Isu Terkini

Februari 2024

Pandu Uji / 15 November 2023

CMC Daytona 250 Cafe Racer - Menunggang Santai Dengan Penuh Gaya

Café Racer secara aslinya merupakan salah satu jenis motosikal kustom yang diubahsuai agar menampakkan ia lebih unik. Sememangnya segmen ini amat digilai buat para peminatnya tersendiri. Cafe Racer sangat popular di negara barat, tetapi tidak kurang hebat juga sambutannya di Malaysia.

Nama Café Racer ini bukanlah satu perkara yang baru, tetapi ia mula tercetus di England pada era 1950an. Pada zaman sekarang, bila sebut sahaja tentang Café Racer mesti akan terbayang motosikal model lama dengan gaya ala-ala jentera perlumbaan ataupun motosikal baru yang direka berkonsepkan jentera lama.

Bagi mereka yang berminat dengan jentera Café Racer, tidak perlu membeli motosikal dan kustomnya sendiri. Kini terdapat ramai pengeluar motosikal telah menghasilkan jentera dengan konsep Café Racer, salah satunya kami memperkenalkan CMC Daytona 250 Café Racer. Terima kasih buat Chear Global Sdn Bhd kerana memberi peluang kepada kami (RR) untuk menguji jentera ini.

Model Café Racer ini sememangnya dapat menarik perhatian orang sekeliling terutama menerusi bentuknya. Rupabentuk hadapan dimantapkan dengan sepasang lampu utama berbentuk bulat yang tetap mengekalkan ciri-ciri klasik pada mesin ini. Rekaan bahagian belakang Daytona ini agak ringkas dengan lampu belakang dan lampu isyarat. Jentera ini memang sesuai dengan gaya retronya menerusi tangki bahan api yang panjang, pelana kulit serta dua sistem ekzos dengan kemasan krom. Mantap sekali!

Pelananya yang berwarna coklat yang dijahit dengan cukup kemas amat empuk sekali apabila diduduk. Ketinggian pelana sangat mudah dipanjat, tidak kira lah anda seorang lelaki mahupun wanita. Kedua-dua tapak tangan kami mula menggenggam bar. Posisi menunggangnya sedikit menunduk tetapi tidak terlalu membongkok sangat.

Uniknya, suis kunci penghidup yang berwarna krom terletak pada bahagian sisi kanan sebelah bawah bar hendal. Putar sahaja (tanpa perlu masukkan kunci) untuk menghidupkan enjin motosikal ini. Kita juga boleh mengunci suis tersebut menggunakan kunci untuk tujuan keselamatan semasa hendak meninggalkan motosikal. Jika tidak menguncinya, mudah-mudah je orang lain dapat menghidupkan jentera tersebut.

Pada bahagian kokpitnya cukup kemas dan tidak serabut. Walaupun rekaan meter yang berbentuk bulat menampilkan ciri klasik, elemen moden turut dimasukkan agar jentera tampak mewah. Paparan meter pada mesin ini adalah jenis LCD. Lampu latar belakang berwarna gelap memudahkan kami melihat segala info penting terutama pada waktu panas terik.

Kami mula menghidupkan enjin yang bersesaran 249cc, dua silinder dengan sistem penyejuk cecair. Bunyi yang keluar dari sistem ekzos berkembarnya amat lembut sekali. Tetapi kalau kuat sikit pasti lebih garang! Enjinnya berputar dengan cukup lancar. Kami dapat rasakan kuasa tork cukup padu semasa bergerak.

Lebuhraya adalah laluan untuk kami merasa tahap kelajuan motosikal yang diuji ini. Semakin galak kami memulas pendikit, semakin kuat deruman enjin berbunyi. Setiap kedudukan gear dapat ditukar dengan lancar. Penukaran gear yang betul dan tepat mengelakkan jentera daripada kehilangan kuasa ketika memecut. Dengan berat badan kami dalam 80kg, jentera dapat dipecut pada 135km/j. Melihat pada meternya, kami yakin Daytona Café Racer ini dapat mencapai tahap kelajuan yang lebih tinggi lagi.

Gegaran pada enjin kami dapat rasa hingga ke bar hendal pada kelajuan sekitar 90km/j – 120km/j. Pada waktu itu, tangan kami cepat lenguh dan kebas. Namun, gegaran tersebut tidak dirasai sangat pada kelajuan di bawah 90km/j dan di atas 120km/j. Menunggang dengan laju memang menyeronokkan sekali. Pastikan kita berada pada tahap kelajuan yang ditetapkan untuk mengelakkan sebarang kecelakaan yang bakal berlaku.

Sistem saspensinya telah bekerja dengan keras sekali. Saspensi hadapan jenis fork teleskopik menawarkan hentakan yang amat selesa buat penunggang semasa melalui di jalan-jalan yang tidak rata. Penyerap hentak belakang berkembar pula membantu kami mengambil laluan-laluan berselekoh tanpa membuai.

