Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 21 Oktober 2021

Yamaha Y16ZR - Lebih Moden... Lebih Mantap!

Selepas fenomena Yamaha 135LC suatu ketika dulu, kemunculan model Y15ZR sekali lagi menggemparkan pasaran motosikal moped tanahair. Model yang juga popular dengan gelaran Ysuku telah dilancarkan pada Ogos 2015 dan walaupun selepas beberapa tahun di pasaran negara, jumlah pengeluarannya terus meningkat hinggalah ke saat ini.

Populariti jentera ini tidak dapat kita nafikan. Ia digunakan di seluruh pelusuk negara, ditunggangi oleh semua golongan masyarakat, digunakan untuk kembara dan turut meraih kemenangan di litar perlumbaan. Itulah kisah Ysuku!

Tahun ini, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah memperkenalkan ‘abang’ kepada Ysuku iaitu Y16ZR. Paling menarik, majlis pelancarannya itu diadakan di Litar Antarabangsa Sepang dan RR berpeluang untuk mengujinya di sana.

Pada dasarnya, Y16ZR bukanlah pengganti untuk Y15ZR tetapi ia adalah pilihan buat mereka yang inginkan sebuah moped Yamaha baru dengan enjin yang lebih besar. Harganya juga lebih tinggilah berbanding ‘adiknya.’ Model ini ditawarkan pada harga asas RM10,888 tetapi timbul juga isu tentang harga Y16ZR melonjak terlalu tinggi apabila unit-unit ini mula dijual di pusat-pusat pengedar. Diharap pihak HLYM dan pengedar dapat mencari kata putus dalam pelarasan harga agar adil buat para peminat motosikal. Tapi kalau dah minat, mesti sedia nak beli walaupun harganya keras.

Kenapa model ini dinamakan Y16ZR sedang kebanyak peminat motosikal menyangka nama yang bakal diberi ialah Y155 VVA. Ini seiring jika dilihat menerusi model-model di negara lain seperti Yamaha Exciter 155VVA di Vietnam atau Yamaha Sniper 155VVA di Filipina.

Menurut pihak Yamaha, nama yang dipilih adalah berdasarkan siri jentera itu. Ini bererti selepas Y15ZR, siri berikutnya adalah Y16ZR. Kalau lepas ini ada super model baru, adakah ia Y17ZR? Kita tunggu je lah.

Dari segi rekabentuk luarannya, ia nampak macam sama... tapi langsung tidak serupa ya! Rekabentuk lampu LED Y16ZR di depan agak tunduk dan sepet macam malu sedikit. Lampu posisi atau lampu di fairing depan kini dilengkapkan dengan lampu tinggi. Yang ini memang cantik, mantap dan mudah dilihat walaupun dari jarak yang jauh. Dah macam superbike! Turut dilengkapkan pada model ini ialah soket pengecas telefon pintar yang berkuasa 12V DC.

Pandangan dari sisi agak ringkas tapi bila kita tengok rekaan lampu LED di belakang, ya… ia amat terang. Lampu model ini tidak lagi mengikuti gaya sama seperti MT-07, R25, MT-25 dan Y15ZR sebaliknya ia adalah rekaan segar yang diasaskan daripada model YZF R1.

Mungkin kerana terlalu sekejap menunggang Y16ZR ini di litar, ketika itu kami rasakan prestasinya tidaklah begitu berbeza berbanding ‘si adik’ selain laju maksima dan keunikan adanya sistem bantuan klac Assist & Slipper pada sebuah jentera moped. Tak cukup masa ketika itu untuk menterjemahkan segalanya. Macam kita pekena Nasi Kandar Penang lah. Kalau suap cepat-cepat + semua sumbat sekaligus, tak akan dapat rasa apa keistimewaannya. Tapi bila slow-slow suap, relaks… baru tersandaq!

Y16ZR menawarkan prestasi yang berbeza dan ia lebih baik. Bunyi sahaja dah lain daripada Ysuku, ada iras-iras ‘suara’ R15/MT15. Dengan pelana yang setinggi 795mm (Y15ZR:780mm), kami merasakan Y16ZR ini lebih selesa dan sesuai untuk penunggang berkaki panjang! Jika dibandingkan dengan beberapa model saingannya, pelana Y16ZR adalah yang paling tinggi.

Posisi menunggang natural dan selesa. Rekaan pelana model ini dirasa lebih sedap/selesa daripada saudaranya, Ysuku. Sususan informasi yang terpapar di panel meter digital disusun kemas dan mudah dilihat. Moped ini dilengkapkan dengan sistem kunci pintar (keyless) yang juga menarik cuma dinasihatkan kepada para pemilik agar sentiasa bawa kunci pelana (spare) yang amat berguna jika bateri habis. Tak boleh buka seat bermakna tak bolehlah nak isi minyak ye!

Tuas klac dan brek yang lembut membuatkan kami memulakan perjalanan dengan positif. Enjin 155cc yang didatangkan dengan sistem Variable Valve Actuation (VVA) memang sedap. Hantaran kuasa datang tanpa segan silu setiap kali kita mengoyak pendikit. Oleh kerana ia model baru dan masih tidak begitu banyak di jalanan, kami sering ‘diacah’ oleh model-model jenama lain yang bersesaran 150cc dan 185cc. Ada masa Y ini menang dan ada juga tinggal jauh di belakang.

