Isu Terkini

Februari 2024

Pandu Uji / 6 Oktober 2020

Benelli 502C Pencabar Terbaru Segmen Cruiser

Pemilik Benelli dari China, Qianjiang terus melebarkan sayap mereka dengan memperkenalkan pelbagai model yang dibina sepenuhnya di China tetapi masih terus menggunakan lambang jenama tertua di Eropah iaitu Benelli. Dengan nama terbaru iaitu Benelli QJ, syarikat mega ini terus menarik minat dunia motosikal dengan pengenalan model-model yang lebih mampu milik, kejuruteraan terkini dan siri saiz enjin yang lebih banyak untuk lebih pilihan.

Terkini, Benelli QJ telah memperkenalkan model cruiser sulung yang akan menjadi ahli keluarga terbaru untuk siri Leoncino 500 Roadster dan model paling laris, TRK502A (model keempat paling popular di Itali untuk enam bulan pertama 2019) yang berada di belakang BMW R 1250 GS, Honda Africa Twin dan hanya 11 unit sahaja berbanding Yamaha Tracer 900.

Model baru ini akan berada di pasaran middleweight dengan menawarkan rupabentuk yang mirip kepada Ducati Diavel V-Kembar. Apa pun, Benelli 502C ini dikuasakan oleh enjin 500cc kembar-parallel, lapan injap seperti mana yang digunakan pada model TRK dan Leoncino. Model ini juga menjadi pesaing utama untuk Harley-Davidson V-kembar 500cc buatan India yang telah berjaya meraih penjualan cukup tinggi di beberapa buah negara termasuk Australia. QJ juga mendapat kepercayaan daripada syarikat Amerika itu untuk mengeluarkan model Harley 338cc untuk pasaran China, Asian dan juga di Barat pada tahun 2020.

Berbalik kepada model cruiser ini, ia dibangunkan oleh para jurutera Benelli yang diketuai oleh Pengurus R&D, Stefano Michelotti tetapi dibuat dan dikeluarkan di kilang QJ di Wenling, China bersaiz 670,000 meter persegi yang cukup moden. Model ini menepati piawaian Euro 4 dengan tiga warna pilihan iaitu Hitam, Merah dan Biru. Harganya? Euro 5,990 termasuk cukai tempatan 22%. Benelli ini dilengkapi dengan lampu-lampu LED termasuklah lampu utamanya yang benar-benar agresif. Bila melihat pada rekabentuk lampu isyaratnya, ia memang nampak sama dengan unit-unit dalam katalog Rizoma. Apa yang menarik perhatian ialah lampu di belakang pelana yang tertulis Benelli. Menarik sekali!

Ketika projek 502C ini bermula pada 2016 lalu, Michelotti & Co memilih untuk menggunakan kerangka jenis trellis seperti model TRK502 Adventure dan enjin kembar parallel untuk prestasi lebih cemerlang. Geometri casis model ini dipanjangkan kepada 1,580mm berbanding TRK yang hanya bersaiz 1,520mm atau Leoncino yang hanya sepanjang 1,460mm. Perbezaan saiz ini datangnya menerusi rekaan fork hadapannya jenis USD bersaiz 41mm dan lengan ayun keluli di belakang yang disempurnakan dengan penyerap hentak mono untuk penyerapan optimum dalam apa jua keadaan.

“Tidak seperti di Eropah, kami terpaksa membuat segalanya di dalam kilang ini kerana ketiadaan pembekal yang hanya mengeluarkan satu-satu produk. Ianya memang berbeza sama sekali. Oleh itu, kami perlu belajar untuk mencipta fork teleskopik terlebih dahulu dan kini, kami telah berupaya mengeluarkannya,” kata CEO Benelli QJ, Ms. Yan Haimei.

Benelli baru ini sememangnya direka cukup teliti. Ini dibuktikan dengan penggunaan sepasang brek hadapan 280mm dan 240mm di belakang yang memiliki prestasi cukup baik. Rim hadapan dan belakang dibuat daripada aluminium 17 inci yang lengkap dengan tayar Pirelli Angel ST tetapi…. Sayangnya Stefano Casanova terlepas satu helah penting iaitu dengan mengenakan tayar belakang bersaiz (160/60) yang pastinya menjadikan jentera Benelli ini lebih mirip dengan Diavel. Jika ia berbuat demikian, tahap pengendalian juga tidak terjejas sama sekali!

