Isu Terkini

Februari 2024

Personaliti / 10 Februari 2014

PERE TARRAGO Pakar Motosikal Miniatur

Pere Tarrago merupakan pereka motosikal miniatur yang cukup berbakat, menghasilkan satu ciptaan yang paling sempurna di Eropah malah mungkin di dunia. Dia tinggal di Barcelona, sebuah bandaraya mega yang melahirkan juara-juara motosikal dunia seperti Marc Marquez, Pol Espargaro dan Maverick Finales. Itulah namanya kebetulan, seorang pereka hebat berada di bandar hebat dengan sejarah permotoran yang juga hebat.

Benar-benar memukau mata memandang.
Benar-benar memukau mata memandang.


Ketika di era pemerintahan Jeneral Franco, bandar Catalan hampir menjadi pusat industri motosikal ternama di Eropah tetapi kematian Jeneral pada tahun 1975 telah membantutkan segalanya. Daripada model-model zaman itu, kini hanya tinggal model hebat Bultaco dan Montesa yang masih dibuat berskala kecil. Rekaan ini sangat cantik, cukup terperinci dan kesempurnaan tinggi sehinggakan model yang ditempah khas boleh mencecah harga setinggi Euro12,000.


Motosikal miniatur ini adalah buatan tangan yang ternyata sangat-sangat tinggi nilainya. Model Montesa Impala 250 dan kembarnya berkuasa 125cc merupakan unit paling popular dengan jumlah sebanyak 52 unit dan boleh dimiliki dengan bayaran Euro 2,050. Untuk model Bultaco Metralla 250 yang sudah terjual sebanyak 12 unit turut boleh menjadi milik anda dengan harga yang tinggi sedikit iaitu Euro2,500.


Jika tidak mampu untuk ‘pelaburan’ itu, kita boleh memilih mana-mana bahagian pada harga yang berbeza-beza. Enjin contohnya, dijual pada harga Euro250 manakala tangki berharga Euro150 dan kesemuanya didatangkan bersama kotak khas yang cantik dan eksklusif. Untuk sebuah motosikal yang lengkap sempurna, ia dibungkus di dalam kotak kayu yang kualitinya tinggi.


Pere Tarrago, 61, sememangnya bertuah kerana menjadikan hobinya sebagai mata pencarian. Dia mampu duduk di bangku yang sama selama 10 jam sehari hanya untuk menyelesaikan kerjanya. Ia menggabungkan hampir 500 komponen motosikal untuk menjadikannya kelihatan sama bagaikan kembar berbanding motosikal asal.


Pere juga pakar dalam sistem elektronik audio, pernah memiliki sebuah kedai Hi-Fi di Barcelona malah pernah menjadi pengedar untuk jenama Bang & Olufsen – membuktikan betapa bagusnya Pere Tarrago. Dia meninggalkan perniagaannya disebabkan keadaan ekonomi yang kurang menentu pada tahun 2007. Sebelum menyambung minatnya dalam pembikinan model miniatur, Pere sempat menjelajah Eropah bersama isterinya dengan menunggang Harley Davidson Heritage Softail Classic miliknya.

Kerangka dan enjin Montesa Impala 250.
Kerangka dan enjin Montesa Impala 250.


“Kesukaan saya sejak kecil ialah membuat model-model kenderaan – pertamanya ialah Meccano (permainan pemasangan), selepas itu mula mencipta kereta, kapal, kapal terbang dan akhir sekali motosikal. Motosikal pertama yang saya buat ialah Bultaco Metralla 1972 berskala 1:6, pada tahun 1995. Untuk menjadikannya berkualiti tinggi, saya terpaksa membuat setiap komponennya satu persatu dan proses ini memang memakan masa yang lama.”

Setiap bahagian motosikal miniatur dilakukan dengan begitu teliti.
Setiap bahagian motosikal miniatur dilakukan dengan begitu teliti.


Selepas model ini dipertontonkan kepada umum di pameran Auto Retro, ramai peminat mencari Pere untuk membuat tempahan tanpa mengetahui harga sebenar. Tidak lama kemudian, satu syarikat dari Jepun telah menjual model-model miniatur berskala 1:5 menyebabkan Pere terpaksa mengubah rekaannya juga kepada skala 1:5.

Hub hadapan motosikal..
Hub hadapan motosikal..


Tahun 1996, saya membuat model Montesa Brio dan tiga tahun kemudian mereka cipta pula Ossa 150 yang merupakan motosikal miniatur pertama menggunakan enjin empat lejang. Ketika itu saya mula sedar bahawa ia juga boleh dijadikan mata pencarian lalu saya menyiapkan model Montesa Impala dan sekali lagi mempamerkannya di Auto Retro… semakin banyak permintaan.

