Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 2 September 2021

Aprilia Tuono 660 - Generasi Baru Jentera Jalanan

Ketika proses penghantaran yang bermula November lalu, model enjin berkembar kelas pertengahan iaitu Aprilia RS660, berjaya meletakkan dirinya sebagai pencabar terbaru dalam dunia sportbike jalanan. Kini muncul pula Tuono 660 dan jujurnya, ia bukan hanya sebuah jentera naked biasa.

Dengan harga kurang daripada separuh harga RSV4 1100 (pasaran Malaysia: RM77,900), model baru ini terbukti lebih mudah diakses dan amat mengasyikkan untuk menunggang. Tuono 660 juga mungkin lebih sesuai untuk mereka yang lebih berpengalaman – penunggang yang ingin mencari keterujaan untuk berada di selekoh dengan kelajuan tinggi, membrek dengan keras atau menikmati kelajuan tertinggi dengan rentapan pendikit yang garang.

Segmen serba baru ini ternyata semakin popular dengan penambahan jumlah jentera silinder-kembar berkuasa 650-800cc yang diperkenalkan oleh para pengeluar motosikal yang berbeza. Tuono baru ini memiliki banyak persamaan dengan RS660 seperti berat kering, kedua-duanya 169kg, pakej sistem saspensi jenis Kayaba (kecuali redaman mampatan pada fork hadapan), brek Brembo jenis radial, pendikit digital RBW dengan lima mod tunggangan dalam dua pemilihan (Road & Track), sistem elektronik Aprilia Performance Ride Control dan termasuklah ATC traction control, AWC Wheelie Control, AEB engine braking control, AEM Engine Mapping, ABS dan ACC cruise control.

Sistem Aprilia Quick Shifter (AQS) dan Bosch’s switchable 9.1MP Cornering ABS dengan six-axis IMU adalah aksesori prestasi pilihan yang cukup mantap. Dengan ada six-axis IMU ini, jentera ini akan berinteraksi dengan sistem ABS ketika membuat miringan dan mengaktifkan lampu Bending Lights yang menyala ketika kita membuat belokan.

Selain itu, perbezaan di antara kedua-dua model ini memang cukup minima. Posisi tunggangan Tuono lebih tegak – bar hendal 50mm lebih tinggi manakala tempat pemijaknya kini terletak ke hadapan sedikit. Ini membuatkan Tuono lebih relaks dan ruang yang lebih luas berbanding RS. Pelananya 820mm dan telah direka cukup teliti agar dapat ditunggang hampir oleh sesiapa sahaja. Pihak Aprilia juga telah melakukan sedikit perubahan pada geometri pengemudi – sudut kepalanya kini lebih curam (rapat) yang menjadikan tapak roda Tuono lebih pendek.

Dari segi prestasi, kuasa enjin untuk Tuono telah ditala semula (rendah sedikit) iaitu 94bhp pada 10,500rpm dan tork 70kW pada 8,500rpm (RS660: 99 bhp/73.5 kW) – pengurangan 5hp dan 3.5kW berbanding RS. Walaupun begitu, ia langsung tidak menjejaskan prestasi Tuono ini seperti mana yang saya nikmati ketika menunggang uji jentera hebat ini (motosikal demo) yang dimiliki oleh rakan saya dan juga seorang pengedar Aprilia yang beroperasi di Southampton iaitu Dearden Motorcycles (www.deardenmotorcycles.co.uk). Terima kasih diucapkan.

Saya tidak dapat menghadiri pelancaran model ini di Itali berikutan wabak Covid-19 yang menghentikan pergerakan merentas negara. Tuono ini saya bawa mengelilingi Hampshire yang terletak di selatan England dan ia adalah model standard, tanpa sebarang aksesori pilihan seperti sistem quickshifter atau Cornering ABS. Tak mengapa…. ia tetap mengujakan.

Daripada pandangan estetik, Tuono 660 ini adalah saudara rapat dengan RS 660 dengan beberapa perbezaan yang tidaklah begitu banyak. Paling hampir tentunya menerusi lampu LED trademark Aprilia yang lengkap dengan lampu Daytime Running Lights (DRL) yang memberi pancaran terang tidak kira waktu apa sekalipun. Lampu-lampu ini disepadukan juga dengan lampu isyarat yang menjadikan bahagian hadapan tampak kompak dan mantap.

Sistem pencahayaan Tuono juga dilengkapkan dengan beberapa ciri-ciri istimewa agar tunggangan lebih selamat. Sensor twilight akan menghidupkan lampu dipped secara automatik apabila kita menunggang pada keadaan sekitar yang semakin gelap manakala lampu amaran kecemasan akan menyala apabila kita membrek dengan keras. Diharap ia boleh dinyahaktifkan bila tiba hari ‘track day.’

