Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 10 September 2015

Akrapovic Full Moon Custom ; Bulan Sedang Bersinar!

Igor Akrapovic merupakan seorang lelaki hebat yang kini sedang mengecapi kejayaan menerusi hasil pengeluaran syarikat ekzosnya. Kemahsyuran ini adalah gabungan ciri-ciri penting seperti kerja keras, pengiklanan yang jujur, pembangunan yang bijak dan pengawalan kualiti yang tinggi. Kesemuanya ini telah menjadikan sistem ekzos Akrapovic mendapat kepercayaan daripada pengguna jentera dua roda baik untuk mesin jalanan atau pun offroad.

Cara untuk menyebut jenama ini kena betul! Ia disebut 'a-CROP-ovitch' bukannya 'acrow-poh-vick' dan jenama yang menerima gelaran 98 World Championship ini telah menunjukkan kehebatannya di litar lebih daripada suku abad. Akropovic kini merupakan jenama terulung dalam pasaran ekzos berprestasi tinggi di dalam dunia sekarang ini. Produknya bukan sahaja digilai oleh penunggang motosikal sahaja malah oleh mereka yang memiliki Audi, Renault, BMW, Alfa Romeo, Fiat Abarth, Lamborghini dan Aston Martin namun begitu 70% daripada hasil jualannya adalah daripada industri motosikal.

Walaupun begitu, kita mungkin tidak menyangka kehebatan bunyi produknya ini dapat didengari pada jentera Harley-Davidson dan Victory seperti mana yang kita nikmati daripada muncung ekzos Yamaha YZR-M1 milik Valentino Rossi dan Jorge Lorenzo dalam perlumbaan MotoGP atau unit yang dipasang pada mesin dominasi WSBK sekarang ini, Kawasaki ZX-10R milik Jonathan Rea.

Inilah kenyataannya, Akrapovic telah menghasilkan produk-produk yang hebat untuk semua jenis motosikal.

Lebih daripada 100,000 unit sistem ekzos penuh dan jumlah sebanyak tiga kali ganda pula untuk unit penyenyap slipon dihasilkan oleh para pekerjanya di Crnomeij yang berjumlah 650 orang di kilang barunya yang sebesar 25,000m². Sebanyak 200 orang lagi berada dalam bidang R&D, perlumbaan dan pakar-pakar yang lain bertugas di ibu pejabat yang terletak di Ivancna Gorica, Slovenia. Terdapat faktor utama yang berbeza untuk menghasilkan sistem ekzos Akropovic yang tidak mengutamakan prestasi yang lebih sesuai untuk pengguna mesin-mesin cruiser.

Untuk mempromosikan produknya ini kepada sektor pasaran yang berbeza apabila memperkenalkan barisan ekzos-ekzos custom untuk Harley-Davidson, Igor Akrapovic telah mengeluarkan sebuah mesin custom unik yang dibuat oleh syarikat motosikal custom paling berpengalaman di Slovenia iaitu Dreamachine Motorcycle terletak di Ljubljana.

Boss Dreamachine, Tomaz Capuder bersama tiga orang lagi pembantunya telah merekacipta sebuah mesin unik yang diberi nama Morsus, bahasa Latin yang bermaksud 'sengat' atau 'gigitan' – sangat sesuai dengan logo Akrapovic, seekor kala jengking. Motosikal ini telah memenangi pameran Custom di Croatia, Sepanyol dan Perancis. Saat kemuncaknya apabila mendapat penghormatan untuk muncul di pertandingan AMD World Championship Of Custom Bike yang diadakan di perhimpunan USA's Sturgis dan di Daytona Cycle Week.

Terkini.... Morsus akan kita rasakan sebuah model yang agak ketinggalan zaman apabila melihat produk seterusnya iaitu jentera eksotik Full Moon yang telah dilancarkan di Bad Salzuflen Custombike Show di Jerman pada bulan Disember lalu. Selepas pelancarannya, model yang juga ciptaan Dreamachine ini telah mengembara jauh demi memberikan khabaran bahawa syarikat ekzos Slovenian ini bersedia untuk menawarkan produk sesuai untuk jentera seperti Morsus atau Full Moon.