Jantung Yamaha ini berkuasa 17.7hp pada 9,500rpm dan tork 14.4Nm pada 8,000rpm. Dalam gear empat dan lima memang mantap dan kelajuan tertinggi (gear keenam) yang kami capai dengan sproket 46 ialah 134km/j. Ketika di SIC, unit yang ditala oleh pihaK HLYM dapat mencecah 156km/j. Pernah kami cuba dengan motor standard untuk memecut di laluan menurun dari kawasan tinggi (lebuhraya) dapat jugalah mencecah 144km/j.

Bermain di selekoh dengan Y16ZR ini memang bagus dan ini dibantu oleh sistem Assist & Slipper dan sistem saspensi depan dan belakangnya yang efisyen. Kalau saspensi belakang dipasang jenis boleh dilaras ditambah pula dengan fork depan jenis USD, alangkah seronoknya! Yamaha ini memang sesuai untuk tunggangan harian atau buat mereka yang sukakan laluan berselekoh.

Casis yang bertegaran tinggi direka dengan bijak – memang cukup tangkas. Jentera ini tegap, tidak terasa melayang-layang sewaktu kita memecut dan dengan tayar-tayar bersaiz 90/80-17M/C (46P) dan belakang 120/70-17M/C (58P) yang cukup mencengkam, jentera ini dapat dimiringkan ke dalam dan luar selekoh dengan kemas.

Secara keseluruhannya, Y16ZR merupakan satu lagi moped ‘besar’ yang kini berada di pasaran negara. Boleh menjadi pilihan buat mereka yang ingin berhijrah dari jentera Y15ZR dan buat mereka yang sudah lama menantinya masuk ke pasaran negara. Prestasinya cukup baik untuk tunggangan harian mahupun mereka yang minat laluan berliku.

Sistem suntikan bahan api yang dimantapkan lagi dengan adanya VVA, kita dapat terokai pelbagai mukabumi tanpa sukar. Semoga wabak Covid-19 segera dibendung dan bolehlah kita kembara ke seluruh negara tanpa rasa takut. Tangki Y16ZR bersaiz 5.4 liter (Y15ZR: 4.2 liter) yang pastinya memberikan pemiliknya lebih kilometer.

Hasil ujian yang kami jalankan, jarak maksimum yang dicatatkan dengan isian penuh ialah sekitar 230 kilometer – kurang 26 kilometer berbanding apa yang dinyatakan oleh HLYM. Kadar penggunaan bahan api bergantung kepada banyak faktor, antaranya ialah cara tunggangan, berat penunggang dan destinasi yang dikunjungi. Apa pun, jarak yang dicapai itu sudah cukup baik untuk jentera seberat 119kg ini (Y15ZR: 117kg).

Y16ZR didatangkan dalam tiga warna menarik iaitu Phantom Grey, Arrow Blue dan Raging Yellow. RR

Isu Pada

Julai 2021

Spesifikasi

Enjinempat lejang, SOHC, silinder tunggal, sistem penyejuk cecair
Isipadu155cc
Kuasa maksimum13.2kW pada 9,500rpm
Tork maksimum14.4Nm pada 8,000rpm
Transmisi6 kelajuan
Tayar90/80-17M/C (46P) (depan) & 120/70-17M/C (58P) (belakang)
Saspensifork teleskopik (depan) & lengan ayun dengan pemyerap hentak tunggal (belakang)
P x L x T1,975 mm x 665mm x 1,085mm
Berat119kg
PengedarHong Leong Yamaha Motor (HLYM)

Popular

  • Warta Roda

    WMOTO Griffin 205 Sudah Berada di Pusat Pengedar Mforce Smartshop

  • Warta Roda

    Art of Speed 2026: 15 Tahun Menyatukan Jiwa Kustom

  • Warta Roda

    Honda ADV160 Edisi Terhad Versi Spider-Man Dilancarkan - Bermula RM14,149

  • Berita Kelab

    Kembara Road Rider Crew Taiping 3.0 Sempena Ulang Tahun Kelab ke-4

  • Dari Litar

    Hakim Danish Kutip Mata Berharga Walaupun Berdepan Cabaran di Sachsenring

Artikel berkaitan

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Yamaha NVX 155 SP - Skuter Premium Dengan Teknologi Terkini

Hampir 1000 kilometer Dengan Aveta NOVA 250 - Apa Rasanya?

Media Test Ride Kawasaki Z900: Glenmarie ke Sekinchan - Bukan Sekadar Kuasa

SYM ADXTG 400: Skuter Adventure Santai Tapi Padu

BMW F900 GSA: Jelajah Tanpa Batasan

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Hakim Danish Mahu Kekalkan Momentum di GP Jerman

Hakim Danish Ramli mahu meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Moto3 apabila mengharungi cabaran Pusingan 11 GP Jerman.

Dari Litar

Yamaha Jadi Pembekal Tunggal Moto3 Bermula 2028

Yamaha Motor Co., Ltd. jadi pembekal tunggal motosikal bagi Kejuaraan Dunia FIM Moto3 bermula musim 2028 hingga 2033.

Dari Litar

Pedro Acosta Bersama Ducati Untuk Musim 2027 dan 2028. Marc Marquez Sambung Kontrak!

Pedro Acosta kini dengan rasminya menyertai pasukan Ducati bersama dengan Juara MotoGP tujuh kali, Marc Marquez.

Model Baru

Model Viral, ZXMOTO 820RR Bakal Dilancarkan Di Malaysia. Harga bawah RM40,000

Sah! Mforce Bike Holdings Sdn Bhd akan melancarkan model supersport yang telah tular di seluruh dunia iaitu ZXMOTO 820RR.