah naked bike berprestasi tinggi dengan elektronik lengkap dan pengendalian yang menyeronokkan, KTM 790 Duke baru ini mungkin antara pilihan terbaik. Tepuk dada tanya selera!