Isu Terkini

Oktober 2024

Personaliti / 24 November 2020

Jamil Hasan : Kejujuran & Keberanian Resepi Kejayaan

Personaliti RR kali ini cukup istimewa. Beliau bukan sahaja pencinta motosikal tetapi juga peminat setia RodaRoda sejak 30 tahun yang lalu. Tuan Haji Abdul Jamil Hasan yang lebih mesra dengan panggilan Abang Jamil berasal dari Pulau Pinang yang kini merupakan seorang usahawan yang cukup berjaya dalam bidang logistik dan motosikal. Namun begitu kejayaan yang dimilikinya sekarang bukan datang bergolek... bukan dengan sekelip mata. Segala-galanya bermula dengan kesungguhan dan kesabaran.

Bersama keluarga tercinta.
Bersama keluarga tercinta.

“Saya merupakan anak keempat daripada lapan adik beradik dan bukanlah datangnya dari keluarga yang berada. Saya menolong keluarga dengan menjual kueh, berkebun manakala lewat petang saya akan ke pasar malam untuk menjual belon dan barang permainan. Saya juga sempat mempelajari selok belok menguruskan perniagaan daripada datuk saya di Penaga yang merupakan seorang penjual kereta terpakai, pengusaha traktor sawah padi, pengusaha teksi dan lain-lain lagi. Berkat menyimpan hasil penjualan, saya berjaya memiliki sebuah Yamaha RXS yang dibeli pada harga RM850 ketika berumur 18 tahun,” cerita Abang Jamil.

Bersama anaknya Ikmal yang mempunyai minat yang sama.
Bersama anaknya Ikmal yang mempunyai minat yang sama.

Dunia motosikal sememangnya sangat dicintainya sejak kecil lagi. Sebaik sahaja cukup umur, Abang Jamil terus mengambil ujian lesen motosikal, bermula dengan lesen B2. Empat tahun kemudian dia berjaya mendapatkan lesen B Full pula. “Abang saya ketika itu menunggang Suzuki TS185 dan bermula dari saat itulah saya mula sukakan jentera motocross kerana ia lasak dan mencabar. Minat ini tidak pernah padam hingga sekarang dan itulah sebabnya saya juga berkesempatan mengambil bahagian dalam perlumbaan motocross yang diadakan,” sambungnya.

Selepas tamat tingkatan lima, beliau menyambung pelajaran dalam bidang perakaunan di sebuah kolej swasta di Perak. Pada tahun 1986, mula bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang. Dari Yamaha RXS, beliau akhirnya membeli pula sebuah Yamaha YPVS250 yang digunanya untuk menyertai konvoi pertama RodaRoda ke Pulau Pinang pada tahun 1986. “Sejak konvoi itu, saya mula rapat dengan arwah Boss kerana dia memang seorang pemimpin yang cukup mesra.”

Pengalaman menunggang di pergunungan Alps bersalji memang mengujakan.
Pengalaman menunggang di pergunungan Alps bersalji memang mengujakan.

Untuk menambah pendapatan, Abang Jamil ketika itu menjual jeans dan turut menyambung kembali perniagaan barang permainan dan belonnya di beberapa lokasi tumpuan orang ramai seperti di Taman Tasik Titiwangsa dan di Jalan Tunku Abdul Rahman. Pelanggannya ramai yang teruja setiap kali membeli barangan daripada Abang Jamil kerana dia satu-satunya penjual yang datang dengan sebuah motosikal cukup mantap pada masa itu. “Memang ramai terkejut... jual belon boleh pakai YP!”

Konvoi terbesar negara yang dikenali dengan nama Trans-Malaysia Biking Adventure (TMBA) ketika itu yang dianjurkan oleh RodaRoda pada tahun 1989 merupakan antara pengalaman indah buat Abang Jamil yang menunggang YPVSnya. Abang Jamil turut menyertai edisi kedua TMBA (1990) tetapi kali ini dengan menunggang jentera barunya, Kawasaki GPZ550.

Bersama ahli Kelab Roda di ekspedisi TMBA 1989 (ketiga dari kanan).

Pada tahun 1991, Abang Jamil meninggalkan jawatannya dan cintanya pada motosikal untuk memulakan perniagaan sendiri dengan menubuhkan sebuah syarikat bernama HAJ atau Hasan Abdul Jamil. Dengan bermodalkan RM23,300, Abang Jamil membeli lori tiga tan yang digunakan untuk penghantaran barangan elektronik dan tekstil. Dua tahun kemudian, dia memohon untuk mendapatkan permit dan kemudiannya berjaya memiliki dua buah lori. Pada tahun 1996, HAJ menambah lagi dua buah lori untuk melancarkan urusan logistik yang kini berkembang hampir ke seluruh negara. “Pada TMBA 1991, saya tetap menyertai ekspedisi TMBA tetapi dengan menggunakan lori yang juga digunakan sebagai back-up.”

“Jika ada masa terluang, saya akan ke pejabat RodaRoda yang ketika itu beroperasi di Damansara Utama untuk mendapatkan nasihat dan pandangan arwah Boss. Saya amat bersyukur kerana mendapat seorang 'guru' sepertinya. Pengalaman beliau dalam perniagaan, dunia motosikal dan kepimpinan sangat luas dan inilah yang amat diperlukan untuk mengemudi syarikat saya.”

