Isu Terkini

Februari 2024

Warta Roda / 28 Disember 2023

Art Deco Henderson FJ Streamliner - Ciptaan Luar Biasa

Art Deco merupakan satu rekaan motosikal istimewa dan inovatif yang menjadi sejarah dan perbualan pada era 1920an dan 1930an dulu. Nama ini diambil daripada terma dari Perancis iaitu ‘I’art Decoratif’ yang menggabungkan pelbagai rekabentuk, daripada seni lukis hingga ke fesyen, perabot ke filem, seni fotografi ke pengangkutan jalanan dan rekabentuk luaran serta dalaman. Ciptaan ini melambangkan mekanisma terbaru dunia disamping mengekalkan kesenian sentuhan tangan untuk menghasilkan sesuatu yang mengagumkan.

Secara amnya, Art Deco merangkumi kepelbagaian hasil ciptaan yang boleh dilihat di mana-mana saja termasuklah dalam penghasilan motosikal. Antara jentera jalanan yang diberi sentuhan Art Deco ialah kereta-dua tayar iaitu Delaheya.

Ciptaan motosikal paling - Art Deco yang pertama kali dibina ialah di USA pada tahun 1935 oleh salah seorang kakitangan syarikat pembuatan besi, Oldsmobile yang bertapak di Michigan. Model ini menggunakan enjin 1300cc, empat silinder Henderson KJ Streamline keluaran 1930. Nama beliau ialah Ray Courtney dan telah menghasilkan beberapa jentera kustom di sepanjang hidupnya. Dalam majalah Popular Science terbitan tahun 1953, gambar Courtney diambil bersama-sama motosikal kustom ciptaannya yang dihasilkan selepas era peperangan dengan membangkitkan rasa optimis.

Ray Courtney dilahirkan di Indiana pada tahun 1895, anak kedua daripada lima adik beradik. Kali pertama beliau menunggang motosikal ialah pada tahun 1908 ketika berumur 13 tahun dan perolehi motosikal pertamanya pada tahun 1916. Ia merupakan sebuah model Excelsior V-kembar. Selepas itu, Courtney sertai tentera dalam Perang Dunia Pertama pada usia 22 tahun.

Sekembalinya di kampung halaman, beliau bekerja di Central Manufacturing yang terletak di Connersville, Indiana. Di sini, Courtney bertugas sebagai pembuat panel bahagian luaran untuk kereta-kereta mewah seperti Duesenbergs dan Packards. Courtney kemudiannya berpindah ke Lansing dan meneruskan karier di Oldsmobile Division of General Motors.

Selepas tamatnya Perang Dunia Pertama, dia berpindah pula ke Pontiac, kemudian ke Kaiser-Frazer yang diterajui rekabentuk yang baru dan sangat inovatif. Beliau menghabiskan hidupnya membentuk logam bagi menghasilkan model prototaip keluaran firma ini.

Courtney juga mahir dalam papan lukisan, memberikan sumbangan penting kepada pasukan Rekabentuk untuk menghasilkan Oldsmobile F-33 1933 - kini merupakan model antik di Amerika yang sangat berharga.

Tahun-tahun berselang di antara dua Perang Dunia adalah masa cukup ideal untuk industri rekabentuk kereta. Bezanya kali ini mereka tidak lagi memberi tumpuan untuk merekacipta 'kereta' sebagai alat pengangkutan utilitarian sahaja tetapi sudah mula menjurus kepada sebuah kenderaan yang mengutamakan keselesaan, kelajuan dan praktikal.

Frank Westfall
Frank Westfall

Pada masa yang sama, pemahaman tentang ‘sifat’ aerodinamik yang selalunya difikirkan dalam industri pesawat sudah boleh diterapkan pada sektor perindustrian yang lain. Ini dapat dilihat menerusi penciptaan rekabentuk kereta api hingga kepada bangunan pencakar langit – lihat Flying Scotsman, Auburn Speedster, 810 Cord, atau Bangunan Chrysler di New York.

Jika nasib Ray Courtney lebih baik, dia mungkin sama hebat dengan pereka ikonik seperti Harley Earl atau Raymond Loewy yang benar-benar pakar dalam bidang rekabentuk kenderaan. Paten ciptaan Courtney termasuklah rekabentuk untuk pesawat bersayap, skuter salji artikulasi dan motosikal.

Beliau percaya bahawa industri motosikal kini tidak perlu lagi terbatas untuk kelajuan dan prestasi tinggi, tetapi para pereka perlu lebih berusaha sedikit untuk jadikan jentera tunggangan lebih selesa khususnya di jalan-jalan yang kurang sempurna.