Benelli 502C ini cukup rendah, hanya setinggi 750mm dan ia sengaja direka sedemikian agar boleh ditunggang oleh sesiapa sahaja termasuk wanita atau newbie. Ruang menunggangnya luas membolehkan penunggang yang tinggi lampai mengendalikan jentera ini dengan mudah – tidak langsung terasa kejang kaki atau sempit. Apa yang kurang selesa ialah pelana ini tidak cukup tebal…tidak cukup empuk. Terasa juga sakit selepas menunggang Benelli ini lebih daripada 300 kilometer. Harapnya Benelli QJ dapat tambah padding lah. Benar… posisi menunggangnya yang agak ke belakang sedikit cukup selesa. Benelli memang patut telah melihat dan mengkaji semua sudut sebelum melancarkan model ini.

Menyusuri laluan berbukit di Strada Panoramica yang dicantikkan lagi dengan lautan Adriatic memang cukup sesuai untuk menguji keupayaan jentera ini. Bar hendal jenis pulled-back membantu kita mengepit tangki 21.5 liter dengan kemas. Ini amat penting untuk terus selesa walaupun ketika meratah selekoh-selekoh tajam. Memang besar tangki 502C ini jika dibandingkan dengan model Leoncino (12.7 liter) dan TRK502 Adventure yang hanya sebesar 20 liter sahaja. Ini membolehkan 502C ini ditunggang sejauh 580 kilometer dengan sekali isi.

Memang jimat! “Itulah matlamat kami! 502C direka amat berbeza berbanding yang lain dan dengan menawarkan saiz tangki lebih besar, kami berharap para pemilik jentera ini akan bersiar-siar dan mengembara lebih jauh sebelum mencari stesen bahan api. Rekabentuk tangki ini juga memudahkan penunggang mengepitnya dengan lutut ketika membuat pecutan atau miringan ke kiri dan ke kanan dengan pantas.

Tuas brek boleh ditala dalam empat posisi – ini membolehkan penunggang baru mengendalikan jentera ini dengan lembut, tak susah. Cermin sisinya juga direka dengan baik kerana ia bukan sahaja besar tetapi tidak juga bergegar dalam apa juga kelajuan.

Saya agak kecewa dengan posisi panel meternya walaupun ia telah direka dengan cukup cantik. Meter digital ini memiliki paparan digital yang kemas serta nombor posisi gear cukup besar. Antara informasi yang dipadatkan pada meter ini ialah jarak perjalanan, tahap kelajuan, suhu air, penunjuk bahan api, jam dan trip. Sekali lagi… posisi meter ini memang tidak sesuai. Kalau di bawah matahari, langsung tak nampak apa pun! Memang bahaya…. tambahan pula di Itali banyak perangkap laju. Condongkan sedikit seperti panel meter Harley-Davidson LiveWire yang baru itu… habis cerita.

Model 502C ini disempurnakan dengan enjin kembarparallel yang bersesaran 499.77cc dan ia adalah pengeluaran enjin silinder kembar kedua dari syarikat ini. Enjin silinder kembar pertamanya telah dipasang pada model BN302 pada tahun 2015 lalu manakala enjin 750cc pula dipamerkan dua tahun yang lalu di EICMA dan akan diedarkan ke seluruh rangkaian pusat pengedar penghujung tahun ini. Itulah yang dikatakan oleh Yan Haimei.

“Memang ia adalah satu cabaran yang memerlukan penilaian bijaksana sama ada untuk membina enjin v-kembar atau parallel-kembar. Kami memilih parallelkembar kerana ia berkongsi layout yang hampir sama dengan teknologi jentera BN600R yang telah pun berjaya kami lakukan,” kata Michelotti.

Mesin ala Diavel ini menggunakan sistem kabel, tidak dilengkapi dengan sistem Ride by Wire (RbW) dan ini bermakna, tiada mod tunggangan atau bantuan elektronik lain buat para penunggang. Kadangkadang, sistem yang simple seperti jentera lama lebih seronok dan lebih mudah. Sistem ekzosnya dikemaskan dengan sensor lambda probe oxygen kembar yang menepati piawaian Euro 4. Bunyinya... memang sedap sekali terutamanya apabila putaran enjin mula mencecah 1,400rpm.

“Kotak udara lebih panjang membantu mengurangkan bunyi untuk melepasi Euro 4 dan pada masa yang sama mempertingkatkan kuasa tork ketika putaran enjin rendah. Di antara 2,000-7,000rpm, model 502C memiliki hantaran kuasa yang lebih baik berbanding TRK. Ekzos yang lebih panjang juga menjadikan kuasa lebih lancar dan kami juga telah mengubah strategi dalam sistem bahan api agar bertambah mantap dan menjimatkan,” tambah Michelotti.



Memang benar... apabila merentap enjin 502C ini, ia menarik kita dengan kuat walaupun baru berada di dalam 2,000rpm – cukup mengagumkan dan sekali lagi saya memberi pujian buat Benelli kerana jentera ini mempunyai pemetaan bahan api yang sempurna. Tiada langsung terasa tersekat-sekat ketika saya bermain-main pendikitnya sewaktu membuat pecutan. Ini mengingatkan saya dengan BN600 Roadster dulu, ia memiliki prestasi mengagumkan – satu pencapaian hebat oleh QJ.

