Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 10 November 2016

HONDA RS150R : Pencabar Terbaru Kelas Super Moped

Sememangnya kelas Super moped empat lejang semakin mendapat perhatian dari semua lapisan peminat motosikal di Malaysia. Pelbagai ciri-ciri menarik, canggih dan berkuasa tinggi serta rupabentuk yang 'mengancam' menjadikan moped bersesaran 150cc menjadi kegilaan ramai. Di Malaysia, Suzuki adalah pengeluar pertama yang memperkenalkan Belang 150 pada tahun 2008 dan Yamaha pula memperkenalkan Y15ZR pada tahun 2015.

Model ini menjadi 'buah mulut' para peminat motosikal moped ketika ia mula dilancarkan di negara Vietnam (Winner150) dan gambar-gambar pelancarannya menjadi 'viral' di media sosial. Kemudiannya dilancarkan pula di negara Indonesia dan diberi nama Supra GTR150. Semakin lama, semakin heboh diperkatakan dan dibuat perbandingan dengan lawannya.

Pertengahan tahun 2016 menyaksikan Boon Siew Honda turut melakukan langkah yang amat berani dengan mempertaruhkan jentera supermoped ini ke pasaran Malaysia dengan diberi nama yang cukup sesuai iaitu RS150R. Ini kerana mereka tidak mahu ketinggalan untuk menyertai 'perang' super moped berkuasa 150cc. Model ini dihasilkan untuk memenuhi permintaan pasaran negara-negara Asean yang rata-rata penduduknya menggunakan motosikal jenis moped ataupun jenis skuter.

Dengan enjin rekaan terbaru enam kelajuan DOHC yang diadaptasi dari model CBR150R, model ini amat dinanti-nantikan oleh para peminat yang dahagakan kuasa hamburan maksimum dari sebuah jentera moped Honda yang sebelum ini hanya berkuasa 125cc dan 110cc.

Tiga bulan lamanya RR menunggu untuk sesi pandu uji dan akhirnya, pada bulan September kami diberi peluang untuk menguji sehebat manakah kuasa sebenar Honda RS150R ini. Unit dipandu uji ini adalah berwarna Biru Matte yang menarik dan unik. Selain warna ini, RS150R turut ditawarkan dengan warna Merah Logam, Hitam Matte dan gaya corak Repsol. Boleh dikatakan, Biru Matte dan Hitam Matte adalah warna yang pertama seumpamanya di pasaran Malaysia.

Baiklah, jika pertama kali kita memandang Honda RS150R ini, ia menawarkan rekaan keseluruhan yang lebih agresif berbanding petandingnya. Rekaan panel badan aerodinamik mencerminkan kuasa enjin yang hebat. Dengan rekaan lampu utamanya jenis LED yang besar, ia mampu memberikan suluhan yang terang dan tidak menyilaukan. Dua buah lampu kabus yang terletak di bahagian fairing hadapan mampu menarik perhatian sesiapa sahaja yang melihat bahagian hadapannya dari jauh, ia kelihatan seperti lampu model superbike.

Rekaan panel meter menunjukkan putaran rpm analog, tahap kelajuan digital, penunjuk kadar petrol dan penunjuk gear. Meter kelajuan RS150R ini juga dilengkapi dengan butang odometer untuk melihat jarak penggunaan petrol. Hanya perlu tekan beberapa kali untuk melihat jarak perjalanan kita. Namun begitu, warna merah pada latar belakang panel meter kelajuan sedikit mengganggu tumpuan kami ketika menunggang pada waktu malam.

Rekabentuk bahagian belakang model baru ini memang cantik. Lampu belakangnya kelihatan mirip dengan lampu Honda Wave Dash 110RS keluaran tahun 2011 dan juga dilengkapi lampu isyarat belok yang jelas untuk dilihat oleh pengguna jalanraya yang lain. Saiz tayar yang lebar memantapkan lagi rupa keseluruhan RS150R ini.

PANDU UJI:

Labuhkan punggung di atas pelana, putarkan kunci kemudiannya tunggu beberapa saat dan tekan suis penghidup elektriknya.... Enjin menderum dengan semangat sekali! Sistem penyenyap yang kelihatan sepadan dengan rekaan keseluruhan RS150R ini menghasilkan bunyi yang sedap didengar walaupun kita berkali-kali memulas pendikit pada putaran rpm enjin yang tinggi.

Model ini dilengkapi dengan enjin sejukan cecair 149.16cc, silinder tunggal empat lejang yang menawarkan kuasa tertinggi 15.6hp/11.5kW pada 9,000rpm dan tork 13.5Nm pada 6,500rpm. Enjin baru ini juga turut dilengkapi sistem pancitan bahanapi tercanggih dari Honda iaitu PGM-FI. Ia menjanjikan kadar penggunaan petrol yang menjimatkan.

Gerek bersaiz 57.3mm dan lejang 57.8mm menawarkan kuasa tork yang cukup mantap untuk sebuah moped empat lejang. Pulas sahaja pendikit dalam apa juga keadaan dan nikmatilah RS150R ini memecut tangkas ke hadapan dengan cemerlang sekali walaupun berat keseluruhan model ini adalah 123kg.

Kekuatan tork RS150R ini teruji apabila berada di laluan berbukit. Mudah sahaja untuk membuat pendakian dengan lebih menyeronokkan, penunggang hanya perlu memilih posisi gear yang sesuai agar pecutan sentiasa mengujakan. Tuas klac yang lembut membantu melancarkan proses menukar gear.

