Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 20 Mac 2021

Italjet Dragster 125: Superbike Urban

Tahun 2020 sepatutnya menjadi detik kembalinya model jentera skuter antara yang paling garang... paling dramatik pernah dihasilkan. Perkenalkan Italjet Dragster, sebuah jentera automatik cukup unik yang dilancarkan di Pameran Motosikal Antarabangsa EICMA Milan pada tahun 2019. Skuter hebat ini kini sudah berada di bilik pameran di serata dunia dan sememangnya ia adalah model yang dinanti-nantikan.

Sebanyak 70,000 unit skuter ini telah dijual dari tahun 1995 hingga tahun 2003 dan popularitinya hadir menerusi kerangka trellis, pengemudi hub-tengah dan rekabentuknya yang radikal. Firma Itali ini kemudiannya menghadapi pembubaran – tidak mampu bersaing ketika itu dengan produk-produk dari China yang ditawarkan pada harga yang jauh lebih murah.

Pemilik asalnya, Leopoldo Tartarini adalah seorang penggemar paip tembakau dan cukup berinovasi telah pun meninggal dunia enam tahun yang lalu. Apa pun, dia pasti berbangga jika dapat melihat rekaciptanya kini dihidupkan semula oleh anaknya sendiri, Massimo yang bertanggungjawab melahirkan semula model Dragster.

Sayangnya, penularan wabak Covid-19 telah menyebabkan produksi skuter ini yang sepatutnya bermula Jun 2020 terpaksa ditunda untuk seketika. Walaupun Massimo Tartarini sendiri menyatakan bahawa Dragster telah mendapat ribuan tempahan daripada pelanggannya di seluruh dunia tetapi masalah penghantaran rantaian bekalan komponen menyebabkan produksi harus ditunda.

Selepas berjaya dipulihkan, Tartarini mengesahkan produksi untuk model Dragster akan dijalankan di kilang Italjet di Bologna pada pertengahan Mac nanti dan penghantaran pertama dijangka bermula pada minggu kedua April 2021.

Jika dibandingkan dengan model-model terdahulu yang didatangkan dengan enjin dua lejang daripada 50cc hingga 180cc (hanya segelintir yang menggunakan enjin 250cc empat lejang), model baru ini pula ditawarkan dalam dua versi iaitu 125cc dan 200cc yang kedua-duanya berenjin empat lejang. Enjin model-model ini berspesifikasi DOHC, empat injap, sistem penyejuk cecair dengan sistem transmisi CVT seperti mana yang pernah digunakan pada Aprilia Scarabeo 125/200 dan Vespa GT 200.

Enjin 125cc yang berpiawaian Euro 5 ini menghasilkan kuasa 14.9 bhp/11kW pada 10,000 rpm dan tork 12.5Nm/9.2ft-lb pada 7,750 rpm manakala varian 200cc pula lebih mantap dengan kuasa 19.8 bhp14.6kW pada 8,250 rpm dan tork 17Nm/12.5ft-lb pada 6,250 rpm. Enjin ini dahulunya dibuat oleh syarikat Jincheng untuk Piaggio tetapi apabila pengeluar Itali ini meraih kerjasama eksklusif dengan Zongshen, Jincheng telah mengubah dan merekacipta enjin baru untuk kegunaan mereka sendiri dan para pelanggan seperti Italjet. Demi merapatkan hubungan di antara dua syarikat ini, Massimo Tartarini sering ke China sejak tahun 2003 lagi.

Dragster 2021 merupakan satu-satunya skuter di dunia yang didatangkan dengan kerangka keluli tubular chrome-moly yang dipasang pada perumah aluminium tetuang di depan dan belakang. Diameter tiub ini lebih besar berbanding model-model lama dan saiznya sama dengan yang digunakan pada jentera Ducati Panigale.

Massimo Tartarini
Massimo Tartarini

Model ini masih mengekalkan lengan ayun tunggal di bahagian depan dengan hub-tengah seperti mana yang pernah dikeluarkan dulu tetapi lengan ayun aluminium bertempa. Tapak roda juga lebih panjang (1,335mm) daripada yang lama (1,310mm) yang direka semula untuk kestabilan lebih baik dan ruang yang luas. Format hub-tengah memisahkan pengemudi dengan sistem saspensi, ini juga untuk memudahkan kawalan dan mengurangkan hantaran beban ke hadapan ketika membrek dengan keras.

Lengan ayun di depan dan belakang dilengkapi dengan penyerap hentak tunggal Paioli yang menggantikan jenama Bitubo yang dipasang pada unit prototaip. Dragster 2021 didatangkan dengan tayar-tayar bersaiz 120-70 (hadapan) dan 150-70 di belakang yang dikawal oleh brek-brek cakera Brembo yang cukup cemerlang. Untuk menepati piawaian Euro 5, ABS adalah satu kewajiban bagi jentera 200cc tetapi tidak untuk versi 125cc.

