Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 10 Januari 2018

HONDA CBR650F Sesuai Untuk Semua!

Mungkin bagi sesetengahnya akan merasa ungkapan 'Sesuai Untuk Semua' agak klise tetapi selepas menunggang sejauh kira-kira 900 kilometer bersamanya... ia adalah satu pujian yang tepat. CBR650F sememangnya sesuai untuk semua. SEMUA jenis penunggang tidak kira lelaki atau wanita, tua atau muda serta SEMUA jenis perjalanan dalam SEMUA keadaan cuaca.

Hakikatnya, nama CBR sendiri mempunyai aura dan kekuatan yang dimegahi oleh Honda dari dulu hingga kini. C..B..R.. bererti Cross Beam Racer, istilah yang diambil daripada cara perletakkan enjin empat silinder di atas bingkai kerangka secara melintang – menurut Dan Hancock, salah seorang yang penting dalam pasukan R&D Honda.

Apa yang disukai tentulah bagaimana jentera ini boleh memberi keyakinan dan keseronokan pada kami walaupun ketika menunggangnya buat pertama kali di atas Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Jun lalu. CBR650F ini dengan kemas meratah selekoh-selekoh di SIC dan sudah memberi tanggapan yang sangat positif dalam jangka masa sesi ujian yang terhad ketika itu.

Okay... ia kini di hadapan mata dan sedia untuk diteliti. Berbanding model sebelum ini, Honda telah menyempurnakan bahagian hadapan CBR ini dengan menggunakan lampu-lampu jenis LED yang bukan sahaja cantik tetapi juga menawarkan pencahayaan yang terang untuk tujuan keselamatan. Panel meter model ini dibahagi kepada dua bahagian iaitu penunjuk rpm dan kelajuan (sebelah kiri) dan paparan digital di sebelah kanan pula menunjukkan jam, tahap bahan api, jarak perjalanan serta trip meter yang jelas dan mudah dilihat.

Memandangkan pihak Honda mengatakan model  ini juga sesuai untuk para penunggang baru, maka bolehlah kami mencadangkan agar dilakukan penambahan penunjuk posisi gear pada paparan digitalnya. Ia sangat penting.

Sebaik sahaja memanjat ke atas CBR650F ini, kami akui bahawa posisi menunggangnya agak sporty tetapi natural dan selesa, sesuai untuk dipacu oleh semua penunggang. Pelananya yang hanya setinggi 810mm ini tidak memberikan kesukaran buat penunggang lelaki mahu pun wanita. Seperti model-model Honda yang lain, keempukan pelana CBR ini memang sangat kami gemari.

Apa yang agak mengecewakan ialah cermin pengadang udara di hadapan yang dirasakan masih kecil bagi penunggang berketinggian lebih daripada 5’8”. Walaupun begitu, dengan adanya aksesori lepasan jualan yang kini semakin banyak contohnya jenama Puig yang dipasarkan oleh Chear Motor Sdn Bhd, ia tidak memberikan masalah.

Kelembutan enjin Honda empat silinder, empat lejang yang bersesaran 649cc ini memang cukup mengasyikkan. CBR ini dikemaskan dengan rekaan ekzos baru lebih dinamik dan menawarkan bunyi yang sedikit garang berbanding yang sebelumnya. Kita dapat merasakannya apabila mengerahkan tenaga jentera ini dari 7,000rpm dan ke atas. Bagi rakan-rakan yang inginkan bunyi yang lebih mantap, High N Lubricant Sdn Bhd (pengedar rasmi sistem ekzos Akrapovic Malaysia) ada menawarkan beberapa model terkini seperti S-H6R13-Hegeht Racing Line (Titanium) yang cukup mantap. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03-90752609 atau layari laman web mereka di www.high-n. com.

Dengan kuasa maksimum setinggi  67kW pada 11,000rpm dan tork 64Nm pada 8,000rpm, pergerakan awal dari kedudukan sifar km/j dirasakan sedikit perlahan tetapi apabila mencecah 7,000rpm, barulah kita dapat merasakan ‘karaktor’ CBR sebenarnya. Untuk lebih mantap, jangan ‘simpan’ satu-satu gear terlalu lama sebaliknya bermain gear dengan lebih kerap (kotak gear model baru ini juga direka lebih rapat) untuk tunggangan sporty dan lebih nikmat.

