Isu Terkini

Februari 2024

Pandu Uji / 30 Oktober 2020

Norton Atlas 650 Nomad & Ranger 2020

Norton merupakan jenama motosikal ulung yang telah pun menempa nama sejak ianya diasaskan oleh James Landsdowne Norton pada tahun 1898. Pelbagai cabaran, dugaan dan kejayaan telah dilalui. Perjalanan Norton sepanjang dekad di bawah pemiliknya, Stuart Garner kini telah mencapai kejayaan. Ini dibuktikan dengan pengenalan siri Atlas, berenjin kembar-parallel di Birmingham NEC Shop pada penghujung 2018 dan kini terdapat dua versi jentera scrambler jalanan cukup menarik iaitu Nomad dan Ranger (lebih cenderung kepada jentera dual-purpose).

Untuk pasaran jentera pertengahan, harganya agak tinggi. Nomad ditawarkan pada harga £9,995 (harga atas jalan) termasuk cukai 20% manakala Ranger pula bernilai £11,995 berbanding hanya £8,649 untuk model Kawasaki Versys 650GT. Garner menjanjikan akan terus mengembangkan model-model entry-level dengan konsisten tanpa memberi impak kepada model retro berenjin kembar, Commando 961. Model yang didatangkan dengan enjin sejukan minyak/udara itu menepati piawaian Euro 4 seperti mana model superbike 1200 V4 yang sudah memasuki fasa produksi lebih daripada setahun yang lalu.

Nomad.
Nomad.

Kedua-dua Atlas ini menggunakan asas yang diambil secara langsung dari model 1200 V4 seperti enjin sejukan cecair, enjin DOHC, kembar parallel dan silinder hadapan seperti model terulung itu. Gerek dan lejangnya bersaiz 82 x 56.8mm yang memberikan hantaran kuasa maksimum setinggi 84bhp/63kW pada 11,000rpm (Kawasaki Versys: 64bhp/47kW) dan tork 64Nm pada 9,000rpm (Kawasaki Versys: 61Nm pada 9,000rpm) yang digerakkan dalam nisbah 11:1.

Norton telah menggunakan sistem pengurusan enjin dari Mechtronic untuk kedua-dua model, pembekal yang sama untuk V4, dengan badan pendikit Jenvey 48mm yang setiap satunya dilengkapi dengan penyuntik Bosch. Model ini turut didatangkan dengan sistem ride by wire (tetapi tiada pilihan mod tunggangan), driven counterbalancer yang amat diperlukan untuk mengurangkan segala gegaran.

Menurut Simon Skinner, Ketua Bahagian Rekaan, enjin kompak ini dibuat sepenuh di Norton tetapi pihak Norton juga sedang mempercepatkan persetujuan untuk membekalkan rekaan enjin dua silinder kembar 650cc kepada syarikat gergasi China iaitu Zongshen untuk peningkatan jumlah pengeluaran lebih tinggi.

Menerusi kerjasama itu, Zongshen akan membekalkan beberapa jenis alat ganti yang mereka mampu keluarkan sendiri untuk versi lebih berkuasa pada enjin termasuklah engkol jenis horizontally-split, kepala silinder lapan injap DOHC dan aci sesondol. Selebihnya dihasilkan pula oleh pihak Norton di UK. Ini juga menyatakan bahawa Norton kini telah menemui pembekal yang baik di Asia untuk beberapa alat ganti pada harga yang berpatutan tanpa perlu meniru pengeluar motosikal lain.

“Zongshen datang bertemu kami pada akhir 2006 selepas kami membawa pulang rekaan enjin V4 dari sebuah syarikat R&D dan tak lama kemudian, kami terus membangunkan model kembar ini. Mereka telah membaca rancangan kami ini di dalam sebuah majalah motosikal dan tidak lama selepas itu, mereka datang 'mengetuk pintu' dan menyatakan hasrat untuk bekerjasama dalam pembikinan enjin, kami setuju. Kedua-dua enjin adalah sama cuma, di sini menggunakan nama Norton manakala di China pula dengan nama Zongshen,” kata Skinner.

