Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 10 September 2015

BMW S1000RR : Satu Nikmat Yang Amat Mengujakan

Bukan mudah untuk mengubah suatu produk atau benda yang sudah sediakalanya cantik menjadi lebih cantik. Walaupun begitu, ia bukanlah suatu perkara yang mustahil jika kita mempunyai sebuah pasukan pereka yang terdiri daripada mereka yang mempunyai daya kreativiti yang tinggi. Buktinya? Lihat sahaja mesin sport keluaran BMW, S1000RR yang terbaru... nampak sama seperti model 2014 tetapi lebih cantik dan lebih mantap.

Benar... sekali pandang, kedua-dua model (baru dan lama) nampak bagaikan sepasang kembar seiras tetapi hakikatnya ia sangat berbeza. Antara perubahan luaran yang telah dilakukan begitu kemas ialah pada bahagian lampu utamanya (sila amati betul-betul), corong kemasukan udara di hadapan, bentuk ekzos (dua corong) dan fairing sisi yang lebih tertutup.

Terima kasih BMW Motorrad Malaysia yang memberi kepercayaan kepada RR untuk menikmati jentera sport terbarunya yang mendapat pujian hampir di seluruh dunia. Model ini mula diperkenalkan di pameran motosikal antarabangsa Intermot tahun lepas sebelum dilancarkan ke pasaran tempatan pada pertengahan April lalu. Bercerita mengenai BMW, setiap jentera keluaran syarikat ini sentiasa menawarkan kemewahan, elegan dan kekuatan enjinnya yang kadang kalanya agak menakutkan tetapi segalanya telah berubah apabila kita bersama S1000RR terbaru ini.

Dari segi psikologi, setiap manusia sentiasa inginkan suatu produk yang popular dan anggun. First Impression amat penting untuk menarik minat pembeli agar lebih dekat dengan produk yang ingin dipasarkan. Itulah yang kami rasakan ketika mula-mula melabuhkan punggung ke atas pelana S 1000RR yang setinggi 815mm ini. Ia ringan serta mempunyai bar hendal yang mudah dicapai. Best! Seperti model-model BMW lain, S 1000RR ini padat dengan sistem elektronik, antaranya ialah lima jenis mod tunggangan iaitu Rain, Sport, Race, Slick dan User. Amat penting untuk setiap penunggang memahami segala teknologi, sistem dan talaan yang dilengkapkan pada mesin masing-masing agar menjamin tunggangan lebih selamat.

Kita mulakan dengan mod Sport yang menawarkan kuasa enjin di tahap maksimum iaitu 199hp dengan tindak balas pendikit sama dengan mod Race atau Slick. Mod ini dibangunkan untuk kegunaan jalanan biasa sama ada di bandar dan luar bandar dengan kadar Automatic Stability Control (ASC) atau Dynamic Traction Control (DTC) di tahap paling sesuai.

Segala informasi ini dapat kita lihat dengan mudah menerusi panel meternya yang cukup jelas. Panel meter ini menggabungkan satu meter bulat (rpm) yang disepadukan dengan meter digital yang memberikan panduan tunggangan yang sangat terperinci. Selain panduan biasa seperti tahap kelajuan, kedudukan gear, jam, suhu dan setiap penggunaan sistem elektronik lain yang dapat kita lihat dan menala dengan mudah sekali. Yang penting, belajar dulu sebelum terus perah kuasanya!

Ah.... memerah pendikit BMW ini adalah satu nikmat yang amat mengujakan. S 1000RR merupakan sebuah jentera sport yang bersesaran 999cc, enjin empat lejang dengan sistem penyejuk cecair yang mampu menawarkan kuasa tertinggi 199hp pada 13,500rpm dan tork 113Nm pada 10,500rpm. 'Jantung' model baru ini terletak di dalam kerangka aluminium composite bridge yang bukan sahaja bertegaran tinggi tetapi juga dihasilkan untuk memberi tindak balas yang tepat dalam setiap keadaan.

Dilengkapi dengan sistem HP Gear Shift Assist Pro yang menjadikan proses penukaran gear dapat dilakukan tanpa perlu menggunakan klac. Paling mengagumkan ialah ia adalah model sport pertama yang dilengkapi dengan cruise control. Ini bermakna kita dapat mengekalkan kelajuan mengikut kemahuan penunggang. Caranya mudah sekali, tekan suis di bar hendal sebelah kiri. Apabila sistem ini dihidupkan lampu penunjuk akan menyala dan penunggang hanya perlu menarik brek untuk mematikan sistem ini.

