Isu Terkini

Februari 2024

Pandu Uji / 4 November 2020

BMW R nineT Urban G/S: Jentera Ikon Dengan Gaya Baru

Tiada saat yang lebih indah buat seseorang pencinta motosikal apabila dapat menunggang sebuah jentera yang mempunyai sejarah cukup hebat. Itulah yang kami rasa sebaik sahaja tiba di perkarangan ibu pejabat BMW Motorrad di Cyberjaya dan berdepan dengan sebuah jentera gaya retro, BMW R nineT G/S. Memang ia sebuah jentera yang cukup mantap...

Sebagai panduan, G/S merujuk kepada Gelände/Straße (dalam bahasa Jerman untuk jalan biasa/jalan lasak) atau Gelände Sport. Berbanding model BMW yang lain, GS dikenali dengan fork hadapan yang tinggi, posisi menunggang tegak dan tayar hadapan bersaiz besar iaitu sekitar 19” hingga 21”. Pada tahun 1987, G/S ditukar kepada GS untuk Sport daripada Straße manakala sistem saspensi monolever diganti dengan penggunaan paralever yang kekal hingga ke hari ini.

Deruman dan getaran enjin Boxer bersesaran 1170cc ini amat mengujakan. Kami mengambil masa agak lama di atas pelana kecilnya untuk menikmati karaktor jentera ini. Sistem transmisinya sangat lembut, masuk gear satu langsung bagaikan tiada bunyi... senyap! Pendikit dipulas... aduh! Hantaran kuasanya sangat kuat dan lancar. Model baru ini adalah sebuah jentera yang cukup asas, tiada sistem elektronik atau berkomputer seperti S 1000 RR atau R 1200 GS. Kita ketepikan seketika prestasi enjin BMW ini, jujur kami katakan perasaan menunggang R nineT G/S ini bagaikan kembali ke zaman dulu.

Bar hendal yang lebar, satu panel meter bulat analog, fairing kecil di depan, lampu utama bulat, cermin sisi bulat dan madgad tinggi motocross..... memang saling tak tumpah dengan model R 100 GS yang diperkenalkan 30 tahun yang lalu. Kami teringatkan seorang kenalan, En. Naim yang memiliki BMW R 100 GS yang 'rare' ini dan dia begitu gembira sekali sebaik sahaja Urban G/S ini dibawa bertemu dengannya.

Kami meletakkan kedua-dua model bersebelahan. Walaupun jarak usia kedua-dua buah jentera mencecah tiga dekad, spesifikasi secara asasnya masih sama terutamanya sistem saspensi paralever, enjin, gaya rekabentuk kerangka, posisi lampu isyarat, sistem penyejuk dan ekzos. Fuh... sudah pasti itulah yang sentiasa menjadi kebanggaan para pemilik BMW.

Menurut En. Naim, jenteranya itu turut diuji di dalam perlumbaan lasak Rimba Raid yang diadakan di Mat Daling pada Julai lalu. “Memang hebat! Simple…. tiada butang elektronik, semuanya asli. Pengendaliannya di jalan lasak cukup mantap, mudah dikawal jika melakukan kesilapan. Sistem saspensi yang lembut bagaikan melompat di atas tilam ketika beraksi di dalam longkang besar dan sewaktu meratah batu-batu besar. Bagaikan menunggang jentera 250cc sahaja,” komen Naim yang mendapat tempat ke-11 dalam Class B. - Cukup hebat bagi sebuah jentera berusia 30 tahun!

Ok… kembali dengan model 2018 ini. Setiap kali kita memulas pendikit, riaksi henjutan kuasanya dalam gear-gear pertengahan memang cukup 'sedap' dan memberi ketagihan. Pendikitnya lembut, ditambah pula dengan tindak balas enjin yang tepat... tanpa disedari, kami terus menerus menarik tenaga R nineT ini sehingga kelajuan mencecah 220km/j. BMW ini memiliki spesifikasi enjin yang cukup mengagumkan dengan kuasa maksimum 110hp pada 7,750rpm dan tork 116Nm pada 6,000rpm. Tidak hairanlah mengapa tenaganya hadir begitu hebat!

Bunyi yang terhasil daripada muncung ekzos G/S ini bukan sekadar sedap tetapi juga mudah didengari dari kenderaan di depan. Melodinya yang garang, garau dan dalam membuatkan kami bertambah cintakan BMW ini setiap kali pendikit dipulas. Dengan sinaran lampu utama yang cukup terang, kebanyakan kenderaan pasti akan memberi ruang untuk kita memintas. Satu-satunya kritikan yang boleh dikongsi ialah saiz pelananya yang kecil tanpa bar pemegang. Mungkin untuk jarak dekat tidak memenatkan pembonceng tetapi mereka akan mula merungut selepas 150 kilometer.

