Isu Terkini

Februari 2024

Warta Roda / 6 November 2023

Trans Borneo 2023 - Perjalanan 1,300KM Penuh Makna

Secara peribadi, sebaik sahaja mendapat undangan daripada Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) untuk menyertai konvoi ‘Trans Borneo 2023’ dari Kuching, Sarawak, Brunei dan ke Kota Kinabalu, Sabah… perasan teruja dan rindu kembali menyapa diri. Kali terakhir RR berpeluang menikmati keindahan Borneo ialah pada tahun 2011 yang lalu, juga anjuran Hong Leong Yamaha Motor.

Konvoi ‘Trans Borneo 2023’ dianjurkan bersempena dengan Karnival Gen Blu yang julung kalinya diadakan di Kepulauan Borneo itu atau lebih tepat di Kota Kinabalu. Selain kami (RR), HLYM turut menjemput beberapa rakan media yang lain beserta seorang figura industry media yang cukup dikenali ramai iaitu Ahirine Ahirudin yang hadir bersama adiknya, Ahiriana.

En. Jalaludin "kanan sekali" memberi taklimat tentang perjalanan & keselamatan setiap kali sebelum bergerak.
En. Jalaludin "kanan sekali" memberi taklimat tentang perjalanan & keselamatan setiap kali sebelum bergerak.

Selain kumpulan kami ini, satu lagi konvoi berasingan yang terdiri daripada wakil-wakil HLYM dan para pengedar Yamaha turut dianjurkan. ‘Kumpulan’ ini menunggang Yamaha Y16ZR dan bergerak lebih awal. Bila dijumlahkan kesemuanya, peserta konvoi Trans Borneo mencecah 40 orang peserta.

Perjalanan selama tiga hari ini bermula di Kuching, Sarawak. Kumpulan media tiba sehari sebelum acara pelepasan rasmi dan kesempatan itu digunakan untuk menunggang uji jentera-jentera yang dibekalkan. Kami sempat berkunjung ke beberapa lokasi menarik sekitar Kuching seperti Dewan Undangan Negeri Sarawak, Kuching dan Kuching Waterfront yang cukup popular itu. Sempat jugalah bergambar kenangan walaupun dalam masa yang agak singkat.

Saya menunggang Yamana NMax 155. Turut disediakan buat wakil-wakil media ialah MT-15, Y16ZR (dua unit), MT-09 dan T-Max (2 unit) – untuk kami bertukar-tukar pakai.

Pemandangan ‘menghijau’ di lebuhraya Pan Borneo.
Pemandangan ‘menghijau’ di lebuhraya Pan Borneo.

Konvoi kali ini dipimpin oleh para krew marshal berpengalaman dari HLYM iaitu Jalaludin, Zaidi, Abd Rahman, Muhd Firti dan Abd Halim. Turut membantu ialah En. Wilson (Ho Hin Motors SB), En. Nelson (Wong Motor Distributor SB) dan En Tiong dari Lian Hung Machinery SB.

Perjalanan hari pertama bermula dari ibu pejabat pengedar Yamaha terbesar di Malaysia, Ho Hin Motors menuju ke Sri Aman dan ke Sibu yang berjarak lebih daripada 400km dengan menyusuri Lebuhraya Pan Borneo.

Konvoi tiba di bandar Sibu menjelang lewat petang.
Konvoi tiba di bandar Sibu menjelang lewat petang.
Mee Kolok di Kafe Kamek, Kuching memang cukup sedap!
Mee Kolok di Kafe Kamek, Kuching memang cukup sedap!

Menunggang di lebuhraya yang panjang bersama NMax 155 memang seronok tetapi ada juga ketika terasa sangat kuasa enjinnya tidak mencukupi untuk mengimbangi rakan-rakan lain yang memacu jentera lebih besar. Saya seringkali tertinggal jauh daripada kumpulan terutamanya selepas berhenti untuk mengambil gambar. Saya dah la rider ‘besar’, susah betul nak kejar lebih-lebih lagi apabila tiba di laluan mendaki. Nasib baik Sdr Halim (Sweeper) setia menunggu.

