Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 25 Mac 2023

Italjet Dragster 125 & 200 - Motor 'Unik' Tiada Seumpamanya

Italjet merupakan sebuah syarikat pengeluar motosikal yang diasaskan oleh Leopoldo Tartarini, pada tahun 1959 yang lalu dengan penumpuan untuk melahirkan sebuah motosikal yang unik, berinovatif dan canggih.

Tidak dinafikan masih ramai yang belum kenal dengan jenama Italjet. Ke mana sahaja ia dibawa, pasti akan ada peminat yang datang dan berborak mengenai model ini. Tahniah buat Chear Global Sdn Bhd yang berani membawa masuk jenama motosikal unik ini ke pasaran negara.

Model baru ini dilancarkan beberapa bulan yang lalu. RR berpeluang untuk menguji kedua-dua model ini di litar Aylezo Speedzone Go Kart & Mini GP Bike Circuit, Glenmarie ketika sesi pengenalan bersama pihak media. Sayangnya majlis tersebut diuji dengan cuaca yang kurang baik menyebabkan kami terpaksa menunggangnya di permukaan yang basah dan agak licin. Tak boleh nak laju lah kan!

Sebaik sahaja mendapat panggilan daripada pihak Italjet Malaysia, kami cukup teruja apabila dapat dua buah sekali gus. Yes…. jarang dapat peluang begini! Dari segi rekabentuk, Dragster 125 dan 200 sebenarnya memang tak ada beza. Kedua-dua model berkongsikan casis, sistem brek, saiz tayar, panel meter, lampu dan tinggi pelana yang sama. Ada dua cara sahaja untuk kita membeza keduanya iaitu melalui saiz sistem CVT (saiz 200 lebih besar – lihat gambar) dan satu lagi cara ialah menerusi pelekat maklumat yang terdapat pada bahagian kerangka.

Okay, lampu utama model ini jenis LED yang cantik dan cukup terang. Walaupun nampak saiznya agak kecil, suluhannya memang padu guys! Kalau menunggang di waktu malam, pancaran lampu berwarna putih berupaya ‘menenggelamkan’ suluhan model-model moped yang dinaiki oleh rakan-rakan kami. Nak kata terang macam kereta mungkin keterlaluan tetapi memang dah macam nak sama cerahnya.

Rekabentuk hadapan berlapis-lapis memang unik sekali, tak ada lagi skuter jenama lain yang menggunakan konsep seperti itu. Panel meter jenis digital dan ringkas sahaja - kemas dan sudah memadai. Di penghujung bar hendal terdapatnya bar lampu isyarat yang moden dan menarik. Cermin sisinya juga patut dipuji. Tak kiralah anda berbadan langsing atau gempal, kita mudah melihat keadaan trafik di belakang dengan jelas.

Dragster ini menggunakan sistem saspensi jenis ISS iaitu Independent Stering System yang merupakan tarikan utama menjadikan model ini sentiasa mendapat perhatian. Percayalah, di mana sahaja Italjet ini dibawa, pasti akan ada peminat. Soalan paling popular dari mereka ialah: “Motor apa ni? Dari mana? Berapa harganya?”

Italjet Dragster ditawarkan pada harga RM38,500 untuk model 200cc manakala model 125cc pula bernilai RM26,900. Mungkin agak tinggi bagi sesetengah pihak tetapi ia adalah unit CBU dan apabila melihatnya dari dekat, kita akan faham. Dragster ini dilengkapkan dengan pelbagai barangan/komponen premium. Contohnya sistem brek jenis Brembo, tayar-tayar berprestasi tinggi dan banyak lagi.

Pelana yang setinggi 780mm sesuai untuk semua jenis penunggang kalau kaki anda tu panjang sangat, terasa sedikit janggal disebabkan kedudukan papan pemijak yang kecil – lutut akan membengkok lebih sedikit. Itu pandangan peribadi kerana seorang lagi rakan kami yang setinggi 179cc tidak ‘komplen’ pula walaupun sudah lebih daripada 4 jam di atas skuter ini.

Dragster standard hanya didatangkan dengan tongkat tengah, tak ada tongkat tepi. ‘Penat’ juga bila ‘dok’ asyik angkat motor tiap-tiap kali berhenti. Tongkat sisi sebenarnya memang ada tetapi ia dijual sebagai produk aksesori yang boleh dibeli terus dari pihak Italjet Malaysia pada harga RM450.

Pelana skuter ini selesa tetapi tidak sesuai untuk tunggangan berdua – saiz pelana pembonceng memang kecil ‘comei lotey’ saja. Terdapat juga ruang simpanan kecil yang terletak di bawah pelana yang boleh memuatkan dompet, power bank dan telefon pintar.

Seperti skuter-skuter lain, Dragster juga hanya boleh dihidupkan dengan menarik tuas brek terlebih dahulu sebelum menekan suis penghidup. Satu pesanan daripada pihak Italjet ini iaitu sentiasa lipatkan kunci utama ini kerana sudah ada beberapa pelanggan yang terlanggar kunci ini yang menyebabkan ia patah. So… jangan lupa.