BMW menegaskan bahawa keutamaan dalam pembangunan model baru ini adalah untuk menambahbaikan gaya penghantaran kuasa dan tork agar lebih kemas dan lancar dalam semua jenis peringkat. Kuasa di peringkat pertengahan contohnya, ia amat-amat hebat! Kita mampu menggunakan gear tertinggi walaupun untuk tunggangan santai/kelajuan biasa tanpa enjin tersentap-sentap. Pulas sahaja pendikit, rasakan tindakbalasnya yang cukup dinamik berlari ke hadapan. Sekali lagi ingin memuji... pengendaliannya yang amat mudah telah membuatkan kita dapat menunggang dengan yakin dan tenang walaupun dalam kelajuan tinggi.

Enjinnya yang begitu responsif membuatkan kita tidak mahu melepaskan peluang untuk merasakan betapa pantas S1000RR ini memecut. Apabila putaran rpm mencecah sekitar 7,500rpm, lampu isyarat gear berkelip – memberitahu kita untuk meningkatkan kedudukan gear. Sorok sikit kepala di bawah cermin pengadang udara, dengan mudah kelajuan sudah melepasi 270km/j dalam gear tertinggi. Struktur kerangka barunya yang menggabungkan ketegaran, kelincahan dan fleksibiliti yang mengoptimumkan tindak balas lebih tepat ketika memecut dalam kelajuan tinggi mahu pun pada setiap saat berada di jalanan berselekoh.

Apa pula rasanya mod Race? Ianya dicipta dengan bijak sekali untuk tunggangan lebih mantap di litar mahu pun di jalanan berliku dengan kadar cengkaman yang lebih sempurna. Sistem ASC terus 'bertugas' seperti biasa tetapi kini sistem DTC akan bertindak dengan lebih efisien untuk mengimbangi gaya tunggangan yang lebih ekstrim. Bagi 'kaki lipat', inilah yang kita perlukan supaya setiap selekoh dapat diratah dengan kemas sekali.

Cuaca yang cukup sempurna ketika kami tiba di Ulu Yam... sangat sesuai untuk menunggang motosikal! Laluan ini tidak begitu sibuk di hari bekerja dan dirasakan inilah waktu terbaik buat para pencinta motosikal jika ingin ke sini. Selagi tidak dicemari, permukaan jalan di sini juga tidak mengecewakan tetapi perlu terus berwaspada untuk elakkan perkara buruk berlaku.

Geometri casis baru ini dibuat untuk memberikan maklum balas yang lebih tepat di antara penunggang dan tayar hadapan manakala bar hendal juga telah dipanjangkan sedikit (5mm) di kiri dan kanan. Apabila kita dapat berinteraksi lebih baik dengan jentera, ini bermakna pengendalian menjadi lebih berkualiti dan lebih tepat. Sekali lagi memasuki selekoh dengan S1000RR ini lebih meyakinkan apabila proses menurunkan gear dapat kita lakukan dengan lebih cepat kerana adanya HP Gear Shift Assist Pro – penunggang dapat menumpukan perhatian pada sudut selekoh itu, pegang hendal dengan kemas dan tekan sahaja tuas gear!

Okay... jom kita cuba mod seterusnya. Jika memilih Rain, kuasa maksimum akan berkurangan daripada 199hp kepada 187hp sahaja manakala kuasa tork berada di tahap 108Nm. Kita akan dapat rasakan betapa lembutnya hantaran kuasa berbanding dua mod yang telah kita gunakan sebelum ini. Sebaik sahaja mod ini dipilih, sistem ASC dan DTC akan bertindak dengan lebih cepat untuk mengawal pergerakan supaya lebih selamat. Ketika ini juga kita dapat merasakan sistem ABS dan Dynamic Damping Control (DDC) akan menala unit peredam menjadi lebih lembut untuk memudahkan pengendalian di permukaan jalan yang licin.

Terdapat dua lagi mod tunggangan untuk penunggang lebih berpengalaman iaitu mod Slick dan User. Slick direka untuk kegunaan di litar dengan tayar perlumbaan. Apabila mod ini diaktifkan, sistem DTC akan bertukar kepada talaan untuk prestasi yang lebih ekstrim dan sporty manakala User adalah untuk penunggang yang ingin membuat talaan dan konfigurasi mengikut kehendak dan gaya tunggangan mereka sendiri termasuklah sistem ABS, DTC dan DCC. Antara sistem elektronik lain yang turut dilengkapkan pada model ini ialah PitLane Speed (untuk menetapkan kelajuan yang tepat sewaktu berada di laluan pit) dan Launch Control (digunakan untuk mendapatkan permulaan yang sempurna ketika perlumbaan).