Ruang barang di bawah pelana yang luas membolehkan saya menyimpan pelbagai barangan dengan mudah manakala dua ruang kecil di depan pula tempat mengisi sedikit ‘jajan’ dan air minuman yang memang akan licin dihirup kerana cuaca yang agak panas. Apabila berada di laluan yang lurus dan panjang seperti di lebuhraya ini, tumpuan dan daya tahan mental amat penting agar tidak ‘khayal’, tidak mengantuk lebih-lebih lagi selepas makan.

Terdapat juga laluan di lebuhraya ini yang masih tidak siap sepenuhnya yang menyebabkan kenderaan terpaksa berkongsi jalan. Terkejut juga dibuatnya apabila melihat ada kereta datang dari depan. Mujurlah krew marshal yang bertugas cekap dan sentiasa peka dengan sebarang situasi yang tidak dijangka seperti itu.

Penulis "kiri" bersama krew marshal HLYM yang mengawal pergerakan konvoi dengan baik.
Penulis "kiri" bersama krew marshal HLYM yang mengawal pergerakan konvoi dengan baik.
Para peserta bersiap sedia untuk menyambung perjalanan!
Para peserta bersiap sedia untuk menyambung perjalanan!

Lebuhraya Pan Borneo menyajikan pemandangan yang berbeza dan menarik. Kami melalui kawasan perladangan, perkampungan moden dan kawasan berbukit bukau. Apabila melalui kawasan yang agak pendalaman, diri saya bagai ‘dipanggil’ untuk singgah di beberapa perkampungan Rumah Panjang yang kelihatan masih kekal asli. Tapi apakah daya, konvoi harus diteruskan.

Untuk jentera berkuasa kecil seperti NMax, Y16ZR dan MT-15, kami perlu mengisi petrol di setiap 100 kilometer perjalanan kerana saiz tangki yang kecil. Dalam hati, “bagus juga, ada peluang untuk rehat!”

Krew back-up HLYM memang padu!!!
Krew back-up HLYM memang padu!!!

Pihak HLYM turut menyediakan kenderaan empat roda sebagai sokongan atau ‘back-up’ dan paling best, ada banyak stok air yang disimpan sejuk! Macam-macam perisa ada. Krew-krew HLYM sentiasa bersiap sedia untuk ‘menjamu’ kami setiap kali berhenti. Terima kasih Ramesh, Faiz, Azmi, Zharul dan tak lupa juga En. C. B Lim yang bertungkus lumus memastikan segala urusan berjalan dengan lancar.

Selain ‘membekalkan’ air untuk menambah tenaga, kenderaan ‘back-up’ turut membawa bekalan petrol untuk menambah bahan api (motosikal cc kecil) ketika menyusuri perjalanan yang tidak terdapat stesen minyak.

Selepas mengharungi perjalanan hampir sembilan jam, konvoi selamat tiba di Sibu sekitar jam 6.30 petang – dah gelap. Ketika ini, saya sudah jatuh cinta dengan NMax kerana ia memang selesa sekali. Badan tak pun penat. Lepas makan, kami terus ke hotel.

Hari kedua lebih mencabar! Perjalanan dari Sibu ke Miri berjarak lebih daripada 400 kilometer dan kali ini saya menunggang Y16ZR. Nasib baik rakan media sebelum giliran saya sempat meminta untuk dipasang raga. Lega juga, dapat letak sedikit barangan seperti baju hujan dan stok air mineral.

Konvoi berlepas dari Chop Swee Guan Motor dan kali ini sudah pasti saya lebih laju berbanding hari semalam. Laluan mendaki, laluan berselekoh memang tak ada masalah. Ada ketikanya rasa macam ‘racing’ pula dengan member sebelah (dia pun naik model sama) bila dapat pulas throttle sehabis-habisnya.