Berbanding Morsus, rekabentuk dan karaktor Full Moon ini sangat berbeza. Namanya diambil daripada rim hadapan jenis karbon dan rim mega saiz jenis aluminium (30 inci) di belakang yang kelihatan seperti bulan penuh jika dilihat dari tepi. “Igor memberi masa yang sangat terhad, kurang daripada tiga bulan. Kami perlu menyiapkannya sebelum 5 Disember tahun lalu dan menyebabkan kami terpaksa bekerja selama 20 jam sehari. Kami berjaya!!!

Enjin S&S Knucklehead ini bersesaran 1,524cc disambungkan pada dua ezkos custom Akrapovic yang cukup mantap. Kerangka single-loop yang tersorok, tangki jenis monocoque, lengan ayun tunggal dan bahagian-bahagian luaran lain yang menggiurkan itu dibuat menggunakan bahan istimewa iaitu keluli 4130 chromemoly. Menurut Igor, keseluruhan rekabentuk mesin ini bagaikan sebuah ekzos dari Akrapovic. “Kami mahu terus melakukan promosi seperti ini kerana ia benar-benar berkesan, dibuktikan dengan Morsus iaitu mencipta sebuah jentera yang mengejutkan serta berbentuk ekstrim. Dalam dunia perniagaan, kita perlu tampil dengan sesuatu yang baru dan cantik. Ini juga merupakan salah satu cara saya menyokong segala kepakaran dan kebolehan raja motosikal custom di Slovenian ini, Tomaz Capuder,” kata Igor sambil tersenyum.

“Full Moon berjaya dibuat lebih daripada apa yang saya inginkan. Setiap kali adanya pameran motosikal, kami akan meletakkan jentera-jentera perlumbaan seperti Yamaha MotoGP milik Rossi dan Lorenzo, jentera pasukan Kawasaki dan Ducati Superbike tetapi kini kelompok para peminat motosikal akan berkumpul mengelilingi Full Moon… ini adalah suatu yang cukup membanggakan,” tambahnya lagi.

Dengan pengenalan model luar biasa ini di beberapa pameran motosikal, pasukan Slovenian ini telah berjaya menarik ramai pelanggan baru mereka untuk melihat kepelbagaian sistem ekzos penuh Akrapovic ini yang boleh digunakan pada Harley-Davidson Sportster, Dyna, Touring, Softail dan V-Rod. Untuk ekzos penyenyap pula, mereka kini mempunyai pilihan menarik untuk Harley-Davidson FLHRC Roadking Classic, XL1200XT Forty-Eight, FXDB Streetbob dan FLTSFB Fatboy Special. Ekzos penyenyap (slip-on) ini dihasilkan dengan cukup istimewa agar dapat mempertingkatkan dan menambah kemerduan bunyi HarleyDavidson yang sememangnya sangat sedap untuk didengar. Akrapovic menyatakan paip-paip ekzos ini bukan sahaja berbunyi mantap tetapi juga ringan agar dapat meningkatkan kuasa dan tork disamping mengekalkan pengiktirafan EPA di USA dan piawaian Euro 3 di Eropah.

Sememangnya Full Moon berjaya mendapatkan pelanggannya tetapi timbul pula persoalan... adakah ia benar-benar boleh ditunggang atau sekadar berdiri megah di tapak pameran sahaja? Untuk itu mari kita ke Slovenia's Driver Improvement Institute, sebuah pusat milik kerajaan tempatan yang dibina untuk para penunggang motosikal, pemandu kereta, trak, bas mahu pun ambulan datang mempertingkatkan dan menguji kecekapan masing-masing di lokasi yang mirip situasi trafik sebenar.

