Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 10 Ogos 2019

BRIXTON BX150R Menunggang Dengan Penuh Bergaya

Brixton Motorcycle merupakan sebuah jenama 'roadster retro' yang berasal dari Austria. Ia bertumpukan jentera klasik moden berkapasiti rendah. Pada pertengahan tahun 2018, MForce Bike Holdings Sdn Bhd telah melancarkan tiga model terbaru Brixton iaitu BX150, BX150X dan BX150R. Model yang kami uji ini adalah BX150R merupakan sebuah jentera dengan gaya café racer.

Tidak dinafikan, jentera berkonsepkan café racer semakin mendapat sambutan dan kepercayaan di kalangan pengguna motosikal di negara ini. Bagi mereka yang ingin menunggang jentera ala-ala klasik sudah pasti akan memilih jentera ini. Jika ingin sebuah jentera café racer mampu milik, cantik dan menawan, BX150R adalah pilihannya.

Model café racer ini ternyata dapat menarik perhatian kita menerusi bentuknya. Rekabentuk lampu utamanya yang berbentuk bulat tetap mengekalkan ciri-ciri klasik. Sangat sesuai dengan gaya retronya. Tambahan pula unit yang diuji berwarna merah. Cukup elegant!  Disebabkan ia sebuah jentera café racer, ruang tempat duduk hanya disediakan untuk penunggang sahaja. Tetapi jangan risau, jika ingin membawa pembonceng, buka sahaja penutup pelana di belakang dengan hanya menanggalkan dua skru di bahagian kiri dan kanan penutup.

Rekaan panel meternya juga didatangkan dengan bentuk bulat. Memang tampak sesuai dengan konsep klasiknya, tetapi paparan meternya adalah separa analog dan digital. Ia memaparkan info-info seperti tahap kelajuan, tahap bahan api dan jarak perjalanan dalam bentuk digital. Manakala untuk analog adalah putaran rpm. Walaupun saiz meternya yang sedikit kecil, tidak menghalang kita untuk terus fokus menunggang pada waktu siang mahupun malam.

Enjin bersesaran 149cc dengan sistem suntikan bahan api elektronik (EFI) yang mematuhi piawaian EURO 3, BX150R menawarkan satu pengalaman tunggangan yang cukup bergaya. Proses menghidupkan enjin pada mesin ini hanya menggunakan penghidup jenis elektrik sahaja. Putarkan kunci, naikkan tongkat sisi dan tekan suis penghidup. Enjin dapat dihidupkan dengan sekali tekan sahaja. Sistem ekzos dibina dengan cukup sempurna. Deruman yang terhasil daripada enjin terus keluar melalui corong ekzos memang kena dengan model ini. Demi keselamatan, kuasa enjin BX150R akan termati dengan sendirinya sebaik sahaja kita menurunkan tongkat sisi.
 
Enjin 4 lejang, SOHC, silinder tunggal dengan penyejuk udara mampu menjana kuasa setinggi 8.7kW pada 8,000rpm dan tork 11.9Nm pada 6,000rpm. Proses penukaran gear pula dapat dilakukan dengan lancar. Dengan tuas klac yang lembut, kami dapat menukar kedudukan gear dengan cepat dan senang.

Ketika berada di lebuhraya Karak, kami memulas pendikit dengan lebih galak lagi untuk melihat setinggi mana tahap kelajuan yang mampu dicapai. Secara jujurnya, jentera ini tidak dibina untuk kelajuan. Kami mampu melarikan jentera bertransmisi 5-kelajuan ini sekitar 110km/j sahaja. Walaupun dengan kelajuan seperti itu, ia tidak akan menghalang kami untuk terus bergaya menunggang bersama jentera café racer ini.

Di lebuhraya Karak, sudah pasti jalan-jalannya ada yang berbukit. Sedikit mengecewakan apabila mendaki bukit dengan BX150R. Seperti kekurangan kuasa walaupun ia bersesaran 149cc. Kadang-kadang kita perlu menggunakan gear yang paling rendah untuk mendapatkan kuasa hantaran lebih tinggi ketika mendaki.

Pengendalian yang benar-benar mudah adalah kelebihan yang ada pada BX150R. Model ini cukup kompak dan memberikan tindak balas yang cukup efisyen. Kami dapat melarikan jentera yang memiliki berat 157kg dalam kawasan bandar. Mudah untuk memacunya melepasi ruang-ruang yang terhad. Terutama apabila berada di tengah bandaraya.

Brixton mempunyai saiz ukuran 2020mm (panjang), 730mm (lebar) dan 1040mm tinggi memudahkan pengendaliannya dalam setiap selekoh yang diambil. Tidak kira penunggang itu tinggi, rendah, kurus ataupun gemuk, menunggang jentera ini merupakan satu nikmat kerana mudah untuk dikendalikan.

Jentera Brixton ini didatangkan dengan sistem saspensi jenis fork teleskopik (hadapan) yang memuaskan hati. Walaupun melalui jalan-jalan yang berliku, berlubang ataupun membrek dengan keras, ia menyerap segala hentakan dengan baik. Saspensi belakangnya jenis lengan ayun turut berfungsi dengan sempurna.

Dengan berbekalkan tayar-tayar bersaiz 100/90-18/224 (hadapan) dan 120/8017/257 (belakang) kita dapat mengekalkan pengendalian ketika mengambil laluan berselekoh dengan mudah. Memperlahankan jentera ini daripada mana-mana kelajuan langsung tidak menakutkan. BX150R dilengkapi dengan sistem brek cakera tunggal di depan dan belakang. Untuk tingkatkan lagi keselamatan, model ini telah disempurnakan dengan Combined Braking System (CBS). CBS merupakan satu sistem membrek yang menggabungkan tayar hadapan dan belakang dengan hanya menekan tuas brek kaki. Dengan adanya sistem ini, kita dapat memperlahankan motosikal dengan jarak yang lebih dekat dan selamat.

