Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 10 April 2014

YAMAHA TMAX 530 Tawar Prestasi Memukau

Itulah sedikit sebanyak kehebatan yang ditawarkan oleh skuter maksi Yamaha TMax 530. Apa yang seronok ketika menunggang sebuah skuter ialah sifat mudahnya iaitu ‘pulas dan pergi’ tetapi dengan model ini kita perlu menambah beberapa lagi ciri-ciri istimewa skuter maksi iaitu berkuasa, pantas dan selamat.

TMax merupakan sebuah model CBU dan boleh didapati dalam beberapa versi warna iaitu putih, hitam dan kelabu. Manakala model yang dipandu uji ini diwarnakan dengan skima pasukan Yamaha Racing yang sudah tentu lebih menarik dan lebih garang. Kegagahan skuter ini datangnya dari beberapa ciri-ciri hebat yang dapat kita tafsirkan walaupun belum menyentuhnya. Tahniah kerana Yamaha berjaya mencipta mesin secantik ini dan ianya bagaikan satu kewajiban buat setiap pengeluar masa ini untuk terus menawarkan produk-produk yang bukan sahaja padat dengan teknologi tetapi juga rekabentuk yang mantap.

Ketegapan TMax ini sudah pasti datangnya daripada tubuh yang bagaikan berotot – dapat dilihat dengan jelas dari bahagian hadapan, pelana hingga ke bahagian sisi. Lampu hadapannya terbahagi kepada dua (satu untuk lampu biasa manakala satu lagi untuk lampu tinggi) dan satu lampu kecil di tengah-tengah fairing hadapan. Sisi hadapan fairing skuter ini lebih berseri dengan adanya lampu isyarat yang besar dan jelas.

Kemantapan TMax tidak hanya berakhir di bahagian hadapan, bahagian belakangnya lebih menyerlah. Rekaan lampu belakang diambil daripada mesin lagenda YZF R1 yang dikemaskan lagi dengan adanya bar pemegang untuk pembonceng. Saiz sistem ekzos skuter ini juga menggambarkan prestasinya, ia besar – hampir menyamai ekzos model-model superbike. Keunikan model ini juga datangnya daripada rekaan sistem pacuan CVTnya yang terdedah berbanding model-model lain yang kebanyakannya lengkap berpenutup.

Wah! Tinggi juga TMax ini, tetapi selesa… malah sangat selesa. Di tengah-tengah pelana inilah terletaknya tempat mengisi petrol – rekaan yang mengutamakan para pemiliknya ketika mengisi bahan api (boleh dilakukan sambil duduk). Sebaik sahaja melabuhkan punggung, kita mudah memegang erat dan kemas bar hendalnya.
Ia meluncur melebihi 180km/j.

Tuas-tuas brek hadapan dan belakang boleh dilaras mengikut kesesuaian para penunggang.

Cermin pengadang angin TMax boleh dilaras tetapi sedikit menyusahkan. Ia memerlukan penggunaan allen key untuk membuka empat skru dan menggerakkan kedudukan cermin ini mengikut posisi yang diingini. Untuk memudahkan pemiliknya, Yamaha boleh mereka semula bahagian ini agar lebih mudah digunakan – mungkin tanpa perlu turun daripada motor atau dengan penggunaan suis!

Ruang barang di bawah pelana luas (30 liter). Memang sesuai untuk pelbagai tujuan. Ya, bagi yang mengembara pastinya ruang barangan ini dimanafaat sebaik mungkin untuk menyimpan pakaian dan barangan. Untuk mereka yang bekerja, simpan beg atau komputer riba anda ke dalam ruang ini. Sampai sahaja di pejabat, simpan pula topi keledar, jaket dan teruskan perjalanan dengan bergaya sekali. Di bahagian sisi kanan terdapat ruang berkunci yang cukup luas untuk kita muatkan dompet, telefon bersel atau pun kamera kompak manakala ruang di sebelah kiri terhad untuk barangan kecil seperti syiling, resit atau kad peribadi.