Para pengedar Yamaha dari Sarawak yang sentiasa membantu pergerakan konvoi agar lebih lancar. Dari kiri: En. Nelson, En. Tiong & En. Wilson.
Para pengedar Yamaha dari Sarawak yang sentiasa membantu pergerakan konvoi agar lebih lancar. Dari kiri: En. Nelson, En. Tiong & En. Wilson.

Perjalanan hari kedua juga tidak banyak halangan melainkan konvoi berhenti beberapa kali atas sebab-sebab keselamatan dan keselesaan peserta. Kami tiba di bandar Miri pada lewat petang dan terus menikmati makan malam sebelum terus ke hotel.

Hari ketiga memang padu! Dari Miri, kami masuk ke negara jiran iaitu Brunei Darusalam melalui Pusat Imigresen Sungai Tujoh. Disebabkan hari itu hari Sabtu, ramai juga warga Malaysia di pintu sempadan tetapi disebabkan segala dokumen yang diperlukan telah disiapkan awal, proses kemasukan menjadi lebih cepat.

Info: Bermula pada Februari 2023, para pengunjung yang ingin memasuki negara Brunei diwajibkan mengisi E-Arrival Card bagi menggantikan Borang 19 (Embarkation/Disembarkation Form) yang digunakan sebelum ini. Ya… sebaiknya kita isi dulu E-Arrival Card ini dengan lebih awal.

Kawasan perkampungan menuju ke Lawas memang cantik dan bersih.
Kawasan perkampungan menuju ke Lawas memang cantik dan bersih.

Perjalanan di Brunei lancar tetapi kami menghadapi sedikit masalah ketika tiba di stesen minyak. Di stesen ini, kakitangan yang bertugas hanya menerima transaksi tunai (duit Brunei), kad kredit tidak diterima. Nasib baik bekalan petrol dalam kenderaan sokongan masih ada. Kami isi dan sambung semula perjalanan.
Kami berhenti seketika untuk bergambar kenangan di Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien yang terletak di Temburong sebelum melaluinya menuju ke Lawas. Ikon terbaru negara

Brunei ini sepanjang 30 kilometer dengan merentasi Teluk Brunei dan merupakan jambatan terpanjang di Asia Tenggara.

Perjalanan dari sempadan Brunei menuju ke bandar Lawas memang kena dengan jiwa saya. Laluan berselekoh kawasan, kampung cukup cantik. Kebetulan pula kami sampai pada tarikh sambutan Hari Malaysia, bendera negeri Sarawak yang dinaikkan dengan megahnya di sisi jalan menambah semangat dan keceriaan.

Kami merentasi Sungai Batang Trusan dengan menaiki feri dan pengalaman ini menambah memori baru kembara Trans Borneo walaupun jaraknya tidaklah begitu jauh. Akhirnya kami selamat tiba di Sipitang, Sabah dan terus ke Esplanade untuk makan tengahari serta menyegarkan diri.

Perjalanan masih jauh. Jarak dari bandar Sipitang ke Kota Kinabalu adalah sekitar 120 kilometer lagi dan dianggarkan memakan masa lebih kurang dua hingga tiga jam. Tak jauh mana pun baru bergerak, angin sejuk menyentuh badan manakala langit juga semakin gelap.

Ketua marshal mencari tempat selamat untuk kami memakai baju hujan. Basah sejuk kena hujan boleh demam! Baru sarung baju, hujan turun selebat-lebatnya. Kami redah dengan harapan cuaca sebegini tidak lama. Rentak perjalanan semakin perlahan bila kami menempuh laluan tanah yang berbatu kasar, berbecak, licin dan berdebu. Helmet berkilat dah bertukar warna.

Sukar tetapi menambah ‘keseronokan’ jika dibandingkan dengan lebuhraya yang lurus dan panjang. Setidak-tidaknya bagi saya yang kembali menunggang skuter kecil. Tangan tak perlu kelam kabut tarik klac, skuter ringan lebih mudah dikawal di jalan sebegini. Ya… satu kelebihan buat saya (kata isi hati) yang akhirnya memberi point penting untuk memuji jentera 155cc itu.

