Isu Terkini

Februari 2024

Pandu Uji / 13 Disember 2020

MOTO GUZZI V85TT Jentera Pelbagai Kegunaan

Ketika di Pameran Motosikal Antarabangsa EICMA November lalu, Moto Guzzi mengujakan para hadirin dengan pengeluaran jentera cukup hebat iaitu V85TT, sebuah jentera pengembaraan (adventure) bertemakan jentera retro. Saya amat gembira kerana mendapat peluang menunggang uji model baru ini di Sardinia, Itali yang menawarkan laluan berbukit bukau di sebuah pulau yang benar-benar amat sesuai dengan pembinaan jentera ini.

Tidak dilupakan juga ya... Moto Guzzi merupakan pengeluar motosikal tertua di Itali masih gagah menghasilkan jentera beroda dua sejak tahun 1921 iaitu 98 tahun yang lalu. Pihak pengurusan Moto Guzzi menyifatkan V85TT adalah pengganti buat Stelvio yang telah memberi perkhidmatan kepada para pencinta motosikal sejak 2007 lalu. Jika model itu dikuasakan dengan enjin lapan injap 1,151cc, V85TT pula dikuasakan oleh enjin 853cc dengan sistem penyejuk udara/minyak dan dirasakan ia boleh diletakkan dalam kategori baru jika dilihat dari segi kejuruteraan dan kapasitinya.

V85TT direka oleh Mirko Zocco yang boleh diberi pujian atas keberaniannya menghasilkan sebuah jentera yang unik, segar dan amat seronok untuk ditunggang. Ia didatangkan dalam lima warna pilihan  dengan tiga daripadanya berwarna urban seperti biru, kelabu dan merah yang kesemua lengkap dengan kerangka. Harga yang ditawarkan untuk model ini ialah €11,490 termasuk cukai 22% dan disempurnakan dengan tayar Metzeler Tourance Next.


Bayaran tambahan €200 diperlukan jika ingin memiliki model yang dikemaskan dengan dua tona warna seperti Merah/Kuning atau Merah/Putih yang kedua-duanya didatangkan dengan kerangka berwarna merah dan versi ini menggunakan tayar lebih lasak iaitu Michelin Anakee Adventure bersaiz 2.50 x 19 inci (depan) dan 4.25 x 17 inci di belakang.

Enjin baru model ini dikatakan berkuasa 80bhp/59kW pada 7,750rpm dan tork 80Nm pada 5,000rpm. Namun begitu, Moto Guzzi menyatakan 90% daripada kuasa tork itu hadir pada kedudukan 3,750rpm. Sememangnya ia adalah enjin berputaran tinggi dalam keluarga Moto Guzzi walaupun direka dengan dua injap.

Kemantapan enjin ini adalah hasil kerja pasukan para jurutera Piaggio, diketuai oleh Roberto Calo yang merekabentuk enjin ini di Pusat R&D berteknologi tinggi mereka di Naole. Tetapi pembinaannya dijayakan di kilang penuh sejarah Moto Guzzi yang terletak di tepian tasik Mandelli del Lario. Kilang ini memiliki 95 orang kakitangan yang berkemampuan mengeluarkan sebanyak 9,000 buah motosikal pada tahun 2018.

Model ini menawarkan tiga mod tunggangan iaitu Road, Rain dan Offroad. Ketiga-tiga mod ini menawarkan kuasa enjin yang penuh tetapi tindakbalas pendikit dan kuasa brek enjin yang berbeza. Moto Guzzi turut melengkapkan model ini dengan sistem ABS untuk kedua-dua tayar dan Moto Guzzi Controllo Trazione (MGCT) yang menjadikan model ini cukup mantap untuk semua jenis tunggangan.

Untuk mengawal pergerakan ketika berada di dalam hujan, tindak balas pendikit/enjin dikawal menjadi lebih lembut manakala brek enjin dinaikkan. Untuk tunggangan lasak pula, sistem ABS boleh dimatikan (tayar hadapan sahaja) dan sekali lagi kawalan pendikit juga lembut dengan brek enjin yang dinaikkan.