Apapun, rekabentuk Dragster yang radikal ini memang cukup diminati. “Sudah semestinya peminat motosikal atau masyarakat luar akan menyukai satu ciptaan baru yang lain daripada yang lain. Inilah yang dimiliki oleh skuter ini iaitu gabungan teknologi, gaya rupa sporty dan paling utama, sentuhan unik rekaan Itali,” kata Tartarini.

“Sememangnya 'darah' Dragster sentiasa mengalir dalam tubuh badan saya dan amat mudah buat saya jika ingin mengeluarkan sebuah skuter yang berpiawaian Euro 5 tetapi itu bukan niatnya. Saya percaya ia perlu nafas baru dan inilah sebabnya kami merekasemula keseluruhan bentuknya. Ia perlu berteknologi, mengagumkan dan mampu milik. Saya pasti ia bagaikan satu 'mercu tanda' terkini pasaran skuter global. Saya mahu tujukan rekaan ini buat ayah yang telah memberi inspirasi buat saya sejak 25 tahun yang lalu,” tambahnya lagi.

Italjet Dragster ini ditawarkan pada harga €5,100 untuk versi 125cc dan €5,400 untuk enjin 200cc dengan tiga pilihan warna iaitu Anthracite/Red/White, Anthracite/Yellow dan Grey/Orange. Dragster adalah jentera kegemaran saya dan pernah membeli model generasi pertama yang digunakan sebagai alat pengangkutan di litar perlumbaan untuk bergerak di dalam kawasan paddock. Skuter ini juga pilihan yang bijak untuk berada selesa di dalam bandar. Nak pergi mana pun boleh. Ia berenjin 180cc, dua lejang yang boleh memecut cukup garang dalam masa yang singkat tetapi alasan utama saya begitu menyukainya ialah kerana ia sangat stabil dan 'solid' untuk berada di pelbagai jenis laluan dengan yakin.

Selain itu, rupa parasnya sentiasa menjadi sebab utama mengapa orang suka padanya. Memang amat berbeza sekali. Bila digabungkan... rupa yang unik + prestasi yang mantap, memang jadi 'star'lah ke mana sahaja kita pergi dan mungkin juga itu sebabnya Dragster saya itu telah dicuri. Selepas bertahun-tahun memberi dorongan buat Massimo untuk menghasilkan Dragster abad ke-21, kini ianya sudah sedia. Saya sangat teruja dengan model 125cc dan 200cc yang dia telah muncul di pameran EICMA Show 2018 dulu. Rupa-rupanya saya tidak berseorangan, respon yang didapati sangat luar biasa dan persoalannya ialah – Secepat mana model ini boleh mula dikeluarkan?

Saya sangat kagum dan teruja kerana satu-satu orang luar Italjet yang dipilih untuk menunggang skuter ini bagi menikmati perjalanan sejauh 60 kilometer bersama Dragster 125 dengan menerusi laluan berbukit bukau dari Via Emilia ke Dozza. Jalan ini juga 'lengkap' dengan galeri seni terbuka yang mempamerkan berpuluh-puluh lukisan yang cantik di dinding-dinding rumah yang kelihatan seperti berlapis-lapis. Sangat sesuai dengan Dragster kerana pada asasnya, ia adalah satu cabang seni moden yang diabadikan pada jentera dua roda.

Pada putaran enjin 10,000rpm, skuter Italjet ini mampu memecut pada kelajuan 110km/j yang sempat saya rasa di laluan lurus salah satu jalan di Via Emilia. Panel meternya yang kecil tetapi jelas memang mudah dibaca. Dengan adanya counterbalancer ciptaan Piaggio, saya dapati tidak ada sebarang gegaran yang mengganggu tungggangan. Kekuatan kuasa enjin ini mampu menarik saya yang seberat 85kg ke Dozza Vecchia tanpa sebarang masalah. Nampaknya skuter seberat 108kg 125cc ini memang mantap ya! Mungkin prestasinya akan menurun jika ditunggang bersama pembonceng.

Jujurnya, Dragster dibeli lazimnya untuk kegunaan solo kerana ia lebih praktikal dan nampak cool! Dari segi keselesaan, saya yang setinggi 5'10” langsung tidak terasa sempit untuk melabuhkan punggung ke atas pelana setinggi 770mm itu. Papan pemijak juga cukup besar untuk but bersaiz 43 tetapi kalau lebih daripada tu, mungkin kena rapatkan sikitlah.