Para peserta konvoi bergambar kenangan di Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien, Brunei.
Para peserta konvoi bergambar kenangan di Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien, Brunei.

Perjalanan yang dijangka hanya memakan masa dua ke tiga jam ‘diheret’ kepada empat jam lebih. Khudrat semakin nipis bila sekejap basah, sekejap kering. Namun begitu, perjalanan semakin baik apabila menghampiri ke Kota Kinabalu dan kami selamat tiba tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Syukur.

Hari keempat merupakan hari terakhir konvoi Tans Borneo 2023. Cepat benar masa berlalu. Dari hotel, para peserta dari dua kumpulan (pengedar Yamaha & media) bergabung untuk berkonvoi ke Karnival Gen Blu yang diadakan di Stadium LIKAS. Kehadiran Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Industri, Prof Dato’ Dr. Jim Khor dan Pengurus Besar Pemasaran & Meta HLYM, En. Tim Ho yang menyambut ketibaan kami sangat dihargai.

Sebahagian laluan sukar yang terpaksa dilalui oleh para peserta konvoi.
Sebahagian laluan sukar yang terpaksa dilalui oleh para peserta konvoi.

Dengan itu, tamatlah pengembaraan Trans Borneo yang berjaya disempurnakan oleh para peserta dalam masa tiga hari dengan jarak perjalanan sejauh 1,258 kilometer. RR

Oleh: Khairil Azuan

Isu Pada

November 2023

Popular

  • Warta Roda

    Boon Siew Honda (BSH) di Malaysia Autoshow 2024 - Bakal Lancar ADV350, CB750, XL750 dan NX500

  • Penunggang Motosikal Maut, Terlanggar Khinzir di Tengah Jalan

  • Warta Roda

    Ducati Monster Senna Edisi Terhad: Penghormatan Buat Ayrton Senna

  • Warta Roda

    Penunggang Motosikal Dihempap Pokok!

  • Warta Roda

    Blueshark Kembangkan Rangkaian Pengedar ke Seluruh Negara

Artikel berkaitan

Boon Siew Honda (BSH) di Malaysia Autoshow 2024 - Bakal Lancar ADV350, CB750, XL750 dan NX500

Ducati Monster Senna Edisi Terhad: Penghormatan Buat Ayrton Senna

Penunggang Motosikal Dihempap Pokok!

Blueshark Kembangkan Rangkaian Pengedar ke Seluruh Negara

Kemalangan Ngeri Tiga Kereta & Sebuah Motosikal, Tiga Cedera Parah...

Keselamatan Diendah: Sekumpulan Individu 'Berkelah', Masak & Makan Di Stesen Minyak

Konvoi 'High Speed Hill Journey' Bersama Pengedar Yamaha Taiwan

Kemalangan Motosikal Dengan Pacuan 4 Roda, Penuntut IPT Maut

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Red Bull MotoGP Rookies Cup (Pusingan 2): Podium Kedua Buat Hakim Danish!

Litar Le Mans: Tahniah Danish atas kejayaan menaiki tangga ketiga dalam Perlumbaan 2, Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2024.

Warta Roda

Yamaha Tenere Off-Road Experience - Beri Pendedahan & Latihan Laluan Lasak

Hong Leong Yamaha Motor anjur acara Yamaha Tenere Off-Road Experience buat pemilik, pengedar dan para media.

Dari Litar

Bimota Bakal Kembali Dalam WorldSBK 2025

Pengeluar jenama motosikal ikonik Itali, Bimota bakal kembali ke pentas perlumbaan dunia pada tahun 2025 dengan menyertai Kejuaran Dunia Superbike (WorldSBK).

Model Baru

Shineray 284 - Moped Menarik Dari China

Pengeluar motosikal dan kereta, Shineray Group hadir ke festival motosikal Canton baru-baru ini dengan menampilkan pelbagai model menarik. Antara yang kami cukup berkenan ialah Shineray 284, sebuah moped yang memiliki rekabentuk cukup mantap!