Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 10 November 2016

YAMAHA MT-09 TRACER : Lengkap

Bukan selalu, tetapi sekali sekala dalam hidup ini kita dapat menyaksikan pembuahan sebuah idea yang masanya telah tiba. Begitulah dengan Yamaha MT-09 Tracer ini. Motosikal ini merupakan penyertaan Yamaha ke dalam genre Sport Touring yang semakin popular sekarang ini.

Hmm … tidak. Kenyataan itu tidak tepat.

Tracer ini adalah penyertaan semula Yamaha ke dalam genre Sport Touring – yang asalnya dimulakan oleh mereka dengan model TDM850 lebih dua dekad dahulu. Nah … itu baru betul. Dengan menggunakan model MT-09 yang sangat popular itu sebagai asas, Yamaha telah menghasilkan sebuah motosikal yang bertujuan untuk mengembara, tanpa berkompromi dengan prestasi.

Umum sudah kenal dengan jentera 3-silinder, 847cc MT-09 itu, dengan kuasa kuda 115hp dan teknologi “cross-plane” CP3. Penghijrahan enjin ini ke dalam Tracer disusuli dengan perubahan-perubahan kecil yang bermaksud untuk memperbaiki respons enjin berbanding dengan MT-09 asal. Hasilnya, enjin ini mempunyai kelakuan yang lebih senang diramalkan berserta dengan mod-mod tunggangan yang munasabah.

Dalam kata lain, enjin MT-09 asal itu telah ditala sehingga – jika dahulu ianya sebuah enjin yang menyeronokkan – sekarang ianya sebuah enjin yang sangat menyeronokkan.

Casis dan kerangka Tracer ini adalah rekaan baru dari Yamaha, diperbuat dari aluminium. Sesuai sebagai sebuah jentera kembara jarak jauh, ianya mempunyai jarak roda sepanjang 1440mm, kelegaan tanah sebanyak 135mm dan ketinggian pelana setinggi 845mm ataupun 860mm.

Dimensi ini dipadankan pula dengan bar hendal yang tinggi dan terkebelakang, yang membuatkan posisi tunggangan tidak agresif, malah agak santai untuk membolehkan anda menunggangnya untuk tempoh masa yang lama tanpa merasai seperti pinggang anda akan terkepak.

Seperti yang disebutkan tadi, tinggi pelananya adalah 845mm ataupun 860mm. Yamaha telah membuat satu kaedah di mana tempat duduk itu boleh ditukar ketinggiannya dengan mengubah sekeping papan plastik di bawahnya. Jika diangkat dan ditolak ke depan papan itu, tempat duduknya menjadi 860mm. Jika ditarik ke belakang, 845mm. Mudah.

Motosikal ini diberikan sebuah skrin, yang juga boleh ditukar kedudukannya kepada tiga posisi, sesuai dengan ketinggian penunggang. Untuk mengubah ketinggiannya, anda hanya perlu memutar dua tombol, kiri dan kanan, di belakang kowlingnya tanpa perlu menggunakan apa-apa alat. Tetapi, tidaklah boleh melakukannya ketika kenderaan bergerak, kerana anda memerlukan kedua-dua tangan untuk berbuat begitu.

Tangkinya adalah sebesar 18 liter, ditambah 4 liter berbanding dengan MT-09. Kadar penggunaan minyak yang disebut oleh Yamaha ialah 4.3 liter setiap 100km. Tetapi dalam ujian RR, saya mendapati angkanya lebih hampir kepada 5.7 liter setiap 100km – akan tetapi saya menunggang dengan cara yang agak bersemangat, dan berat badan saya bukanlah di dalam linkungan yang normal. Jadi, jika kita ambil kadar penggunaan minyak yang konservatif, 5.5 liter setiap 100 km, maka dengan satu tangki penuh, Tracer ini boleh mengembara sejauh 320km sebelum tangki itu kering dan anda berdiri di tepi jalanraya menelefon kawan untuk datang membawa minyak petrol (ataupun berhenti mengisi minyak dahulu sebelum sampai ke peringkat itu – ini lebih praktikal).

Sistem ampaian hadapannya adalah fork jenis teleskopik, dengan jarak pergerakan sebanyak 135mm. Ampaian belakang pula, jenis monoshock dengan jarak pergerakan sebanyak 130mm. Kedua-dua ampaian depan dan belakang mempunyai kebolehan untuk mengubah kadar beban awal (preload) dan peredam (damping).

Begitulah sedikit sebanyak spesifikasi dan dimensi jentera ini. Persoalan sebenarnya, bagaimanakah perasaannya menunggang MT-09 Tracer ini.

Seperti yang telah disebutkan awal tadi, enjinnya sungguh menyeronokkan. Ianya mempunyai 3 mod tunggangan, mod STD (ataupun mod biasa), mod A untuk tunggangan yang lebih bersemangat dan mod B untuk menunggang ketika jalan basah dan licin.