Dengan penggunaan casis yang mantap, ditambah pula tubuh badan yang langsing serta bar hendal yang lebar, penunggang yang mengendalikan jentera seberat 213kg di dalam laluan kecil dan terhad memang mengujakan kerana ia benarbenar mudah. CBR650F terbukti lincah, mudah, selesa dan mesra penunggang. Benarlah apa yang dikatakan oleh Ketua Pegawai  Eksekutif dan Pengarah BSH, En. Nobuhide  Nagata, “Very comfortable...very easy to handle.”

Ini juga adalah kelebihan yang dimiliki oleh jentera-jentera 600cc milik Honda. Masih ingatkah rakan-rakan sekalian dengan kemantapan dan kestabilan Honda CBR600F2… CBR600F3… CBR600F4i dulu? Ia adalah bagaikan ‘bintang’ dalam kategorinya yang cemerlang dan diingati hingga ke hari ini.

Model ini didatangkan dengan pakej keselamatan yang menarik. Brek Nissin jenis hidraulik yang bersaiz 320mm (depan) dan 240mm di belakang banyak membantu pergerakan kita di dalam kesibukan kota dengan lancar dan pantas. Selain sentiasa menunggang dengan berwaspada, sistem brek yang efisien amat diperlukan oleh setiap penunggang dan inilah yang dimiliki oleh CBR650F ini. Syabas Honda!

Ketika jentera ini dibawa mengembara di atas lebuhraya, langit pada hari itu gelap gelita. Namun begitu, kami sangat yakin dengan prestasi, sistem keselamatan dan kemampuan jentera ini. Set pakaian hujan GIVI (baju hujan dan pelindung kasut) kami kenakan, beg pakaian dikemaskan dipelana pembonceng dan kami mulakan perjalanan. Seperti yang dijangka, tidak sampai 25 kilometer, hujan turun dengan selebat-lebatnya. Siang menjadi malam dan terima kasih pada panel meternya yang berwarna putih cerah, segala informasi dapat dibaca dengan jelas. Rekabentuk fairing hadapan yang aerodinamik membolehkan tamparan angin kuat dari hadapan melalui CBR ini dengan cukup cemerlang. Honda 600cc terus lancar dan megah memecut ke hadapan.

Sekali lagi beberapa ciri-ciri menarik seperti lampu-lampu LED, brek-brek cemerlang, respon pendikit-enjin yang tepat menjadikan pergerakan kami lebih meyakinkan walaupun di dalam cuaca begini. Kami berhenti rehat dan menambah petrol di R&R Tapah dan dapati tangkinya yang sebesar 17.3 liter baru sedikit sahaja digunakan. Ya… dengan penggunaan suntikan bahan api PGM-FI Programmed, ia terbukti jimat petrol dan ini juga satu lagi kekuatan CBR650F.

Apabila menuruni kawasan berbukit (selepas terowong Menora), beberapa kali kami merenung paparan meternya kerana ingin mendapatkan kepastian posisi gear yang sesuai untuk berada di selekoh dengan selamat memandangkan keadaan permukaan jalan yang licin. Sayangnya… CBR ini tidak memaparkan nombor posisi gear!

Oleh itu, kami menggunakan pengalaman untuk memilih posisi gear yang sesuai berdasarkan daya ingatan dan kekuatan brek enjin….gaya ‘otai-otai’ dahulu. Setibanya di kawasan perhentian Bukit Gantang, kami sedari bagaimana penunggang motosikal dahulu lebih cekap, lebih peka dengan jalan dan mementingkan keselamatan.

Ketiadaan teknologi tinggi ketika itu seperti sistem TC, Ride by Wire, slipper clutch, quick shifter, ABS, penunjuk gear dan lain-lain menjadikan seseorang pelumba itu lebih cekap mengendalikan mesin dengan berbekalkan kemahiran dan pengalaman.

Ke mana sahaja Honda ini diparkir, ia bagaikan magnet yang menarik orang ramai untuk mendekatinya. Seperti yang dikatakan, huruf C..B…R itu memang ada ‘kuasanya’ yang tersendiri! Semua teruja apabila mendapati ia adalah sebuah Honda CBR. Memang hebat betul lah!

Perjalanan pulang ke Kuala Lumpur lebih ceria. Matahari ‘tidak lagi merajuk’…. bersinar memberi bahangnya seawal pagi. Ia menjadikan permukaan jalan cepat kering untuk tayartayar CBR ini yang bersaiz 120/70 ZR17 (depan) dan 180/55 ZR17 di belakang mempamerkan kecemerlangannya ‘memikul’ bebanan di pelbagai jenis jalanan.