Saya disambut oleh pereka cipta Full Moon sendiri iaitu Tomaz Capuder yang tidak menunggu masa yang lama untuk menghidupkan mesin yang benar-benar menyinar seperti bulan penuh. “Mulanya kami membuat lengan ayun kembar seperti jentera lain tetapi apabila mendapati tiada ruang untuk meletak pemampat atau kotak angin maka pilihan terbaik ialah dengan menggunakan lengan ayun tunggal,” jelas Capuder.

Di papan meletak kaki terpampang logo Full Moon yang akan menjadi terang apabila keadaan sekeliling gelap dan 'papan' ini juga berfungsi sebagai tongkat sisi – sangat unik, tidak perlulah diletakkan tongkat sisi konvensional yang pastinya memburukkan rekabentuk mesin ini. Ini mengingatkan saya pada sistem yang terdapat pada model Citroën DS21 milik ayah saya di mana tayar-tayarnya akan menurun sebaik sahaja enjin dimatikan. Full Moon juga akan terangkat setinggi 140mm sebelum bersedia untuk memulakan perjalanan.

Untuk menghidupkan enjinnya, kita perlu menekan suis penghidup yang tersembunyi di belakang kaki sebelah kanan dan dengari 'dentuman' bunyi yang terhasil daripada sistem ekzos Akrapovic tersembunyi pada motosikal hebat ini. Saya cuba mencari tuas gear yang selalunya terletak di kaki kiri – tiada tetapi tuas klac di hendal kiri ada kelihatan. Rupa-rupanya itu adalah tuas brek yang diubah kedudukannya dari kanan ke kiri untuk mengurangkan penggunaan kabel luaran yang boleh mencacatkan rupabentuk Full Moon ini. Tuas yang diletakkan di sebelah kanan hanya untuk tujuan kosmetik sahaja.

Tuas ini menggunakan sistem pautan yang hampir sama diguna pakai oleh kereta rally – tiada brek kaki tetapi dengan pengagihan sebanyak 70/30 di antara brek cakera belakang 250mm jenis Brembo dan brek hadapan bersaiz mega 660mm dibuat menggunakan gentian karbon dari MS Production. Sistem ini direka oleh Miklavz Zornik, seorang pelopor yang menggunakan bahan gentian karbon pada motosikal sejak tahun 1980an lagi bermula dengan model Ducati tahun 1988. Mesin ini dilengkapi dengan tayar dari Thailand bersaiz 140/40-30 dan 200/55-17 di bahagian belakang yang menawarkan cengkaman tepat tidak kira ke mana sahaja kita lawati. Oleh kerana papan meletak kakinya terlalu rendah, miringan sekitar 20º sudah cukup untuk mengikis permukaan jalan.

Kita kemudiannya perlu menekan suis di bar hendal sebelah kanan untuk memilih gear terendah menerusi klac automatik, pulas dan ia akan bergerak. Jentera ini tidak dilengkapi dengan meter kelajuan atau putaran enjin – hanya terdapat jam kecil berbentuk bulat disepadukan pada penutup tangki minyaknya yang direka menjadi sebahagian daripada casis. Sangat-sangat cantik. Untuk menambah gear, kita perlu menekan suis powershifter di sebelah kiri agar prosesnya lebih lancar dan cepat.

Saya hanya dapat menggunakan gear kelima sahaja kerana nisbah-nisbah gearnya cukup panjang manakala brek depan jenis karbon ini tidak berfungsi dengan baik sehinggalah ia benar-benar panas. Caranya ialah kita perlu meletakkan tangan atas tuas gear sepanjang masa agar brek sentiasa panas – bukanlah satu idea yang baik!

Tidak ada ungkapan yang sesuai apabila melihat Full Moon ini di depan mata... ia betul-betul cantik, tiada seumpamanya. Tapak rodanya yang panjang memberikan keselesaan sewaktu kita berada di selekoh-selekoh panjang. Oleh kerana bahagian hadapan juga langsing, kita dapat melihat putaran tayarnya yang besar berputar dengan gagah – dagu kita rasa seperti sedang digosok oleh tayar ini.