Apa pun, segalanya direka, dibangunkan dan diuji oleh Norton dan hanya dibuat oleh Zongshen. Kemudiannya enjin ini akan dipasang oleh kedua-dua syarikat dan bagi Norton, isu kualiti adalah yang paling utama. Jika melihat pada saiz perniagaan Zongshen, mereka mampu mengeluarkan kira-kira 14,000 enjin dalam sehari. Jika terdapat sebarang masalah kualiti, pihak Zongshen hanya akan dapat tahu mengenainya dalam masa dua minggu dan kos untuk melakukan panggilan semula (recall) adalah sangat tinggi.

“Tahap pengawalan kualiti untuk semua peralatan dan komponen adalah yang terbaik pernah saya lihat dan mereka telah mengeluarkan modal yang besar untuk membeli mesin-mesin yang amat berkualiti tinggi.

Syarikat ini memang cukup besar. Bahan mentah dimasukkan ke satu bahagian kilang dan di bahagian lain pula kita dapat melihat motosikal-motosikal yang siap sepenuhnya dikeluarkan. Semuanya dibuat dengan kepakaran sendiri. Syarikat ini telah berjaya mengeluarkan sebanyak 4.5 juta enjin dan 2.5 juta motosikal siap sepenuhnya dalam masa setahun. Hebat sekali!” Tambah Skinner.

“Ketika kami dan Zongshen bertemu di peringkat awal, kami dapati tiada pengeluar motosikal dari Eropah yang ingin bekerjasama dengan mereka atas alasan tidak mahu menolong sebuah syarikat saingan. Norton boleh melakukannya kerana terdapat perbezaan yang unik iaitu mereka mengeluarkan enjin berkapasiti kecil untuk pasaran besar manakala Norton pula mengeluarkan enjin kapasiti besar untuk pasaran kecil. Jadi, kami cukup teruja untuk bekerjasama dengan Zongshen,” kata Pemilik/CEO Norton, Stuart Gamer.

Perjanjian antara kedua-dua syarikat ini dipersetujui bahawa pembinaan tanpa jenama adalah untuk kejuruteraan sahaja. Ini bermakna, Zongshen tidak memiliki hak untuk menggunakan nama Norton – kecuali terdapat beberapa rekaan dari enjin Norton 650cc dengan sokongan daripada Norton menerusi penghantaran para jurutera dari UK sendiri ke China. Zongshen juga bersetuju dengan ketegasan Stuart Gamer untuk mendapatkan hak veto dalam soal bekalan alat ganti kepada pengeluaran lain yang dirasakan sebagai syarikat pesaing mereka.

Enjin untuk kedua-dua Atlas ini dipasang pada casis keluli jenis tiub yang direka dan dikeluarkan oleh Norton. Bahagian hadapan dikemaskan dengan penggunaan fork USD 50mm boleh laras buatan Marzocchi yang diberi nama Roadholder (nama sejak 60 tahun lalu untuk sistem saspensi jentera lagenda Norton Manx GP Racer & Streetbike Spinoffs). Penyerapan bahagian belakang juga dikawal oleh lengan ayun aluminium Marzocchi jenis boleh laras. Kedua-dua model ini juga dilengkapkan dengan brek-brek jenis Brembo (320mm di depan & 245 mm di belakang) berserta sistem ABS agar setiap pergerakan lebih terkawal dan meyakinkan.

Rekabentuk yang menarik untuk Nomad dan Ranger datangnya dari Simon Skinner di studionya sendiri. “Ia direka di rumah saya kerana tidak ada siapa yang boleh mengganggu. Saya minum kopi yang dibuat oleh isteri dan terus membuat lakaran di CAD menggunakan komputer riba di meja makan. Saya tidak mahu hasilkan sebuah jentera retro dan pada masa yang sama, tidak juga inginkan sebuah motosikal moden. Saya mahu hadirkan sebuah motosikal generasi lama yang mesra penunggang muda.”

“Saya rasa sesiapa yang pernah mengenali Norton pada era 60/70an dulu pasti kenal dengan beberapa bentuk yang sama, contohnya di bahagian tangki. Untuk kemasan utama, ia tetap berasaskan ergonomik dan fungsi-fungsinya. Tangki rendah 15 liter jentera ini memudahkan kita berdiri sewaktu memacunya di laluan lasak. Kami mempunyai banyak lagi varian untuk platform ini tetapi dimulakan dulu dengan dua model ini.”