Tayar yang dilengkapkan pada jentera ini cepat panas dan mencengkam dengan baik tetapi saya lebih suka jika model 125cc ini turut didatangkan dengan sistem ABS yang sangat membantu untuk jadikan perjalanan lebih selamat dan meyakinkan. Brek-brek Brembo memang mantap! Saya dapat memperlahankan skuter ini dari kelajuan 100km/j dengan pantas (lebih baik guna kedua-dua brek). Dragster langsung tidak bergoyang dan 'menjunam' apabila kita membrek keras – itulah trademark sebuah motosikal dengan kejuruteraan hub-tengah yang mantap.

Terdapat banyak pengeluar motosikal yang ingin mengeluarkan jentera inovatif seperti mana yang ditawarkan oleh jentera konsep tetapi tidak pernah berjaya. Di bawah jagaan ayah Tartarini dan sekarang anak lelakinya, Italjet terkenal dengan keberanian untuk berfikir di luar kotak, kreatif dan yang paling penting untuk mempercayai inovasi yang tulen.

Sesuai dengan slogan syarikat ini 'Always Dare', ia adalah strategi utama jenama Italjet yang telah terbukti menerima pengiktirafan dunia. Salah satu pengedar di Belanda menggambarkan Italjet Dragster sebagai ‘The Lamborghini of the Scooter World.’ Betul... tidak diragui lagi kecuali harga jauh lebih murah daripada supercar dari Itali itu. Ia bagaikan seekor ulat beluncas superbike kecil yang akan menjadi perhatian ke mana sahaja ia pergi. Ingat.... jangan bawa Superbike Urban Dragster ini ke mana-mana jika anda tidak mahu mendapat perhatian! RR

Nota: Massimo Tartarini mengesahkan model 125 Dragster juga akan dilengkapi dengan sistem ABS tanpa sebarang kos penambahan.

Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Kel Edge

Isu Pada

Mac 2021

Spesifikasi

Enjinsilinder tunggal, 4 lejang, 4 injap, sistem penyejuk cecair, DOHC
Isipadu125cc / 200cc
Kuasa maksimum14.9bhp pada 10,000rpm (125cc) / 19.8bhp pada 8,250rpm (200cc)
Tork maksimum12.5Nm pada 7,750rpm (125cc) / 17Nm pada 6,250rpm (200cc)
TransmisiCVT
Brekcakera hidraulik 175mm, ABS (depan) & cakera hidraulik 240mm, ABS (belakang)
Saspensilengan ayun tunggal Independent Steering System (depan) & lengan ayun tunggal (belakang)
Tayar120/17-12 (depan) & 140/60-13 (belakang)
P x L1,870 x 680mm
Berat108kg

Popular

  • Dari Litar

    Akid Aziz Kembali! Perkuatkan Pasukan VOGE AS25 RACING TEAM

  • Dari Litar

    4 Mata Berharga Kekalkan Hakim Danish di Kedudukan ke-8 Keseluruhan

  • Dari Litar

    Helmi Juara CP150 di Terengganu

  • Dari Litar

    Bezzecchi Terpantas di Aragon

  • Warta Roda

    MODENAS Lanjut Program Z15GT Care Hingga 31 Oktober 2026

Artikel berkaitan

Honda CRF1100L Africa Twin 2026: Pengembaraan Baru Bermula

Honda CBR650R E-Clutch - Sebuah Supersport Mesra Pengguna?

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Yamaha NVX 155 SP - Skuter Premium Dengan Teknologi Terkini

Hampir 1000 kilometer Dengan Aveta NOVA 250 - Apa Rasanya?

Media Test Ride Kawasaki Z900: Glenmarie ke Sekinchan - Bukan Sekadar Kuasa

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

4 Mata Berharga Kekalkan Hakim Danish di Kedudukan ke-8 Keseluruhan

Hakim Danish Ramli meneruskan rentak konsisten salam saingan Moto3 apabila menamatkan perlumbaan di GPAragon di tempat ke-12.

Dari Litar

Helmi Juara CP150 di Terengganu

Tahniah buat pelumba TAB SPORTS SCK HONDA RACING iaitu Md Helmi Azman menjuarai siangan CP150 Pusingan 5.

Model Baru

Yamaha YZF-R2 Diperkenalkan Untuk Pasaran India

Yamaha Motor India secara rasmi melancarkan YZF-R2 sebagai model baharu dalam keluarga R-Series.

Model Baru

Yamaha Y16ZR-R Edisi Terhad Pramac Racing Replica - RM13,388

Selain varian standard, HLYM turut lancar model edisi terhad bagi Yamaha Y16ZR-R.