Enjin generasi terkini Moto Guzzi ini 'dibalut' di dalam casis tubular baru yang bertegaran tinggi. Untuk pengendalian yang tangkas terutamanya di laluan lasak, model ini memiliki kelegaan tanah yang tinggi iaitu 210mm manakala enjin juga dilindungi oleh pelindung aluminium. Lengan ayunnya juga 70mm lebih panjang berbanding model V9 dan pihak Moto Guzzi cukup pasti penyerapan dan cengkaman V85TT ini lebih cemerlang. Pastinya rekabentuk sistem ekzos 2-1 berbentuk bujur besar yang benar-benar mantap.

Sistem saspensi jentera ini adalah dari Kayaba dengan set fork hadapan 41mm dan penyerap hentak mono cantilever yang menawarkan pergerakan tanpa sebarang kerisauan di pelbagai jenis mukabumi. Pengendalian lebih meyakinkan dengan adanya sistem brek jenis cakera 320mm di depan dan 260mm di belakang yang dimantapkan lagi dengan sistem ABS. Moto Guzzi V85TT ini seberat 229kg termasuk isi tangki penuh 20 liter.

Cermin pengadang udaranya tidak boleh dilaras tetapi ketinggiannya sudah cukup sempurna – udara yang datang dari depan melepasi topi keledar dengan baik walaupun kelajuan sudah melepasi 120km/j. Selesa! Sebagai sebuah jentera dengan gaya retro, lampu utamanya yang berbentuk bulat dan lampu belakangnya menggunakan LED. Lampu isyarat model ini juga direka akan terpadam dengan sendiri dalam masa beberapa saat.

Terdapat pelbagai aksesori yang ditawarkan buat para pemilik Moto Guzzi ini. Antaranya ialah pemanas pendikit yang mendapat kuasa dari generator flywheel 430W. Menerusi Touring Pack, para pelanggan Moto Guzzi boleh memiliki cermin pengadang udara lebih tinggi, beg barangan aluminium.

Sport Aventure Pack pula menawarkan peningkatan prestasi untuk laluan lasak seperti saspensi Ohlins manakala Urban Pack pula terdiri daripada kotak barang sisi dan sistem anti kecurian. Akhir sekali ialah panel meter TFT yang direka dengan baik dan mudah dibaca. Ia memaparkan tahap kelajuan, rpm, jarak perjalanan, tip, jam, tahap bahan api, mod tunggangan dan lampu penukaran gear juga boleh ditala.

Kualiti pembikinan jentera ini memang cukup tinggi dan pastinya kita amat berpuas hati apabila melihat kemasan warnanya yang benar-benar cantik. Posisi menunggangnya tegak dan selesa yang dikawal oleh bar hendal aloi dan tempat pemijak gaya offroad yang membantu pergerakan terus tangkas dalam apa jua keadaan.

Saya amat mengagumi keberkesanan sistem saspensi Kayaba yang benar-benar outstanding. Ia bertindakbalas dengan setiap pergerakan tayar Metzeler dengan sempurna sekali. Selekoh-selekoh di laluan pantai Sardinia dapat diratah dengan mudah dan penuh keyakinan. Satu-satunya kritikan dari saya ialah saspensi belakang yang tidak begitu lancar seperti mana yang saya harapkan – ini dirasakan ketika menunggangnya dengan perlahan di laluan sukar.

Penyerapan saspensi ini dalam kelajuan sederhana dan tinggi jauh berbeza…. ia sangat cemerlang. Saya nikmatinya apabila memasuki selekoh dengan tangkas dan ketika menyusuri laluan berbonggol dalam kelajuan tinggi. Bar hendalnya yang lebar juga membantu pengendalian menjadi lebih mudah tidak kiralah ke mana sahaja V85TT ini dibawa. Mantap!

Sistem brek Brembo radial yang dimiliki oleh Moto Guzzi ini bertindak cukup efisien – lebih baik daripada Triumph 1200 Scrambler (set brek sama) yang dirasakan terlalu agresif untuk tunggangan offroad. Tidak dengan Moto Guzzi, mungkin disebabkan pemilihan pad atau silinder utamanya, pakej sistem brek yang dipadankan pada V85TT memang tepat.

V85TT cukup tangkas! Kita dapat mengubah arah dengan mudah dan mampu kekal di dalam laluan dengan tepat. Tiada langsung rasa melayang atau melebar dan menjadikannya antara model scrambler jalanan terbaik pernah saya rasa sejak beberapa tahun ini.