Ranger.
Ranger.

Saya mendapat peluang untuk menguji buat pertama kalinya unit pre-produksi prototaip di sebuah kawasan perkampungan indah di Derbyshire yang berdekatan dengan ibu pejabat Norton. Di sini terletaknya kilang yang bersaiz 45,000 kaki persegi, 10,000 kaki persegi dikhaskan untuk bahagian kimpalan, dan fabrikasi. Norton juga memiliki penambahan seluas 12,000 kaki persegi untuk produksi kedua-dua kembar ini.

Kita mulakan dengan Nomad. Saya betul-betul teruja dengan bunyi yang terhasil daripada sistem ekzos lepasan jualan yang dipadannya pada unit yang diuji ini, rasanya ekzos ini tidak melepasi piawaian Euro4. Ia tidaklah begitu kuat tetapi masih mampu memberikan rasa cukup sporty yang menyeronokkan.

Prestasi enjin ini memang mantap. Ia adalah seperti mana yang ditala oleh Skinner & Co dengan personaliti yang berbeza. Di bawah 6,000rpm, ia adalah sebuah jentera serba boleh (all-rounder), mudah untuk dikawal sewaktu berada di laluan perkampungan dan bandar. Tunggangan juga lebih meyakinkan bila mendapati sistem penyerap hentak dari Norton bertindak cukup efisien.

Apabila tiba di laluan luas, saya meningkatkan kadar putaran enjin sedikit demi sedikit dari 6,000rpm hingga 11,000rpm. Pecutannya amat pantas! Dalam segmen 650cc, ia sudah pasti lebih agresif dan tangkas berbanding para pencabarnya.

Membuat pecutan dari 8,000rpm memberikan kenikmatan dan ketika ini, tiada sebarang gegaran atau gangguan yang dirasakan walaupun enjin jentera ini dipasang pada bahagian kerangka. Tidak lagi rasa seperti mana menunggang jentera klasik dulu.

Nomad didatangkan dengan pelana setinggi 824mm – cukup ideal untuk motosikal seperti ini. Saya cukup gembira menemui tahap pengendalian Nomad setaraf dengan prestasi mantap enjinnya. Tayar-tayar yang dipadankan pada model ini cukup tepat dan saya dapat menikmati sudut-sudut miringan sehingga mencecah tempat pemijak yang agak rendah. Saya rasa ia perlu ditinggikan sedikit. Untuk ‘melayang’ dengan gembira di pelbagai jenis jalanan, saya amat berpuas hati dengan sistem brek yang disempurnakan pada model ini. Ia cukup outstanding lebih-lebih lagi turut dilengkapi dengan sistem ABS. Seperti yang saya kata, model ini juga sesuai untuk dijadikan model café racer – sudah pasti Norton akan mengeluarkannya nanti.

Model Ranger pula adalah pilihan yang amat sesuai untuk mereka yang sukakan dunia lasak dan jalanan biasa. Ia adalah satu penciptaan yang seimbang dan sangat anggun. Pelananya 867mm, mudah untuk pemiliknya melihat keadaan trafik melepasi bumbung kereta dan bagi saya yang setinggi 5’10”, ia tetap selesa, kaki saya masih dapat jejak permukaan jalan. Tayar-tayar bersaiz 19” membuatkan penunggangnya amat berkeyakinan untuk merentasi jalan-jalan lasak, berlumpur dan sukar dengan lancar.

Seperti Nomad, kemampuannya menyusuri jalan-jalan biasa dalam kelajuan rendah memang menyenangkan. Posisi menunggang-nya tegak dan selesa tetapi kita perlu mengubah sedikit bila kelajuan ditingkatkan. Apa pun, dalam kelajuan 120km/j, Norton ini amat menyeronokkan. Ia memang sebuah jentera yang sesuai untuk semua tunggangan dan keperluan. Saya perlu memberi pujian buat Skinner dan pasukannya di atas kelicinan sistem gear untuk kedua-dua Atlas ini. Proses penukaran gear senyap, lancar dan efektif sehinggakan anda perlu menggunakan klac untuk menambah atau menurunkan gear.