Walaupun menunggang jauh dengan BX150R sangat tidak mengecewakan. Posisi tunggangnya amat selesa sekali. Ditambah pula dengan pelananya yang empuk, di bahagian pinggang tidak terasa lenguh. Jentera ini mudah untuk dipanjat untuk pelbagai jenis penunggang. Kedua-dua tapak kaki dapat jejak di atas tanah dengan sempurna. Cermin sisinya berbentuk bujur sangat sesuai dipadankan dengan BX150R. Kita dapat melihat kenderaan yang berada di belakang dengan jelas.

Selepas puas memecut di lebuhraya, kami mula memasuki kawasan perkampungan di Janda Baik. Memang satu pengalaman menyeronokkan bila dapat menunggang di luar bandar. Jalannya tidak begitu sibuk, redup, banyak pokok, tenang dan tenteram. Selain itu, kami dapat menunggang dengan santai. Masuk sahaja kawasan kampung, kami mula mengurangkan kelajuan demi menjaga keselamatan diri dan penunggang lain. Bila sudah masuk ke kawasan orang, kita mestilah kena hormat mereka. Jangan terburuburu untuk menunggang di jalan-jalan kampung. Kemalangan boleh terjadi tidak kira tempat dan masa.

Menunggang pada waktu malam atau di laluan-laluan yang gelap memerlukan suluhan yang mampu menarik perhatian pengguna jalan raya yang lain. Dengan memiliki set lampu hadapan dan belakang jenis LED yang jelas dan terang, kita dapat menunggang jentera kita dengan tenang dan selamat kerana yakin pengguna jalan raya yang lain dapat melihat kehadiran kita dari pelbagai sudut. Lampu utamanya turut diperkemaskan  dengan penggunaan Day Time Running Lights (DRL). Lampu isyaratnya juga adalah jenis LED. Untuk memudahkan penunggangnya, terdapat satu soket usb sebelah kiri bar hendal untuk mengecas telefon walau di mana sahaja kita berada.


 
BX150R terus berbakti dengan cemerlang! Sistem suntikan bahan apinya ternyata membantu kita jimat petrol. Sekitar 270 kilometer untuk satu isian tangki bersaiz 14 liter. Ia dipecut ke tahap maksimum di lebuhraya dan kawasan bandar. Jika menunggang secara santai, sudah pasti dapat menunggang mesin ini pada jarak perjalanan yang lebih jauh lagi. Memang sangat menjimatkan!!  

Boleh dikatakan ia sebuah jentera yang boleh ditunggang ke mana sahaja seperti berkonvoi, bersiarsiar, ke tempat kerja dan juga untuk kegunaan harian. Kami yakin motosikal ini mampu menarik perhatian ramai. BX150R ditawarkan pada harga RM9,588 (tanpa insuran dan cukai jalan) dalam dua pilihan warna menarik iaitu merah dan perak (Silver). RR

Isu Pada

Ogos 2019

Spesifikasi

Enjin4 lejang, silinder tunggal, SOHC, penyejuk udara
Isipadu149 cc
Kuasa maksimum8.7kW pada 8,000 rpm
Tork maksimum11.9Nm pada 6,000 rpm
Transmisi5 kelajuan
P x L x T2020 x 730 x 1040 mm
Isi Tangki14 liter
PengedarMforce Bike Holdings Sdn Bhd

Popular

  • Warta Roda

    WMOTO Griffin 205 Sudah Berada di Pusat Pengedar Mforce Smartshop

  • Warta Roda

    Art of Speed 2026: 15 Tahun Menyatukan Jiwa Kustom

  • Warta Roda

    Honda ADV160 Edisi Terhad Versi Spider-Man Dilancarkan - Bermula RM14,149

  • Berita Kelab

    Kembara Road Rider Crew Taiping 3.0 Sempena Ulang Tahun Kelab ke-4

  • Dari Litar

    Hakim Danish Kutip Mata Berharga Walaupun Berdepan Cabaran di Sachsenring

Artikel berkaitan

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Yamaha NVX 155 SP - Skuter Premium Dengan Teknologi Terkini

Hampir 1000 kilometer Dengan Aveta NOVA 250 - Apa Rasanya?

Media Test Ride Kawasaki Z900: Glenmarie ke Sekinchan - Bukan Sekadar Kuasa

SYM ADXTG 400: Skuter Adventure Santai Tapi Padu

BMW F900 GSA: Jelajah Tanpa Batasan

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

CFMOTO Flagship Store Kuala Selangor Dirasmikan

Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. terus memperkukuhkan rangkaian pengedarnya menerusi perasmian CFMOTO Flagship Store Kuala Selangor.

Dari Litar

Hakim Danish Terus Perkukuhkan Kedudukan di Moto3

Dengan kemenanhan di tempat ketujuh melonjakkan lagi kedudukan Hakim Danish di tangga keenam secara keseluruhan.

Dari Litar

Pedro Acosta Bersama Ducati Untuk Musim 2027 dan 2028. Marc Marquez Sambung Kontrak!

Pedro Acosta kini dengan rasminya menyertai pasukan Ducati bersama dengan Juara MotoGP tujuh kali, Marc Marquez.

Warta Roda

Platform Honda X Dinaiktaraf Dengan Penambahan Ciri e-Warranty & Sejarah Servis Digital

Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (BSH) apabila memperkenalkan dua ciri baharu dalam platform digital Honda X iaitu e-Warranty dan Service History