BMW R32 sebenar.
BMW R32 sebenar.
BMW R32 skala 1:5
BMW R32 skala 1:5


“Wah… ini sudah bagus! Saya boleh bekerja di rumah. Tidak perlu lagi bersusah payah ke Barcelona, menyewa kedai dan mengambil pekerja. Apa yang seronok membuat model-model kecil ini ialah kemahiran kita sentiasa bertambah baik kerana kita akan belajar perkara baru hampir setiap hari yang akan menjadikan kualiti penciptaan kita semakin tinggi. Itulah kunci utama karya saya.”

Mesin trail 250cc Ossa MAR (Mick Andrew Replica).
Ketelitian model-model buatan Pere sememangnya tidak perlu lagi dipertikaikan paling mengejutkan kebanyakan komponen-komponen itu berfungsi kecuali enjin sahaja. Ini memang benar… buktinya syaf pacuan BMW R32 betul-betul boleh berputar dengan bantuan pergerakan tayar belakang bukanlah enjin seperti motosikal biasa. Rantai juga berfungsi dengan baik manakala komponen lain seperti tuas penghidup kaki, tuas gear, fork hadapan, penyerap hentak tiga tahap boleh laras, dram brek turut bergerak dengan lancarnya. Lampu utama dan belakang pula dinyalakan menggunakan kuasa bateri litium.

Saspensi belakang jenis spring.
Saspensi belakang jenis spring.


Bahan yang digunakan dalam penghasilan model ini juga cukup berkualiti tinggi. Pere membuat model kecilnya itu menggunakan keluli, aluminium atau besi yang dibentuk menggunakan pelbagai teknik. Pere juga menggunakan gentian karbon untuk proses membentuk kerana bahan itu lebih mudah dan tahan lasak.

Miniatur model MV Agusta Squalo 175cc diletakkan di atas tembok.
Miniatur model MV Agusta Squalo 175cc diletakkan di atas tembok.


Caranya begini. Selepas memilih model untuk dibuat miniatur, Pere terlebih dahulu memerlukan motosikal sebenar untuk dilihat dari dekat agar segala bentuk, info yang diperlukan itu tepat dan cepat. Inilah sebabnya kebanyakan rekaannya adalah motosikal dari Sepanyol kerana mesin-mesin ini lebih mudah untuk didapati. Antara model-model lain yang telah berjaya dibuat ialah Derbi 50cc RAN (Replica Angel Nieto), Bultaco Sherpa T Trials Bike, Ossa 150, Moto Guzzi 65 dan yang akan datang ialah mesin trail 250cc Ossa MAR (Mick Andrew Replica).

Gula-gula diletakkan di sebelah BMW R32 untuk menunjukkan saiz sebenar model miniatur ini.
Gula-gula diletakkan di sebelah BMW R32 untuk menunjukkan saiz sebenar model miniatur ini.


“Kebanyakan masanya, saya akan mengambil sebanyak 600-800 gambar dari setiap sudut motosikal termasuk komponen agar hasilnya sangat mirip dengan motosikal asal. Saya juga akan melihat pada buku manual (sekiranya ada) kemudian barulah ‘projek’ dimulakan. Tidak kiralah sama ada untuk model prototaip atau pun untuk penjualan, semua pasti melalui proses yang sama. Setiap satu model akan mengambil masa sekitar 500-600 jam untuk disiapkan, bergantung juga kepada betapa rumitnya motosikal itu.”

Brek hadapan MV Agusta 750S.
Brek hadapan MV Agusta 750S.
Pelana model MV Agusta Squalo.
Pelana model MV Agusta Squalo.


Setakat ini, proses pembuatan model Benelli 250cc yang digunakan Tarquinio Provini pada 1964 merupakan projeknya yang paling lama iaitu 618 jam tetapi hasilnya sangat-sangat sempurna. “Inilah model paling rumit pernah saya lakukan kerana struktur enjin dengan empat karburetornya memang susah.” Pere juga mempunyai koleksi MV Agusta 750 Streetbike yang cukup terkenal.


Pere memulakan proses membuat casis terlebih dahulu dengan menggunakan tiub besi. Selepas itu tayar, brek dan melicinkan segala sudut pembuatannya dengan menggunakan kertas pasir. Rim-rim model ini dipotong dengan nipis daripada blok aluminium dengan menggunakan mesin yang terdapat di kilang kecilnya, dulu kilang pembuatan barang kemas.