Banjaran kuasanya yang cemerlang membolehkan kita melakukan pecutan dalam gear tertinggi dengan pantas walaupun dari kelajuan 50km/j. Jangan lupa, ketika melarikan jentera ini, tiada rasa sebarang gangguan pada sistem transmisinya! Inilah yang diperbaiki oleh Norton sejak diberi sedikit kritikan mengenai sistem transmisi pada model Commando 961 sebelum ini.

Kombinasi kemahiran dari Britian dan kepakaran pengeluaran dari China pada harga yang tepat adalah satu perkara yang positif buat Norton di masa hadapan. Jujurnya, keluarga terbaru untuk kembar ini telah pun menyertai perlumbaan Isle of Man TT pada tahun 2019 menerusi pelumba berpengalaman Peter Hickman yang menunggang jentera Superlight (streelegal) dengan menggunakan enjin sama dengan kedua-dua Atlas. Bezanya hanya pada hantaran kuasa – model lumba mempunyai kuasa maksimum setinggi 102bhp.

Oleh kerana sedikit masalah kecil, Peter menamatkan perlumbaan di tempat kelapan dengan kelajuan melebihi 190km/j. Itulah bukti betapa hebatnya pakej yang dicipta oleh Skinner dan pasukannya. Tentu mereka akan memperkenalkan lagi model-model jalanan yang bakal menaikkan kembali nama Norton. RR

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Kel Edge

Isu Pada

Ogos 2020

Spesifikasi

Enjinsistem sejukan cecair, kembar parallel, empat lejang
Gerek x Lejang82 x 61.5mm
Kuasa maksimum84 bhp/63kW pada 11,000rpm
Tork maksimum64Nm pada 9,000rpm
Sistem bahan apisuntikan bahan api elektronik
Transmisi6 kelajuan
Saspensifork USD 50mm Marzocchi Roadholder (depan) & lengan ayun aluminium dengan penyerap hentak mono (belakang)
Tinggi pelana824mm (Nomad) & 867mm (Ranger)
Isi tangki15 liter
PengeluarNorton Motorcycle Ltd., Donnington

Popular

  • Penunggang Motosikal Maut, Terlanggar Khinzir di Tengah Jalan

  • Warta Roda

    Ducati Monster Senna Edisi Terhad: Penghormatan Buat Ayrton Senna

  • Warta Roda

    Penunggang Motosikal Dihempap Pokok!

  • Warta Roda

    Blueshark Kembangkan Rangkaian Pengedar ke Seluruh Negara

  • Warta Roda

    Kemalangan Ngeri Tiga Kereta & Sebuah Motosikal, Tiga Cedera Parah...

Artikel berkaitan

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Selepas 4 Tahun, Andrea Iannone Makin Bersemangat

Combat Wraith 132ci - Inovasi Yang Direka Semula

KTM RC 8C 2023 - Maestro Kelas Pertengahan

Triumph Tiger 1200 GT Pro - Jentera Kembara Sensasi

Royal Enfield Super Meteor 650

CMC Buccaneer 250i - Gaya Retro Masa Kini

Ducati Streetfighter V2 - Garang & Berkuasa

Disyorkan untuk anda

Penunggang Motosikal Maut, Terlanggar Khinzir di Tengah Jalan

Seorang penyelia syarikat penghantaran maut selepas motosikal ditunggangnya terlanggar beberapa ekor babi hutan yang bergelimpangan mati di tengah jalan dalam kejadian di Kilometer 15 Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat Ulu Bendul di sini awal pagi Jumaat.

Warta Roda

Kemalangan Motosikal Dengan Pacuan 4 Roda, Penuntut IPT Maut

Seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di sini maut selepas motosikal ditunggang terbabit nahas dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Semambu.

Warta Roda

HLYM Perkenalkan Warna Baru Yamaha NVX 2024

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah melancarkan empat warna terbaru untuk Yamaha NVX 155.

Warta Roda

Cubaan Meragut Gagal, Suspek Telah Ditahan

KUCHING: Dua peragut berputih mata selepas cubaannya meragut seorang wanita di Taman Desa Wira, Batu Kawa digagalkan orang awam.