Isu Terkini

Februari 2024

Bintang / 24 Oktober 2020

CMC XY400 Ala Cafe Racer

Sememangnya beliau sangat suka motosikal kerana ia dapat memberi ketenangan setiap kali menunggang. Bermotosikal juga boleh dijadikan sebagai hobi disamping dapat menambah kenalan baru serta berkongsi pengalaman sesama sendiri tentang pengetahuan dalam dunia pengubahsuaian. Sejak di bangku sekolah lagi beliau sangat meminati dunia dua roda dan banyak menimba ilmu berkenaan motosikal melalui bahan bacaan dari majalah RodaRoda sejak awal penerbitan. Dialah Bintang Bulan Ini, Badrol Bin Isroh pemilik jentera CMC XY400.

Lebih mesra dikenali sebagai Bard di kalangan rakan-rakannya, berumur 49 tahun, sudah berkahwin dan memiliki dua orang cahaya mata. Beliau juga merupakan seorang guru yang menetap di Perak bersama keluarga tercinta. Makanan kegemarannya adalah Nasi Putih + Sambal Tumis Ikan Bilis. Selain bersama keluarga, Bard sering menghabiskan masa lapangnya dengan melakukan aktiviti bersukan dan riadah yang juga merupakan hobinya.

Kenangan manis buat beliau apabila dapat mengembara bersama rakan sekolahnya, Azlan Hamid ke negeri utara iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. Menurut Bard, ia merupakan kembara pertama beliau selama 3 hari 2 malam pada tahun 1991 ketika berumur 20 tahun.

Pertama kali beliau menunggang motosikal ketika berumur 12 tahun dengan sebuah Yamaha YB100 milik ayanhnya. “Pada masa itu saya amat teruja kerana dapat menimba pengalaman menunggang sebuah motosikal. Dengan bermotosikal saya boleh ke mana sahaja yang ingin dituju seperti bersiar-siar keliling kampung. Jentera ini amat mudah dipacu walaupun ia merupakan jentera berklac pertama yang saya tunggang”.

Sehingga ke hari ini Bard pernah memiliki sebanyak 9 buah jentera iaitu, Yamaha YB100, Kawasaki Kips 150, Kawasaki KRR 150, Modenas Jaguh 175, Modenas CT110, Honda BeAT dan model terkininya CMC XY400.

Motosikal Jaguh merupakan jentera pertama yang dikustomnya. Oleh kerana mendapat komen positif di kalangan rakan-rakan, Bard mengambil keputusan untuk mengubahsuai motosikal yang lain. Maka beliau memilih CMC XY400 untuk dikustom yang dibelinya pada tahun 2019 dengan harga RM9,000 (unit terpakai). Model ini memiliki kapasiti enjin besar dan ciri-ciri klasik serta hampir serupa dengan model Honda CB400 SS.

Untuk jenteranya tampak lebih menyerlah, Bard telah mengubah saspensi hadapan jenis terbalik (USD) dari model KTM. Ini merupakan bahagian pertama yang diubahsuai. Menurut Bard untuk memasang amat mudah dan tidak mengambil masa yang lama. Rim hadapan dan belakang masih dikekalkan yang lama tetapi tayar pada jenteranya ditukar kepada café racer moonlight.

Bard telah mengubahsuai semula panel meternya di mana meter putaran RPM dan kelajuan dipotong kepada dua bahagian. Kemudian disusun semula dengan kedudukan tinggi rendah serta depan belakang untuk menampakkan kelainan.

Bar hendal juga telah ditukarkan kepada jenis Club Man kerana beliau ingin menampilkan jentera ala café racer. Dengan pengubahsuaian bar handel tersebut sekali gus telah mengubah posisi gaya tunggangan yang lebih sporty. Antara aksesori lain yang dipadankan pada jenteranya adalah paparan battery indicator, lampu DLR pada saspensi hadapan, soket USB charger, windshield, pelindung lampu depan, cermin sisi dari jentera Honda Cub 50cc dan Steering Damper.

Menurut Bard, bahagian enjin masih dikekalkan yang asal. Ini kerana ketahanan enjin akan kekal dengan lebih lama jika spesifikasi padanya tidak berubah. Sistem ekzos telah pun diubahsuai oleh Bard dari segi bentuk bunyi dan warna krom untuk memberikan rupa yang lebih garang. Ternyata bunyi yang terhasil dari jentera milik Bard lebih mantap dan sedap didengar.