Apa pun, topik utama jika ingin bercerita mengenai model ini tentulah datangnya dari prestasi enjin baru yang disempurnakan pada model ini. Hidupkan sahaja enjinnya, kita dapat merasakan putaran enjin yang berada di bawah cukup segar dan lancar. Sistem transmisi dan klac juga lembut – sesuai untuk tunggangan di kawasan urban juga! Kelancaran putaran enjn di setiap rpm cukup mengejutkan dan walau ke mana ia dibawa, kami dapati tiada langsung bahang panas yang mengganggu perjalanan.

Walaupun enjin 853cc ini 'hidup' apabila putaran mencecah 1,500rpm, saya nasihatkan agar tingkatkannya hingga 3,500rpm untuk benar-benar nikmati kebolehan jentera ini. Dua daripada tiga model yang saya tunggang pada hari tersebut agak bergegar di bahagian tempat pemijak apabila putaran enjin mencapai 5,000rpm dan ke atas iaitu pada kelajuan sekitar 130km/j dalam gear tertinggi. Masalah ini agak mengganggu terutamanya jika kami sedang dalam pengembaraan jauh.

Secara keseluruhan, V85TT merupakan sebuah jentera yang seronok dan tenang untuk ditunggang. Walaupun masih ada beberapa aspek yang boleh diperbaiki, perjalanan di Sardinia yang meliputi pelbagai jenis ragam jalan berjaya mempamerkan kemampuan Moto Guzzi untuk melahirkan motosikal pengembaraan yang hebat. Motor baru ini memiliki sayap untuk 'terbang' lebih tinggi dan menurut pihak pengurusan Moto Guzzi, permintaan terhadap V85TT memang mengagumkan dan mereka kini dalam fasa pembangunan untuk enjin yang lebih tinggi. RR

Laporan: Alan Cathcart

Kredit Foto: Milagro/Alberto Cervetti, Francesco Vignali dan Marco Zamponi.

Isu Pada

Jun 2019

Popular

  • Penunggang Motosikal Maut, Terlanggar Khinzir di Tengah Jalan

  • Warta Roda

    Ducati Monster Senna Edisi Terhad: Penghormatan Buat Ayrton Senna

  • Warta Roda

    Penunggang Motosikal Dihempap Pokok!

  • Warta Roda

    Blueshark Kembangkan Rangkaian Pengedar ke Seluruh Negara

  • Warta Roda

    Kemalangan Ngeri Tiga Kereta & Sebuah Motosikal, Tiga Cedera Parah...

Artikel berkaitan

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Selepas 4 Tahun, Andrea Iannone Makin Bersemangat

Combat Wraith 132ci - Inovasi Yang Direka Semula

KTM RC 8C 2023 - Maestro Kelas Pertengahan

Triumph Tiger 1200 GT Pro - Jentera Kembara Sensasi

Royal Enfield Super Meteor 650

CMC Buccaneer 250i - Gaya Retro Masa Kini

Ducati Streetfighter V2 - Garang & Berkuasa

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Blueshark Kembangkan Rangkaian Pengedar ke Seluruh Negara

Blueshark, anak syarikat perintis Sharkgulf Technologies Group dan pengeluar skuter elektrik pintar di dunia iaitu Blueshark R1, mengumumkan pengembangan rangkaian pengedarnya di seluruh Malaysia.

Dari Litar

Pecco Juara GP Sepanyol...Tapi Marquez Sudah 'Kacau'!

Saingan kali ini lebih 'syiok' apabila Pecco diberi tentangan sengit oleh Marc Marquez yang dilihat sudah semakin memahami karaktor jenteranya.

Warta Roda

Ducati Riding Experience (DRE) Road Academy: Tingkatkan Kemahiran Penunggang

Ducati Riding Experience (DRE) kembali untuk tahun ini menerusi sesi Road Academy yang diadakan di Gemuda Gardens, Rawang. Penganjuran ini ditawarkan oleh Ducati Malaysia untuk semua penunggang dan peminat dua roda tanpa mengira jenis motosikal.

Dari Litar

WorldSBK: Pasukan BMW Makin Ceria Dengan Prestasi Toprak!

Pasukan ROKiT BMW Motorrad WorldSBK menyediakan jentera sebaiknya buat Toprak dan Michael Van Der Mark untuk sebarang senario di sini.