EICMA 2026 & YAMAHA CAMPUS: Pengalaman Yang Cukup Berharga
Sebelum berkongsi panjang tentang pengalaman penulis baru-baru ini, ingin dinukilkan terlebih dahulu ucapan jutaan terima kasih atas kesudian pihak Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) menjemput kami RodaRoda (RR) untuk hadir ke pameran motosikal antarabangsa EICMA 2026 yang berlangsung di Milan, Itali. Kepercayaan dan sokongan kalian amat kami hargainya.

Perjalanan RR ke Itali kali ini turut diserikan dengan kehadiran Pengurus Besar Penjenamaan & Pemasaran HLYM, En. Hoo Wan Tim, Pengurus Penjualan Motosikal Berkuasa Tinggi, En. John Lau, Pengurus Besar Big Bike, En. Lee Chan Wee dan wakil-wakil pengedar Yamaha Universe.
Untuk kembali bertugas di EICMA kali ini juga sedikit sebanyak mengingatkan kembali kepada beberapa edisi yang kami hadir dan kongsikan kepada para pembaca sebelum ini. Jauh benar perbezaan jika dibandinkan. Dahulunya, pada media hanya fokus kepada laporan, gambar dan gaya penulisan tetapi kini skop kerja lebih luas. Petugas media (mungkin tidak semua) kini perlu bersedia untuk berada di hadapan camera untuk sesi rakaman video atau siaran langsung yang akan disiarkan di laman sosial masing-masing. Siapa cepat...akan mendapat tontonan lebih ramai dan ini adalah 'target' yang cuba dicapai.


Kalau dulu, pihak pengedar menyalurkan maklumat menggunakan risalah, gambar, disket (floppy disc), CD dan kemudiannya 'Pen Drive' tetapi kini semuanya pakai Kod QR. Pantas! Selepas berjaya dapatkan semua info-info yang dierluakan, kita perlu bawa balik ke Malaysia, buat laporan, cetak, edar....dan akhirnya barulah sampai ke tangan para pembaca. Paling cepat dua minggu. Namun begitu...ada juga manisnya. Petugas media ketika itu tidak seramai sekarang, ruang untuk bekerja tidaklah sepadat sekarang ini.

Ruang pameran Yamaha di EICMA dibahagikan mengikut kategori atau segmen seperti Adventure (Tenere 700 & Tenere 4 Concept), Urban Mobility (NMAX E, Xenter E), Sport Touring (siri-Tracer 9), Hyper Naked (siri-MT), Sport Heritage (XSR900), Supersport (siri-R) dan yang terbaru, Adventure Scooter (RW700, RW700 Explore dan RW350).

Tahun ini, Yamaha mencuri tumpuan seluruh peminat motosikal di seluruh dunia dengan melancarkan siri skuter adventure pertama mereka iaitu RW700 dan RW350. Memang pandai Yamaha menyorok segala info mengenai model ini. Tak ramai yang tahu...tiba-tiba sahaja ruang sosial media 'MELETUP' dengan ketibaab model ini. Ya... kedua-dua model ini sudah pastinya merancakkan lagi pasaran skuter lasak khususnya yang bersesaran tinggi di seluruh dunia.

Kita mulakan dengan Yamaha RW700. Model ini dikatakan adalah hasil gabungan dua entiti iaitu skuter maksi Yamaha T-MAX dan jentera lasak, Yamaha Tenere 700. Dari segi rupa, memang ada persamaanya. Model baru ini didatangkan dengan enjin 699ccc, dua silinder, sistem penyejuk cecair yang menghasilkankan hantaran kuasa setinggi 78hp dan tork setinggi 65Nm. Paling best, ia juga hadir dengan sistem transmisi Y-AMT yang digerakkan oleh sistem pacuan akhir jenis rantai.


Posisi menunggang cukup selesa, ruang kaki luas dan hadir dengan dua tempat pemijak berbeza yang dikhususkan di laluan biasa dan satu lagi ketika melalui jalan-jalan lasak. Antara ciri-ciri moden yang ditawarkan oleh RW700 ialah Kunci Pintar, Mod Tunggangan, Auto Cruise, Sistem Y-AMT, Traction Control, TPMS dan sistem Connectivity yang memberi akses kepada Navigasi, Media/Muzik dan Panggilan Masuk. Semua talaan dapat dilakukan dengan mudah menerusi panel meter TFTnya yang cukup jelas.

Pelananya hanya setinggi 810mm, mudah ditunggang oleh sesiapa sahaja. Penulis sendiri sempat panjat ke atas RW700 ini dan dapat dirasakan ianya cukup sesuai untuk tunggangan harian dan kembara jarak jauh. Terdapat dua varian iaitu RW700 dan RW700 Explorer yang dibezakan berdasarkan spesifikasi seperti Pemanas Pendikit, Pemanas Pelana dan Tongkat Tengah, Suis Berlampu yang hanya ditawarkan pada model RW700 Explorer. Berat untuk RW700 Explorer adalah 224kg manakala untuk varian standard ialah 221kg sahaja.


RW350 pula direka dengan memberi penekanan kepada kejuruteraan casis dan semestinya enjin serba baru. Berbeza dengan Yamaha X-MAX, model ini disempurnakan dengan enjin 37c, silinder tunggal, SOHC, yang berkuasa 29hp dan tork 35Nm. Pergerakan skuter lasak ini menggunakan sistem transmisi automatik CVT. Inovasi Yamaha Dynamic Ride adalah satu pilihan bijak para jurutera Yamaha untuk memantapkan RW350 ini.