Model ini juga diperkemaskan dengan fairing twin-skin seperti RS 660 yang akan memberi kestabilan tinggi sewaktu berada dalam kelajuan tinggi. Aprilia menegaskan ia dapat memberi lebih keselesaan buat para penunggang sewaktu berdepan dengan tamparan udara dari depan dan pada masa yang sama mengalirkan udara panas dari enjin dengan baik.

Baiklah, hari ujian saya itu cukup sejuk dan tidak ada sama sekali udara panas daripada bahagian enjin tetapi Tuono ini memang cukup sedap ketika memecut – bukti ciptaan hebat ini berjaya! Walaupun tapak rodanya pendek, ia sungguh stabil ketika kita membrek dan itulah kemantapan brek-brek Brembo yang bekerja dengan cemerlang dalam semua keadaan. Sistem slipper clutch juga amat membantu jadikan ia stabil ketika kita mendapatkan brek enjin.

Ketangkasan jentera ini juga datangnya dari pengendaliannya yang unggul. Binaan kerangkanya ramping dan pusat graviti yang membuatkan jentera ini mudah dikawal dan tepat. Kolaborasi Kayaba pada sistem saspensi depan membuatkan pergerakan selesa walaupun apabila berada di laluan tidak rata atau sewaktu kita membrek cuma saya rasa saspensi belakang kurang baik. Mungkin apabila saya cuba laraskannya, penyerapan akan menjadi bertambah baik.

Seperti yang dijelaskan tadi, Aprilia Tuono ini memiliki tahap pengendalian yang cukup mantap – sesuai buat mereka yang sukakan laluan luar bandar yang memiliki pelbagai jenis jalan dan keadaan. Motosikal ini sangat mudah dan seronok dibawa ‘berjalan’ – ia memberi kita lebih keberanian untuk merentap pendikit keluar dari selekoh lebih pantas dari kebiasaan.

Tuono 660 juga cukup seimbang dan luas untuk kita menukar posisi badan untuk merasakan tayar-tayar bersaiz 120/70 ZR 17 di depan dan 180/55 ZR 17 (belakang) menggigit permukaan jalan tanpa was-was. Tangkas sekali! Ia sudah tentu menjadi pilihan semua jenis penunggang tidak kira lelaki mahupun wanita – anda akan rasa cukup selamat. Rekaan pelananya yang ramping jadikannya sesuai untuk penunggang rendah – kaki anda akan diletak rata setiap kali berhenti, tidaklah perlu menjengket.

Aprilia ini memang versatil. Sesuai untuk peminat track day dan kegunaan harian. Bunyinya? Memang padu sekali, gayanya seakan-akan sebuah jentera berkembar British lama. Enjin berputar dengan lembut sehingga dalam putaran enjin rendah dan apabila mencecah 4,000rpm, saya dapat nikmati kekuatannya kerana dalam putaran ini, kuasa torknya sudah mencapai 80% dan meningkat kepada 90% apabila mencecah 6,250rpm.

Seperti RS 660, jentera ini akan mengubah seseorang penunggang newbie itu kepada professional kerana ia benar-benar berkualiti dan memberi keyakinan. Bagi mereka yang berpengalaman, ia akan membuatkan mereka berfikir sama ada adakah mereka benar-benar perlukan sebuah jentera lebih berkuasa sedangkan Tuono telah pun memberi kepuasan sejati.

Sistem elektronik yang ditawarkan oleh Tuono ini juga amat membantu. Dalam mod Commute, hantaran kuasanya lembut dan tidak mengejutkan – saya benar sukakannya terutama sekali ketika berada di permukaan yang licin. Apabila kita menukar mod kepada Dynamic, ia bertukar menjadi lebih garang dan hantaran kuasa di peringkat pertengahan khususnya dalam gear ketiga dan keempat sangat memuaskan hati.

Dalam mod User atau Peribadi penunggang / pemiliknya boleh membuat talaan mengikut kemampuan diri. Setiap talaan dapat dibuat menerusi panel meter TFT yang terang dan suis kawalan yang mudah digunakan. Respon pendikit dan pengurusan brek enjin yang cemerlang membolehkan kita dapat menikmati prestasi enjin dengan tenang. Dalam kedudukan 7,500 rpm, kelajuan sudah mencecah 160kmj dan kelancaran enjinnya memang mengasyikkan.

Dengan radius putaran yang luas iaitu 64°, ia lebih mudah dikawal khususnya di kawasan yang terhad atau ketika membuat pusingan ‘U’ – sukar buat jentera sport RS 660 yang hanya memiliki putaran seluas 60°. Posisi menunggang yang tegak dan agak tinggi memudahkan kita melihat keadaan trafik melepasi bumbung kereta.

Panel meter TFT yang dipadankan pada Tuono ini direka dengan baik. Paparannya sangat jelas dan mudah untuk diakses. Paparan utama (Home Page) memiliki data yang cukup berinformasi dengan penunjuk kelajuan yang besar, posisi gear, jam, trip, suhu enjin dan tahap bahan api. Terdapat juga enam lampu amaran di paparan bawah.

