Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 10 Januari 2015

YAMAHA MT-07 : Mesin Untuk Semua

Selepas berpuas hati dengan MT-09, hari ini kita akan menikmati pula sebuah lagi model jalanan terbaru daripada Yamaha iaitu MT-07. Mesin ini adalah kesinambungan daripada MT-09 dengan isipadu enjin yang lebih kecil.


Ya...MT-07 dilengkapi dengan enjin 689cc, dua silinder DOHC dengan sistem pancitan bahan api. Yamaha memilih hari perlumbaan MotoGP Malaysia untuk melancarkan model terbaru ini dan ia memang satu rancangan yang bijak untuk mempromosikan MT-07 kerana telah disempurnakan oleh dua pelumba tersohor Yamaha iaitu Valentino Rossi dan Jorge Lorenzo.


Sekali imbas memang nampak sama tetapi sebenarnya ia tidak. Dari segi saiz, MT-07 memang kecil berbanding model 900cc, ia lebih ringan, lebih mesra penunggang dan lebih mudah! Lampu utamanya diletakkan pada posisi yang hampir sama dengan model MT-09 tetapi dari segi rekaan tangkinya yang bersepadu dengan corong udara, kami lebih sukakan pada rekaan model 07 ini berbanding MT-09. Ia lebih mantap, lebih aerodinamik dan bentuknya juga membantu kita mengepit dengan lebih kemas. Melihat pula akan rekabentuk pelananya yang berasingan antara penunggang dan pembonceng (mirip dengan model R6), model ini ternyata lebih cenderung kepada mereka yang sukakan pecutan hebat.


Panel meter yang berlatar belakangkan lampu berwarna putih cerah bukan sahaja menyejukkan mata memandang tetapi paling penting ialah memaparkan segala informasi dengan jelas sekali. Tulisan dan nombor yang tertera besar – sekali jeling sahaja sudah cukup! Seperti model-model lain, suis di bar hendal mudah digunakan cuma pada mulanya kami beberapa kali tertekan hon kerana saiznya yang kecil. Tetapi lama kelamaan, masalah ini dapat diatasi.

Walaupun bertujuan untuk menunjukkan kemantapan enjin dan sistem ekzosnya, bahagian hadapan enjin MT-07 akan lebih cantik dan kemas jika dilengkapi dengan belly pan. Aksesori ini juga boleh memberi perlindungan kepada enjin dan paip ekzos daripada terkena batu, kayu atau bahan buangan lain yang berada di atas jalan raya.

Karaktor enjin dua silinder MT-07 memang unik. Bunyinya tidak seperti enjin dua silinder yang sudah biasa kita dengar sebaliknya ia seakan-akan enjin v-kembar cuma lebih lembut dan senyap. Dalam keadaan melahu, ia hampir tidak kedengaran. Pelana setinggi 805mm mudah untuk dipanjat oleh semua jenis penunggang tidak kira tinggi atau rendah, lelaki mahu pun wanita.


Memang seronok memacunya kerana respon antara pendikit dan enjin tepat dan lancar. Jika kita rasakan MT-09 mempunyai kuasa tork yang agak kuat, model ini juga tidak terkecuali tetapi ia lebih mudah dikawal – memang 'syok' habis. MT-07 ini juga cukup ringan – sangat sesuai dengan kekuatan enjinnya dan paling seronok kita mudah memacunya dalam kelajuan yang rendah. MT-07 sesuai untuk kegunaan bandar.


Dalam gear-gear pertengahan, kuasanya memang hebat tetapi seperti yang dikatakan, ia berada di dalam kawalan kita. MT adalah singkatan untuk Master of Torque – memang sesuai kerana kekuatan enjinnya hadir dalam mana-mana kelajuan. Kami cuba menurunkan kelajuan hingga di bawah 2,000rpm (dalam gear keempat), memang hasilnya memberangsangkan! Tiada sebarang sentapan atau gangguan pada putaran enjin. MT-07 terus bergerak membelah angin.


Semakin ditarik, enjin model ini semakin galak menunjukkan kebolehannya dan sekali lagi kelancaran enjin berkuasa 74hp ini cukup mengagumkan kami walaupun sudah mencecah 9,000rpm. MT-07 dapat memecut selaju 200km/j. Dalam kelajuan inilah MT-07 sedikit mengecewakan. Posisi lampu utamanya yang terlalu ke bawah manakala ketiadaan fairing hadapan memberikan masalah untuk penunggang menunggang dengan laju kerana tamparan anginnya terlalu kuat.

XJ6 Naked contohnya...mempunyai rekaan hadapan yang lebih sesuai untuk mereka yang sukakan kelajuan. Mungkin ini juga satu lagi cara yang baik agar penunggang tidak terlalu ghairah memecut? Kalau ya...memang berkesan sekali. Suara yang terkeluar daripada sistem ekzos tidak kuat dan ini juga ada pro and cons nya. Ia mungkin menjadikan model ini tidak cukup garang untuk membuktikan kehebatannya tetapi dari segi pencemaran bunyi, model baru ini memang sesuai untuk kawasan kejiranan.