Enjin empat lejang, sistem penyejuk cecair, 530cc dengan kuasa maksimum setinggi 45hp memang bukan calang-calangnya. Ia meluncur bagaikan ‘roket’ hanya dengan sekali pulas tetapi pergerakan silinder-silinder yang sempurna menjadikan skuter ini amat lancar dan senyap dalam semua peringkat rpm. Walaupun berkuasa 530cc, skuter tetap skuter! Ia masih mengekalkan penggunaan sistem continuously variable transmission (CVT) jenis Kevlar tetapi prestasinya nyata melupakan kita tentang pacuan akhir yang digunakan.

Dengan lantai pemijak yang luas, kita dapat meletakkan kaki dalam berbagai posisi mengikut keselesaan – macam naik kereta! Bentuk pelananya tidaklah terlalu gemuk, cukup sesuai untuk dikepit ketika kita mengubah laluan dengan pantas.

Jika dibandingkan dengan TMax sebelum ini, kepala silinder telah direka semula, dilengkapkan dengan sistem pancitan 12 lubang seperti mana yang digunakan pada enjin Yamaha YZF R6. Ini telah menghasilkan penambahan kuasa pada bahagian roda belakang. Penunggang akan dapat merasakan betapa efisyennya enjin ini berputar apabila kelajuan mula mencecah 110 km/j.

Kami meninggalkan Kuala Lumpur, menuju ke Batu Kikir atas satu lagi urusan pekerjaan. Atas lebuhraya, TMax hampir setanding dengan mesin-mesin berkuasa tinggi. Ah… lupa, ia memang termasuk dalam keluarga mesin berkuasa tinggi kan? Skuter ini mampu meluncur pada kelajuan maksimum sepantas 190km/j tanpa sebarang gegaran, sentapan atau bergoyang-goyang. Tegap! Panel meter TMax sebenarnya sudah cukup bagus, ia dilengkapi dengan dua meter analog yang menunjukkan kelajuan dan tahap putaran rpm.

Meter-meter digital pula memaparkan informasi seperti masa, jarak perjalanan, suhu enjin dan tahap bahan api. Apa yang sedikit mengecewakan ialah meter kelajuannya yang didatangkan dengan dua jenis bacaan iaitu dalam bsj (nombor lebih besar) dan km/j (nombornya lebih kecil). Oleh kerana nombor untuk bacaan km/j lebih kecil, kita perlu melihat agak lama untuk memastikan kelajuan sebenar terutama sekali di kawasan yang terdapat perangkap kelajuan. Ini memang agak berbahaya kalau diamalkan selalu tetapi mungkin kerana kami kurang ‘kenal’ akannya – bagi pemilik TMax pasti masalah itu tidak timbul.

Ada yang katakan TMax ini sukar untuk menyelit, ada yang beranggapan ia sukar dikendalikan dalam kesempitan bandar…. macam-macam. Semua tanggapan itu salah belaka. Kerangka skuter maksi ini dibuat menggunakan aluminium die-cast yang ringan tetapi bertegaran tinggi dan sememangnya pembikinan kerangka ini adalah untuk menjadikannya mudah ditunggang dalam semua keadaan dan kelajuan.

Pelana setinggi 800mm memudahkan kita melihat keadaan trafik di hadapan melepasi bumbung-bumbung kereta manakala kuasa torknya yang setinggi 52.3Nm pada 5,250rpm memudahkan kita membuat pintasan atau pun meninggalkan kenderaan lain dalam sekelip mata. Kekuatan torknya ini memang cukup mengujakan dan terbukti apabila berjaya meninggalkan sebuah jentera sport 1000cc apabila sama-sama memecut dari kelajuan sifar. Walaupun mampu mendahului hanya untuk seketika, ia tetap boleh dibanggakan!

TMax juga merupakan jentera yang cukup lincah apabila dipacu di jalanan berselekoh seterusnya menjadikan mesin ini cukup versatil. Ia dilengkapi dengan lengan ayun aluminium bersama penyerap hentak Kayaba manakala saspensi di bahagian hadapan menggunakan fork jenis teleskopik seperti mana yang digunakan pada motosikal biasa. Kita dapat membuat miringan yang cukup dalam tanpa rasa membuang – TMax bagaikan melekat di atas jalanraya, walaupun kadang kalanya terdapat beberapa tempat yang berbonggol.