Tayar-tayar Metzeler Tourance Next bersaiz 120/70 R 19 (depan) dan 170/60 R 17 di belakang menambah nikmat kami ketika mendaki Lebuhraya Karak menuju ke Janda Baik. Metzeler Tourance Next generasi baru didatangkan dengan sebatian, struktur dan corak bunga baru yang menjanjikan kestabilan dan tahap keselamatan yang tinggi untuk kondisi jalan basah serta perjalanan jauh. Sememangnya ia adalah pilihan yang ideal buat pengguna motosikal lasak/enduro di Malaysia yang memiliki cuaca yang tidak menentu.

Jika berbicara mengenai kerangka BMW ini, kejuruteraannya menarik sekali dengan menggunakan konsep 'penyambungan' tiga-bahagian/bingkai kerangka. Jika mengulas dari segi kreativiti, memang cantik dan nampak eksklusif. Kalau mahukan yang lebih serius, kerangka R nineT ini menawarkan kestabilan yang cukup mengagumkan di dalam pelbagai bentuk jalan dan sudut selekoh. Ia juga membantu kami untuk menarik/ menolak BMW ke kiri dan ke kanan dengan tegap dan cukup kemas ketika mendapatkan laluan yang selamat. Confident itu amat penting untuk kita tidak panik atau hilang tumpuan.

Seperti yang selalu kami kongsikan, 'bermain' selekoh di Karak pada hari-hari biasa lebih sesuai buat para penunggang motosikal kerana jumlah kenderaan empat roda yang kurang di atas jalanraya. Kita boleh memilih untuk berada di laluan paling selamat dan tidak perlu risau dengan pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku jika berkongsi jalan dengan ribuan kenderaan lain. Biarlah kita selamat pergi dan kembali.

Ketika tiba di Janda Baik, pemandangan dan suasana menghijau benar-benar menenangkan jiwa. Macam-macam usaha untuk mencantikkan daerah ini giat dijalankan oleh pelbagai pihak dan ini amat penting untuk memperbaiki ekonomi setempat. Kami sempat singgah di 101 Resort & Spa yang memiliki tempat penginapan cukup istimewa. Resort ini di kaki bukit dan tepian sungai. Memang cukup segar dan nyaman. Terdapat 32 buah bilik dan suite yang direka cukup unik dengan menggabungkan konsep mewah kontemporari dan warisan sejarah. Untuk maklumat lanjut, hubungi 09-233 0031 atau 09-233 0931 atau FB: 101Resort.

Memang seronok dan selesa menunggang di daerah ini cuma ke mana sahaja BMW ini dibawa, mesti ada yang menjeling dan memuji akan kecantikannya. Nak buat macam mana, BMW R nineT Urban G/S memang cantik. Model yang diuji ini dikemaskan dengan rim jenis sport dan bagi mereka yang ingin menukarkan kepada rim jenis berjejari, ia termasuk dalam aksesori pilihan yang boleh didapati dari mana-mana pusat pengedar BMW Motorrad di seluruh negara.

Walaupun tidak dipasangkan dengan tayar jenis knobby, sempat juga kami beraksi di laluan offroad untuk merasai tahap pengendaliannya. Laluan yang agak licin (mungkin hujan di sebelah malamnya) tidak memberikan masalah buat BMW ini untuk mendaki dan menuruni kawasan berbukit. Benar... kadang kalanya, menunggang jentera tanpa segala sistem elektronik lebih menyeronokkan kerana kita hanya percaya dan bergantung pada kemampuan diri, keadaan tayar, kekuatan enjin dan kemantapan casisnya. Campur, tolak, darab, bahagi.... barulah kita menunggang dengan lebih berwaspada. Apa pun, tapak rodanya yang sepanjang 1,527mm adalah satu lagi ciri penting yang menjadikan jentera ini cukup stabil dan sangat intuitif. Arahkan saja ke mana arah kita dan Urban G/S ini akan 'mendengar' segala arahan dengan pantas.

Selepas beberapa lama di Janda Baik, kami meneruskan perjalanan ke Genting Highlands dan kemampuan sistem saspensi Urban G/S ini ketika berada di jalan-jalan sebegini memang dipuji! Walaupun menunggang berdua dengan jumlah berat (jentera + dua orang dewasa) yang seberat 293kg, fork hadapan 43mm dan lengan ayun aluminium BMW Paralever di belakang menyerap segala jenis hentakan dengan cemerlang. Tidak kiralah di permukaan yang cantik seperti Lebuhraya Karak atau di beberapa jalan rosak di Genting Highlands, sistem saspensinya akan sentiasa menolong jentera ini berhubung dengan permukaan jalan lebih sempurna.