Keberanian muncul kembali untuk membaringkan CBR650F lebih dalam dan menikmati fork hadapannya jenis teleskopik 41mm dan lengan ayun dengan penyerap hentak mono mengikut segala kemahuan Honda ini untuk ke kiri dan ke kanan dalam semua kelajuan.

Kelajuan maksimum yang berjaya kami lakukan pada Honda ini ialah sekitar 215km/j dengan putaran enjin yang mantap dan lancar. Apa pun, kelajuan paling ideal untuknya ialah sekitar 120km/j – 130km/j. Dalam kelajuan ini, kita tidak ‘ditampar’ kuat oleh angin hadapan serta dapat berfikir dan bertindak dengan pantas jika berhadapan dengan situasi yang cemas.

Secara keseluruhannya, jentera jalanan keluaran Honda ini cantik, selesa, mudah dan seronok ditunggang. Kita boleh gunakannya untuk apa saja tujuan perjalanan tidak kira dekat atau pun jauh. Honda CBR650F ditawarkan pada harga RM47,115.94 dengan tiga pilihan warna iaitu Matt Gun Powder Black, Millenium Red dan Pearl Metalloid White. RR

Isu Pada

Januari 2018

Spesifikasi

Enjin4 lejang, 4 silinder sebaris, DOHC, sistem penyejuk cecair
Isipadu649 cc
Gerek x Lejang67 x 46 mm
Nisbah mampatan11.4:1
Kuasa maksimum67kW pada 11,000 rpm
Tork maksimum64Nm pada 8,000 rpm
Tinggi pelana810 mm
Isi Tangki17.3 liter
Berat213 kg
PengedarBoon Siew Honda Sdn Bhd

Popular

  • Warta Roda

    Pelajar Sekolah Maut Selepas Motosikal Dinaiki Rempuh Lori

  • Model Baru

    Hanway Heritage, Jentera Gaya Bobber Dilancarkan!

  • Model Baru

    ARIIC 318GT Secara Rasmi Dilancarkan – RM 22,888

  • Dari Litar

    Fabio Quartararo Kembali Julang Yamaha di Podium. Alex Marquez Raih Kemenangan Pertama

  • Warta Roda

    Kemalangan di Lebuhraya Karak. Penunggang Motosikal Dikesan Polis

Artikel berkaitan

Ducati 125 Regolarita: Rangka Di Dalam Almari

Ride Santai Bersama Yamaha PG-1: Aku dan Kebebasan

MODA Sporter-S 250: Sesuai Untuk Kegunaan Bandar

Suzuki V-Strom 800DE: Sesuai Untuk Perjalanan Jauh & Dekat

Santai Bersama Yamaha: MT-09 Syok Ke Mana Sahaja!

Honda XL750 Transalp: Antara Jentera Kembara 'Middle Weight' Yang Terbaik?

Bajaj Freedom 125 CNG: Bukti Bahan Api 'Gas' Lebih Praktikal

MODENAS Z250 ABS – Senang, Selesa, Sempoi!

Disyorkan untuk anda
Model Baru

SYM Naga 150 Bakal Diperkenalkan di Malaysia

Memperkenalkan skuter baru SYM MMBCU yang merupakan singkatan kepada “Mamba Crossover Unique”. Seperti yang kita tahu, Mamba merupakan spesis ular yang berbisa dan memiliki ketangkasan yang mengagumkan.

Pandu Uji

MODA Sporter-S 250: Sesuai Untuk Kegunaan Bandar

Selepas diperkenalkan pada awal bulan Januari lalu, ketibaan model ini di pasaran negara memang agak 'panas'. Macam-macam riaksi yang diterima memandangkan ia adalah jenama terbaru yang diperkenalkan oleh Mdua Motor Sdn. Bhd., anak syarikat kepada AFY Mobility Industries (AMI).

Dari Litar

Kejuaraan Petronas MAM Malaysian Cub Prix 2025 Dilancarkan

Saingan PETRONAS Cub Prix 2025 telah pun dilancarkan di LYL International Karting Circuit semalam.

Warta Roda

Insiden Putra Heights: MOT Sumbang 55 Unit Yamaha Ego Avantis Kepada Mangsa Terjejas

MOT telah menyumbang sebanyak 55 unit motosikal jenama Yamaha Ego Avantiz kepada penduduk terjejas dalam insiden letupan paip gas.