Nisbah gear yang sempurna membolehkan kita seronok bermain kuasanya. Kelajuan mudah mencecah 100km/j di dalam gear tertinggi hanya pada 5,500rpm dan kelajuan paling ideal untuk jentera ini ialah sekitar 120km/j dalam putaran 6,500rpm. Sistem transmisi Benelli 502C ini boleh menandingi jentera dari negara matahari terbit. Kunci utama mengapa 502C ini amat menyeronokkan tentunya menerusi pengendalian yang sangat meyakinkan dan pemilihan sistem saspensi yang bijak. Itulah hasil kerja keras QJ yang sentiasa mencari jalan untuk mencipta dan meningkatkan teknologi sistem brek dan saspensi mereka.

Sistem saspensi yang memiliki geometri motosikal kustom bukan sahaja nampak cool tetapi juga stabil ketika motosikal ini dalam kelajuan tinggi dan di laluan berselekoh tajam. Sistem brek 280mm (depan) dan 240mm (belakang) yang dibuat sepenuhnya oleh QJ juga tidak menghampakan. Kelincahan jentera ini juga turut disumbangkan oleh tahap cengkaman terbaik oleh Pirelli Angel ST bersaiz 120/70 ZR 17 (depan) dan 160/60 ZR17 di belakang. Apabila menunggang sebuah mesin yang pantas dan cukup tenang, saya terasa bagaikan sedang menikmati keindahan laut Adriatic bersama sebuah cruiser berkuasa tinggi.

Untuk meraih kepercayaan daripada para pencinta motosikal di seluruh dunia, model 502C ini menawarkan kualiti pembuatan yang tinggi dan sememangnya mampu untuk terus popular di Eropah sekalipun. Kualiti, prestasi produk Benelli QJ terus meningkat dan ianya pula boleh dinikmati pada harga yang mampu milik. Sememangnya mereka memberi cabaran hebat dalam industri pengeluaran motosikal kerana ia amat berbaloi untuk dimiliki. Menurut Benelli Malaysia, model ini akan berada di pasaran negara pada tahun ini. Sama-Sama kita nantikan. RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Mattia Tomucci

Isu Pada

September 2019

Spesifikasi

Enjin4 lejang, 2 silinder, sistem penyejuk cecair
Isipadu500 cc
Gerek x Lejang69.0 x 66.8 mm
Nisbah mampatan11.5:1
Kuasa maksimum35.0kW pada 8,500 rpm
Tork maksimum46.0Nm pada 6,000 rpm
Tinggi pelana750 mm
Isi Tangki21.5 liter
Berat220 kg

Popular

  • Warta Roda

    Boon Siew Honda (BSH) di Malaysia Autoshow 2024 - Bakal Lancar ADV350, CB750, XL750 dan NX500

  • Penunggang Motosikal Maut, Terlanggar Khinzir di Tengah Jalan

  • Warta Roda

    Ducati Monster Senna Edisi Terhad: Penghormatan Buat Ayrton Senna

  • Warta Roda

    Penunggang Motosikal Dihempap Pokok!

  • Warta Roda

    Blueshark Kembangkan Rangkaian Pengedar ke Seluruh Negara

Artikel berkaitan

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Selepas 4 Tahun, Andrea Iannone Makin Bersemangat

Combat Wraith 132ci - Inovasi Yang Direka Semula

KTM RC 8C 2023 - Maestro Kelas Pertengahan

Triumph Tiger 1200 GT Pro - Jentera Kembara Sensasi

Royal Enfield Super Meteor 650

CMC Buccaneer 250i - Gaya Retro Masa Kini

Ducati Streetfighter V2 - Garang & Berkuasa

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Kemalangan Ngeri Tiga Kereta & Sebuah Motosikal, Tiga Cedera Parah...

Lima individu cedera termasuk tiga cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga kereta dan sebuah motosikal di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, semalam.

Dari Litar

Red Bull MotoGP Rookies Cup (Pusingan 2): Podium Kedua Buat Hakim Danish!

Litar Le Mans: Tahniah Danish atas kejayaan menaiki tangga ketiga dalam Perlumbaan 2, Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2024.

Warta Roda

Tiga Warna Baru Yamaha Y15ZR

Hong Leong Yamaha Motor menampilkan warna terbaru untuk model Y15ZR iaitu Cyan, Biru & Kelabi.

Dari Litar

Padu! Hakim Danish Raih Podium di Sepanyol

Memang padu! Tunggangan yang penuh bertenaga dari pelumba negara, Hakim Danish dalam Perlumbaan 2 saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup semalam hampir benar memberikannya takhta juara.