Kuasa hantaran di setiap kedudukan gear begitu mengasyikkan sehinggalah di gear keenam. Pada mulanya kami jangkakan gear keenam pada model ini sedikit 'over drive' seperti model CBR150R tahun 2008. Namun ia tidak berlaku sehinggalah kita berada di laluan lurus dan dalam kedudukan gear teratas, Honda RS150R ini berjaya dilarikan sehingga kelajuan maksimum mencecah 145kmj. Laju! Honda telah melakukan rombakan kepada sistem gearnya dengan cemerlang. Menakjubkan!

RS150R ini begitu stabil dan lincah meratah selekoh-selekoh dengan kemas. Ini kerana Honda melengkapkannya dengan saiz sportrim yang lebar dengan tayar-tayar gemuk untuk memantapkan pengendalian. Saiz tayar RS150R di bahagian hadapan adalah (90/80-17M/C 46P) dan di bahagian belakang adalah (120/70-17M/C 58P).

Berbekalkan kerangka jenis tiub berkembar yang bertegaran tinggi, kita akan merasakan jentera ini amat stabil ketika 'melibas' jentera ini ke kiri atau ke kanan ketika masuk ataupun keluar selekoh. Kita tidak terasa tubuh badan RS150R ini bergegar atau terhuyung-hayang walaupun memiringkannya dalam kelajuan yang agak tinggi.

Prestasi ini juga disumbangkan oleh sistem fork hadapan dan lengan ayun belakang jenis monoshock yang cukup efektif. Sistem saspensinya menyerap dengan baik sekali tidak mengira apa jenis permukaan jalan yang kita lalui. Sistem brek cakera hadapan dan belakangnya amat efisien jika kita menggunakan dengan betul ataupun dalam situasi yang memerlukan. Betul-betul best!

Jarak kelegaan bumi 165mm untuk model ini boleh dikatakan agak tinggi bagi sebuah model moped. Begitu juga dengan pemijak kaki hadapan. Agak sukar untuk menyentuh permukaan jalan ketika meratah selekoh. Kalau beraksi seperti Marc Marquez mungkin boleh!

Ruang yang luas di antara lutut dan bar hendal memudahkan penunggang untuk memacunya dengan selesa begitu juga bagi mereka berkaki panjang. Para penunggang akan dapat membuat belokan atau membuat pusingan 'U' dengan pantas sekali. Namun, pelana asal sedikit keras untuk perjalanan jauh. Tetapi itu perkara kecil.

Kadar penggunaan petrol model ini sangat memberangsangkan. Sekitar 120km-130km untuk satu isian penuh tangki bersaiz 4.5 liter. Ia dipecut ke tahap maksimum di lebuhraya, mengharungi kesesakan dalam bandar dan 'meleper' di jalan berselekoh. Jika menunggang secara bersantai, mungkin lebih jauh jarak perjalanan yang boleh dicapai. Honda ternyata berjaya menghasilkan sebuah model yang begitu mendapat sambutan dari semua lapisan peminat motosikal. Tahniah!

RS150R ditawarkan dalam dua varian dengan empat pilihan warna menarik iaitu Merah Logam, Biru Matte, Hitam Matte dan corak Repsol yang dijual pada harga bermula RM8,213.94 hingga RM8,372.94 (termasuk cukai GST 6%). RR

Oleh: Firdaus.

Isu Pada

November 2016

Spesifikasi

Enjin4 lejang, DOHC, sistem penyejuk cecair
Isipadu149.16cc
Gerek x Lejang57.3 x 57.8mm
Nisbah mampatan11.3:1
Kuasa maksimum11.5kW pada 9,000rpm
Tork maksimum13.5Nm pada 6,500rpm
Tinggi pelana 764mm
Berat123 kg
Isi tangki4.5 liter
PengeluarBoon Siew Honda Sdn Bhd

Popular

  • Dari Litar

    Akid Aziz Kembali! Perkuatkan Pasukan VOGE AS25 RACING TEAM

  • Dari Litar

    4 Mata Berharga Kekalkan Hakim Danish di Kedudukan ke-8 Keseluruhan

  • Dari Litar

    Helmi Juara CP150 di Terengganu

  • Dari Litar

    Bezzecchi Terpantas di Aragon

  • Warta Roda

    MODENAS Lanjut Program Z15GT Care Hingga 31 Oktober 2026

Artikel berkaitan

Honda CRF1100L Africa Twin 2026: Pengembaraan Baru Bermula

Honda CBR650R E-Clutch - Sebuah Supersport Mesra Pengguna?

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Yamaha NVX 155 SP - Skuter Premium Dengan Teknologi Terkini

Hampir 1000 kilometer Dengan Aveta NOVA 250 - Apa Rasanya?

Media Test Ride Kawasaki Z900: Glenmarie ke Sekinchan - Bukan Sekadar Kuasa

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Hakim Danish Mahu Bangkit Semula di GP Aragon

Hakim Danish Ramli bersedia melupakan kekecewaan di Silverstone dan mengalihkan fokus kepada misi kebangkitan pada GP Aragon.

Model Baru

KYMCO XCITING VS 400 Dilancarkan

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (MODENAS) selaku pengedar rasmi jenama KYMCO di Malaysia dengan bangganya melancarkan skuter maksi terbaru, Kymco Xciiting VS 400.

Dari Litar

Hakim Danish Kekal di Moto3 Bersama MSI RACING TEAM

Hakim Danish terus diberi kepercayaan untuk mengharungi saingan Moto3 bagi musim hadapan.

Dari Litar

Qayyim Raih Kemenangan Berganda, Qabil Lengkapkan Kedudukan di Podium

Dua pelumba Malaysia raih podium berganda di pusingan kedua Idemitsu Moto4 Asia Cup.