Skuter biasa lazimnya, enjin dan kotak gear digabungkan menjadi satu unit yang bergerak bersama bahagian lengan ayun. Untuk RW350, enjin dipasang pada kerangka utama (seperti motosikal biasa) manakala sistem CVT dipasangkan pada bahagian lengan ayun, itulah dia Yamaha Dynamic Ride. Konfigurasi ini mengurangkan berat 'upsprung weight' dan ia memberikan lebih kestabilan untuk bergerak dengan cemerlang di pelbagai jenis laluan. Model ini jua hadir dengan sistem elektronik moden seperti Mod Tunggangan, Sistem Auto Cruise, Panel Meter TFT dan sistem Connectivity Yamaha MyRide/Y-Connect.

Dengan spesiikasi yang mantap dan pencabar baru dunia skuter adventure yang ditunggu-tunggu, kita berharap kedua-dua model ini akan dibawa masuk oleh pihak HLYM dengan segera. Tak sabar pula rasanya!
'Bintang' utama ruang pameran jentera Superport tentulah Yamaha YZF-R1 Race berwarna biru yang mempunyai aura luar biasa. Model lain seperti YZF-R3, YZF-R7 dan YZF-R9 turut dipamerkan. Yamaha mempertontonkan model Tenere 4 Concept di ruangan Adventure yang turut mendapat perhatian ramai. Pengembaraan motosikal memang sangat popular di Eropah dan tidak hairanlah ruangan Sport Touring sentiasa penuh dengan para peminat. Selain model-model baru, para pengunjung booth Yamaha boleh menikmati pameran dunia perlumbaan, alat ganti dan aksesori Yamaha dan dunia pengubahsuaian (Customisation & Rev Your Heart). Secara keseluruhannya, dianggarkan lebih 50 unit motosikal Yamaha telah dipamerkan di EICMA pada tahun ini. Padu!



Pengalaman kami di bumi Itali bukan sekadar tertumpu kepada kunjungan ke EICMA 2026 semata-mata. RR turut diberi peluang istimewa untuk mengunjungi Yamaha Campus yang terletak di Gerno di Lesmo, sebuah lokasi yang cukup signifikan dengan operasi Yamaha di Eropah. Menariknya, Yamaha Campus bukan sekadar sebuah pusat pentadbiran biasa. Ia menghimpunkan beberapa cabang utama Yamaha, termasuklah Yamaha Motor Europe, Yamaha Motor Racing yang menjadi nadi kepada aktiviti perlumbaan MotoGP, Yamaha Motor R&D Europe (pembangunan model-model baru) serta Yamaha Music Europe.

Kunjungan ini memberikan kami gambaran lebih dekat tentang bagaimana Yamaha menggabungkan kepakaran dalam bidang kejuruteraan, penyelidikan, pembangunan produk dan teknologi perlumbaan. Malah, peluang untuk melihat sendiri persekitaran operasi Yamaha Racing membuka perspektif berbeza tentang kerja keras, kepakaran teknikal, kos keseluruhan dan persiapan yang diperlukan untuk bersaing di pentas perlumbaan dunia.

Kami cukup bertuah dapat bertemu dengan beberapa individu penting dalam pengurusan dan pembangunan program perlumbaan Yamaha khususnya MotoGP. Mereka adalah Paolo Pavesio (Pengarah Urusan Yamaha Motor Racing dan Team Principal Monster Energy Yamaha MotoGP), Massimo Meregalli (Pengarah Pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP), Takahiro Sumi (Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Sukan Permotoran, Yamaha Motor Co., Ltd. dan Presiden Yamaha Motor Racing) dan William Favero (Pengurus Bahagian Pemasaran dan Komunikasi, Yamaha Motor Racing).


Walaupun tidak lama bersama mereka, pertemuan singkat itu sedikit sebanyak memberikan perspektif lebih dekat tentang pengurusan pasukan motosikal bertaraf dunia yang melibatkan strategi korporat, pembangunan teknologi, kesediaan sistem bantuan, operasi pasukan MotoGP dan pemasaran.

Paling istimewa, kami dibawa melihat empat daripada sembilan buah Truk Pasukan (Yamaha MotoGP Team Truck) yang digunakan untuk tujuan Hospitality (ruang makan, dapur, ruang rehat, pejabat/bilik mesyuarat dan ruang tetamu), Operasi, Jurutera Korporat dan enjin jentera perlumbaan. Kesemua truk ini akan bergerak dan berada di litar-litar Eropah mengikut kalendar perlumbaan.



Keunikan identiti jenama Yamaha ini sangat terserlah apabila tiba di Yamaha Music Europe. Walaupun dunia muzik dan permotoran kelihatan berbeza, kedua-duanya berkongsi falsafah yang sama, iaitu Inovasi, Ketepatan, Kreativiti dan Semangat/Cinta demi menawarkan pengalaman terbaik kepada pengguna. Inilah yang menjadikan Yamaha Campus begitu istimewa di mana kita dapat melihat titik pertemuan dan persamaan di antara dunia muzik dan permotoran dalam satu ekosistem, berteraskan semangat inovasi dan kecemerlangan Yamaha.

Secara peribadi, ia adalah satu pengalaman istimewa yang tidak akan di lupakan sampai bila-bila. Buat HLYM, terima kasih sekali lagi! RR
Popular

.jpg)