Untuk keselesaan menunggang, beliau telah memilih penyerap hentak belakang Ohlins 340mm. Menurut beliau, hasilnya amat berkesan kerana tunggangan lebih stabil dan lancar apabila meluncur laju ketika mengambil selekoh. “Saya dapati jentera tidak rasa seperti membuang ketika berada di laluan-laluan berselekoh,” kata Bard dengan nada yang berpuas hati.

Bahagian asal pelana telah dipotong dan menggunakan material kulit sarung pelana berbentuk gentian karbon dengan jahitan jenis berlian untuk memberikan rekaan yang lebih cantik dan menawan. Selain itu, lampu belakang telah dipadankan dalam kerangka U. “Prosesnya amat mudah di mana saya telah memotong sedikit untuk membuat ruang agar lampu tersebut boleh dimasukkan ke dalam. Walaupun mudah,ia perlu dibuat dengan teliti supaya saiz lampu belakang dan lubang yang dibuat tepat supaya hasilnya nampak lebih kemas. Manakala madgad belakang saya cat semula dengan warna krom”.

Bard telah menggunakan tempat pemijak kaki daripada model Yamaha RXZ. Untuk memasangnya beliau perlu membuat tapak yang baru supaya footrest tersebut dapat dipadankan pada jenteranya.

Setakat ini beliau sangat berpuas hati dengan rekaan jentera terkininya. Bard telah membelanjakan wang sebanyak RM6,000 untuk mendapatkan wajah terbaru motosikalnya. Setelah siap selama lapan bulan secara berperingkat, jentera CMC miliknya ternyata mampu menarik perhatian buat para pencinta dua roda terutama golongan yang gemarkan sebuah model berkonsep klasik dan café racer. Buat masa ini motosikalnya hanya dibawa untuk tunggangan waktu siang sahaja.

Menurut Bard, jika ada yang ingin membeli CMC XY400 miliknya dengan tawaran harga yang munasabah, dia akan pertimbangkannya. Oleh kerana beliau amat meminati jentera-jentera klasik, motosikal idaman Bard adalah Harley-Davidson Roadster 1200 dan Triumph Bonneville T120. RR

Isu Pada

Ogos 2020

Popular

  • Warta Roda

    Boon Siew Honda (BSH) di Malaysia Autoshow 2024 - Bakal Lancar ADV350, CB750, XL750 dan NX500

  • Penunggang Motosikal Maut, Terlanggar Khinzir di Tengah Jalan

  • Warta Roda

    Ducati Monster Senna Edisi Terhad: Penghormatan Buat Ayrton Senna

  • Warta Roda

    Penunggang Motosikal Dihempap Pokok!

  • Warta Roda

    Blueshark Kembangkan Rangkaian Pengedar ke Seluruh Negara

Artikel berkaitan

Kawasaki H2 Gundam Dari Dungun

Yamaha R25 Jadi MT25 Jadi XSR25

Honda Fame 'Rare' Milik Orang Temerloh

Yamaha YZF-R25 'Garang' Dari Melaka

Yamaha Nmax Doraemon Raih Populariti

Modenas Jaguh Custom 'Ride To Nature'

Yamaha 135LC Custom Moped

Motor Y15ZR Tayar Besar Ala SBK

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Blueshark Kembangkan Rangkaian Pengedar ke Seluruh Negara

Blueshark, anak syarikat perintis Sharkgulf Technologies Group dan pengeluar skuter elektrik pintar di dunia iaitu Blueshark R1, mengumumkan pengembangan rangkaian pengedarnya di seluruh Malaysia.

Warta Roda

Warna Baru Untuk Yamaha MT-15

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah mengumumkan kehadiran model MT-15 ini dengan warna serba baru iaitu Midnight Black dan Midnight Cyan.

Warta Roda

Yamaha RXZ Diseludup Masuk dari Thailand?

Model popular, Yamaha RXZ antara kenderaan yang dikesan mula aktif diseludup masuk ke dalam negara melalui Sungai Golok, Kelantan.

Model Baru

Harley-Davidson Road Glide & Street Glide 2024 Di Pasaran Negara. Harga dari RM190,900.

Harley-Davidson Malaysia telah melancarkan dua model terbaru iaitu Road Glide & Street Glide dan turut menampilkan model eksklusif CVO Road Glide ST Edisi Ulang Tahun.