Apa yang lebih meyakinkan, setiap proses memperlahankan kedua-dua tayar Metzeler BMW ini dikawal sepenuhnya oleh brek-brek cakera jenis Brembo bersaiz 320mm (depan) dan 265mm (belakang) yang benar-benar bertindak dengan cemerlang. Kita tidak perlu bersusah payah, dua jari sudah mencukupi! Ini membolehkan kami menuruni Genting Highlands hinggalah ke tol Gombak dengan lancar dan selamat.

Ketiadaan penunjuk bahan api agak mengganggu perjalanan tambahan pula jika sedang berseronok di daerah kecil yang tiada stesen minyak. Menurut pihak BMW Motorrad Malaysia, sebaik sahaja lampu amaran menyala, jentera ini masih boleh bergerak sejauh kira-kira 50 kilometer pada kelajuan sederhana – Ok! Jauh juga tu! Kami berupaya 'menjelajah' sejauh 180 km/j dengan isian penuh tangki sebesar 17 liter.

Menerusi model ini, kita dapat melihat satu gabungan hebat jentera gaya klasik yang telah berjaya disebatikan dengan hasil tangan generasi baru. Ia ringkas tetapi tangkas, bergaya dan memberi ketagihan. RR

Isu Pada

Ogos 2018

Spesifikasi

Enjin:2 silinder Boxer, 4 lejang, sistem penyejuk udara/minyak
Gerek x Lejang:101 x 73 mm
Kuasa maksimum:110 hp pada 7,750 rpm
Tork maksimum:116 Nm pada 6,000 rpm
Saspensi hadapan:fork teleskopik 43 mm
Saspensi belakang:lengan ayun tunggal dengan BMW Motorrad Paralever
Tayar hadapan:120/70 R19
Tayar belakang:170/60 R17
Brek hadapan & belakang:cakera 320 mm ABS / cakera 265 mm ABS
Isi tangki:17 liter

Popular

  • Warta Roda

    Boon Siew Honda (BSH) di Malaysia Autoshow 2024 - Bakal Lancar ADV350, CB750, XL750 dan NX500

  • Penunggang Motosikal Maut, Terlanggar Khinzir di Tengah Jalan

  • Warta Roda

    Ducati Monster Senna Edisi Terhad: Penghormatan Buat Ayrton Senna

  • Warta Roda

    Penunggang Motosikal Dihempap Pokok!

  • Warta Roda

    Blueshark Kembangkan Rangkaian Pengedar ke Seluruh Negara

Artikel berkaitan

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Selepas 4 Tahun, Andrea Iannone Makin Bersemangat

Combat Wraith 132ci - Inovasi Yang Direka Semula

KTM RC 8C 2023 - Maestro Kelas Pertengahan

Triumph Tiger 1200 GT Pro - Jentera Kembara Sensasi

Royal Enfield Super Meteor 650

CMC Buccaneer 250i - Gaya Retro Masa Kini

Ducati Streetfighter V2 - Garang & Berkuasa

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Tiga Warna Baru Yamaha Y15ZR

Hong Leong Yamaha Motor menampilkan warna terbaru untuk model Y15ZR iaitu Cyan, Biru & Kelabi.

Model Baru

Lambretta Kembali Ke Pasaran Malaysia. Bakal lancarkan model X250 dan G350 tidak lama lagi...

Lambretta telah mengumumkan kehadirannya secara rasmi di Malaysia. Sebagai ikon yang menggabungkan keanggunan klasik Itali dengan tema moden-retro yang bergaya, rangkaian skuter Lambretta menawarkan stail yang berkekalan sepanjang zaman.

Dari Litar

Pusingan Pembuka Tirai Red Bull MotoGP Rookies Cup, Hakim Danish Sudah Bersedia

Pelumba negara, Hakim Danish sudah bersiap sedia untuk memberi cabaran dalam pusingan pembuka tirai Red Bull MotoGP Rookies Cup di Jerez.

Model Baru

Harley-Davidson Tobacco Fade 'Enthusiast Collection'

Untuk tahun ini, satu lagi siri Edisi Terhad telah diperkenalkan oleh Harley-Davidson (H-D) iaitu Tobacco Fade Enthusiast Collection untuk tiga model iaitu H-D Low Rider ST, Ultra Limited dan Tri Glide Ultra.