Untuk sepanjang tempoh ujian, saya letakkan sahaja pada mod A, pulas pendikit dan pergi.

Susah untuk digambarkan, sebenarnya, tetapi jika hendak disimpulkan, Tracer ini adalah sebuah motosikal yang lengkap. Ia mempunyai cukup – sungguh cukup – kuasa. Pelananya lebar dan selesa. Ampaiannya, apabila anda telah menetapkan konfigurasinya, menyerap lopak dan bonggol dengan senangnya. Ia juga cukup mesra dengan selekoh-selekoh, yang landai mahupun yang tajam.

Hakikatnya, pengendaliannya sungguh hebat, anda akan menyambut dengan gembira kemunculan selekoh-selekoh di jalanraya, dan akan menyerang selekoh-selekoh itu dengan yakin dan bersemangat

.

Antara sebab ia sangat mudah untuk dikendalikan ialah kerana beratnya hanya 210kg. Ya, tidaklah seringan jentera lumba superbike, tetapi untuk sebuah tunggangan jarak jauh, cukup ringan.

Pilihan saiz tayar oleh Yamaha juga adalah satu lagi faktor. Walaupun rekabentuk Tracer ini mempunyai iras-iras motosikal keluar jalanraya (off-road), dengan posisi tunggangan yang tegak, dan jarak pergerakan ampaian yang panjang, Yamaha telah memuatkan tayar bersaiz 17 inci depan dan belakang. Tayar itu pula dipasangkan kepada rim aloi, untuk membolehkan pemasangan tanpa tiub.

Maknanya, penunggang diberikan keselesaan, manakala pengendaliannya tetap responsif dan tajam.

Ini adalah sebuah jentera yang serba boleh. Ianya sesuai untuk digunakan seharian, untuk ke tempat kerja dan balik. Anda boleh juga menggunakannya untuk melepaskan geram di jalan raya berselekoh di hujung minggu. Dan, anda juga boleh menunggangnya dari Kuala Lumpur ke Mae Hong Son untuk memuaskan keinginan mengembara anda.

Malah, menunggang Tracer ini sangat menyeronokkan, anda mungkin akan menunggangnya tanpa apa-apa sebab atau tujuan sekalipun.

Kesimpulannya, seperti yang telah saya sebutkan awal tadi, ini adalah sebuah motosikal yang lengkap. Dengan harga hanya RM59,900, juga antara yang paling mampu-milik bagi kategori Sport Touring ini.

MT-09 Tracer ini sememangnya adalah penyertaan semula yang tentunya disegani ke dalam kategori yang boleh dianggap dicipta oleh Yamaha sendiri. Dan itu adalah kejayaan sebenar bagi Yamaha. Hormat! RR

Oleh: Yusseri

Isu Pada

November 2016

Spesifikasi

Enjin4 lejang, 3 silinder, DOHC, sistem penyejuk cecair
Isipadu847cc
Gerek x Lejang78.0 x 59.1mm
Nisbah mampatan11.5:1
Kuasa maksimum84.6kW pada 10,000rpm
Tork maksimum87.5Nm pada 8,500rpm
Tinggi pelana 845mm
Berat210kg
Isi tangki18 liter
PengeluarHong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd.

Popular

  • Dari Litar

    Akid Aziz Kembali! Perkuatkan Pasukan VOGE AS25 RACING TEAM

  • Dari Litar

    4 Mata Berharga Kekalkan Hakim Danish di Kedudukan ke-8 Keseluruhan

  • Dari Litar

    Helmi Juara CP150 di Terengganu

  • Dari Litar

    Bezzecchi Terpantas di Aragon

  • Warta Roda

    MODENAS Lanjut Program Z15GT Care Hingga 31 Oktober 2026

Artikel berkaitan

Honda CRF1100L Africa Twin 2026: Pengembaraan Baru Bermula

Honda CBR650R E-Clutch - Sebuah Supersport Mesra Pengguna?

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Yamaha NVX 155 SP - Skuter Premium Dengan Teknologi Terkini

Hampir 1000 kilometer Dengan Aveta NOVA 250 - Apa Rasanya?

Media Test Ride Kawasaki Z900: Glenmarie ke Sekinchan - Bukan Sekadar Kuasa

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Akid Aziz Kembali! Perkuatkan Pasukan VOGE AS25 RACING TEAM

Akid Aziz sertai pasukan VOGE AS25 Racing Team dalam saingan CP150.

Dari Litar

Bezzecchi Terpantas di Aragon

Marco Bezzecchi mencatat keputusan masa terpantas pada sesi latihan hari Jumaat di Aragon.

Warta Roda

KARNIVAL GENBLU YAMAHA 2026

Model Baru

Triumph Motorcycles Malaysia Perkenalkan TRACKER 400 & THRUXTON 400 Baharu

Triumph Motorcycles Malaysia memilih acara Art of Speed baru-baru untuk melancarkan dua model terbaru untuk tahun 2026 iaitu Triumph Tracker 400 dan Thruxton 400.