Kemasan dan ketelitian dalam pembikinan Tuono 660 cukup halus dan tidak hairanlah harganya juga tidak murah jika dibandingkan dengan jentera saingannya, paling dekat ialah Yamaha MT-07. Pada saya, suis lampu tinggi di sebelah kiri begitu mudah tersentuh secara tidak sengaja dan tuas klac juga agak jauh untuk digunakan (walaupun boleh laras) yang akan memberi sedikit kesukaran buat penunggang bertangan kecil.

Model baru ini bukan sahaja akan memuaskan hati penunggang berpengalaman tetapi juga buat mereka yang ingin ‘naik pangkat’ untuk menyertai rakan-rakan superbike. Seimbang dan efektif adalah dua perkataan terbaik untuk menggambarkan motosikal baru dari Itali ini. Tuono adalah ‘pemain’ baru dalam generasi jentera kelas pertengahan dan dijangkakan model Tuareg 660 juga akan tiba pada tahun hadapan yang pastinya akan memberi cabaran dalam pasaran jentera kembara.

Tuono adalah ciptaan yang bagi saya lebih padu berbanding RS 600 kerana ia lebih selesa (terima kasih buat bar hendalnya yang lebar dan tinggi), respon enjin yang mengagumkan dan tahniah buat para jurutera yang menjadikan Aprilia ini tanda aras terbaik untuk jentera jalanan. Saya pernah menyatakan Aprilia Tuono 1100 V4 antara motosikal terbaik yang berada di pasaran sekarang ini tetapi bila melihat dan merasai Tuono 660, ia lebih hebat – harganya juga lebih murah. Aprilia mampu menggegarkan semula pasaran motosikal dunia dan saya mempercayainya. RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Oli Tennent

Isu Pada

Julai 2021

Spesifikasi

EnjinKembar parallel, empat lejang, sistem penyejuk cecair, DOHC
Isipadu659cc
Kuasa maksimum94bhp (70kW) pada 10,500rpm
Tork maksimum67.0Nm (6.83kgm) pada 8,500rpm
Transmisi6 kelajuan dengan sistem Aprilia Quick Shift (aksesori pilihan)
Tayar120/70 ZR 17 (depan) & 180/55 ZR 17 (belakang)
Brekbrek cakera Brembo 320mm (depan) & cakera Brembo 220mm (belakang), ABS
Saspensifork Kayaba USD 41mm (depan) & lengan ayun aluminium asymmetrical dengan penyerap hentak tunggal
Tangki bahan api15 liter (simpanan 4 liter)
PengedarDidi Resources Sdn Bhd

Popular

  • Warta Roda

    WMOTO Griffin 205 Sudah Berada di Pusat Pengedar Mforce Smartshop

  • Warta Roda

    Art of Speed 2026: 15 Tahun Menyatukan Jiwa Kustom

  • Warta Roda

    Honda ADV160 Edisi Terhad Versi Spider-Man Dilancarkan - Bermula RM14,149

  • Berita Kelab

    Kembara Road Rider Crew Taiping 3.0 Sempena Ulang Tahun Kelab ke-4

  • Dari Litar

    Hakim Danish Kutip Mata Berharga Walaupun Berdepan Cabaran di Sachsenring

Artikel berkaitan

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Yamaha NVX 155 SP - Skuter Premium Dengan Teknologi Terkini

Hampir 1000 kilometer Dengan Aveta NOVA 250 - Apa Rasanya?

Media Test Ride Kawasaki Z900: Glenmarie ke Sekinchan - Bukan Sekadar Kuasa

SYM ADXTG 400: Skuter Adventure Santai Tapi Padu

BMW F900 GSA: Jelajah Tanpa Batasan

Disyorkan untuk anda
Model Baru

KTM 790 Duke 2027: Lebih Agresif....Kawalan Lebih Cekap

Bagi penunggang yang mahukan sebuah naked bike berprestasi tinggi dengan elektronik lengkap dan pengendalian yang menyeronokkan, KTM 790 Duke baru ini mungkin antara pilihan terbaik. Tepuk dada tanya selera!

Dari Litar

Yamaha Jadi Pembekal Tunggal Moto3 Bermula 2028

Yamaha Motor Co., Ltd. jadi pembekal tunggal motosikal bagi Kejuaraan Dunia FIM Moto3 bermula musim 2028 hingga 2033.

Dari Litar

Pedro Acosta Bersama Ducati Untuk Musim 2027 dan 2028. Marc Marquez Sambung Kontrak!

Pedro Acosta kini dengan rasminya menyertai pasukan Ducati bersama dengan Juara MotoGP tujuh kali, Marc Marquez.

Dari Litar

Ai Ogura Terpantas di Sesi Latihan Pertama

Ai Ogura memulakan kempen GP Republik Czech dengan cemerlang apabila mencatat masa terpantas pada sesi hari Jumaat.