Oleh kerana saspensi hadapannya agak panjang, penunggang perlu mengambil sudut yang agak lebar apabila ingin membuat belokan tambahan pula tayar hadapannya yang bersaiz besar. Kita perlu memahami karaktornya yang sebenar sebelum menunggang terutamanya jika berkeinginan ke tempat yang ada selekoh – rancang dahulu destinasi agar tidak mengalami kesulitan! Walaupun begitu, naiklah gaya apa sekali pun... anda tetap nampak segak dengan Full Moon.

Semestinya pihak Akrapovic akan sibuk menerima tempahan apabila melihat betapa popularnya Full Moon ini menerima pelawaan untuk berada di pameran motosikal. Tahniah buat penciptanya dan kepada Igor, anda memang berjaya menjadikan produk-produk anda kini nampak jauh lebih eksklusif. Full Moon ternyata satu-satunya motosikal yang tidak mungkin anda jumpa seakan dengannya di dunia ini mahu pun di bulan!

Untuk pasaran di Malaysia, sistem ekzos ini boleh didapati menerusi High N Lubricant Sdn Bhd selaku pengedar sah Akrapovic yang beralamat di Lot 11A, Jalan CJ 1/2A, Kawasan Perindustrian Cheras Jaya, 43200 Selangor. Tel: 03-9075 2609 Faks: 03-9075 2657 Email. info@ high-n.com. RR

Laporan: Alan Cathcart

Foto: Alex Stokelj/ Studio 54

Isu Pada

September 2015

Spesifikasi

EnjinS&S KN3, 4 lejang V Kembar, sistem penyejuk udara
Isipadu1524cc
Gerek & Lejang92mm x 114.3mm
Nisbah Mampatan8.2:1
Kuasa Maksimum49hp pada 5,000rpm
Tork Maksimum-
Isi Tangki9 liter
Tinggi Pelana700mm
Berat-
PengeluarDreamachine Motorcycles

Popular

  • Warta Roda

    WMOTO Griffin 205 Sudah Berada di Pusat Pengedar Mforce Smartshop

  • Warta Roda

    Art of Speed 2026: 15 Tahun Menyatukan Jiwa Kustom

  • Warta Roda

    Honda ADV160 Edisi Terhad Versi Spider-Man Dilancarkan - Bermula RM14,149

  • Berita Kelab

    Kembara Road Rider Crew Taiping 3.0 Sempena Ulang Tahun Kelab ke-4

  • Dari Litar

    Hakim Danish Kutip Mata Berharga Walaupun Berdepan Cabaran di Sachsenring

Artikel berkaitan

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Yamaha NVX 155 SP - Skuter Premium Dengan Teknologi Terkini

Hampir 1000 kilometer Dengan Aveta NOVA 250 - Apa Rasanya?

Media Test Ride Kawasaki Z900: Glenmarie ke Sekinchan - Bukan Sekadar Kuasa

SYM ADXTG 400: Skuter Adventure Santai Tapi Padu

BMW F900 GSA: Jelajah Tanpa Batasan

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Art of Speed 2026: 15 Tahun Menyatukan Jiwa Kustom

Selama 15 tahun, festival ini berkembang daripada sebuah perhimpunan kecil komuniti kustom kepada acara gaya hidup yang menjadi tumpuan peminat automotif bukan sahaja di Malaysia, malah dari seluruh Asia.

Warta Roda

CFMOTO Flagship Store Kuala Selangor Dirasmikan

Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. terus memperkukuhkan rangkaian pengedarnya menerusi perasmian CFMOTO Flagship Store Kuala Selangor.

Dari Litar

MotoGP Malaysia Kekal Di Sepang Hingga 2031

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan MotoGP Malaysia akan terus dianjurkan selama lima tahun lagi.

Edisi Terhad, Vespa 946 Horse Tiba di Malaysia

Berita baik buat para peminat skuter premium di seluruh negara khususnya pencinta jenama Vespa. Anda mungkin berpeluang untuk menjadi salah seorang daripada pemilik model Edisi Terhad...Model Premium iaitu Vespa 946 Horse yang kini telah pun dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia.