Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 2 Jun 2022

Ducati Monster 2021 - Lebih Agresif... Lebih Monster!

Ducati mengumumkan jumlah penjualan global untuk tahun 2021 adalah yang terbaik dengan 59,477 unit dan daripada jumlah itu, sebanyak 8,734 unit datangnya dari model Monster. Tidak dinafikan, Monster merupakan antara model paling popular sejak ianya diperkenalkan pada tahun 1993 yang lalu. Antara saat kegemilangan jentera naked ini tentunya pada tahun 2005 apabila penjualannya melebihi separuh daripada jumlah keseluruhan jualan Ducati seluruh dunia.

Model paling baru… Ducati Monster direka serba baru dengan menampilkan ‘sifat’ yang lebih berani dan garang. Tengok dari kiri… dari kanan… dari depan… dan mahu pun dari belakang memang tak puas-puas. Setiap sudut ada saja tarikan tersendiri dan bila berhenti di lampu isyarat, jentera ‘hensem’ ini memang akan sentiasa mencuri tumpuan.

Pembaharuan atau perubahan yang dilakukan pada model ini memang cukup banyak berbanding model sebelumnya… hampir dari setiap sudut. Walaupun ada juga peminat motosikal yang mengaitkan rekabentuk Monster baru ini nampak seakan sama (dari segi konsep rekaan) dengan jenama Itali yang lain tetapi pada hakikatnya ia memang mewarisi sifat jenama Ducati. Tak boleh nak sangkal.

Tanpa perlu bicara panjang, kita lompat terus ke atasnya. Dengan bar hendal yang lebar serta kedudukan posisi badan yang natural, ia mudah dikendalikan. Pelana baru Ducati ini ramping (tinggi: 820mm) jadikan kita lebih sedap mengepit tangki yang bersaiz 14 liter ini. Panel meter bersaiz 4.3 inci cukup jelas dan mudah dibaca, itulah kelebihan teknologi TFT. Ia memaparkan tahap kelajuan, putaran rpm, posisi gear, jam, jarak perjalanan, suhu, lap, tahap bahan api dan banyak lagi.

Pakej elektronik yang dimiliki oleh Monster ini terdiri daripada Mod Tunggangan (Sport, Touring dan Urban), sistem IMU Cornering ABS, Traction Control. Launch Control dan Wheelie Control. Dengan menggunakan mod Urban, respon pendikit cukup ‘jinak’ dan lembut. Boleh dipilih oleh rakan-rakan yang baru sahaja bawa keluar Monster ini dari bilik pameran atau ketika berada di dalam bandar atau di cuaca yang kurang baik.

Bila dah mula selesa, makin serasi… bolehlah tukar mod kepada Touring atau Sport yang menawarkan hantaran kuasa sepenuhnya iaitu 111hp pada 9,250rpm. Nilai tork untuk model jalanan ini ialah 93Nm pada 6,500rpm. Untuk menukar mod tunggangan, tekan suis… tutup pendikit dan pilih lah mana-mana mod yang anda suka.

Bunyi enjin Testatretta 937cc, V2, 4 injap, sistem sejukan cecair, Desmodromic valvetrain ini memang cukup padu. Lebih-lebih lagi apabila kita memulas pendikit lebih galak. Dengan berat yang hanya 166kg dan tubuh badan yang ramping, Monster ini dapat kita kawal dengan mudah untuk pergerakan yang lincah dan tangkas.

Antara pembaharuan pada bahagian enjin termasuklah kepala silinder, omboh, rod, alternator, klac, sistem kemasukan udara dan sistem ekzos. Sistem ekzos standard bentuk tiga lapis di sisi kanan pun cukup menggiurkan. Belum sampai, orang dah tercari-cari dari mana ‘mai’ bunyi itu.

Lampu LED beserta DRL yang dilengkapkan pada model ini bukan sahaja nampak anggun tapi juga satu lagi ciri-ciri keselamatan. Selain memberikan suluhan cukup cerah sewaktu menunggang malam, Monster ini juga memastikan penunggangnya mudah dilihat ketika di waktu siang hari.

Dengan Monster ini, kami lebih yakin untuk ‘membaringkannya ke kiri dan kanan atau membuat pusingan ‘U’ tanpa ragu-ragu. Kerangkanya yang tegar sangat membantu dan Ducati tidak lagi menggunakan kerangka jenis trellis ikoniknya lagi sebaliknya mewarisi gaya model Panigale. Apa yang agak menyeksakan apabila menunggang di dalam bandar, haba panas dari bahagian enjin cukup terasa walaupun kami mengenakan seluar menunggang. Kalau pakai seluar biasa mungkin tak sanggup woo!

Sistem Quick Shifter cukup cemerlang. Kita dapat meningkatkan menambah/menurunkan gear dengan lancar sekali manakala sistem Wheelie Control yang boleh ditala dalam empat tahap pula menghalang tayar hadapan daripada terangkat sewaktu kita membuat pecutan. Seperti yang dikatakan, gabungan respon pendikit yang efisien dan hantaran kuasa yang lancar membolehkan kita memintas dan meninggalkan kenderaan lain di belakang dengan mudah.