‘Not bad’… itulah yang terpacul dari mulut rakan kami sebaik sahaja enjin dihidupkan. Bunyi sistem ekzosnya cukup segar dan sedap didengar. Model 125cc memiliki hantaran kuasa maksimum setinggi 9.2kW pada 9,500rpm dan tork 10.7Nm pada 7,750rpm manakala untuk model 200 pula, ia berkuasa 12.0kW pada 8,000rpm dan tork 15.5Nm pada 7,750rpm. Kedua-dua model ini berpiawaian Euro 5.

Posisi menunggang yang selesa sesuai benar untuk kita gunakan setiap hari. Model 125cc memang pilihan yang sangat sesuai untuk mereka yang berada di dalam bandar atau yang sukakan perjalanan santai. Jika anda 'berjiwa kelajuan' pula, Dragster 200 sedia menanti.

Sistem ISS yang cukup moden ini memang stabil lebih-lebih lagi di laluan lurus tetapi untuk nikmat di laluan berselekoh, kita perlu cepat serasi kerana pada mulanya kami agak kekok untuk mengawal pergerakan di bahagian depan. Saspensi hadapan dilengkapkan dengan lengan ayun tunggal dengan penyerap hentak PAIOLI Hidro-pneumatic manakala di belakang pula lengkap dengan penyerap hentak boleh laras hidro-pneumatic.

Tayar-tayar berkualiti tinggi dengan saiz 120-70-12' di depan dan 140-60-13' di belakang memiliki cengkaman yang cukup mantap walaupun di atas permukaan basah. Dengan adanya sistem brek jenis Brembo, pastinya kita akan lebih berkeyakinan untuk memacu jentera ini ke mana sahaja. Bagi 'rider' yang berbadan besar, anda pasti berpuas hati dengan tahap kelincahannya, terima kasih kepada kerangkanya jenis trellis yang memang tegar dan tegap.

Nampak tangkinya macam kecil tetapi ia sebesar 9 liter - sudah cukup besar untuk skuter bersaiz demikian. Dragster ini merupakan hasil tangan para jurutera Italjet yang kreatif dan berani. Kalau dulu-dulu, jentera Italjet hanya dapat kita lihat di pameran motosikal antarabangsa di Eropah tetapi kini ia sudah ada di depan mata. Apa tunggu lagi! RR

Oleh: Khairil Azuan

Isu Pada

Disember 2022

Spesifikasi

Enjinsilinder tunggal, 4 lejang, sistem penyejuk cecair, DOHC
Isipadu124cc/181cc
Kuasa maksimum12.5hp pada 9,500rpm (124cc) / 17.5hp pada 8,800rpm (200cc)
Tork maksimum10.5Nm pada 7,750rpm (124cc) / 15.5Nm pada 7,750rpm (200cc)
Sistem bahan apisuntikan bahan api Magneti Marelli
Tayar120/70-12 (depan) & 140/60-13 (belakang)
Saspensilengan ayun tunggal dengan sistem I.S.S dengan penyerap hentak PAIOLI boleh laras (depan) & penyerap hentak tunggal hidro-pneumatic boleh laras (belakang)
Tinggi pelana770mm
Isi tangki9 liter
PengeluarChear Global Sdn Bhd

Popular

  • Warta Roda

    WMOTO Griffin 205 Sudah Berada di Pusat Pengedar Mforce Smartshop

  • Warta Roda

    Art of Speed 2026: 15 Tahun Menyatukan Jiwa Kustom

  • Warta Roda

    Honda ADV160 Edisi Terhad Versi Spider-Man Dilancarkan - Bermula RM14,149

  • Berita Kelab

    Kembara Road Rider Crew Taiping 3.0 Sempena Ulang Tahun Kelab ke-4

  • Dari Litar

    Hakim Danish Kutip Mata Berharga Walaupun Berdepan Cabaran di Sachsenring

Artikel berkaitan

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Yamaha NVX 155 SP - Skuter Premium Dengan Teknologi Terkini

Hampir 1000 kilometer Dengan Aveta NOVA 250 - Apa Rasanya?

Media Test Ride Kawasaki Z900: Glenmarie ke Sekinchan - Bukan Sekadar Kuasa

SYM ADXTG 400: Skuter Adventure Santai Tapi Padu

BMW F900 GSA: Jelajah Tanpa Batasan

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Art of Speed 2026: 15 Tahun Menyatukan Jiwa Kustom

Selama 15 tahun, festival ini berkembang daripada sebuah perhimpunan kecil komuniti kustom kepada acara gaya hidup yang menjadi tumpuan peminat automotif bukan sahaja di Malaysia, malah dari seluruh Asia.

Warta Roda

MODENAS & GIATMARA Bekerjasama Dengan Melancarkan Pusat Servis Motosikal Elektrik

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (MODENAS) dan GIATMARA Malaysia jalinkan kerjasama dengan melancarkan MODENAS Service Plus di GIATMARA Prima Melor, Kelantan.

Dari Litar

Qabil Irfan Raih Podium Pertama Musim Ini

Qabil Irfan Azlan melakar sejarah peribadi apabila meraih podium sulung dalam saingan Moto4 European Cup

Warta Roda

Warna Baru Untuk Honda CBR650 R E-Clutch & CB650R E-Clutch

Boon Siew Honda (BSH) hari ini mengumumkan ketibaan warna baru untuk model CBR650 R E-Clutch & CB650R E-Clutch.