Ray Courtney akhirnya mula membina sebuah motosikal ‘baru’ pada tahun 1935 - dalam bentuk yang belum pernah lagi dilakukan sebelum ini. Rangka dan enjin jenis Henderson diubah suai, ‘diselimuti’ dengan panel kepingan logam mengikut lukisan kejuruteraan terperinci yang dia sediakan sebelum ini.

Pada tanggal 12 Julai 1934, peguam patennya menyerahkan lukisan kejuruteraan ke Pejabat Paten AS untuk diselesaikan. Proses ini memakan masa dan di waktu lapangnya, beliau akan bertugas di Oldsmobile, Courtney dengan sabar membina panel yang diperlukan dengan mengimpal menggunakan gas, kemudian dibentuk sempurna dengan alat kegemarannya iaitu tukul elektrik dari Pettingel.

Jentera itu telah siap sepenuhnya pada tahun 1935, kira-kira enam bulan sebelum Courtney dianugerahkan US Pat. No 2,035,462. Model ciptaannya itu agak rendah kerana menggunakan roda skuter 10-inci tetapi dipasang dengan tayar jenis ‘belon’ berprofil tinggi yang diperoleh daripada industri pesawat untuk memberikan pengendalian dan tunggangan yang lancar. Motosikal itu kemudiannya dikemaskan dengan cengkerang/rekaan luaran gaya Art Deco yang berbentuk anggun.

Bahagian depan ‘hidung’ berbentuk bulat dan dipasangkan gril manakala bahagian roda tertutup sepenuhnya dan tersembunyi di sebalik rekaan sisi berbentuk ‘eyedrop’ dan bahagian belakang pula kelihatan seperti direndahkan sedikit. Pelana tunggalnya lebar dan terdapat juga papan pemijak - berhadapan dengan panel meter yang direka seperti yang digunakan pada model-model kereta. Lampu depan besar berbentuk yang disepadukan dengan bar hendal.

Melihat pada rekacipta logamnya, memang cukup menakjubkan dilihat walaupun untuk era zaman kini. Sangat cantik tetapi ada juga rekaan ini yang tidak praktikal dan sukar ditunggangi. Tidak ada rekod yang menunjukkan beliau cuba menjual rekaan ini pada pengeluar motosikal lain walaupun ketika itu hanya terdapat dua motosikal dari Amerika iaitu Indian dan Harley. Ini mungkin kerana Courtney berfikir jika kedua-dua jenama itu perlukan kemasan dengan gaya ini, beliau akan bersedia untuk bercakap tentang patennya. Sayang betul kerana tiada perkara seperti itu pernah berlaku.

Courtney dan isterinya, Grace dikurniakan dengan dua orang cahayamata. Ray Junior dilahirkan pada tahun 1924 diikuti Marjie Jean pada tahun 1928. Ray Jnr. belajar mengenai ilmu pertukangan kerja logam daripada bapanya. Dia kemudian menyertai Tentera AS untuk Perang Dunia Kedua. Selepas tamat berkhidmat, dia bekerja di kilang trak GMC dan pada tahun 1950 kedua-dua anak beranak ini meninggalkan pekerjaan masing-masing untuk menubuhkan kedai fabrikasi logam mereka sendiri, Courtney Enterprise di Pontiac, Michigan yang memberi tumpuan dalam penghasilan motosikal yang lebih praktikal dan bernilai komersial.

Model ciptaan ayah dan anak lelakinya ini dinamakan ‘Enterprise’ dan terdiri daripada rekabentuk casis khusus yang ditutupi sepenuhnya oleh bahagian luar motosikal yang diperkemas, kali ini dengan gaya tahun 1950-an. Jentera ‘baru’ ini menampilkan tempat duduk dan lantai pemijak yang memanjang. Di bahagian tepi dipasang beg sisi yang cukup cantik.

Majestic 1929.
Majestic 1929.

Model ini disempurnakan dengan enjin India Scout v-kembar daripada ‘lebihan’ pasukan tentera. Dari segi saiz, Enterprise lebih panjang daripada Henderson kerana Courtney mahukan ruang yang cukup luas untuk dua penumpang. Ia mempunyai jarak roda sepanjang 58 inci/1476mm dan 112 inci dari hujung ke hujung manakala tayarnya pula kira-kira 9-inci lebih kecil daripada Henderson dengan tangki bahan api sebesar tiga gelen.

Tangki bahan api dipasang di atas bahagian hadapan Roda dan ini bertujuan memudahkan mekanik membuat penyelenggaraan berbanding moden ‘Art Deco,’ Henderson. Enterprise telah dipamerkan di pelbagai pameran kereta di dalam dan sekitar Detroit yang telah menarik banyak perhatian sehingga berjaya menjadi tajuk utama di dalam majalah terkemuka di masa itu iaitu Cycle, Science and Mechanics, dan majalah Popular Science. Namun begitu publisiti yang diperolehi itu nampaknya gagal mendapat sebarang tempahan. Dilaporkan kos pembangunannya menelan belanja $5,000 yang bersamaan dengan $45,000 hari ini. Banyak tu!

Artikel yang dipaparkan oleh majalah Popular Science 1953 menampilkan kemantapan motosikal itu yang dilengkapkan dengan sistem saspensi moden. Banyak usaha telah dilakukan untuk mendapatkan publisiti, termasuk menghasilkan risalah mempromosikan penjualan unit replika. Selain itu, turut ditawarkan ialah proses pengubahsuaian individu. Jika ada seorang pembeli menghantar enjin pilihannya kepada Courtney, beliau tetap akan menghasilkan ‘Enterprise’ ini dengan bayaran $2,500.

Tidak ada rekod mana-mana yang mengatakan Enterprise telah dibuat khas untuk pelanggan. Namun, melihat dari gambar keluarga, ia mengesahkan sekurang-kurangnya tiga unit Enterprise telah dibina, semuanya dengan bahagian hadapan yang sedikit berbeza dan telah dipadankan dengan enjin V-twin Indian, dan dua lagi dengan unit menggunakan enjin-berkembar BSA 650cc.

Selepas Ray Courtney meninggal dunia pada April 1982, model Henderson dan Indian telah dibeli oleh keluarga Ron Finch yang juga merupakan kawan dengan Ray Courtney. Sedekad kemudian Finch menjualnya kepada Mike Gagliotti, seorang pengumpul koleksi dari New York, dan pemilikan itu tidak lama kemudian menarik perhatian rakan Gagliotti iaitu Frank Westfall juga seorang pengumpul motosikal antik, tukang kulit dan pemilik Middle Earth Leatherworks di pusat bandar Syracuse, NY. Pada tahun 2001 Gagliotti menjualnya kepada Westfall, yang masih memiliki kedua-duanya sehingga hari ini.

"Mike telah membawa kedua-duanya kembali ke Syracuse dari Pontiac, Michigan dan terus ke kedai saya pada hari Sabtu sebelum Krismas, tahun 1994. Beliau meminta saya ‘membogelkan’ KJ Henderson untuk melihat keadaannya. Saya dapati ia bagaikan ‘barang kemas’ mekanikal, satu nilai bersejarah, ia bagaikan menjadi hidup ketika kami mengasingkan bahagian-bahagiannya. Ia memang satu penciptaan yang luar biasa,” jelas Westfall.

“Akhirnya, pada hari Jumaat 13hb Julai 2001 saya bersama sejumlah besar wang tunai yang dikumpul terus meletakkan kesemua wang itu di atas meja dapur, di hadapan dia. Tanpa ragu-ragu saya katakan bahawa saya berada di sini untuk membeli dua motosikal itu dan dia terpaksa menjualnya kepada saya,” tambahnya.

“Kami berjabat tangan pada perjanjian dan saya memiliki karya agung motosikal Ray Courtney dalam simpanan saya termasuklah koleksi memorabilianya, sijil paten (A.S., British & Perancis), gambar, lukisan dan keratan akhbar tentang kedua-dua motosikal hebat itu.”

“Saya akan sentiasa menganggap Friday the 13th sebagai hari bertuah saya! Unit Enterprise itu masih kekal dalam cat asalnya yang tidak dipulihkan, dan pada asasnya masih elok, walaupun tidak boleh ‘berjalan’ lagi. Tetapi model Henderson yang saya mahu enjinnya hidup dan sanggup lakukan apa sahaja walaupun saya perlu mencari orang yang tepat di seluruh planet ini.”

Akhirnya, seorang jurutera automotif di New York dan pakar pemulihan kereta bernama Pat Murphy bersetuju untuk mengambil projek itu. Murphy dan Westfall menghabiskan lebih daripada 700 jam waktu bekerja sepanjang dekad sebelum berjaya menghidupkan kembali Henderson.

Usaha ini telah menghasilkan sebuah motosikal yang menakjubkan dan telah mencipta saat penuh sensasi ketika ia perkenalkan di acara Antique Motorcycle Club of America’s 2010 National Meet yang diadakan di Rhinebeck, New York. Murphy, antara orang terawal melihat hasil kerja ini melahirkan rasa kagum dengan apa yang berjaya Courtney lakukan.

Murphy menyatakan, “Badannya diperbuat daripada keluli berkualiti, dan anda tidak dapat membayangkan bilangan panel dan proses kimpalan yang dia lakukan untuk mendapatkan bentuk tersebut. Sukar untuk membayangkan penjagaan dan masa yang telah berlalu. Saya boleh menghabiskan dua buah kereta dalam masa yang diperlukan untuk melakukan motosikal seperti ini!”

Westfall telah menerima banyak tawaran sejak itu – kesemuanya berhasrat untuk membeli kedua-dua motosikal unik itu, terutamanya Henderson tetapi beliau terus menegaskan bahawa kedua-duanya tidak dijual. "Fikirkan betapa bertuahnya kami," katanya.

Kini terpulang kepada saya untuk mempamerkannya kepada orang ramai supaya mereka lebih menghargainya keunikan dan keseniannya. Henderson merupakan sebuah motosikal yang tidak boleh dicari ganti, kerana tidak ada yang lain seperti itu. Courtney memiliki sebuah jentera yang mengagumkan dan kami telah menghabiskan banyak masa untuk mengembalikannya kepada keadaan baik seperti ini. Jika kami pun sudah menempuh jangka masa selama 700 jam, cuba fikirkan… berapa lama Courtney mengambil masa untuk menciptanya?'

Jika model-model ini tidak ditunggangi oleh pemiliknya di AMCA Meets, para pengunjung dapat melihatnya dengan lebih dekat di pameran Northeast Classic Car Museum di Norwich. Sila layari: Norwich, NY www.classiccarmuseum.org. RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Kel Edge.

Isu Pada

September 2023

Popular

  • Warta Roda

    Boon Siew Honda (BSH) di Malaysia Autoshow 2024 - Bakal Lancar ADV350, CB750, XL750 dan NX500

  • Penunggang Motosikal Maut, Terlanggar Khinzir di Tengah Jalan

  • Warta Roda

    Ducati Monster Senna Edisi Terhad: Penghormatan Buat Ayrton Senna

  • Warta Roda

    Penunggang Motosikal Dihempap Pokok!

  • Warta Roda

    Blueshark Kembangkan Rangkaian Pengedar ke Seluruh Negara

Artikel berkaitan

Boon Siew Honda (BSH) di Malaysia Autoshow 2024 - Bakal Lancar ADV350, CB750, XL750 dan NX500

Ducati Monster Senna Edisi Terhad: Penghormatan Buat Ayrton Senna

Penunggang Motosikal Dihempap Pokok!

Blueshark Kembangkan Rangkaian Pengedar ke Seluruh Negara

Kemalangan Ngeri Tiga Kereta & Sebuah Motosikal, Tiga Cedera Parah...

Keselamatan Diendah: Sekumpulan Individu 'Berkelah', Masak & Makan Di Stesen Minyak

Konvoi 'High Speed Hill Journey' Bersama Pengedar Yamaha Taiwan

Kemalangan Motosikal Dengan Pacuan 4 Roda, Penuntut IPT Maut

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Ducati Monster Senna Edisi Terhad: Penghormatan Buat Ayrton Senna

Ducati telah melancarkan edisi istimewa jentera jalanan ikoniknya iaitu Monster, direka khas untuk memberi penghormatan kepada salah seorang juara Formula 1 yang paling terkenal. iaitu Ayrton Senna.

Warta Roda

Aveta 'Ride & Camp' - Meraikan 20 Pemenang 'Time To Explore'

Tahniah kepada 20 pemenang pertandingan 'Time To Explore' kerana telah dipilih dan berpeluang untuk menyertai aktiviti Rida & Camp ajuran Aveta Malaysia.

Model Baru

Shineray 284 - Moped Menarik Dari China

Pengeluar motosikal dan kereta, Shineray Group hadir ke festival motosikal Canton baru-baru ini dengan menampilkan pelbagai model menarik. Antara yang kami cukup berkenan ialah Shineray 284, sebuah moped yang memiliki rekabentuk cukup mantap!

Dari Litar

Hafizh Syahrin Berikan Kemenangan Buat Pasukan JDT Racing

Hafizh Syahrin dari pasukan JDT Racing tampil dengan kemenangan sulungnya selepas menewaskan para pencabarnya di litar Zhuhai, China.