Kadar kelajuan paling ideal ketika bersama TMax ini ialah sekitar 130-150km/j, ia membawa kita membelah angin bagaikan sebuah kapal layar. Dengan rekabentuk aerodinamik terutamanya di bahagian hadapan, kita tidak ditampar kuat oleh angin dari hadapan menyebabkan bahagian bahu dan leher tidak sakit atau lenguh walaupun untuk perjalanan jauh.

Untuk menampung kepantasan sebuah skuter sehebat ini, Yamaha telah memasang sepasang brek cakera 267mm (depan) dan brek tunggal 282mm di bahagian belakang. Untuk memberikan keyakinan lebih optimum sewaktu membuat proses membrek, TMax baru ini juga turut dilengkapkan dengan sistem ABS. Tayar (hadapan: 120/70-15, belakang: 160/60-15) tidak akan terkunci dengan adanya sistem ABS ini memberikan perlindungan terutama sekali sewaktu membrek di permukaan yang licin.

Seharian bersama TMax ini memang sangat-sangat menghiburkan. Dengan pemasangan sistem pancitan bahan api yang dipertingkatkan, kita dapat menikmati perjalanan lebih daripada 250 km hanya dengan sekali isi bahan api ke dalam tangki bersaiz 15 liter ini. Pelana yang dilengkapi dengan tempat bersandar kecil memang cukup berguna untuk kita menghilangkan keletihan tanpa mengganggu proses tunggangan.

TMax 530 memang satu ciptaan yang mengagumkan. Ia adalah sebuah motosikal untuk semua tujuan dan yang paling bestnya ialah kita tidak perlu berdepan dengan proses penukaran gear, hanya pulas pendikit untuk ke mana sahaja. Pihak HLYM tidak menetapkan harga untuk penjualan skuter maksi ini tetapi hasil daripada tinjauan RR, TMax ini dijual pada harga lebih daripada RM65,000 dan yakinlah…. ia amat berbaloi untuk dimiliki. RR

Isu Pada

April 2014

Spesifikasi

Enjin4 lejqng, selinder sebaris, 4 injap, sistem penyejuk cecair
Isipadu530cc
Gerek & Lejang68.0 x 73.0mm
Nisbah Mampatan10.9:1
Kuasa Maksimum45hp pada 6,750rpm
Tork Maksimum52.3Nm pada 5,250rpm
Tinggi Pelana800mm
Isi Tangki15 liter
Berat221kg
PengeluarHong Leong Yamaha Motor

Popular

  • Dari Litar

    Akid Aziz Kembali! Perkuatkan Pasukan VOGE AS25 RACING TEAM

  • Dari Litar

    4 Mata Berharga Kekalkan Hakim Danish di Kedudukan ke-8 Keseluruhan

  • Dari Litar

    Helmi Juara CP150 di Terengganu

  • Dari Litar

    Bezzecchi Terpantas di Aragon

  • Warta Roda

    MODENAS Lanjut Program Z15GT Care Hingga 31 Oktober 2026

Artikel berkaitan

Honda CRF1100L Africa Twin 2026: Pengembaraan Baru Bermula

Honda CBR650R E-Clutch - Sebuah Supersport Mesra Pengguna?

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Yamaha NVX 155 SP - Skuter Premium Dengan Teknologi Terkini

Hampir 1000 kilometer Dengan Aveta NOVA 250 - Apa Rasanya?

Media Test Ride Kawasaki Z900: Glenmarie ke Sekinchan - Bukan Sekadar Kuasa

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Helmi Juara CP150 di Terengganu

Tahniah buat pelumba TAB SPORTS SCK HONDA RACING iaitu Md Helmi Azman menjuarai siangan CP150 Pusingan 5.

Warta Roda

Marshal Moto Bakal Masuk Pasaran Negara

Pandu Uji

Honda CBR650R E-Clutch - Sebuah Supersport Mesra Pengguna?

Honda memperkenalkan teknologi E-Clutch yang merupakan satu sistem agak kedengaran asing bagi sesetengah penunggang terutama untuk jentera supersport.

Model Baru

Aveta Vanguard 180 Dilancarkan - Bermula RM9,398

AVETA terus mengembangkan raingkaian keluarga Vanguard menerusi pengenalan baharu buat skuter Adventure Touring Crossover (ATC) iaitu Vanguard 180.