Perniagaannya diuji ketika negara mengalami kegawatan ekonomi pada tahun 1997-1998, menyebabkan dia hampir berputus asa. “Saya membuat keputusan untuk pulang ke kampung seketika. Ketika inilah peranan dan doa seorang ibu terbukti hebat. Ibu menyuruh saya mengambil pengajaran daripada nasib orang yang rumahnya terbakar. Walaupun tinggal sehelai sepinggang, mereka masih mampu meneruskan hidup walau sesukar mana sekali pun. Saya setidak-tidaknya masih mempunyai empat buah lori yang boleh digunakan untuk mencari rezeki.” Tidak lama selepas itu, Abang Jamil mendapat berita baik daripada sebuah syarikat elektronik yang mahukan khidmat HAJ.

Peminat motocross dari dulu hingga kini.
Peminat motocross dari dulu hingga kini.

“Pada tahun 2000, saya mendapat peluang untuk menunggang buat pertama kali bersama Boss di Eropah dan sebagai pencinta motosikal, ia pengalaman amat indah berada di Jerman dan Republik Czech. Setahun kemudian sekali lagi saya diberi kesempatan menunggang bersama Boss di Jerman, Austria, Switzerland, Itali dan Amsterdam yang memakan masa lebih kurang dua minggu. Pengalaman ini juga telah diabadikan dalam majalah RR menerusi ruangan DSJ: XPDC Awang Snow. Memang seronok!”

Selepas diberi pendedahan selok belok bermotosikal di dalam dan luar negara, kualiti tunggangan Abang Jamil jauh lebih baik. Dengan pengalaman ini, dia telah mendapat kepercayaan untuk memimpin konvoi ke Semuji, Pahang pada Ekspedisi Kelab Roda 2002.

“Untuk menjadi seorang manusia dan penunggang yang baik, kita janganlah bersikap besar diri dan ego. Bersyukurlah atas segala yang kita miliki sama ada ianya banyak atau sedikit dan sentiasa mesra pada semua orang tidak kira siapa. Itu paling penting,” komen Abang Jamil yang juga mengusahakan kedai motosikalnya sendiri.

Antara motosikal yang pernah dimilikinya, Kawasaki GPZ550.
Antara motosikal yang pernah dimilikinya, Kawasaki GPZ550.

Sehingga hari ini, dia sentiasa akan bermotosikal dan mengembara jika ada kelapangan. Antara destinasi luar negara yang pernah dilawatinya ialah India (Ekspedisi Himalaya 1 & 2: RR Disember 2010 – Februari 2011 dan RR Jun 2013 – Ogos 2013), Indonesia, Thailand, Laos, Vietnam, New Zealand dan England.

“Segala apa yang saya inginkan sejak kecil hampir berjaya dimiliki kecuali satu. Saya mengimpikan untuk memiliki sebuah pasukan yang bakal beraksi dalam perlumbaan lasak paling mencabar di dunia iaitu Dakar,” kata Jamil menutup bicara. RR

Isu Pada

Mei 2016

Popular

  • Warta Roda

    Pelajar Sekolah Maut Selepas Motosikal Dinaiki Rempuh Lori

  • Model Baru

    Hanway Heritage, Jentera Gaya Bobber Dilancarkan!

  • Model Baru

    ARIIC 318GT Secara Rasmi Dilancarkan – RM 22,888

  • Dari Litar

    Fabio Quartararo Kembali Julang Yamaha di Podium. Alex Marquez Raih Kemenangan Pertama

  • Warta Roda

    Kemalangan di Lebuhraya Karak. Penunggang Motosikal Dikesan Polis

Artikel berkaitan

Cikgu Offroad, Mohd Halim "Yang Kental Pasti Sampai Pos Balar"

Uncle Chin - Gemar Pengembaraan Luar Bandar

Pelumba Muda, Dharwin Lingam Lebih Semangat Harungi Musim Baru

Rewi Hamid Bugo - Usahawan & Pencinta Motosikal Sejati

Khairulamirin Yahaya - Pelumba Supermoto Negara

Md. Mikail Razlan - Terus Buru Kegemilangan

Bob Eden - Ingin Menabur Bakti Buat Pengguna Motosikal

Gary, Tina & Sam Sharman - Pencinta Motosikal Sejati

Disyorkan untuk anda
Pandu Uji

Ducati 125 Regolarita: Rangka Di Dalam Almari

Kembalinya Ducati ke pasaran MX dan Enduro satu silinder memerlukan kita melihat ke dalam cermin pandang belakang sejarah ke zaman ketika pengeluar motosikal sukan terkenal Itali itu terakhir kali terlibat dalam sektor offroad.

Warta Roda

Kerjasama Ducati dan Lamborghini diteruskan lagi dengan penampilan model baru esok!

Dengan sejarah yang kaya dengan kejayaan, kerjasama ini kini memulakan lembaran baharu yang menarik. Ekspresi luar biasa terbaru ini akan didedahkan semasa Minggu Reka Bentuk Milano, pada hari esok, 9 April.

Dari Litar

Nama baru pasukan 'Honda Racing Malaysia' Sedia Menggalas Cabaran!

Boon Siew Honda telah mengumumkan nama pasukan baru tahun ini iaitu Honda Racing Malaysia untuk memberi cabaran dalam saingan FIM Asia Road Racing Championship (ARRC), Superbike World Championship (WSBK), dan Malaysia Superbike Championship (MSBK).

En. Kunitomo Asano, Pengarah Urusan & CEO Baru Boon Siew Honda

Boon Siew Honda mengalu-alukan En. Kunitomo Asano sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, menggantikan Encik Mitsuharu Funase yang telah dilantik sebagai Pengurus Besar Bahagian Lumba Motosikal di Honda Racing Corporation.