Tak ambil masa lama untuk memecut dari 50km/j ke 160km/j sebelum memerah seluruh tenaganya untuk ‘berlari’ lebih daripada 210km/j. Walaupun ringan, tidak pula terasa badan Monster ini bergoyang-goyang sewaktu berada dalam kelajuan tinggi.

Untuk menikmati laluan berselekoh, Ducati memberi kita peluang untuk membuat talaan mengikut kemahiran masing-masing. Sistem traction control (ada lapan tahap) dan sistem ABS adalah salah satu yang menambah nikmat keseronokan menunggang. Secara logiknya, hampir mustahil untuk tidak berseronok dengan Ducati ini. Senang nak tukar mod tunggangan, ada quick shifter, TC, ABS… badan pun ringan untuk dikawal. Apa lagi anda mahu?

Untuk menyerap hentakan dan bebanan sewaktu berada di jalanan, Ducati ini disempurnakan dengan fork hadapan 43mm jenis terbalik manakala lengan ayun di belakang dilengkapi dengan penyerap hentak tunggal dengan pra-beban boleh laras yang ‘bekerja’ dengan baik sekali. Rekabentuknya yang kompak (tapak roda: 1,474mm) juga menyumbang kepada pergerakan keseluruhan yang mantap.

Kami cukup berpuas hati dengan kecemerlangan brek hadapan jenis cakera 320mm Brembo M.4.32 dan 245mm Brembo mengawal pergerakan sepasang tayar yang mengigit permukaan jalan dengan baik. Kami yakin benar ‘raksasa’ ini dapat menyaingi mana-mana model sport di laluan berliku ataupun di litar. Cuma bila sampai 'straight line' tu kena tinggallah juga rasanya kan!

Selepas beratus kilometer menunggang jentera ini, dapatlah difahami mengapa Monster diiktiraf sebagai antara jentera lagenda di mata peminat motosikal khususnya model naked sejak dari dulu lagi. Ia mempunyai satu aura tersendiri yang benar-benar unik. Pelbagai pembaharuan telah dilakukan sejak ia mula-mula masuk ke pasaran, baik dari segi spesifikasi enjin mahu pun rupabentuk agar dapat memenuhi kehendak peminat yang semakin cerdik dalam pemilihan motosikal.

Ducati Monster didatangkan dalam tiga warna iaitu Merah, Kelabu, Hitam dan ditawarkan pada harga RM69,900. RR

Isu Pada

Mac 2022

Spesifikasi

EnjinTestaretta, silinder kembar V2, desmodromic valvetrain, sistem penyejuk cecair
Isipadu937cc
Kuasa maksimum111hp pada 9,250rpm
Tork maksimum93Nm pada 6,500rpm
Transmisi6 kelajuan
Tayar120/70-ZR17 (depan) & 180/55-ZR17 (belakang)
Berat kering166kg
Saspensifork USD 43mm (depan) & lengan ayun aluminium dengan penyerap hentak tunggal (belakang)
Tinggi pelana820mm
Isi tangki14 liter

Popular

  • Warta Roda

    WMOTO Griffin 205 Sudah Berada di Pusat Pengedar Mforce Smartshop

  • Warta Roda

    Art of Speed 2026: 15 Tahun Menyatukan Jiwa Kustom

  • Warta Roda

    Honda ADV160 Edisi Terhad Versi Spider-Man Dilancarkan - Bermula RM14,149

  • Berita Kelab

    Kembara Road Rider Crew Taiping 3.0 Sempena Ulang Tahun Kelab ke-4

  • Dari Litar

    Hakim Danish Kutip Mata Berharga Walaupun Berdepan Cabaran di Sachsenring

Artikel berkaitan

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Yamaha NVX 155 SP - Skuter Premium Dengan Teknologi Terkini

Hampir 1000 kilometer Dengan Aveta NOVA 250 - Apa Rasanya?

Media Test Ride Kawasaki Z900: Glenmarie ke Sekinchan - Bukan Sekadar Kuasa

SYM ADXTG 400: Skuter Adventure Santai Tapi Padu

BMW F900 GSA: Jelajah Tanpa Batasan

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Warna Baru Untuk Honda CBR650 R E-Clutch & CB650R E-Clutch

Boon Siew Honda (BSH) hari ini mengumumkan ketibaan warna baru untuk model CBR650 R E-Clutch & CB650R E-Clutch.

Warta Roda

Model Viral, ZXMOTO 820RR Bakal Dilancarkan Di Malaysia. Harga bawah RM40,000

Sah! Mforce Bike Holdings Sdn Bhd akan melancarkan model supersport yang telah tular di seluruh dunia iaitu ZXMOTO 820RR.

Dari Litar

Penantian 10 tahun Malaysia, Hakim Danish Cipta Sejarah Baru

Hakim Danish Ramli melakar sejarah apabila meraih kemenangan sulungnya dalam Kejuaraan Dunia Moto3 selepas muncul juara di GP  Republik Czech.

Model Baru

Harga Rasmi BMW F 450 GS Trophy Diumumkan - Bermula RM39,900

BMW Motorrad Malaysia secara rasmi mengumumkan harga bagi BMW F 450 GS Trophy Baharu yang ditawarkan bermula RM39,900.