Kami menukar semula kepada mod Race – lebih seronok, lebih selamat! Untuk diseimbangkan dengan prestasinya di semua jenis jalan, S 1000RR ini didatangkan dengan tayar Pirelli Diablo Super Corsa bersaiz 120/70 ZR17 (hadapan) dan 190/55 ZR17 (belakang) yang menggigit permukaan jalan dengan cemerlang sekali. Dapat mengekalkan posisi jentera ini di laluannya setiap kali masuk/keluar selekoh bagaikan satu kejayaan mutlak menunggang di kawasan berbukit ini.

Sudah menjadi tradisi BMW untuk mengeluarkan produk-produk yang selamat tidak kiralah ianya mesin offroad, dual purpose, street mahu pun sport. Jentera ini menawarkan brek-brek yang amat berkualiti tinggi sehinggakan kita mampu membrek dengan cepat walaupun hanya menggunakan satu jari sahaja. Selain keberkesanan brek (320mm: depan, 220mm: belakang), sistem ABS ternyata membantu kita lebih yakin mengendalikan mesin ini di dalam cuaca yang tidak menentu.

Kestabilan jentera ini ketika kita membrek dengan keras atau pun apabila berada di jalan yang teruk dikawal oleh sistem saspensinya yang terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik 46mm yang cukup inovatif dan terkini. Bahagian belakang pula distabilkan dengan adanya lengan ayun aluminium doublestrut dan kedua-dua saspensi ini dilengkapkan dengan sistem DCC. Bukan untuk memuji yang keterlaluan tetapi keberkesanan sistem ini menyerap segala hentakan adalah antara yang terbaik pernah dirasakan oleh sebuah mesin sport setakat ini.

Sesungguhnya kecantikan sesebuah jentera ini perlu selari dengan kemantapan prestasi enjin, tahap keselamatan dan penjimatan bahan api. Tangki sebesar 17.5 liter ini dengan mudah mampu membawa kita lebih daripada 200 kilometer dengan pelbagai jenis gaya tunggangan dan kelajuan. Dahulunya, S1000RR dirasakan seperti terlalu berkuasa, terlalu berprestasi tinggi yang lebih sesuai untuk penunggang advance tetapi model terbaru ini tampil ke pasaran dunia dengan menawarkan pengendalian lebih mudah dan mesra penunggang!

S1000RR ini dijual pada harga RM108,900 (termasuk GST) dengan tiga pilihan warna iaitu Racing Red/Light White, Black Storm Metallic dan Light White/Lupin Blue Metallic/Racing Red. RR

Isu Pada

September 2015

Spesifikasi

Enjin4-lejang, sistem penyejuk cecair, 4 silinder sebaris
Isipadu999cc
Gerek & Lejang80.0 x 49.7mm
Nisbah Mampatan13.0:1
Kuasa Maksimum199hp pada 13,500rpm
Tork Maksimum113Nm pada 10,500rpm
Isi Tangki17.5 liter
Tinggi Pelana815mm
Berat204kg
PengeluarBMW Group Malaysia

Popular

  • Dari Litar

    Akid Aziz Kembali! Perkuatkan Pasukan VOGE AS25 RACING TEAM

  • Dari Litar

    4 Mata Berharga Kekalkan Hakim Danish di Kedudukan ke-8 Keseluruhan

  • Dari Litar

    Helmi Juara CP150 di Terengganu

  • Dari Litar

    Bezzecchi Terpantas di Aragon

  • Warta Roda

    MODENAS Lanjut Program Z15GT Care Hingga 31 Oktober 2026

Artikel berkaitan

Honda CRF1100L Africa Twin 2026: Pengembaraan Baru Bermula

Honda CBR650R E-Clutch - Sebuah Supersport Mesra Pengguna?

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Yamaha NVX 155 SP - Skuter Premium Dengan Teknologi Terkini

Hampir 1000 kilometer Dengan Aveta NOVA 250 - Apa Rasanya?

Media Test Ride Kawasaki Z900: Glenmarie ke Sekinchan - Bukan Sekadar Kuasa

Disyorkan untuk anda
Kembara

TM Bikers Ride ke Sri Lanka 2026

Jelajah TM Bikers Sri Lanka Ride 2026 berjaya dilaksanakan dengan penyertaan ahli-ahli TM Bikers bersama rakan-rakan.

Model Baru

Yamaha XMAX 300 Tech Max Dilancarkan

HLYM secara rasminya perkenalkan skuter baharu iaitu XMAX Tech MAX.

Model Baru

Yamaha XSR155 Akhirnya Tiba di Malaysia - RM12,998

Yamaha XSR155 akhirnya tiba ke pasaran negara yang menampilkan gaya neo-retro.

Model Baru

Aveta Vanguard 250 Limited Edition Dilancarkan - RM17,188

Aveta Motor Malaysia memperkukuhkan lagi barisan skuter kembara mereka menerusi pelancaran Aveta Vanguard 250 Edisi Terhad.