Benelli TRK 902 Xplorer: Jentera Adventure Baru Dengan Enjin 904cc
Benelli memperluaskan keluarga TRK dengan memperkenalkan TRK 902 Xplorer, sebuah motosikal adventure serba baru yang direka untuk pengembaraan jarak jauh dan mampu untuk menangangi pelbagai permukaan laluan. Model ini dikuasakan enjin dua silinder sebaris 904cc yang menghasilkan sekitar 93hp pada 9,000rpm dan tork 90Nm pada 6,500rpm, cukup sesuai untuk tunggangan lebuh raya dan perjalanan merentas negeri.

TRK 902 Xplorer didatangkan dengan fork hadapan Marzocchi 43mm (boleh laras) serta saspensi belakang yang turut boleh dilaraskan. Brek hadapan untuk model ini pula jenis cakera yang bersaiz 320mm (depan) dan 260mm di belakang.


TRK 902 Xplorer hadir dengan tiga mod tunggangan (Sport, Touring dan Urban), sistem Traction Control, Cornering ABS, Sistem TPMS, Cruise Control dan sistem Quickshifter. Kesemua sistem ini boleh ditala menggunakan skrin TFT berwarna 7 inci yang juga hadir dengan sambungan Bluetooth dan Wi-Fi yang memberi akses kepada sistem navigasi untuk memudahkan perjalanan.


Bagi meningkatkan keselesaan ketika perjalanan di dalam cuaca yang dingin atau hujan, Benelli turut menyediakan grip pemanas dan tempat duduk pemanas dengan tiga tahap pelarasan. Dengan tangki bahan api 21 liter, posisi tunggangan yang tegak dan kelengkapan adventure yang lengkap, TRK 902 Xplorer dilihat sebagai model yang mensasarkan penunggang yang mahukan sebuah motosikal serba boleh untuk semua perjalanan.


Secara keseluruhannya, TRK 902 Xplorer menggabungkan prestasi enjin 904cc, casis bertegaran tinggi dan teknologi moden dalam satu pakej adventure yang menarik. Kini, kita perlu menunggu bilakah ia akan dibawa ke pasaran dan sudah tentu berapa pula harganya? RR
Popular