Memang sangat seronok menunggang jentera ini di laluan berselekoh. Untuk memiringkan Daytona ini juga tidak merisaukan kami. Pihak CMC telah melengkapkan model ini dengan tayar bersaiz 90/90-18 (depan) dan 130/90-15 (belakang). Tayar-tayar ini menggigit permukaan jalan dengan baik sekali. Kami dapat mengambil selekoh dengan begitu yakin. Terutama pada suhu jalan yang tinggi, lagilah melekat.

Dari segi keselamatan, Daytona 250 Café Racer menggunakan brek-brek jenis cakera di bahagian hapadan (260mm) dan belakang (240mm). Penggunaan brek cakera memudahkan kita untuk memberhentikan motosikal dengan lebih selamat. Kami dapat memperlahankan jentera pada jarak yang tepat . Sayangnya untuk model Cafer Racer ini masih belum disempurnakan dengan sistem ABS.

Bagaimana dengan penggunaan bahan api? Walaupun unit pandu uji ini masih menggunakan sistem bahan api jenis karburetor, kami dapat menyusuri perjalanan sekitar 256 kilometer dengan sekali isian sahaja. Tangki bahan api seluas 10 liter.

Secara jujurnya, menunggang Daytona 250 Café Racer sangat mengasyikkan. 'Pekena' dengan baju kemeja, spek mata hitam, seluar jean dan kasut kulit memang tampak lebih bergaya apabila berada di atas jentera ini. Model ini sesuai untuk kegunaan harian, ke tempat kerja mahupun berkonvoi bersama rakan-rakan pada hujung minggu.

Walaupun jentera Café Racer direka bukan untuk tujuan kelajuan, bersiar-siar secara santai dengannya sudah cukup memadai. CMC Daytona 250 Café Racer didatangkan dalam dua warna pilihan menarik iaitu Gloss Black dan Matte Black. Model ini ditawarkan pada harga atas jalan RM 17,495 (tanpa insurans). RR

Isu Pada

November 2023

Spesifikasi

Enjindu silinder, sistem penyejuk cecair
Isipadu249cc
Transmisi5 tahap kelajuan
Penghidupelektrik
Tayar90/90 -18 (depan) & 130/90-15 (belakang)
Saspensifork teleskopik (depan) & penyerap hentak berkembar (belakang)
Brekcakera (depan & belakang)
Berat165kg
Isi tangki10 liter
PengeluarChear Global Sdn Bhd

Popular

  • Model Baru

    Harley-Davidson Road Glide & Street Glide 2024 Di Pasaran Negara. Harga dari RM190,900.

  • Model Baru

    Royal Enfield Lancarkan Model Baru Bullet 350. Harga asas dari RM23,500

  • Warta Roda

    Tiga Warna Baru Yamaha Y15ZR

  • Warta Roda

    Yamaha Tenere Off-Road Experience - Beri Pendedahan & Latihan Laluan Lasak

  • Model Baru

    Lambretta Kembali Ke Pasaran Malaysia. Bakal lancarkan model X250 dan G350 tidak lama lagi...

Artikel berkaitan

Ducati Hypermotard 950 RVE - Aura Fesyen & Teknologi

Selepas 4 Tahun, Andrea Iannone Makin Bersemangat

Combat Wraith 132ci - Inovasi Yang Direka Semula

KTM RC 8C 2023 - Maestro Kelas Pertengahan

Triumph Tiger 1200 GT Pro - Jentera Kembara Sensasi

Royal Enfield Super Meteor 650

CMC Buccaneer 250i - Gaya Retro Masa Kini

Ducati Streetfighter V2 - Garang & Berkuasa

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Harley-Davidson Road Glide & Street Glide 2024 Di Pasaran Negara. Harga dari RM190,900.

Harley-Davidson Malaysia telah melancarkan dua model terbaru iaitu Road Glide & Street Glide dan turut menampilkan model eksklusif CVO Road Glide ST Edisi Ulang Tahun.

Dari Litar

Pusingan Pembuka Tirai Red Bull MotoGP Rookies Cup, Hakim Danish Sudah Bersedia

Pelumba negara, Hakim Danish sudah bersiap sedia untuk memberi cabaran dalam pusingan pembuka tirai Red Bull MotoGP Rookies Cup di Jerez.

Dari Litar

Pusingan Pertama Penuh Cabaran Buat Danish & Danial

Secara keseluruhannya, prestasi yang ditunjukkan oleh para pelumba negara dalam saingan pembukan tirai FIM JuniorGP World Championship 2024 cukup membanggakan.

Warta Roda

Suzuki Eropah Perkenalkan Warna Baru untuk GSX-S950

Suzuki Eropah telah menampilkan warna baru untuk model GSX-S950 2024 iaitu Perak/Merah Tua.