Kemudian barulah dia mula membuat komponen lain berdasarkan lukisan juga dengan menggunakan tangan. Proses-proses pembuatan ini lebih lancar dengan adanya bantuan daripada Jordi, anak Pere yang berusia 35 tahun. Jordi juga mahir dalam pembuatan tayar menggunakan sejenis cecair khas getah yang dituang ke dalam dua bekas, kemudiannya dibentuk dengan menggunakan program di komputer seterusnya mesin CNC.


Membuat enjin merupakan antara proses yang paling sukar. Pere memotong dan mengukir setiap bahagian seperti liang-liang laluan udara satu persatu kemudian digamkan pada bahagian silinder. Jika ianya terlalu sukar untuk dilakukan barulah Pere menggunakan model plastik untuk digunakan sebagai mol tetapi perkara ini jarang berlaku, semuanya dia boleh lakukan.


Untuk membuat tangki dan rupabentuk luaran, Pere menggunakan teknik mengetuk kepingan besi yang setebal 8mm. Jordi mengecat model-model ciptaan ayahnya itu dengan menggunakan dua jenis bahan istimewa yang dicampur dengan menggunakan bacaan dari komputer – menghasilkan warna yang sama dengan motosikal asal. Untuk proses pemasangan semua bahagian dan komponen yang telah siap, hanya Pere yang mampu melakukannya kerana ia benar-benar rumit dan memerlukan kreativiti yang tinggi.

Okay Pere, ini soalan paling menarik! Dalam banyak-banyak model yang sudah dibuat, manakah yang paling anda sukai? “Semua sekali,” jawabnya dengan pantas.

Barisan model-model miniatur buatan Pere Tarrago.
Barisan model-model miniatur buatan Pere Tarrago.


“Saya memang suka membuatnya, setiap proses itu menarik dan semestinya ia memberikan kepuasan buat saya. Saya kini sedang membuat tangki MV 750S…. ia cukup kompleks dan sangat susah untuk ditiru, menjadikan proses pembuatannya cukup-cukup menarik.” RR

Laporan: Alan Cathcart
Foto: Jim Scaysbrook

Isu Pada

Februari 2014

Popular

  • Model Baru

    Vmoto Sudah Berada Di Malaysia. Lancarkan CPx PRO dan TC Max

  • Warta Roda

    Konvoi 'High Speed Hill Journey' Bersama Pengedar Yamaha Taiwan

  • Model Baru

    KTM 990 RC R Versi Jalanan Sah Masuki Pasaran

  • Warta Roda

    Kemalangan Motosikal Dengan Pacuan 4 Roda, Penuntut IPT Maut

  • Warta Roda

    Warna Baru Untuk Yamaha MT-15

Artikel berkaitan

Pelumba Muda, Dharwin Lingam Lebih Semangat Harungi Musim Baru

Rewi Hamid Bugo - Usahawan & Pencinta Motosikal Sejati

Khairulamirin Yahaya - Pelumba Supermoto Negara

Md. Mikail Razlan - Terus Buru Kegemilangan

Bob Eden - Ingin Menabur Bakti Buat Pengguna Motosikal

Gary, Tina & Sam Sharman - Pencinta Motosikal Sejati

Azlan Shah Kamaruzaman: Semangat Juang Tidak Pernah Padam

Kenny Tan Kee Hooi: Cinta Pada Dua Roda Tak Pernah Padam

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Aveta 'Ride & Camp' - Meraikan 20 Pemenang 'Time To Explore'

Tahniah kepada 20 pemenang pertandingan 'Time To Explore' kerana telah dipilih dan berpeluang untuk menyertai aktiviti Rida & Camp ajuran Aveta Malaysia.

Model Baru

Royal Enfield Lancarkan Model Baru Bullet 350. Harga asas dari RM23,500

Royal Enfield Malaysia melancarkan model terbaru iaitu Bullet 350 yang ditawarkan pada harga dari RM23,500.

Dari Litar

WorldSBK: Pasukan BMW Makin Ceria Dengan Prestasi Toprak!

Pasukan ROKiT BMW Motorrad WorldSBK menyediakan jentera sebaiknya buat Toprak dan Michael Van Der Mark untuk sebarang senario di sini.

Model Baru

Harley-Davidson Tobacco Fade 'Enthusiast Collection'

Untuk tahun ini, satu lagi siri Edisi Terhad telah diperkenalkan oleh Harley-Davidson (H-D) iaitu Tobacco Fade Enthusiast Collection untuk tiga model iaitu H-D Low Rider ST, Ultra Limited dan Tri Glide Ultra.