Ringan + ramping + lincah + berkuasa adalah satu resepi yang menjanjikan kepuasan para penunggang motosikal. MT-07 dilengkapi dengan kerangka backbone yang ringan, bar hendal yang lebar dan tapak roda yang pendek memudahkan kita menukar laluan dan posisi walaupun dalam kelajuan tinggi. Kebolehan ini juga amat diperlukan apabila kita berhadapan dengan kesesakan lalu lintas sewaktu menunggang di dalam bandar.


MT-07 juga bagaikan 'rakan baik' apabila dibawa bersama di dalam bandar. Bukan sahaja kuasanya yang jinak, sistem penyejuk jenis cecair model ini memang cukup efisien – pergilah ke mana sahaja walaupun terpaksa bersesak-sesak, bahagian kaki atau peha tidak terasa bahang yang menjadikan pergerakan kita terganggu.


Walaupun MT-07 tidak dilengkapkan dengan fork hadapan boleh laras, ia tetap menyerap segala hentakan dengan baik. Berbanding dengan model MT-09, model ini menggunakan brek-brek cakera jenis berkelopak dengan tujuan untuk mendapatkan cengkaman yang lebih baik. Walaupun dirasakan tidak secekap brek-brek model sport tetapi keberkesanan proses memperlahankan kelajuan MT-07 memang sudah mencukupi.

MT-07 ada kelebihan dan kekurangannya apabila bercerita mengenai menunggang berdua. Pertamanya, ia memberikan keseronokan kepada penunggang untuk membuat pengendalian tidak terganggu sama ada ketika memecut laju atau pun di jalan-jalan berselekoh. Oleh kerana pelana MT-07 direka seperti model-model sport, ia agak kecil dan sedikit memenatkan jika membuat perjalanan jauh. Rekaan pelana untuk model MT-09 dirasakan lebih selesa dan sesuai.


Model ini didatangkan dengan tayar-tayar yang mempunyai saiz-saiz yang cukup sesuai untuk semua jenis dan minat penunggang. Tayar hadapan bersaiz 120/70 ZR 17MC manakala di belakang pula dengan saiz 180/55 ZR 17MC yang berupaya menggigit dengan sempurna sekali. Apa yang perlu kita fikirkan ialah cara untuk kita kekal selamat di atas jalanraya. Walau sehebat mana sekali pun jentera kita, 'melekat' sebaik mana tayar motor kita... tempat dan masa perlulah dipilih dengan tepat sebelum kita bermotor dengan gembira.

Penggunaan bahan api memang 'syiok' – kita dapat menyusuri perjalanan lebih daripada 200 kilometer dengan selesa dalam kelajuan sekitar 130-150 km/j. MT-07 ditawarkan pada harga asas yang cukup kompetitif iaitu RM42,000 dalam dua warna iaitu Merah dan Biru. RR

Isu Pada

Januari 2015

Spesifikasi

Enjin2 silinder, 2 injap, DOHC, sistem penyejuk cecair
Isipadu689cc
Gerek x Lejang80 x 68.8mm
Nisbah mampatan11.5:1
Kuasa maksimum74ps pada 9,000rpm
Tork maksimum68Nm pada 6,500rpm
Tinggi pelana 805mm
Berat179kg
Isi tangki14 liter
PengeluarHong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd.

Popular

  • Warta Roda

    WMOTO Griffin 205 Sudah Berada di Pusat Pengedar Mforce Smartshop

  • Warta Roda

    Art of Speed 2026: 15 Tahun Menyatukan Jiwa Kustom

  • Warta Roda

    Honda ADV160 Edisi Terhad Versi Spider-Man Dilancarkan - Bermula RM14,149

  • Berita Kelab

    Kembara Road Rider Crew Taiping 3.0 Sempena Ulang Tahun Kelab ke-4

  • Dari Litar

    Hakim Danish Kutip Mata Berharga Walaupun Berdepan Cabaran di Sachsenring

Artikel berkaitan

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Yamaha NVX 155 SP - Skuter Premium Dengan Teknologi Terkini

Hampir 1000 kilometer Dengan Aveta NOVA 250 - Apa Rasanya?

Media Test Ride Kawasaki Z900: Glenmarie ke Sekinchan - Bukan Sekadar Kuasa

SYM ADXTG 400: Skuter Adventure Santai Tapi Padu

BMW F900 GSA: Jelajah Tanpa Batasan

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Sprinta Ladies Satukan Komuniti Lady Bikers di Malaysia

PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia (PLMM) telah melancarkan Sprinta Ladies.

Dari Litar

Jerez Jadi Medan Kebangkitan Qabil Irfan

Qabil Irfan Azlan mahu meneruskan momentum positif apabila mengharungi Pusingan 3 Moto4 European Cup 2026 yang berlangsung di Litar Jerez.

Dari Litar

Hakim Danish Terus Perkukuhkan Kedudukan di Moto3

Dengan kemenanhan di tempat ketujuh melonjakkan lagi kedudukan Hakim Danish di tangga keenam secara keseluruhan.

Model Baru

Model Viral, ZXMOTO 820RR Bakal Dilancarkan Di Malaysia. Harga bawah RM40,000

Sah! Mforce Bike Holdings Sdn Bhd akan melancarkan model supersport yang telah tular di seluruh dunia iaitu ZXMOTO 820RR.